Followers

Nuffnang

Showing posts with label Hadis Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Hadis Pilihan. Show all posts

Saturday, 30 March 2013

5 Perkara Fitnah Akhir Zaman


74512_538141226196745_1824565100_n
~moga dikurniakan cahaya meski fitnah melanda~
UmarMita Of LangitIlahi
Usia manusia semakin lama semakin tua. Begitu juga dunia. Kerana setiap yang hidup itu ada matinya. Setiap permulaan ada penghujungnya. Sebelum mencapai kepada pengakhiran kebiasannya terpampar pada manusia tanda-tandanya. Dunia yang kita berpijak di atasnya ini tidak terkecuali. Semakin hampir kepada penghujung usianya (dunia) terdapat tanda-tanda yang boleh kita renung semula. Apakah ia?

Hadis Fitan
Abu Hurairah merekodkan daripada Nabi sallahu alaihi wasalam(s.a.w):
Masa terasa pendek, amal soleh berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah (maksiat) berleluasa, dan banyaknya kekecohan. Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah kekecohan tersebut? Nabi s.a.w menjawab: “Pembunuhan-pembunuhan”.
(HR Bukhari dalam Kitab Fitan dalam bab ‘Zuhur Al-Fitan’ dan HR Muslim dalam Kitab Al-‘Ilm)

Penerangan Hadis

1.  Masa terasa pendek
Dalam menerangkan tentang frasa ini terdapat beberapa pendapat ulama’:
Imam Al-Khatabi: Ia adalah kelazatan dalam kehidupan yang membawa maksud berlaku ketikamana manusia keluar daripada rahim ibunya dan dipertanggungjawabkan kepadanya amanah di muka bumi. Dengan itu, manusia itu berlaku adil dan dia merasa keseronokan dalam kehidupan, tetapi masanya singkat. Hingga sekarang, kebanyakan manusia merasa pendek pada saat manis dalam kehidupan walaupun sebenarnya ia panjang, sebaliknya merasa panjang waktu-waktu yang dibenci meski ia pendek.
Al-Hafizh Ibn Hajar mengambil kata-kata Al-Karmani dalam memberi komen terhadap pandangan Imam Al-Khatabi, bahawa ianya kurang tepat dek kerana ia tidak bersesuaian dengan tersebar luasnya fitnah-fitnah yang lain yang telah disebutkan dalam hadis yang sama selepas itu. Namun, pendapat beliau (al-Khatabi) bersesuaian dengan zaman beliau yang masih terjaga dari pelbagai sudut dalam hal kebaikan.
Justeru, beliau (Ibn Hajar) mengambil pendapat Imam Nawawi yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan masa terasa pendek itu adalah dekatnya manusia kepada hari kiamat. Selain itu, ia juga boleh menggambarkan bahawa masa yang manusia punya, tidak membawa keberkatan dalam kehidupan.
Jika kita renung semula kehidupan kita sehari-hari, masa yang berlalu terlalu pantas. Kita seakan-akan tidak mampu untuk menjangkau sesuatu amalan kebaikan melebihi rutin harian. Bekerja atau belajar. Tiada tambahan ibadah melainkan yang diwajibkan Allah. Hal ini, terjadi kerana kita gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Banyak perkara sia-sia yang bermain dalam minda dek kerana kita selalu ingin berasa selesa. Kita janggal untuk meninggalkan kebiasaan hidup kerna kita tahu mencari kebenaran itu perlu pengorbanan.
Oleh yang demikian, keselesaan itu sebenarnya membunuh kehidupan. Umat yang terdahulu berjaya bukan kerana mereka sekadar hidup bersama nabi s.a.w bahkan berjuang menitis air mata dan darah dalam perjuangan mengangkat panji islam. Mungkin kita tidak sehebat mereka. Tidak pula perlu mengangkat senjata. Namun, dalam bidang yang kita ceburi pastikan ada manfaat untuk agama Ilahi.

2. Berkurangnya Amal
Berkurang amal di sini  membawa dua maksud sama ada amal manusia di dunia atau amal kebaikan manusia di akhirat kelak disebabkan kurangnya manusia keberkatan masa seperti yang disebutkan di atas, maka manusia itu kurang mampu untuk beramal soleh natijah dari masa yang seakan-akan terhad.
Dari pandangan lain, berkurangnya amal boleh juga digambarkan kerana mungkin manusia itu beramal soleh namun terdapat kecacatan padanya dek kerana salah laku niat atau cara disamping  berlaku banyak pengkianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sama ada pemimpin merobek khazanah rakyat, yang berkuasa berterusan menindas yang kurang upaya, ahli ilmu tiada amanah dalam menyampaikan dan sebagainya.
Terdapat juga dalam riwayat yang lain direkodkan bahawa berkurangnya ilmu ganti kepada berkurangnya amal. Boleh jadi makna berkurangnya ilmu adalah kita mudah lupa akan apa yang kita pelajari. Hal ini seringkali terjadi. Mungkin kerana kekurangan kesungguhan kita dalam mendalami sesuatu ilmu dan juga berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang memberikan kesan terhadap budaya dan cara fikir manusia.
Selain itu, berkurangnya ilmu juga boleh berlaku dengan cara Allah mencabut nyawa ahlinya (ulama’) dan tidak ada pengganti yang secocok sepertinya. Dalam hadis yang lain nabi sallahu alaihi wasalam menyebutkan dari Abdullah ibn ‘Amr ibn ‘As:

“Sesungguh Allah tidak mencabut ilmu itu dengan mengambilnya daripada dada-dada manusia, tetapi dengan mematikan ulama’-ulama’. Maka tinggallah dunia ini mengambil orang-orang yang jahil sebagai ketua atau tempat rujukan mereka. Bila ditanyakan kepada mereka maka mereka akan menjawab dan memberi saranan tetapi dalam keadaan yang tiada ilmu tentangnya, maka terhumban manusia dalam kesesatan yang berpanjangan.”(HR Bukhari)

Perkara ini benar-benar berlaku kini. Kita lihat umat era ini tidak kurangnya dari sudut sumber ilmu. Bahkan apa yang tercatat-catat dalam lembaran buku-buku muktabar tidak bisa dinafikan kesahihannya dan tidak punya saringan. Namun, realiti yang berlaku sesetengah umat ini khususnya dalam bidang agama dan amnya kepada semua mungkin semakin bijak dalam pengetahuan masing-masing, malangnya ilmu itu digunakan bukan pada tempatnya. Maka terjadilah banyak perbalahan yang tidak berkesudahan dalam perkara-perkara cabang yang sebenarnya telah lama diperbincangkan.
Berkaitan dengan ulama’-ulama’ yang telah dipanggil semula mengadap-Nya juga menjadi buah telinga kita pada hari ini. Semakin ramai pula dalam kalangan mereka dijemput menghadap Allah. Baru-baru ini, Al-Fadhil Syeikh Dr Saeed Ramadhan Al-Bouti (moga Allah merahmatinya), telah pergi meninggalkan dunia. Namun, bukan di sini untuk membincangkan ijtihad beliau atau bagaimana sebenarnya kematian beliau. Suatu perkara yang tidak dinafikan adalah ramai ilmuan meneguk ilmu daripada beliau sama ada secara langsung atau berdasarkan tulisan beliau. Adapun apa yang cuba saya utarakan adalah kematian para ahli ilmu dewasa ini semakin bertambah kian hari. Natijahnya, manusia diambang dalam kesesatan.

3. Kebakhilan Bermaharajalela
Intisari daripada frasa ini adalah manusia zaman ini bersikap tamak bahkan lebih buruk lokek (kedekut) pula untuk berkongsi kepada manusia yang lain. Pelbagai sudut yang boleh dimaksudkan kebakhilan yang melanda umat ini:
i-  Orang yang berilmu kedekut dengan ilmunya maka dia meninggalkan untuk mengajarkan manusia dan mengeluarkan fatwa yang membantu manusia.
* Perkara ini ternyata berlaku. Dari sudut lain, boleh juga kita tengok bahawa ramai orang mengajar sesuatu ilmu tetapi bukan memberi manfaat kepada manusia bahkan menambahkan lagi kecelaruan dek kerana ilmu yang tulen tidak lagi disebarkan dengan adil
ii-  Orang yang mempunyai kelebihan dalam apa jua bidang meninggalkan untuk mengembangkan kelebihan kepada orang yang lain kerana bimbang disaingi.
iii-  Orang yang kaya bakhil dengan hartanya hingga orang-orang miskin terbinasa.
* Dalam sistem kapitalis yang ada sekarang ini, perkara ini menjadi barah berlarutan. Si kaya bertambah kaya. Yang miskin kekal miskin. Dari satu sudut mungkin terzahir orang yang kaya atau pimpinan ini memberi bantuan kepada goloangan miskin yang memerlukan. Hakikatnya mereka merompak kekayaan yang ada dan menindas golongan marhaen.

4.  Fitnah (maksiat) berleluasa.
Melihat pada era globalisasi kini, kita lihat maksiat begitu mudah menjalar masuk dalam jiwa manusia. Jika bukan manusia itu yang mencari asbab-asbab yang nyata kepada maksiat, namun kejahatan itu juga bisa turut menusuk melalui niat baik kita. Sebagai contoh dalam pada penggunaan facebook atau twitter atau selainnya, kadang-kadang kita tidak terlepas daripada terpandang iklan-iklan yang termampar yang mana sudah tentu banyak keburukan dari sudut etika.
Belum lagi bicara tentang gadjet yang serba canggih yang mana hari ini menjadi suatu perkara yang asing jika anak muda tidak membawanya. Penggunaan gadjet-gadjet tersebut juga tidak terlepas daripada dosa-dosa kering. Bagaimana pula dengan  perlakuan serta hubungan muda-mudi kita sekarang?
Maksiat dan dosa itu dipandang enteng, dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Hatta orang lain yang terdiri dari ibupa kadang-kadang dan juga masyarakat yang lain tidak bisa menegur perlakuan buruk yang dilakukan. Justeru, atas sebab-sebab ini kita melihat fitnah maksiat itu semakin berleluasa dan menjadi barah yang semakin parah.
Bukan niat saya menghalang untuk menggunakan segala bentuk kemudahan yang ada. Adapun jika ianya diguna ke arah kebaikan maka ia lebih membawa manusia itu dekat dengan tuhan. Bukan juga untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi berbalik kepada menyalahkan diri sendiri yang tidak berusaha untuk mengubah masyarakat kepada lebih baik. Jika tiada kemampuan maka berusahalah menjadi masyarakat yang baik sudah memadai.

5.  Banyaknya kekecohan
Berdasarkan riwayat dalam hadis yang disebutkan di atas kekecohan yang banyak berlaku adalah pembunuhan. Tidak dinafikan lagi, akhir zaman ini banyak berlaku pembunuhan akibat daripada peperangan sesama manusia kerana tamakkan harta, kuasa atau bertitik tolak atas kebencian terhadap sesuatu agama. Melihat contoh yang berlegar disekeliling kita seperti yang berlaku di Syria, Palestin dan lain-lain negara.
Dalam riwayat yang lain disebutkan maksud kekecohan itu belaku disebabkan ‘pembunuhan’ dengan lisan. Tidak perlu terbang jauh untuk mengukir contoh. Dalam negara kita sendiri banyak perpecahan dan kekecohan atas sikap tidak amanah ahli ilmu dalam pelbagai bidang dalam pada menyampaikan ilmu lebih lagi dalam melaksanakannya dalam urusan berkaitan dengan manusia yang lain pula.

Kesimpulan
Sudah tentu fitnah-fitnah yang berlaku atau menjadi tanda-tanda kecil bahawa kiamat itu sudah hampir dengan kita. Adapun, apa yang disebutkan dalam hadis ini merupakan ‘ibu’ kepada fitnah-fitnah yang lainnya. Bukan ketakutan yang cuba saya gambarkan dalam artikel saya ini. Tetapi hanya mahu meninggalkan persoalan apa usaha yang kita cuba lakukan untuk membaiki diri sendiri dan masyarakat kita hari ini daripada terselamat daripada fitnah-fitnah ini?
Ayuh muhasabahlah semula wahai manusia!

Sumber: Muhammad Uzair bin Izham (MUIZ)


Monday, 4 March 2013

Bertaqarrub kepada Allah


Pada peluang ini saya ingin berkongsi sebuah hadis qudsi bersama para pembaca sekalian. Hadis ini agak panjang, dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 6021/6502 dan merupakan salah sebuah hadis yang dipilih oleh al-Imam al-Nawawi dalam Matn al-Arbain, hadis yang ke-38. Dalam hadis ini Rasulullah bersabda, bahawa Allah berfirman:
Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya. Dan tidaklah hamba-Ku berterusan bertaqarrub kepada-Ku melalui amalan-amalan nawafil sehinggalah aku mencintainya.
Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dia jadikan untuk berjalan. Jika dia meminta daripada-Ku nescaya Aku berikan dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungkan. 
Dan tidaklah Aku prihatin terhadap sesuatu yang Aku sendiri adalah pembuatnya, melainkan keprihatinan-Ku terhadap jiwa seorang mukmin yang membenci kematian sementara Aku juga membenci berbuat buruk terhadapnya.
  

Kepentingan Ibadah Fardhu
Hadis ini memiliki banyak mutiara di dalamnya, namun fokus saya tertuju kepada sebuah rangkap sahaja, iaitu firman Allah: Dan tiadalah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya.
Saya tertarik dengan rangkap ini kerana kerap kali apabila seseorang itu ingin bertaqarrub kepada Allah – yakni mendekatkan diri kepada Allah – dia menumpukan usahanya kepada memperbanyakkan amalan-amalan sunat.
Lebih menyedihkan, dalam rangka bertaqarrub ini seseorang itu membuat-buat amalan bid’ah yang dianggapnya baik. Bahkan amalan bid’ah tersebut saban hari semakin banyak dan semakin canggih, sehingga apa yang sebenarnya diajar oleh Allah dan Rasul-Nya tenggelam entah ke mana. Semua bid’ah ini dicipta dan diamalkan dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah, padahal bertaqarrub yang terbaik lagi yang paling dicintai oleh Allah hanyalah ibadah-ibadah fardhu.
Ibadah-ibadah fardhu seperti solat lima kali sehari, puasa pada bulan Ramadhan, zakat tahunan dan haji pertama bagi yang mampu, inilah sebenarnya ibadah yang paling dicintai Allah, yang paling dapat mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah.
Saya yakin ibadah-ibadah fardhu ini sudah menjadi kelaziman para pembaca budiman sekalian. Namun oleh kerana kelaziman inilah, mungkin ada di antara kita yang terlepas pandang akan kepentingan dan keutamaannya. Mungkin ada di antara kita yang melaksanakannya sebagai satu kewajipan semata-mata, tanpa menyedari ia adalah amalan yang paling dicintai Allah, yang dapat menghampirkan diri kita kepada-Nya.

Menyempurnakan Ibadah Fardhu
Berdasarkan kesedaran bahawa ibadah fardhu adalah cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka marilah kita semua menyemak semula ibadah-ibadah fardhu yang lazim dilaksanakan. Ayuh kita menyempurnakannya, mengemaskannya dan menyempurnakannya.
Marilah kita mengulang kaji ibadah solat kita, jangan sekadar berpuas hati dengan apa yang dipelajari pada zaman sekolah dahulu. Marilah kita menyemak semula ibadah puasa kita dalam bulan Ramadhan, janganlah sekadar mengikuti apa yang menjadi kebiasaan masyarakat. 
Marilah kita mengulang kaji dan menyemak bukan berdasarkan apa yang ustaz kata dan ustazah cerita, tetapi berdasarkan apa yang Allah firmankan dan apa yang Rasulullah ajar serta tunjukkan. Marilah kita bertaqarrub kepada Allah dengan sesuatu yang sebenarnya sudah kita lakukan, namun kini dipertingkatkan dengan ilmu, dalil, hujah dan keyakinan. 

Sumber: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah



Wednesday, 13 February 2013

Kegembiraan Allah Pada Sebuah Kepulangan

Dengan dosa yang menggunung, kesilapan yang berulangkali, janji untuk berubah yang tidak ditepati, maka terlintas persoalan di benak seorang anak Adam yang dirinya bergelumang dengan dosa, ‘Adakah Allah akan mengampunkan diriku? Adakah taubatku layak diterima Allah?’

Sebelum terputusnya tali pengharapan di dalam jiwa, hadis nabi S.A.W datang sebagai jawapan pada persoalan tadi. Sebuah hadis membuka pintu-pintu harapan bagi yang berdosa dan mengeluarkan mereka dari rasa putus asa. 

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda S.A.W telah menggambarkan kegembiraan Allah terhadap mereka yang kembali ke pangkal jalan dengan sebuah gambaran kisah yang cukup menarik dan terkesan di hati. Baginda S.A.W telah membawakan sebuah kisah yang lebih kurang bermaksud begini:



Kisahnya ialah tentang seorang lelaki yang berada di sebuah padang pasir yang sunyi sepi dan sangat panas, yang tiada air dan tumbuh-tumbuhan di situ. Di bawah keterikan cahaya mentari, tiada yang menemaninya melainkan derap langkah unta tunganggannya yang turut membawa makanan dan minumannya. 

Di dalam kepenatan yang teramat dek perjalanan yang panjang, ia akhirnya bertemu bayangan pepohon untuk berteduh di bawahnya. Ia pun berehat di situ dan mendudukkan untanya lalu melelapkan matanya sebentar untuk mengumpul kekuatan dan mengembalikan kecergasan. Oleh kerana tali untanya tidak ditambat, unta tersebut telah meloloskan dirinya dan berjalan pergi. Apabila lelaki tersebut terjaga dari tidurnya, ia panik kerana mendapati untanya tiada. Tali untanya telah terlepas. Ia terus mencari dan mencari, menuruni lembah dan mendaki bukit tanpa berhenti namun tidak juga bertemu. 

Pabila ia merasakan bahawa pencariannya tak berjaya dan telah merasa putus asa, ia pun kembali ke tempat perteduhannya tadi dengan penuh kelaparan dan kehausan. Dalam keadaan yang terlalu letih dan jiwa yang hampa ia tertidur disitu, menanti saat kematian. Ia merasa sangat berputus asa kerana kenderaannya telah tiada malah telah pergi membawa bersama bekalan makanan dan minumannya. Di tengah-tengah padang pasir yang panas dan kering kontang itu, ia tidak tahu ke mana hendak dituju. Akan tetapi alangkah terkejutnya apabila ia tiba-tiba terdengar satu suara. Ya, untanya betul-betul berada di sampingnya. Maka bangkitlah ia dengan kegembiraan yang tidak terkata. Bagaikan mati hidup semula. Dek kerana terlalu gembira, ia telah tersilap menyebut, ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan aku tuhanmu.’ 



Kemudian baginda S.A.W memberitahu kepada para sahabat yang berada dikelilingnya, sesungguhnya kegembiraan Allah terhadap hambaNya yang bertaubat dan kembali kepadaNya adalah lebih besar dari kegembiraan yang dirasai oleh lelaki itu. Sabda baginda S.A.W, “Sesungguhnya, Allah lebih-lebih lagi kegembiraanNya terhadap hambaNya yang mukmin berbanding kegembiraan lelaki ini yang mendapat semula tunggangannya dan makanannya.” 

Pengajaran dari kisah: 
• Tujuan utama dari penceritaan yang dibawakan oleh baginda S.A.W ini ialah agar orang-orang mukmin sentiasa berlumba-lumba untuk bertaubat hingga diri mereka bersih dari maksiat dan dosa sepertimana yang telah Allah nyatakan.

Oleh: Ustazah Suriani Binti Sudi 
Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 

Sumber: Majalah Iman, Bil No.11


Sunday, 6 January 2013

Dosa Sebesar Bumi

Pada peluang ini saya ingin berkongsi bersama para pembaca sekalian sebuah hadis qudsi, semoga ia menjadi tazkirah (peringatan) dan motivasi kepada kita semua. Hadis tersebut bersumber daripada Anas bin Malik, bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda, Allah tabaraka wa ta'ala berfirman:

Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan beliau menilainya hasan gharib. Syaikh al-Albani pula menilainya sahih sebagaimana dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3463/3450.



Hadis ini menyentuh berkenaan dosa dan sifat Allah yang Maha Pengampun, setinggi mana atau sebesar mana dosa tersebut. Berbuat salah dan dosa adalah sifat kelaziman manusia, namun selagi mana manusia kembali merujuk kepada Allah, Allah akan mengampuni dosa-dosa tersebut.

Dua Etika Berdoa

Hadis ini dimulakan dengan dua etika dalam berdoa. Pertama, permohonan doa tersebut hendaklah ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak boleh menujukan doa kepada seseorang selain Allah, tidak boleh menujukan doa kepada seseorang bersama Allah. Doa merupakan salah satu urusan aqidah, maka hendaklah kita berhati-hati agar tidak melakukan syirik dalam rangka berdoa.

Kedua, permohonan doa hendaklah dengan hati yang sedar dan berharap. Usah berdoa dengan hati yang lalai, putus asa atau ragu-ragu. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah mengingatkan: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian meyakini ia akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa lagi lalai. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3401/3479]

Kedua-dua etika inilah yang dimaksudkan di awal hadis qudsi di atas: “…engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku”. Oleh itu apabila seseorang berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa-dosanya dan dia benar-benar berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa, maka sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam hadis qudsi di atas, Allah akan mengampuni dosa-dosa tersebut.

Dosa Setinggi Langit, Sebesar Bumi.

Bagaimana jika seseorang itu pernah melakukan maksiat dan kesalahan sehingga dosanya setinggi langit dan sebesar bumi? Jawapannya terdapat di dalam hadis qudsi tersebut: Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli.

Apa yang penting ialah jangan berputus asa daripada keampunan Allah. Allah berfirman di dalam al-Qur’an: Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]

Jangan berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah. Berdoalah kepada Allah sahaja agar dosa-dosa tersebut diampuni-Nya dan berharaplah agar Allah memakbulkan doa agar diampuni dosa-dosa tersebut.

Seterusnya hendaklah berbaik sangka dan yakin kepada sifat Allah yang Maha Pengampun. Allah telah berjanji bahawa jika kita datang dengan dosa sebesar bumi, Allah akan menyambut kita dengan keampunan sebesar bumi juga. Firman Allah dalam hadis qudsi di atas: Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.

Janganlah pula kita berburuk sangka kepada Allah dengan meragui keampunan-Nya dan menganggap Allah keberatan untuk memaafkan kita sebagaimana sebahagian manusia yang enggan memaafkan kesalahan manusia yang lain. Janganlah juga kita menganggap Allah umpama manusia yang sebahagiannya “memaafkan tetapi tidak melupakan”. Maha suci Allah dari sifat sedemikian.

Tauhid Kunci Keampunan

Semua janji Allah di atas adalah dengan syarat, kita tidak mati dalam keadaan melakukan syirik atau menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Perhatikan semula hadis qudsi tersebut: “…kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku …” Tauhid ialah kunci kepada keampunan, rahmat dan syurga Allah manakala syirik ialah penghalang bagi kunci tersebut.

Menyentuh berkenaan syirik dan keampunan Allah, ia terbahagi kepada dua fasa. Fasa Pertama ialah apabila seseorang itu pernah melakukan syirik dalam kehidupannya lalu dia memohon ampun atau bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya. Fasa Kedua ialah apabila seseorang berterusan melakukan syirik sehingga ke saat sakratul maut lalu dia memohon ampun atau bertaubat, maka Allah tidak akan mengampunkannya. Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorok. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3460/3537]

Masalahnya, tiada siapa yang tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mengambil nyawanya. Oleh itu sebelum malaikat maut tiba-tiba muncul di hadapan, hendaklah kita menyemak agar diri kita bebas daripada apa-apa kepercayaan atau amalan syirik.


Tuesday, 28 August 2012

Golongan VIP Di Akhirat



Rasulullah S.A.W menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud ;
“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )

Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud;


“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.

Mereka ialah :
1) PEMIMPIN YANG ADIL
Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah S.A.W sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah S.A.W yang menjadi Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam kepimpinannya.

2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN
Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan janji Rasulullah S.A.W bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.

3) PENCINTA MASJID
Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.

4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.

5) DIGODA BERZINA
Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama panji Nabi Yusof A.S di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan oleh Allah.

6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH
Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah S.A.W mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para sahabat Rasulullah S.A.W.

7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA
Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi, semata-mata kerana Allah.

Monday, 18 June 2012

20 Hadith


BilHadithTarikh
1Tegahan Memperlekeh Pemberian Jiran
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing.”
Jun 18, 2012
2Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid
Daripada  Abu Zar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “ Sesiapa yang pergi ke Masjid pagi atau petang, Allah akan sediakan baginya di dalam syurga, hidangan dan jamuan setiap kali dia pergi atau balik.
Jun 15, 2012
3Larangan Memperkecilkan Kebaikan Yang Sedikit
Daripada  Abu Zar RA katanya, nabi SAW telah bersabda kepadaku, “Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara  engkau dengan wajah yang berseri-seri.”
Jun 14, 2012
4Contoh Amalan Baik dan Amalan Jahat
Daripada Abu Zar RA katanya, nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Telah diperlihatkan kepadaku segala amalan umatku sama ada yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik ialah membuangkan sesuatu yang merbahaya yang terdapat di jalan. Dan aku dapati di antara amalan-amalan yang jahat ialah berkahak di dalam masjid yang tidak ditimbus.”
Jun 13, 2012
5Tuntutan Bersedekah
Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, “Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takdir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha.”
Jun 12, 2012
6Jarak Syurga Dan Neraka
Daripada Ibnu Masu’d RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Syurga itu lebih dekat kepada setiap kamu daripada tali capalnya. Begitulah juga neraka.”
Jun 11, 2012
7Tempoh Penurunan Wahyu
Daripada Anas RA katanya: "Sesungguhnya Allah SWT meneruskan penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW lebih banyak pada waktu sebelum diwafatkan sehinggalah baginda wafat, di situlah sebahagian besar wahyu diturunkan."
Jun 10, 2012
8Kelebihan Sujud dalam Solat
Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa."
Jun 09, 2012
9Perkara Yang Mengiringi Jenazah
Daripada Anas RA  daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal bersamanya hanyalah amalannya."
Jun 08, 2012
10Jalan Ke Syurga Dan Jalan Ke Neraka
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Neraka itu didindingi dengan perkara-perkara yang diingini hawa nafsu, syurga itu didindingi dengan perkara-perkara yang dibenci oleh hawa nafsu."
Jun 07, 2012
11Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Baik dan Dikasihi Allah
Daripada Abu Hurairah RA katanya,Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan suatu yang berguna (di dunia dan di akhirat), hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah yakni putus harapan atau merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu  janganlah berkata, “Andainya aku berbuat demikian tentu akan menjadi begini dan begitu.” Akan tetapi katakanlah, “Ini adalah takdir Allah SWT dan Allah sekehendaknya.” Sesungguhnya perkataan “andainya” (lau) hanya membukakan jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.”
Jun 06, 2012
12Menghidupkan 10 Malam Lailatul Qadar
Daripada  Aisyah RA katanya, “Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh daripada bulan Ramadhan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut , dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya.”
Jun 05, 2012
13Konsep Syukur Rasulullah SAW
Daripada  Aisyah RA: bahawa Nabi SAW bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah SAW? Sedangkan Allah SWT mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.”
Jun 04, 2012
14Dua Nikmat Kurniaan Allah
Daripada Abdullah bin Abas RA katanya, Rasullullah SAW bersabda, “Dua nikmat, banyak manusia rugi padanya (kerana mensia-siakannya) iaitu kesihatan dan kelapangan.”
Jun 03, 2012
15Allah Maha Pemurah
Daripada Anas RA daripada Nabi SAW dalam apa yang diriwayatkan daripada tuhannya (hadis Qudsi) firmanNya: “Jika seseorang hamba menghampiriku sejengkal, maka aku menghampirinya sejengkal , maka aku menghampiri sehasta, jika dia menghampiriku sehasta maka aku menghampirinya sedepa dan jika dia datang kepadaku dengan berjalan maka aku datang kepadanya dengan berlari.”
Jun 02, 2012
16Cabaran Mengikut Peredaran Masa
Daripada Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekelian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati).” Keterangan ini aku dengar daripada nabi kamu Rasululluah SAW.
Jun 01, 2012
17Bersegera Dalam Mengerja Amal Soleh
Daripada Abi Hurairah RA bahasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.
May 31, 2012
18Cemburu Allah
Daripada Abu Hurairah RA daripada nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT cemburu (tidak suka) dan cemburu Allah SWT itu ialah terhadap orang yang akan mengerjakan apa yang diharamkan Allah ke atasnya.”
May 30, 2012
19Dosa Kecil Jangan Dipandang Ringan
Daripada Anas RA katanya, “Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ianya lebih halus daripada rambut pada hal kami di zaman Rasulullah SAW mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan (dosa besar).”
May 29, 2012
20Syahid Jalan ke Syurga
Daripada Jabir RA katanya, “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW pada hari Uhud, katakan kepadaku, kalau aku terbunuh (dalam peperangan ini), di mana aku? “Jawab baginda, “di syurga”, lalu lelaki itu segera meletakkan beberapa biji tamar yang ada di tangannya, kemudian dia berperang sehingga mati terbunuh.