Followers

Nuffnang

Showing posts with label Kisah Dan Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Dan Teladan. Show all posts

Saturday, 4 July 2015

Islam Itu Matlamat Bukan Alat

Anakmiskin_zps5ba6997f
Telah beberapa kali saya tegaskan, Islam seharusnya jadi matlamat bukan alat. Namun ustaz muda itu masih menolak. Apa boleh buat. Saya hanya boleh memberi saranan dan pandangan. Soal mempengaruhi fikiran dan hatinya, itu adalah di luar kawalan saya. Perbincangan yang tadinya bermula dengan tenang, mula bertukar panas. Namun saya tekad meneruskan perbualan. Insya-Allah, bagaimana panas sekalipun saya berjanji pada diri tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar.
“Untuk maju, kaya dan berjaya kita mesti amalkan Islam,” kata ustaz muda itu lagi.
“Bagi saya, amalkan Islam kita akan maju,” ujar saya.
“Tidak ada bezanya antara kata-kata tuan dan saya,” tegasnya.
Saya diam. Namun dalam hati saya tetap menolak. Bagi saya ada bezanya antara Islam yang ‘diperalatkan’ dengan Islam yang menjadi matlamat. Saya masih ingat dalam sebuah kursus Rumah Tangga Bahagia yang pernah saya hadiri. Seorang peserta meminta penjelasan tentang perbezaan antara Islam yang menjadi alat dengan Islam yang menjadi matlamat dalam rumah tangga.
“Mari kita bina rumah tangga bahagia dengan mengamalkan Islam,” Begitulah yang selalu kita dengar dalam seminar atau kursus kekeluargaan bercorak Islam.
Pada saya, saranan itu sepatutnya diperbetulkan dengan berkata, “Mari kita jadikan rumah tangga sebagai wadah menegakkan Islam.”
Saya jelaskan pada peserta itu dengan berkata, “kita dahulukan hak Allah. Kita tegakkan hukum-hakam Allah dalam rumah tangga kita. Rumah tangga kita menjadi alat untuk menegakkan agama. Itu sewajarnya.
Hak Allah agar kalimah-Nya ditegakkan mesti didahulukan. Kebahagiaan kita jatuh nombor dua. Insya-Allah, jika kita menjaga hukum-hakam Allah, Allah akan menjaga kita dan akan mengurniakan kebahagiaan sebagai ganjaran.”
“Jadi salahlah kalau saya katakan, demi kebahagiaan keluarga kita perlu amalkan Islam?”
“Tidak salah. Cuma pada pandangan saya itu kurang tepat. Bagi saya apabila kita amalkan Islam, insya-Allah rumah tangga kita bahagia. Bukan sebaliknya.”
“Bukan sebaliknya? Apa maksud tuan?” tanya peserta itu lagi.
“Maksud saya, niat kita hendak amalkan Islam dalam rumah tangga itulah yang mesti didahulukan. Bukan niat untuk mendapat bahagia.”
“Maksudnya dahulukan hak Allah, bukan hak kita?” tanyanya lagi.
Alhamdulillah, dia sudah dapat apa yang saya maksudkan. Sambil mengangguk saya tersenyum.
Saya teringat sebuah hadis yang merupakan pesan Rasulullah kepada Abdullah bin Abbas: “Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (Riwayat al-Tirmizi)
Begitulah juga dalam seminar-seminar perniagaan atau usahawan Islam. Apabila berpeluang saya selalu mengingatkan, keuntungan dalam perniagaan jangan jadikan matlamat. Itu hanya alat.
Yang menjadi matlamat ialah menegakkan hukum dan syariat Allah dalam sistem perniagaan. Walaupun mungkin tidak mendapat keuntungan, tetapi usaha menegakkan hukum Allah itu sudah dianggap berjaya.
Letaknya kejayaan bukan pada keuntungan tetapi sejauh mana kita berjaya menegakkan hukum Allah dalam perniagaan dan kehidupan. Saya mengingatkan tentang solat Duha yang sering dijadikan kaedah untuk mendapat rezeki, sedangkan yang lebih tepat solat Duha ialah kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah; Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri sendiri dan orang lain bahawa ‘pemberi hadiah’ mesti lebih diutamakan daripada ‘hadiah-Nya’.
Begitu juga ketika berdepan dengan ‘pemain-pemain’ industri sistem kewangan Islam apabila saya mengendalikan program latihan bersama-sama mereka. Yakni mereka yang bertanggungjawab memasarkan produk-produk patuh syariat menerusi organisasi kewangan Islam seperti bank dan syarikat takaful. Sering saya berpesan agar jangan produk dan sistem sahaja yang patuh syariah tetapi manusia yang menjalankan sistem yang menyampaikan produk tidak syariah.
Memang benar kini produk-produk patuh syariat sama ada dalam industri makanan, penerbitan, media massa, kewangan, pakaian dan pelancongan telah menjana keuntungan yang tinggi. Produk sebegini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa. Justeru ramai yang berebut-rebut untuk menceburi bidang ini.
Soalnya, apakah niat sebenar kita apabila menceburi bidang-bidang tersebut? Apakah ikhlas untuk menegakkan Islam atau hanya semata-mata untuk mendapat keuntungan atas nama Islam? Bolehkah kita terus istiqamah dan komited sekiranya diuji dengan kegagalan atau kerugian? Jangan sampai apabila untung kita genggam, tetapi apabila rugi kita lepaskan. Sedangkan jika kita ikhlas kerana Allah, untung atau rugi, Islam tetap kita genggam.
Ya, kembali kepada ustaz muda di hadapan saya yang sangat berketerampilan ini. Dengan motosikal besar berkuasa tinggi dia nampak gah dan bergaya. Sejak tadi dia berhujah, untuk Islam dilihat hebat golongan agama terutama para ustaz mesti dilihat hebat. Hebat pada pakaian, kenderaan, rumah dan lain-lain. Itulah cara untuk menundukkan ego para penentang Islam, dakwanya.
“Apabila kita guna motosikal besar, barulah pemburu dunia akan buka mata. Wah, orang agama pun memiliki dunia, kata mereka. Jangan sampai dikatakan orang, kita mencemuh dunia kerana tidak memilikinya!” tekannya berkali-kali.
“Tetapi dunia di tangan pemburu dunia jauh lebih hebat. Jauh lebih bergaya dan hebat. Mereka bukan sahaja memiliki motosikal yang lebih besar, tetapi bot mewah, helikopter, jet peribadi bahkan vila yang berbilion-bilion harganya. Setakat yang ada pada kita, masih dipandang sebelah mata,” balas saya.
“Kita pun sedang berusaha ke arah itu.”
“Untuk jadi lebih kaya dan bergaya? Untuk apa?”
“Untuk dakwah. Untuk mempamerkan kekuatan dan keindahan Islam.”
“Di manakah letaknya keindahan Islam?” tanya saya semula.
Melihat dia diam saya menambah, “pada dunia yang dimiliki oleh orang agama? Tidak, pada saya indahnya Islam apabila orang agama memiliki akhlak yang baik?”
“Dunia untuk menarik hati orang dunia? Saya segera teringat firman Allah: “Dialah menyatukan antara hati mereka. Jika engkau menafkahkan segala yang ada di bumi, pasti engkau tidak dapat menyatukan hati mereka tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka.” (Al-Anfal 8: 63)
“Akhlak baik tetapi miskin dan melepek buat apa?” asaknya terus menerus.
“Subhanallah, bukan saya menyuruh kita jadi miskin. Kaya tidak salah. Tetapi kekayaan bukan faktor utama untuk menarik hati dalam berdakwah. Manusia tertarik pada akhlak orang agama, bukan dunia yang dimiliki oleh orang agama. Cuma untuk dihormati, orang agama jangan nampak merempat, ada sumber rezeki sendiri dan tidak menagih dunia daripada orang yang diseru.”
Jelas daripada mimik mukanya, ustaz muda itu masih tidak bersetuju. Dengan segala produk Islamik yang dikeluarkan dan dipasarkannya, dia berjaya bergelar usahawan yang berjaya.
“Imej Islam yang perlu kita bina mesti nampak kaya, kuat, bergaya dan mampu berkuasa.”
“Apakah itu cara Rasulullah berdakwah?” tanya saya.
“Apakah itu imej yang diperlihatkan oleh Rasulullah ketika mula berdakwah di kota Makkah. Imej kaya? Imej bergaya?”
“Kita perlu buka mata mereka terlebih dahulu dengan dunia sebelum buka hati mereka untuk iman. Buka mata mereka dengan imej bergaya kemudian barulah mereka datang dekat untuk dibuka hatinya menerima Islam,” hujahnya.
“Islam mula diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin pada peringkat awalnya kerana imej keadilan dan kasih sayangnya, bukan imej mewah dan kaya raya,” tekan saya sekali lagi.
“Mana ada lagi hamba dewasa ini. Sekarang kita perlu tarik golongan korporat dan kaya raya untuk mendekati Islam. Dengan kemasukan mereka ke dalam kumpulan pejuang Islam, kita akan dapat kekuatan.”
“Golongan hamba memanglah tidak ada lagi, tetapi orang fakir, miskin dan umumnya golongan marhaen masih ramai. Hidup mereka kian terhimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu kini. Harga barang keperluan semakin meningkat, kos pendidikan anak-anak kian melambung.”
“Itulah sebabnya. Apabila orang kaya sudah berjaya disedarkan, merekalah yang akan membantu golongan ini,” hujahnya lagi.
“Sampai bilakah kita harus menunggu sehingga kita berjaya menarik ramai orang kaya ke dalam kumpulan pejuang Islam untuk membantu orang miskin?”
“Mengapa awak kata begitu?”
“Ini mengambil masa. Kita perlu tunjuk kaya untuk menarik orang kaya, kemudian barulah orang kaya itu boleh membantu orang miskin.”
“Jadi bagaimana yang tidak memenatkan?”
“Wang yang kita usahakan untuk menunjukkan kita bergaya dan kaya itu terus kita gunakan untuk membantu si miskin.”
“Saya tidak setuju!” bantahnya terus terang.
“Sebab?”
“Ertinya saya perlu korbankan motosikal besar dan kereta mewah saya untuk membantu si miskin?”
“Tidak begitu. Motosikal dan kereta tidak salah. Tetapi sebagai pejuang, bersederhanalah. Tidak salah punya kereta dan motosikal tetapi tidak perlu terlalu mewah. Lebihan wang itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin atau untuk membina pusat pengajian dan projek ekonomi ummah. Tidak perlu lagi kumpulan kita atau murid-murid tahfiz mengutip derma, membuka tabung untuk memohon bantuan dan ihsan orang lain untuk membantu perjuangan kita.”
Ustaz muda itu masih mencemik.
Melihat mimik mukanya itu saya menambah lagi, “Ustaz, kalau kita sendiri payah untuk berkorban, apalagi orang lain. Jika benar Islam menjadi matlamat, buat dulu apa yang mampu kita buat, baru Allah membantu untuk membuat apa yang tidak mampu kita buat. Ramai lagi para gelandangan yang tidak punya makanan dan merempat di jalan-jalan.”
Dia masih mencemik.
“Tetapi kalau Islam hanya jadi alat, bermakna kita perlu kumpul kekayaan dahulu barulah membantu Islam. Dalam sejarah, Qarun pun asalnya berfikiran begitu.”
“Eh, saya bukan seperti itu! Motosikal besar saya ini bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk menunjukkan kehebatan Islam,” pintasnya.
“Baguslah jika begitu. Mudah-mudahan dengan motosikal besar itu ustaz boleh mendekati orang kaya yang punya hobi yang sama. Dengan itu ustaz boleh berdakwah kepada mereka,” kata saya.
Akhirnya saya mengalah. Saya cuma risau agama terfitnah oleh golongan agama. Yang menjadi sangat kaya dengan menjual produk-produk Islamik yang pelbagai jenama. Sudah ada kismis, air mineral, pakaian, makanan yang ‘dibacakan’ 30 juz al-Quran lalu dijual dengan harga yang tinggi.
Apa salahnya kita bantu produk-produk Islam, bukankah itu untuk menguatkan Islam? Itu dakwa mereka. Sedangkan jika diteliti,  itulah jalan yang melahirkan ‘kapitalis agama’ –  mereka yang mengeksploitasi Islam demi kepentingan diri. Islam terus menjadi alat bukan matlamat.  Hasilnya, orang kecewa dengan agama kerana ‘pengkhianatan’ orang agama!

Wednesday, 21 January 2015

Banjir Dosa Yang Melanda Jiwa




“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.  

“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.  

“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”  

“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”  

“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.  

Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.     

Sebab Allah Sayang  

“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.  

“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Beverly Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.  

Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.  

“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.”  

“Dari manakah awak tahu yang seseorang itu Allah benci atau Allah sayang? Bagi saya orang di bandar-bandar tersebut bukan orang kafir, mereka belum Islam. Allah tidak membenci orang bukan Islam.”  

“Apakah bezanya antara orang kafir dengan bukan Islam? Bagi saya sama sahaja. Yang beza, hanya kafir harbi dan kafir zimmi.”  

“Bagi saya memang berbeza. Orang kafir ialah orang yang menentang Islam setelah diseru kepadanya secara lisan dan perbuatan. Manakala orang bukan Islam ialah orang yang belum pun diseru kepada Islam. Saya rasa, mereka belum pun diseru kepada Islam, jadi bagaimana mereka boleh dituduh menentangnya? Label kafir hanya layak bagi yang menolak dan menentang setelah seruan dakwah dilakukan terhadap mereka.”  

“Sudahpun dibuat. Mereka memang penentang. Sekarang era ICT, tak akan mereka tak dapat maklumat dan ilmu tentang Islam? Tak sampai seru? Maaflah, tak logik.”  

Diam seketika. Mungkin sama-sama mencari ‘peluru’ untuk terus berhujah.  

Saya yang dari tadi menjadi pendengar sudah bertukar menjadi ‘pemikir’. Input-input yang diluahkan dalam perbualan dua orang lelaki itu membuat fikiran saya teruja dan emosi sedikit terusik.     

Angkara Tangan Manusia  

“Aku rasa bukan kerana dosa. Jika kerana dosa, mesti sejak dahulu lagi bencana sudah menimpa. Sejak dahulu lagi orang telah berdosa.”  

“Kau nak menolak sejarah azab yang menimpa kaum ‘Aad, Thamud, umat Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain kerana mereka derhaka? Kalau nak menafikan fakta dalam al-Quran dan hadis yang menegaskan umat yang berdosa akan diazab Allah? Hati-hati!” kata lelaki berkopiah putih lagi, kembali menghangatkan suasana.  

“Kau jangan emosional. Aku tidak menolak fakta-fakta itu. Tetapi aku rasa ada sebab lain yang menyebabkan bencana alam. Bukan soal dosa dengan Allah sahaja.”  

“Apa dia? Dosa dengan manusia?”  

“Aku rasa mungkin juga kerana pemugaran hutan yang tidak terancang, sistem saliran yang tidak efektif dan efisien, sikap membuang sampah merata-rata, serta sistem pembuangan sisa yang lintang pukang.”  

Kali ini lelaki kopiah putih pula terdiam. Melihat keadaan itu, lelaki yang bersongkok hitam tiba-tiba bersuara, “Eh, sejak tadi diam sahaja, bersuaralah sikit,” katanya sambil menepuk bahu yang sedang bersandar di tiang masjid.  

Saya terkejut. Tidak sangka ketika mereka berdua hebat berhujah masih sempat melihat saya di sebalik tiang.     

Apabila Hukum Allah Tidak Dipeduli  

“Bencana boleh menimpa apabila kita melanggar hukum Allah,” ujar saya sekadar meraikan. Sebenarnya saya masih berminat untuk mendengar dan menjadi ‘pemerhati’ berbanding turut serta dalam ‘forum’ pasca-Subuh itu.  

“Itu saya sudah tahu.”  

Hampir serentak mereka berdua bersuara.  

“Hukum syariatullah dan juga sunnatullah,” kata saya masih pendek.  

Mereka diam, memberi laluan untuk saya membuat penjelasan.  

“Halal, haram, sunat, makruh dan harus itu ialah hukum syariatullah. Jika dilanggar berdosa. Membuat apa yang diharamkan Allah atau meninggalkan apa yang diwajibkan-Nya ialah dosa. Misalnya tidak bersolat, mengamalkan riba, mendedahkan aurat, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.”  

“Itulah yang saya tegaskan sejak tadi. Bencana ini angkara dosa-dosa itulah,” kata lelaki berkopiah. Rasa puas terpancar di wajahnya.  

“Hukum sunnatullah pula bagaimana?” tanya lelaki bersongkok.  

“Hukum sunnatullah ialah hukum Allah dalam mengatur alam. Gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi. Tasik, sungai dan laut tempat tadahan dan saliran air yang disusun secara semula jadi. Begitu juga hutan dan pokok-pokok yang mencegah hakisan tanah sekali gus meneguhkan kedudukan pada lapisan luar bumi.”  

“Itu hukum Allah juga?”  

“Ya. Itu hukum Allah juga. Tidak boleh diabaikan dan dilawan, buruk padahnya. Apabila hutan dipugar sesuka hati, gunung ditarah sewenang-wenangnya, laut dan sungai dicemari, maka berlakulah banjir, kemarau, tanah runtuh dan sebagainya. Allah tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.”  

“Ini semua kerana jahil atau degil?” tanya lelaki bersongkok hitam.  

“Ada kalanya kerana jahil. Ilmu dan kepakaran tidak ada. Tidak ada kajian, perancangan dan pelaksanaan yang rapi dan teliti. Buat kerja ikut terlintas, tanpa home work dan persiapan terlebih dahulu,” jelas saya.  

“Tetapi yang banyaknya kerana degil,” kata lelaki berkopiah putih tiba-tiba.  

“Ya. Ada juga kerana degil. Bukan kerana tidak tahu, bukan kerana tidak ada kepakaran, tetapi kerana tidak ada kejujuran. Tahu, tetapi kerana tidak mampu melawan kerakusan hawa nafsu. Tahu, tindakannya akan mencemar dan merosakkan alam, tetapi dek kerana keuntungan tindakan itu diteruskan juga. Semua kerana wang.”  

“Itu bukan satu dosa?” celah lelaki bersongkok.     

Padah Ingkar Amanah  

“Ya, itu satu dosa. Tamak, rakus dan menyusahkan orang lain, hakikatnya satu dosa. Dosa melanggar sunnatullah ada kalanya terkait dengan dosa melanggar syariatullah. Menebang hutan, mencemarkan sungai, membuang sampah merata-rata bukan hanya dosa kepada alam tetapi dosa kepada Allah dan sesama manusia.”  

“Saya kurang pasti bagaimana?”  

“Bumi, yang merupakan amanah Allah dirosakkan. Bumi tempat manusia lain berteduh dicemari. Semua ini dilakukan kerana kepentingan diri. Maka, sudah tentu ini merupakan satu dosa,” jawab saya agak panjang. Kali ini saya benar-benar teruja untuk masuk campur.  

“Ingat tu, kita khalifah. Perlu urus tadbir dunia ini dengan bijak,” sampuk lelaki yang bersongkok.  

“Tidak cukup dengan bijak sahaja, mesti amanah,” ujar saya perlahan.  

“Dengar tu, bijak sahaja tidak cukup. Mesti amanah,” kata lelaki yang berkopiah.  

“Amanah sahaja tanpa bijak pun tidak cukup,” balas lelaki bersongkok.  

Saya tersenyum. Lucu pula melihatnya. Masing-masing sudah faham, tetapi belum mencapai tahap kesefahaman.  

“Hukum syariatullah perlu dipatuhi untuk menjadi hamba Allah yang baik. Hukum sunnatullah juga perlu dipatuhi untuk menjadi khalifah yang mampu memberi kebaikan. Kalau kedua-dua hukum ini dilanggar, bencana akan menimpa,” jelas saya cuba merumuskan.  

“Tetapi saya lihat ada juga orang yang telah mentaati kedua-dua hukum itu masih dilanda bencana alam. Bagaimana pula?”     

Ujian Kesabaran dan Ketaatan  

“Itu cara Allah memberi pahala sabar dan meninggikan darjat mereka yang taat,” ujar saya.  

Dalam diam, saya akur betapa ada hamba Allah yang soleh yang turut diuji oleh bencana alam. Mereka juga dilanda kesusahan dan kesempitan. Tetapi insya-Allah, orang yang taat akan sentiasa mendapat kebaikan walaupun dalam kesusahan. Manakala orang yang bermaksiat, akan sentiasa mendapat keburukan walaupun dalam kesenangan.  

“Musibah sama, tetapi natijah berbeza. Orang derhaka yang terus derhaka, akan mendapat dosa berganda. Orang yang taat bertambah taat akan mendapat pahala berganda. Manakala orang yang berdosa tetapi kembali bertaubat akan dihapuskan dosa-dosanya. Walau apa keadaan sekalipun, apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita,” jelas saya lagi.  

“Bagaimana pula orang yang bermaksiat tetapi terus selamat? Mereka yang leka berjudi, berpelesiran dengan wanita dan arak tetapi tidak pula dilanda musibah?”  

“Percayalah, orang yang melakukan dosa tidak akan tenang, sama ada ketika dilanda bencana alam atau pun ketika tidak dilanda bencana alam. Bencana yang melanda jiwa akibat dosa sesungguhnya lebih besar berbahaya berbanding bencana yang melanda alam. Mereka tidak akan menikmati kesenangan tanpa ketenangan. Dunia luarnya nampak aman, tetapi dunia dalamannya terus resah dan bergolak,” ujar saya.  

Lelaki yang berkopiah dan bersongkok itu sama-sama mengangguk.  

Dalam hati terus berdoa, mudah-mudahan bencana alam ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah lama gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam di dalam hati akan mampu diapungkan kembali oleh apa juga tragedi yang melanda umat ini, kini dan selamanya. Insya-Allah.  

Matahari terbit jua akhirnya. Ahli jemaah yang sejak tadi beriktikaf di dalam masjid, terus membaca al-Quran, berzikir dan ada pula yang bangun ke belakang untuk memperbaharui wuduk. Mudah-mudahan dengan mendekatkan diri kepada Pencipta, kita jadi semakin matang dan bijak menguruskan perbezaan sesama manusia.

Saturday, 13 September 2014

Petua Ayah




Ini cerita benar. Ini cerita petua seorang ayah untuk kebaikan anaknya. Kisah ini sangat dekat dengan diriku. Begini kisahnya:    

Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak.

“Ada duit? Minta ayah sedikit.”

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur, isteri dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulillah mereka ‘sporting’ dan tidak banyak meragam.

“Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi memang tak ada duit,” bisik saya kepada emak.    

Emak seperti biasa, berwajah selamba. Sukar di tebak reaksinya.

“Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.

“5 ringgit?”

Emak mengangguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang  RM5. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa lagi yang memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ‘untung’ 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.    

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Bila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi wang ‘permintaan’ ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan ‘peruntukan’ khas untuk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ‘ekonomi’ saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap permintaannya dan tetap senyum bila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ‘ketajaman’ rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).    

Begitu pun, setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setia memasukkan duit yang melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ‘tidak ada’, tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.     

Namun, secara bertahap-tahap, buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.  

“Nanti, besarlah kereta kamu ni,” ujar ayah senyum.  

Apa pun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang. Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.     

“Eh, tak payahlah ayah.” 

Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.  

“Kenapa, dah kaya?” usik ayah. 

Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ‘dikebas’ oleh saya. Dan dalam hati, saya mula merasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkannya ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.     

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta. Di samping penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh kerana bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana ‘kekurangan’ atau ‘kelebihan’ kami. Tetapi dia memberi kerana Allah. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!     

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kita kongsi bersama:     

“Kini aku benar-benar faham bahawa ibu-ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka bukan ‘liabiliti’ tetapi sebenar mereka adalah aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.” 

“Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. Keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa.”     

Baiklah, anda pembaca bagaimana? Inilah cerita benar yang jarang didengar. Inilah rahsia ‘perniagaan’ yang jarang diperkatakan oleh para korporat. Juga tidak ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih mempunyai ibu bapa? Memberilah kepada mereka. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sumber: Pahrol Mohamad Juoi




Tuesday, 11 March 2014

Ibu-Ibu Dalam Hidup Kita



Apabila aku diminta oleh anakku untuk bercerita tentang ibuku, aku tidak jemu-jemu mengulangi kisah ini. Kisah aku dengan tiga ibu. Pertama, ibuku sendiri. Kedua, ibu kepada anakku dan ketiga anak perempuanku sebagai ibu. Mereka akan mendengar, akur dan diam. Terkesima. Aku berdoa, semoga cerita itu menginsafkan mereka tentang jasa manusia yang bernama ibu.

Waktu berlalu, aku kembali diminta bercerita tentang kisah itu. Berulang kali. Lalu kuringankan tangan, ku pertajamkan emosi, lalu ku tulis cerita itu: Kisah aku dengan tiga ibu. Aku mulakan dengan kesah pertama.

Aku mengayuh basikal itu laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Apabila bertemu misi sahaja terus serahkan kad merah itu. Katakan emak sudah sakit kuat,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak ‘sakit perut’ untuk bersalin.

Ayah ku yang bekerja sebagai seorang buruh telah keluar bekerja sejak awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanya ku naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus, lemah dan pucat. Aku jadi bimbang.

Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Kedua pak cik jiran sebelah menyebelah juga telah keluar bekerja. Klinik kesihatan yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seolah hampir. Aku mengayuh basikal begitu laju dan cepat. Letih tidak terasa walaupun keringat membasahi muka.

“Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut. Misi itu, seorang perempuan Cina berusia lewat 40’an agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit ‘problem’. Saya tak boleh.”

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 40 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Sedangkan pada ketika itu aku hanyalah seorang budak kampung yang naif. Mana hendak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah kereta wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

Tidak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, “ emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk patuh. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira, dapat adik baru!

Itulah kisah pertama. Betapa gementarnya seorang anak lelaki ketika ‘menguruskan’ ibunya yang hendak bersalin. Jika dahulu semuanya kulalui dengan sukar dan gementar tetapi kini ketika kurenung wajah emak dan adik yang lahir itu, aku rasa puas. Syukur, Ya! Allah kerana aku dapat berkongsi sukar seorang ibu ketika melahirkan.

Mari kita berkongsi kisah kedua. Kisah aku dengan isteri,  ibu kepada anakku. Begini kisahnya.

Saat itu, isteri ku berada di dalam bilik kecil di rumah mertua ku. Dia sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah, “Allah, Allah, Allah.”

Tiba-tiba Mak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian semakin kerap. Apabila ‘air ketuban’ telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak cik, isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60’an. Tetapi dia sahaja harapan orang kawasan itu untuk membidani wanita yang bersalin.

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hatiku, seorang suami muda yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6). Ya bulan itu, bulan Syawal 28 tahun yang lalu.

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan.”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak ‘dibidankan’ oleh bidan atau doktor wanita. Dia tidak mahu berbidankan doktor lelaki. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang ada begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang, aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih siswa yang menuntut di sebuah IPTA. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah, keadaan sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam rawatan dan perbidanan di hospital kerjaan pun sudah semakin Islamik, apalagi pusat rawatan Islam.

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu ‘berkeras’ untuk terus mengikut kerana hendak menjaga ‘suasana’ bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung, zikir dan rintihan, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan,” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa sunatnya dengan begitu tenang sekali.

Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil ‘perjuangannya’ sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan. Aku begitu gembira mendapat anak sulung!

Sesungguhnya, pengalaman itu mengajar aku bahawa sebesar mana pun pengorbanan suami, tidaklah sebesar dan setinggi pengorbanan isteri. Suami hanya berdoa dan berusaha ‘di tepi’ gelanggang, tetapi isterilah yang bertarung nyawa di dalam gelanggang. Ya, aku relakan duhai anak, sekiranya ketaatan dan kebaikan mu tiga kali kepada ibumu berbanding aku. Dia layak untuk dimuliakan kerana dengan izin Allah, dialah yang melahirkan!

Kini, tiba masanya untuk aku ceritakan kisah terakhir. Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan ‘mengeluarkan’ segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu ‘ijazah’ yang melayakkan seorang ibu mendapat kebaikan  tiga kali ganda berbanding ayah.

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu, tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian, rasa ‘raja’ (harap) yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, bolak-baliknya hati, selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik. Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat aku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi. Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan ‘surau’ kecil itu.

Di situ seolah-olah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Allah. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepadaMu, ya Allah.

Ya, Allah pengharapan ku padaMu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepadaMu. Namun mampukah aku berpaling dariMu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunanMu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepadaMu Tuhan.

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung dhuha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

Demikian ku kisahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu dan seterusnya.

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakan ibu, kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan yang hina jika melupakan jasa ibu!

Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

<---How are you showing your support? #PrayForMH370

Have you seen the Note 3 in pink? So tempting! #mynote3--->

<--[SPECIAL] Crazy deals on LINE Shopping!



Tuesday, 21 January 2014

Paksakan Cintanya


“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan,” ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.

Saya renung matanya. Ada sayu di situ.

“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.

“Tetapi sedih sekali ustaz, isteri saya meninggal dunia.”

“Innalillah wa in na ilaihi rajiun,” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.

“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”

“Tabahlah.”

Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.

Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang lelaki tua datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.

“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami. Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.

“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”

Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya. Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang  dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.

“Baru dua bulan ustaz.”

Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga,  tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri  dan teman-teman,  “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari.”


“Kadangkala dalam hati terdetik juga, kenapa Tuhan memanggilnya pergi terlalu cepat. Kami sangat perlukannya,” katanya perlahan.

“Allah sesungguhnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya, ramai orang menyebut ungkapan ini, tetapi saudara yang paling bertuah. Allah sedang mendidik saudara tetang kasihNya.”

“Itu saya percaya ustaz. Namun, apa kaitan itu dengan musibah yang menimpa diri saya ini ustaz?”

“Saudara. Ilmu kita yang terbatas tidak dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat dan sekarang, tetapi Allah melihat yang jauh dan akan datang. Musibah hari ini boleh jadi keberuntungan pada masa akan datang.”

“Arwah isteri saudara beruntung sebenarnya,” tambah saya lagi hampir berbisik.

“Mengapa ustaz?”

“Dia meninggalkan dunia dalam keadaan saudara mencintai dan meredainya. Tidak ramai isteri yang berjaya meraih keredaan suami ketika meninggal dunia. Sedangkan, keredaan suami itu sangat penting untuk isteri meraih keredaan Allah.”

“Ya. Ya. Dia isteri yang solehah. InsyaAllah.”

“Amin.”

“Tetapi apa hal kami ini ustaz?”

“Allah sedang mendidik saudara menjadi ayah yang tabah. Musibah ini hakikatnya satu ‘mehnah’.”

“Apa maksud ‘mehnah’ itu ustaz?”

“Mehnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada seseorang dengan tujuan untuk mendidiknya. Allah mendidik  manusia   melalui ‘subjek’ yang bernama kematian, kesakitan, kegagalan dan kehilangan.”

“Sedih dan sakit ustaz.”

“Terimalah saudara, yang pedih itu ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini, kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan. Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kehilangan ini telah berlaku. Ujian ini maktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”

“Apa kebaikan kehilangan ibu buat anak yang sedang menyusu ini ustaz?”

“Saya yakin pertanyaan ini bukan kerana mempertikaikan tetapi benar-benar inginkan penjelasan.”

“Maha suci Allah. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Tetapi insan kerdil seperti saya ini manalah dapat melihat sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.”

“Kita semua insan kerdil di sisi Tuhan. Dari segi adab seorang hamba, kita wajib yakin bahawa di sebalik pemergian isteri, yakni ibu kepada anak-anak saudara ini pasti ada kebaikannya. Tetapi sebagai seorang manusia juga, kita tidak dapat menahan diri daripada bertanya kenapa?”

“Sesetengah takdir memang tidak akan kita ketahui apa maksud baiknya. Itulah iman. Perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah. Mana mungkin seorang hamba tahu semua maksud takdir Ilahi? Yakini sahaja pasti ada kebaikan.”

“Jadi peranan akal di mana ustaz?”

“Akal kita mesti terus berfikir. Jangan dimatikan. Tetapi berfikirlah ke arah kemungkinan-kemungkinan kebaikan di sebalik takdir.”

“Contohnya?”

“Contohnya, Allah mematikan ibu bagi anak-anak saudara untuk membentuk mereka menjadi pemimpin besar di kemudian hari nanti. Lihat para Rasul, nabi, ulama, dan pemimpin dunia, ramai yang berasal daripada anak yatim.”

“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan anak-anak saudara daripada menjadi anak yang derhaka. Lihat betapa ramai ibu yang telah tua renta, telah disia-siakan dan diherdik oleh anak-anaknya sendiri. Mujur, anak saudara telah terlepas daripada dosa derhaka kepada ibu,” tambah saya.

Dia mengangguk-anggukkan kepala seketika seraya saya berkata, “akal kita berfikir ke arah mencari kebaikan di sebalik ujian ini. Jangan berfikir sebaliknya. Berfikirlah untuk menjustifikasikan kebaikan takdir Allah, bukan keburukannya. Itulah tanda kita bersangka baik kepada Allah.”

“Oh! begitu. Fikiran kita mesti dikawal dan terarah, bukan disekat, apalagi dimatikan.”

“Bersangka baiklah kepada Allah dengan mencari  kebaikan di sebalik setiap takdirNya. Insya-Allah kita akan mendapat  kebaikan,” pesan saya sekalipun jauh di sudut hati menyedari saya sendiri juga masih terkial-kial dalam menerima takdir Ilahi.

“Saya sunyi ustaz. Kadangkala patah semangat untuk bangun kembali. Banyak cita-cita dan impian yang pernah kami kongsi bersama tidak kesampaian.”

“Usah begitu saudara. Sunyi itu apabila hati kita lupa mengingati Allah. Hati yang mengingati Allah tidak akan kesunyian. Cari dan binalah hati itu. Pada solat, pada Al Quran, pada selawat, pada masjid ini ada penawar kesunyian itu. Saudara tidak tersisih, bahkan terpilih untuk mencari dan menemui cinta Allah.”

Dia tunduk. Tergenang air matanya. Saya memegang belakang kepalanya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Begitulah jika bahasa kata gagal untuk mencapai maksud, bahasa rasa cuba disampaikan melalui belaian.

“Ada masanya saya menangis ustaz. Berdosakah kesedihan ini?”

“Tidak. Malah itu fitrah.”

“Namun ada yang lebih penting daripada itu.”

“Apa yang lebih penting daripada itu?”

“Peringatan Allah kepada saudara, saya dan semua manusia. Firman Allah, “Katakanlah, Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (At Taubah,24).”

“Nampaknya saya belum tega, tetapi melalui tragedi ini seolah-olah Allah paksa saya ustaz, paksa saya mencintai-Nya lebih daripada yang lain.”

“Syukurlah dengan paksaan ini. Jika tidak dipaksa  mungkin kita alpa. Allah lebih sayang akan hamba-Nya lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Ibu yang baik akan memaksa anaknya yang sakit memakan ubat yang pahit. Begitulah kita yang sakit, sepi dan sayu ini umpama ubat yang Allah paksakan kita untuk menelannya demi menyembuhkan penyakit cinta selain-Nya yang  bersarang di hati kita,” pujuk saya.

“Masih ingat impian yang pernah dibina dengan Allahyarham isteri?” tanya saya sambil memegang bahunya.

Dia mengangguk-angguk. Air matanya tergenang. Sungguh, saya terus mencari kata-kata sedangkan mata sendiri sudah berkaca dengan air mata.

“Jika dia masih hidup tentu dia ingin impiannya tercapai. Ingin melihat kedua anak ini membesar sebagai anak yang soleh. Mari kita penuhi hajatnya. Mari kita penuhi impiannya. Jika benar kita sayangi dia yang telah pergi, mari kita penuhi cita-citanya pada kedua anak yang ditinggalkannya ini. Kita mesti bangun daripada kesedihan ini. Jika tidak, impian itu akan berkecai. Buktikan cinta saudara dengan melaksanakan amanah ini. Dan semua amanah ini tidak akan dapat ditunaikan sekiranya saudara terus bersedih,” ujar saya akhirnya.

Bapa muda itu merenung saya. Anaknya sudah tertidur di pangkuannya. Bapa lelaki muda itu masih mendukung anak kecilnya, turut tekun mendengar. Saya yang duduk bertemu lutut dengannya sejak tadi teringat semula kisah-kisah yang pernah saya dengar sepanjang kehidupan ini. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada suami yang kematian isteri.  Begitulah ajaibnya Allah ‘memanggil’ sesetengah manusia kepada cintaNya, melalui kehilangan!


Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi



Saturday, 12 October 2013

Ulama Beradu, Umat Keliru



Jika orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih kurang ilmu. Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Justeru, emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama yang sewajar sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi yang sangat menyedihkan.

Sesungguhnya, ini adalah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama masa kini. Cabaran yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka. Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan fakta, tetapi sindiran dan tempelakkan yang sangat menjelikkan. Ada di antaranya yang berani mencabar pihak lawan untuk berdebat bagai ayam sabung yang berkokok dengan sombong. Ada yang mencemik, mencebir dan senyum sinis ketika membahaskan pandangan pihak lain.  

Tidak salah untuk berbeza, tetapi biarlah dengan nada dan nuansa yang mengekalkan kasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang berjela-jela, dengan gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak tidak terjaga.  Pada hal, seorang ulama silam, Ibnu Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu.”

Jika benar yang dicari ialah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang menonjol. Keangkuhan itu boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label juga telah dilontarkan. Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan ‘salafi tegar’. Subhanallah, lupakah pada pesan  Ibnu Umar ini, “Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.”

Timbul pertanyaan, apa benar pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu, hujah dan prinsip? Atau sebab sebenar tidak lain hanya sifat hasad dengki. Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu cuma mainan bibir. Apa yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad dengki. Wallahua’lam.

Harapan kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam sabung’ oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hukum agama akan dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama umpama dua ekor gajah yang berjuang, akibatnya umat akan jadi seperti pelanduk yang mati di tengah.

Broker kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah ulama adalah pewaris para nabi? Maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sendiri pun sudah diperalatkan oleh yang punya harta dan kuasa? Jadi tidak hairan jika ada pihak secara sinins menyindir, satu fatwa berapa harganya?

Pergeseran di kalangan ulama bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan. Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah oleh mereka yang dianggap ulama dengan kata, “zikir semacam itu bid’ah”. Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama belajar ilmu Tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap sesat oleh ulama A? Manakala ada pula pelajar yang mengambil pendekatan belajar Tauhid mengikut pendekatan ‘Sifat Dua puluh’ dianggap sesat oleh ulama B?

Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah daripada solat berjemaah dengan imam yang dakwanya ‘musyabbihah’ dan  ‘mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan wasilah dan istighasah.

Apa nanti akan berlaku anak dara dari kelompok ‘sifat dua puluh’ akan menolak untuk dijodohkan dengan pemuda yang datang daripada golongan ‘tauhid uluhiyah dan rububuyah? Bagaimana pula dengan sembelihan, kenduri-kendara dan aktiviti-aktiviti muamalat antara kelompok sufi dan salafi? Sedangkan jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan RasulNya.  

Bukan sahaja mereka yang bertelagah ini duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja, malah ada kalanya terdiri daripada sanak saudara sendiri. Musibah dan nikmat mereka masih saling berkaitan. Kenduri kahwin, sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.

Teladanilah sifat lapang dada Imam Safie rhm yang  pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga.” Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan keyakinannya terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.

Justeru, sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun masyarakat banyak mendapat manfaaat hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. ‘Pertarungan ilmu’ di dalam gelanggang adab ini sangat bermanfat dalam usaha membudayakan ilmu. Pada zaman itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.

Berbeza pendapat di kalangan ulama tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah dan sunatullah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap ulama dalam menghadapi perbezaan. Sikap negatif hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan. Pertikaian yang dulu-dulu, yang hakikatnya telah pun istirehat pada titik ‘kami bersetuju untuk tidak bersetuju’ telah dibongkar kembali. Kononnya untuk mencari kebenaran. Ironinya, hasilnya, masih yang itu-itu juga.  

Bagi yang sangat sayang Imam Shafie, mendakwa sangat berpegang teguh dengan mazhabnya, lihat adab Imam yang hebat ini ketika beliau  mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik. Dengan penuh rasa sayang beliau berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan gurunya namun masih mengakui, “demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.”

Perbezaan di kalangan para ulama silam benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu dan rasa yang tulus ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka, tetap punya rasa cinta walaupun berbeza. Berbeza benar keadaannya dengan ahli agama masa kini. Kita kurang mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan mereka. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain.

Sesungguhnya, umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya, tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah berhujah dengan Al-Quran dan Al-Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak. Ulama yang bukan hanya mempunyai kelulusan tetapi punya ketulusan. Yang hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu, malah akhlak para nabi.

Ulama perlu bebas dari gamitan harta dan  belitan kuasa.  Jika ada perbezaan di kalangan mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata bijak pandai, “people don't care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati itu ketika menghadapi perbezaan dengan ulama lain!


Sumber: Pahrol Mohamad Juoi



Tuesday, 20 August 2013

Yang ‘Kadang-Kadang’ Dan ‘Jarang-Jarang’



arifin-ilham-poligami1

1. Sekalipun selepas kematiannya.

“Saya tidak akan maafkannya,” tegasnya berkali-kali.
Saya tunduk simpati.
“Saya tidak akan maafkannya.”
Dia semacam tidak puas dengan penegasannya. Mengulangnya lagi.
“Apa untungnya puan tidak memaafkan?”
“Perbuatan dia menduakan saya sangat menyakitkan hati. Tidak sangka ada wanita lain di hatinya selain saya.”
“Puan, bukankah suami puan sudah meninggal dunia. Apa salahnya puan maafkan dia. Tidak ada apa-apa yang nak dicemburukan lagi. Terimalah hakikat dan susun semula kehidupan baru dengan anak-anak. Itu yang lebih utama. Semuanya sudah berlalu, hadapi yang sekarang.”
“Sayidatina Aisyah lagikan cemburu kepada Sayidatina Khadijah yang telah meninggal dunia, apatah lagi saya, seorang wanita biasa,” tekan wanita itu tanpa peduli kata-kata saya.
“Subhanallah, Sayidatina Aisyah cemburukan kebaikan Siti Khadijah yang selalu disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun setelah kematiannya. Cemburu kepada kebaikan madu yang masih disebut suami walau setelah kematiannya berbeza dengan sikap tidak memaafkan suami yang telah mati kerana berpoligami secara sembunyi-sembunyi,” nasihat saya.
“Apa kurangnya saya? Bayangkan pada hari kematiannya baru saya dapat tahu dia telah menikah lagi. Sudah lama pula tu. Sudah 5 tahun. Bayangkan ustaz, depan saya nampak baik, solat, tutur kata lemah lembut,  bertanggung jawab, semua makan-minum, rumah dan nafkah kami sekeluarga dijaganya tetapi tak sangka sezalim itu dia pada saya.”
“Suami yang berpoligami tidak zalim, tidak jahat. Jika semuanya terjaga baguslah tu. Suami yang tidak berpoligami pun ramai yang tidak macam tu. Isteri yang cuma satu itu pun tidak dilayan dengan baik, makan-minum terbarai!”
“Ustaz, salahkah saya?”
“Cemburu tidak salah. Itu fitrah di kalangan dua insan yang saling sayang-menyayangi. Tetapi membenci, marah dan tidak memaafkan itu yang salah. Apatah lagi kepada suami sendiri, dan dia telah meninggal dunia. Adabnya, kita sebut yang baik-baik sahaja pada orang yang telah meninggal dunia.”
“Saya rasa tertipu.”
“Dia cuma tidak memberitahu,” ujar saya membetulkan.
“Mengapa?”
“Saya tidak dapat menjawabnya. Hanya Allah yang tahu. Bagaimana sikap dan kelakuan Allahyarham semasa hidupnya.”
“Alhamdulillah, semua baik. Dia suami yang baik. Saya sangat menyayanginya. Ustaz, orang yang paling kita sayanglah yang paling mampu menyakitkan kita. Dia yang paling saya sayang, dia yang menyakitkan. Cuma satu, poligami ini. Itulah yang meragut segala-galanya.”
“Puan, sayangilah dia setelah matinya seperti puan menyayangi dia semasa hidupnya. Jika begitulah akhlak dan keperibadiannya seperti yang puan ceritakan, saya pasti, insyaAllah dia punya sebab serta alasan yang syari’e untuk berpoligami.”
“Terfikir begitu juga ustaz. Saya dapat tahu madu saya tu err, err, seorang janda anak tiga. Dengan suami saya dapat anak seorang lagi.”
Saya sedih, gembira, senyum dan suram berselang-seli. Perasaan bercampur-campur. Saya kenal dari jauh Allahyarham. Memang dia seorang yang baik akhlak dan ibadahnya. Mungkin dia juga ‘terperangkap’ antara keinginan yang kuat hendak membantu dengan menjaga kasih sayang terhadap isteri.
“Kenapa suami saya tidak berani berterus-terang?”
Saya diam, diam yang panjang. Di dalam hati saya meneka-neka akan jawapannya. Kalau beginilah reaksi isterinya setelah dia mati, bayangkan betapa ‘hebatnya’ reaksi itu semasa dia hidup. Saya simpan jawapan itu. Saya juga seorang lelaki yang terus cuba memahami hati seorang wanita.
“Apa yang patut saya buat ustaz?”
“Puan sayang suami puan?” jawab saya dengan satu pertanyaan.
“Saya menyayanginya dengan seluruh jiwa saya ustaz.”
“Buktikan sayang itu dengan memaafkan. Sekiranya puan masih sukar memaafkan ertinya puan bukan menyayanginya tetapi menyayangi diri sendiri. Maafkanlah dia kerana Allah, jika benar puan cinta dia kerana Allah.”
Kali ini dia terdiam. Ada rintik-rintik air mata yang mengalir di pipinya. Itulah hati seorang isteri. Benci, marah, kecewanya - semuanya berbaur dan bergaul kerana terlalu cinta.
“InsyaAllah saya cuba ustaz. Selain itu?”
“Cuba berfikir bagaimana agaknya Allahyarham suami puan berfikir jika dia masih hidup. Apa yang akan dilakukannya?”
“Tentu dia akan melaksanakan tanggung jawabnya. Dia suami yang sangat bertanggung jawab.”
“Puan, cinta itu tanggungjawab. Tanggung jawablah yang menjaga cinta, apabila cinta diuji. Cinta dan tanggung jawab tidak akan terpisah oleh kematian salah seorang daripada dua orang yang bercinta. Puan tentu arif apa tanggung jawab suami puan bukan?”
Dia mengangguk perlahan. Saya tidak dapat menahan air mata. Hakikatnya saya pun akan ditinggalkan isteri atau dia yang dahulu akan meninggalkan saya. Ya Allah, semoga semua cinta dan kasih sayang ini kerana Allah. Maha suci Allah, cinta orang beriman tidak akan dapat digugat oleh apa pun sekalipun poligami!

2. Mengapa yang muda?

“Saya tidak faham kenapa suami saya pilih yang muda? Ini semua kahwin kerana nafsu. Cakap sahaja kerana pembelaan, sunahlah. Semua alasan,” kata wanita itu di hujung talian.
Sudah hampir sejam saya memberi laluan untuk dia bercakap. Saya masih banyak mendengar. Seperti yang selalu saya katakan, dalam banyak keadaan manusia bukan mencari penyelesaian tetapi hanya memerlukan didengar.
“Ustaz, semuanya kerana nafsu!”
“Benar. Orang yang tidak ada nafsu haram berkahwin,” kata saya perlahan.
“Jadi bolehlah ikut nafsu?”
“Ikut nafsu tak boleh, uruskan nafsu. Perkahwinan termasuk yang berpoligami adalah cara menguruskan nafsu.”
“Kahwin yang muda-muda ustaz.”
“Seseorang mendapat balasan atau ganjaran berdasarkan niatnya. Jika niatnya baik, tidak kira anak dara atau janda, semuanya dapat pahala. Tetapi jika niat tidak baik, berpoligami dengan siapa pun tidak berpahala.”
“Betul ke ustaz?”
“Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Wanita yang dinikahinya ada yang anak dara, ada yang janda, ada yang langsing dan ada yang berbadan besar.”
“Kenapa?”
“Pelbagai tujuan Rasulullah S.A.W. Ada yang bertujuan pembelaan. Ada yang merapatkan hubungan. Ada yang untuk meraikan pemberian atau hadiah. Ada pula yang bertujuan untuk menjadi simpanan ilmu. Lihat perkahwinan Rasulullah dengan Saudah. Lihat pula perkahwinan dengan Aisyah mahupun dengan Mariah Qibtiyah. Semua ada maksud dan tujuan berbeza, tetapi niatnya cuma satu, untuk mendaulatkan Islam.”
“Apakah benar suami-suami yang ada ini nak mencontohi nabi dalam berpoligami?”
“Sukar mengetahui niat dan hati seseorang. Cuma boleh lihat luarannya sahaja. Kalau dia komited dengan Islam, kemudian setelah poligami dia berlaku adil dan perjuangan Islamnya kita meningkat, insyaAllah moga-moga itu mencontohi nabi,” jelas saya.
“Saya geram mereka yang pilih muda-muda.”
“Saya kenal ramai mereka yang memilih janda dan wanita lanjut usia,” balas saya.
“Saya dengar banyak cerita lelaki poligami tidak bertanggung jawab.”
“Saya juga banyak mendengar suami yang tidak berpoligami tidak bertanggungjawab.”
“Apa yang ustaz cuba sampaikan ni? Ustaz minta semua wanita terima poligami? Ustaz minta semua lelaki berpoligami?”
“Tidak begitu. Bagi saya  poligami persoalan kedua atau ketiga, persoalan pertama ialah mendidik lelaki agar bertaqwa dan adil, wanita yang sabar dan redha serta masyarakat prihatin yang penyayang!”
“Eh, ke situ pula?”
“Kerana di situlah pangkal segala kebaikan. Didikan. Bila tidak terdidik, semua jadi masalah. Yang poligami ada masalah, yang monogami pun sama. Suami yang tidak bertanggung jawab, tetap tidak bertanggung jawab walaupun isterinya seorang. Isteri yang derhaka tetap derhaka walaupun tidak dimadukan. Masyarakat yang tidak terdidik, akan memandang serong semua syariat Islam bukan hanya poligami.”
“Saya benci orang mengambil kesempatan dengan mengamalkan syariat dan sunah konon.”
“Jangan bimbang. Syariat Allah, Allah akan jaga daripada dinodai. Lelaki yang mengambil kesempatan akan terdera dengan sikapnya yang mengeksploitasi poligami. Perempuan yang tidak simpati kepada wanita lain yang ingin juga mendapat seorang suami dalam hidupnya juga akan diuji dengan masalah walaupun cuba lari daripada ujian poligami.”
“Ustaz tak memahami rasa hati seorang wanita.”
“Benar. Tetapi saya yakin wanita beriman tidak akan tercalar keimanan dan kesabarannya menghadapi seorang suami, sama yang berpoligami atau tidak berpoligami.”
“Semua dikaitkan iman. Kalau semua kuat iman ok lah. Sedangkan kita masih di peringkat mujahadah.”
“Bilangan lelaki dan wanita dekat-dekat sama sahaja. Malah ada statistik, lelaki lebih ramai daripada wanita. Poligami tak perlu!”
“Ada kebenarannya. Tetapi ada statistik berapa ramai lelaki yang beriman yang benar-benar bertanggung jawab? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan wanita yang benar-benar beriman yang mampu menjadi isteri yang baik?”
“Ustaz pro poligami sebab ustaz lelaki.”
“Ini bukan soal pro atau kontra. Bila sesuatu ada dalam syariat, pasti ada manfaatnya. Bagi saya poligami hanya soal ‘jarang-jarang’, dan ‘kadang-kadang’. Ia seumpama pintu kecemasan sahaja pada sebuah bas. Ramai orang yang masuk dan keluar ikut pintu biasa sahaja. Tetapi jangan nafikan kepentingan pintu kecemasan, ada masanya ia sangat perlu pada waktu khusus dan keadaan yang tertentu. Jadi, tidak bijak membuang pintu kecemasan itu!”
“Pilih yang cantik sahaja.”
“Baiklah, jika suami awak pilih janda atau wanita yang lanjut usia yang punya wajah biasa-biasa sahaja, awak setuju bermadu?”
Diam, diam. Diam wanita yang berkahwin bukan tanda setuju!
Ah, poligami sering tersepit dan terfitnah antara lelaki yang suka mengeksploitasi dan zalim dengan dan wanita yang tidak rela berkongsi dan punya kepentingan diri.
(Ikutilah lagi sambungan kisah-kisah yang lain akan datang. InsyaAllah)

Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi