Followers

Nuffnang

Showing posts with label Kisah Muktabar. Show all posts
Showing posts with label Kisah Muktabar. Show all posts

Wednesday, 13 February 2013

Kegembiraan Allah Pada Sebuah Kepulangan

Dengan dosa yang menggunung, kesilapan yang berulangkali, janji untuk berubah yang tidak ditepati, maka terlintas persoalan di benak seorang anak Adam yang dirinya bergelumang dengan dosa, ‘Adakah Allah akan mengampunkan diriku? Adakah taubatku layak diterima Allah?’

Sebelum terputusnya tali pengharapan di dalam jiwa, hadis nabi S.A.W datang sebagai jawapan pada persoalan tadi. Sebuah hadis membuka pintu-pintu harapan bagi yang berdosa dan mengeluarkan mereka dari rasa putus asa. 

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda S.A.W telah menggambarkan kegembiraan Allah terhadap mereka yang kembali ke pangkal jalan dengan sebuah gambaran kisah yang cukup menarik dan terkesan di hati. Baginda S.A.W telah membawakan sebuah kisah yang lebih kurang bermaksud begini:



Kisahnya ialah tentang seorang lelaki yang berada di sebuah padang pasir yang sunyi sepi dan sangat panas, yang tiada air dan tumbuh-tumbuhan di situ. Di bawah keterikan cahaya mentari, tiada yang menemaninya melainkan derap langkah unta tunganggannya yang turut membawa makanan dan minumannya. 

Di dalam kepenatan yang teramat dek perjalanan yang panjang, ia akhirnya bertemu bayangan pepohon untuk berteduh di bawahnya. Ia pun berehat di situ dan mendudukkan untanya lalu melelapkan matanya sebentar untuk mengumpul kekuatan dan mengembalikan kecergasan. Oleh kerana tali untanya tidak ditambat, unta tersebut telah meloloskan dirinya dan berjalan pergi. Apabila lelaki tersebut terjaga dari tidurnya, ia panik kerana mendapati untanya tiada. Tali untanya telah terlepas. Ia terus mencari dan mencari, menuruni lembah dan mendaki bukit tanpa berhenti namun tidak juga bertemu. 

Pabila ia merasakan bahawa pencariannya tak berjaya dan telah merasa putus asa, ia pun kembali ke tempat perteduhannya tadi dengan penuh kelaparan dan kehausan. Dalam keadaan yang terlalu letih dan jiwa yang hampa ia tertidur disitu, menanti saat kematian. Ia merasa sangat berputus asa kerana kenderaannya telah tiada malah telah pergi membawa bersama bekalan makanan dan minumannya. Di tengah-tengah padang pasir yang panas dan kering kontang itu, ia tidak tahu ke mana hendak dituju. Akan tetapi alangkah terkejutnya apabila ia tiba-tiba terdengar satu suara. Ya, untanya betul-betul berada di sampingnya. Maka bangkitlah ia dengan kegembiraan yang tidak terkata. Bagaikan mati hidup semula. Dek kerana terlalu gembira, ia telah tersilap menyebut, ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan aku tuhanmu.’ 



Kemudian baginda S.A.W memberitahu kepada para sahabat yang berada dikelilingnya, sesungguhnya kegembiraan Allah terhadap hambaNya yang bertaubat dan kembali kepadaNya adalah lebih besar dari kegembiraan yang dirasai oleh lelaki itu. Sabda baginda S.A.W, “Sesungguhnya, Allah lebih-lebih lagi kegembiraanNya terhadap hambaNya yang mukmin berbanding kegembiraan lelaki ini yang mendapat semula tunggangannya dan makanannya.” 

Pengajaran dari kisah: 
• Tujuan utama dari penceritaan yang dibawakan oleh baginda S.A.W ini ialah agar orang-orang mukmin sentiasa berlumba-lumba untuk bertaubat hingga diri mereka bersih dari maksiat dan dosa sepertimana yang telah Allah nyatakan.

Oleh: Ustazah Suriani Binti Sudi 
Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 

Sumber: Majalah Iman, Bil No.11


Friday, 10 August 2012

Umar Bin Abdul Aziz - Pemerintah Yang Amanah


Khalifah Umar bin Abdul Aziz, adalah seorang Khalifah Bani Umaiyah. Pada suatu malam tatkala baginda sedang tekun bekerja di bilik istananya, tiba-tiba seorang puteranya masuk untuk membincangkan sesuatu hal. Baginda bertanya, “Urusan kerajaankah? Atau urusan keluarga yang hendak kamu bincangkan?” Jawab anakandanya, “Urusan keluarga, ayahanda.”

Tiba-tiba baginda memadamkan lampu yang terletak di mejanya yang digunakan untuk menerangi bilik kerjanya itu. Puteranya merasa hairan melihat sikap ayahnya itu seraya bertanya, “Kenapa ayah padamkan lampu itu?”

Maka jawab ayahnya, “Benar kata kau wahai anakku, tetapi kau harus ingat lampu yang sedang ayah gunakan untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga.”

Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu dari bilik dalam. Kemudian baginda pun berkata kepada putranya, “Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa masalah yang anakanda perbincangkan dengan ayahanda.” 

Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber selaku seorang raja yang berjiwa besar.

Saturday, 21 January 2012

Kisah Muktabar : Ashabul Ukhdud


BISMILLAH.
Kisah kali ini agak panjang iaitu hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam Kitab Az-Zuhd war Raqa`iq, bab Qishshah Ashhabil Ukhdud (no. 3005), dari Shuhaib bin Sinan radhiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah saw bersabda (yang bererti):
Pada zaman dahulu, sebelum masa kalian ada seorang raja, dia mempunyai seorang tukang sihir. Ketika tukang sihir ini sudah semakin tua, dia berkata kepada raja tersebut: “Saya sudah tua, carikan untukku seorang pemuda remaja yang akan saya ajari sihir.” Maka raja itupun mencari seorang pemuda untuk diajari ilmu sihir.
Adapun pemuda itu, di jalanan yang dilaluinya (menuju tukang sihir) itu ada seorang rahib (ahli ibadah). Lalu dia duduk di majlis rahib tersebut, mendengar syarahannya dan ternyata huraian tersebut menakjubkannya. Akhirnya, jika dia mendatangi tukang sihir itu, dia melalui majlis si rahib dan duduk di sana. Kemudian, setelah dia menemui tukang sihir itu, dia dipukul oleh tukang sihir tersebut. Pemuda itupun mengadu keadaannya kepada si rahib. Kata si rahib: “Kalau engkau takut kepada si tukang sihir, katakan kepadanya: ‘Aku ditahan oleh keluargaku.’ Dan jika engkau takut kepada keluargamu, katakan kepada mereka: ‘Aku ditahan oleh tukang sihir itu’.”
Ketika dia dalam keadaan demikian, datanglah seekor binatang besar yang menghalangi orang banyak. Pemuda itu berkata: “Hari ini saya akan tahu, tukang sihir itu yang lebih utama atau si rahib.” Lalu dia mengambil sebiji batu dan berkata: “Ya Allah, kalau ajaran si rahib itu lebih Engkau cintai daripada ajaran tukang sihir itu, maka bunuhlah binatang ini agar manusia dapat lalu.” Pemuda itu melemparkan batunya hingga membunuhnya. Akhirnya manusia pun dapat melalui perjalanannya.
Kemudian pemuda itu menemui si rahib dan menceritakan keadaannya. Si rahib berkata kepadanya: “Wahai anakanda, hari ini engkau lebih utama daripadaku. Kedudukanmu sudah sampai pada tahap yang aku lihat saat ini. Sesungguhnya engkau tentu akan menerima cubaan, maka apabila engkau ditimpa satu cubaan, janganlah engkau menunjuk diriku.”
Pemuda itupun akhirnya mampu mengubati orang yang dilahirkan dalam keadaan buta, sopak, dan mengubati orang ramai dari berbagai penyakit. Berita ini sampai ke telinga orang bawahan raja yang buta matanya. Diapun menemui pemuda itu dengan membawa hadiah yang banyak, lalu berkata: “Semua hadiah yang ada di sini adalah untuk engkau, saya kumpulkan, kalau engkau dapat menyembuhkan saya (dari kebutaan ini).”
Anak muda itu menjawab: “Sebetulnya, saya tidak dapat menyembuhkan siapapun. Tapi yang menyembuhkan itu adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kalau engkau beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, saya doakan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, tentu Dia sembuhkan engkau.”
Orang bawahan raja itupun beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala menyembuhkannya. Kemudian dia menemui  raja dan duduk bersamanya seperti biasa. Raja itu berkata kepadanya: “Siapa yang sudah mengembalikan matamu?”
Dia menjawab: “Rabbku.” Raja itu bertanya: “Adakah kamu mempunyai tuhan selain aku?” Orang itu berkata: “Rabbku dan Rabbmu adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala.”
Raja itupun menangkapnya dan tidak berhenti menyiksanya sampai dia menunjukkan si pemuda. Akhirnya si pemuda ditangkap dan dibawa ke hadapan raja tersebut. Sang raja berkata: “Wahai anakku, telah sampai kepadaku kehebatan sihirmu yang dapat menyembuhkan buta, sopak, dan kamu berbuat ini serta itu.”
Pemuda itu berkata: “Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan siapapun. Tapi yang menyembuhkan itu adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala.”
Raja itu menangkapnya dan terus menerus menyiksanya sampai dia menunjukkan si rahib. Akhirnya si rahib ditangkap dan dihadapkan kepada sang raja dan dipaksa: “Keluarlah dari agamamu.” Si rahib menolak. Raja itu minta dibawakan sebuah gergaji, lalu diletakkan di atas kepala si rahib dan mulailah kepala itu digergaji hingga terbelah dua. Kemudian diseret pula teman duduk raja tersebut, dan dipaksa pula untuk kembali murtad dari keyakinannya. Tapi dia menolak. Akhirnya kepalanya digergaji hingga terbelah dua.

Kemudian pemuda itu dihadapkan kepada raja dan diapun dipaksa: “Keluarlah kamu dari keyakinanmu.” Pemuda itu menolak.
Akhirnya raja itu memanggil para tenteranya: “Bawa dia ke gunung ini dan itu, dan naiklah. Kalau kalian sudah sampai di puncak, kalau dia mahu murtad (bawa pulang). Kalau dia tidak mahu, lemparkan dia dari atas.” Merekapun membawa pemuda itu ke gunung yang ditunjuk. Si pemuda pun berdoa: “Ya Allah, lepaskan aku dari mereka dengan apa yang Engkau kehendaki.” Seketika gunung itu bergegar dan mereka pun terpelanting jatuh. Pemuda itu datang berjalan kaki menemui raja. Raja itu berkata: “Apa yang dilakukan para pengawalmu itu?”
Kata si pemuda: “Allah Subhanahu wa Ta'ala menyelamatkanku dari mereka.”
Kemudian raja itu menyerahkan si pemuda kepada beberapa orang lalu berkata: “Bawa dia dengan perahu ke tengah laut. Kalau dia mahu keluar dari keyakinannya, (bawa pulang), kalau tidak lemparkan dia ke laut.” Merekapun membawanya. Si pemuda berdoa lagi: “Ya Allah, lepaskan aku dari mereka dengan apa yang Engkau kehendaki.” Perahu itu karam dan mereka pun tenggelam. Sedangkan si pemuda berjalan dengan tenang menemui raja.
Raja itu berkata: “Apa yang dilakukan para pengawalmu itu?”
Kata si pemuda: “Allah Subhanahu wa Ta'ala menyelamatkanku dari mereka.”
Lalu si pemuda melanjutkan: “Sesungguhnya engkau tidak akan dapat membunuhku sampai engkau melakukan apa yang kuperintahkan.” Sang raja bertanya: “Apa itu?”
Kata si pemuda: “Kau kumpulkan seluruh manusia di satu tempat, kau salib aku di sebatang pohon dan ambil sebatang panah dari bekas panahku kemudian letakkan pada sebuah busur lalu ucapkanlah: ‘Bismillah Rabbil ghulam’ (Dengan nama Allah, Rabb si pemuda), dan panahlah aku dengan panah tersebut. Kalau engkau melakukannya nescaya engkau akan dapat membunuhku.”
Raja itupun mengumpulkan seluruh manusia di satu tempat dan menyalib si pemuda, kemudian mengeluarkan anak panah dari bekas si pemuda lalu meletakkannya pada sebuah busur dan berkata: “Bismillahi Rabbil ghulam”, kemudian dia melepaskan panah itu dan tepat mengenai pipi si pemuda. Darah mengucur dan si pemuda segera meletakkan tangannya di pipinya dan dia pun mati. Serta merta rakyat banyak yang melihatnya segera berkata: “Kami beriman kepada Rabb si pemuda. Kami beriman kepada Rabb si pemuda. Kami beriman kepada Rabb si pemuda.”
Raja itupun didatangi pengikutnya dan diceritakan kepadanya: “Apakah anda sudah melihat, apa yang anda khuatirkan, demi Allah sudah terjadi. Orang banyak sudah beriman (kepada Allah).”
Lalu raja itu memerintahkan agar menggali parit-parit besar dan menyalakan api di dalamnya. Raja itu berkata: “Siapa yang tidak mahu keluar dari keyakinannya, bakarlah hidup-hidup dalam parit itu. ” Merekapun melakukannya, sampai akhirnya diseretlah seorang wanita yang sedang menggendong bayinya. Wanita itu berundur (melihat api yang bernyala-nyala), khuatir terjatuh ke dalamnya (kerana sayang kepada bayinya). Tapi bayi itu berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bersabarlah, kerana sesungguhnya engkau di atas kebenaran.”
Allah Subhanahu wa Ta'ala menceritakan kisah ini juga dalam Kitab-Nya yang mulia dalam surat Al-Buruj:
Demi langit yang mempunyai gugusan bintang, dan hari yang dijanjikan, dan yang menyaksikan dan yang disaksikan. Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit. Yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji, Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.”
Itulah kisah yang Allah Subhanahu wa Ta'ala ceritakan dalam KitabNya yang mulia agar menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah mereka. Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Fikir-fikirkan sendiri.

WALLAHU TA’ALA A’LAM

Saturday, 31 December 2011

Kisah Muktabar : Tiga Pemuda Yang Terperangkap di Dalam Gua



Ketika tiga orang pemuda sedang bepergian, mereka tertahan oleh hujan dan mereka berlindung di dalam sebuah gua pada sebuah gunung. Sebongkah besar batu jatuh dari gunung melewati mulut gua tersebut dan menutupnya. 
Mereka berkata satu sama lain, "fikirkanlah perbuatan baik yang pernah engkau lakukan di jalan Allah, dan berdoalah kepada Allah dengan menyertakan perbuatan-perbuatan itu sehingga Allah akan membebaskanmu dari kesulitan yang kau hadapi."

Salah satu di antara mereka berkata, "Ya Allah. Aku memiliki kedua orang tua yang telah lanjut usia, dan aku memiliki anak-anak yang masih kecil yang aku telah memberikan susu yang aku miliki kepada kedua orang tuaku terlebih dulu sebelum memberikannya kepada anak-anakku. Suatu hari, aku pergi jauh untuk mencari tempat merumput (bagi ternakan), dan tidak kembali ke rumah hingga larut malam dan menemukan kedua orang tuaku sedang tidur.
Aku mengisi persediaan makanan dengan susu seperti biasanya dan membawa bejana susu tersebut serta meletakkannya di atas kepala mereka, dan aku tidak ingin membangunkan mereka dari tidurnya, dan aku pun tidak ingin memberikan susu tersebut kepada anak-anakku sebelum orang tuaku, walaupun anak-anakku sedang menangis (kelaparan) di bawah kakiku. Maka keadaanku dan mereka tersebut berterusan sampai ke pagi. (Ya Allah) Apabila Engkau menganggapnya sebagai perbuatan yang ku lakukan semata-mata hanya kerana Engkau, maka tolonglah bukakan sebuah lubang agar kami dapat melihat langit." 
Maka Allah membukakan untuk mereka sebuah lubang yang dengannya mereka dapat melihat langit.

Kemudian pemuda yang kedua berkata, "Ya Allah. Aku memiliki seorang saudara sepupu yang aku cintai seperti halnya ghairah seorang pemuda mencintai seorang wanita. Aku telah mencuba merayunya tetapi dia menolak hingga aku membayarnya sebanyak seratus dinar. Maka aku pun bekerja keras sampai dapat mengumpulkan seratus dinar dan aku pergi menemuinya dengan wang itu.
Namun ketika aku duduk di antara kedua kakinya (untuk melakukan hubungan seksual dengannya), dia berkata, 'Wahai hamba Allah. Takutlah kepada Allah. Jangan merosakkanku kecuali dengan cara yang sah (dengan perkawinan).' Maka aku pun meninggalkannya. Ya Allah. Apabila Engkau menganggapnya sebagai perbuatan yang aku lakukan demi Engkau semata, maka biarkanlah batu tersebut bergerak sedikit lagi untuk mendapatkan lubang yang lebih besar." 
Maka Allah bukakanlah batu tersebut untuk menjadi lubang yang lebih besar.

Dan pemuda yang terakhir (ketiga) berkata, "Ya Allah. Aku mengupah seorang budak dengan upah sebanding dengan satu Faraq beras, dan ketika dia telah selesai dengan tugasnya, dia meminta upah tetapi ketika aku memberikan upah kepadanya, dia menyerah dan menolak untuk menerimanya. Kemudian aku tetap memberikan beras tersebut kepadanya (beberapa kali) hingga aku dapat membeli dengan harga hasil produksi, beberapa ekor sapi dan gembalanya. Setelah itu, budak tersebut datang kepada aku dan berkata, '(Wahai hamba Allah) Takutlah kepada Allah, dan jangan berbuat tidak adil kepada aku dan berikanlah upah aku.' Aku berkata (padanya), pergilah dan ambillah sapi-sapi itu beserta gembalanya. Maka dia pun mengambilnya dan pergi. (Maka, Ya Allah) Apabila Engkau menganggapnya sebagai perbuatan yang aku lakukan semata-mata demi Engkau, maka bukakanlah  batu tersebut."
Maka kemudian Allah membebaskan mereka (dari kesulitannya) dan batu tersebut telah berpindah seluruhnya dari mulut gua tersebut. ( Hadis Sahih Riwayat Imam al-Bukhari )
Pengajaran :
1. Bertawassul  semasa berdoa dengan menyebut amal-amal soleh yang telah dilakukan  merupakan salah satu faktor doa  diterima.
2. Utamakanlah kedua orang tua dalam segala hal untuk mencapai keredaan Allah SWT.
3. Seorang majikan yang adil akan mendapat rahmat Allah.
4. Hindarilah perbuatan yang boleh membawa kepada zina dengan memilih jalan yang halal iaitu perkahwinan.

Kisah Bakti Golongan Salaf Kepada Ibu



Berikut beberapa kisah yang menggambarkan ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh para salaf terhadap ibu mereka. cuba bandingkan dengan diri kita. Adakah bakti kita kepada ibu sama dengan apa yang mereka lakukan? Subhanallah.

Suatu hari, Ibnu Umar melihat seorang yang menggendong ibunya sambil tawaf mengelilingi Kaabah. 

Orang tersebut lalu berkata kepada Ibnu Umar, “Wahai Ibnu Umar, menurut pendapatmu apakah aku sudah membalas kebaikan ibuku?”

Ibnu Umar menjawab, “Belum, meskipun sekadar satu erangan ibumu ketika melahirkanmu. Akan tetapi engkau sudah berbuat baik. Allah akan memberikan balasan yang banyak kepadamu terhadap sedikit amal yang engkau lakukan.” (Diambil dari kitab al-Kabair, karya adz-Dzahabi)

Ali bin Husain bin Ali bin Abi Thalib adalah seorang yang terkenal sangat berbakti kepada ibunya, sampai-sampai ada orang yang berkata kepadanya, “engkau adalah orang yang paling berbakti kepada ibumu, akan tetapi kami tidak pernah melihatmu makan bersama ibumu.” 

Beliau menjawab, “Aku takut kalau-kalau tanganku mengambil makanan yang sudah dilirik oleh ibuku. Sehingga aku berarti mendurhakainya.” (Diambil dari kitab Uyunul Akhyar, karya Ibnu Qutaibah)

Abu Hurairah menempati sebuah rumah, sedangkan ibunya menempati rumah yang lain. Apabila Abu Hurairah ingin keluar rumah, maka beliau berdiri terlebih dahulu di depan pintu rumah ibunya seraya mengatakan, “keselamatan untukmu, wahai ibuku, dan rahmat Allah serta barakahnya.” 

Ibunya menjawab, “Dan untukmu keselamatan wahai anakku, dan rahmat Allah serta barakahnya.” 

Abu Hurairah kemudian berkata, “Semoga Allah menyayangimu karena engkau telah mendidikku semasa aku kecil.” 

Ibunya pun menjawab, “dan semoga Allah merahmatimu kerana engkau telah berbakti kepadaku saat aku berusia lanjut.” Demikian pula yang dilakukan oleh Abu Hurairah ketika hendak memasuki rumah.” (Diambil dari kitab Adab al-Mufrad, karya Imam Bukhari)

Dari Anas bin Nadzr al-Asyja’i, beliau bercerita, suatu malam ibu dari sahabat Ibnu Mas’ud meminta air minum kepada anaknya. Setelah Ibnu Mas’ud datang membawa air minum, ternyata sang Ibu sudah tidur. Akhirnya Ibnu Mas’ud berdiri di dekat kepala ibunya sambil memegang wadah berisi air tersebut hingga pagi.” (Diambil dari kitab Birrul walidain, karya Ibnu Jauzi)

Sufyan bin Uyainah mengatakan, “ada seorang yang pulang dari musafir, dia sampai di rumahnya bertepatan dengan ibunya berdiri mengerjakan shalat. Orang tersebut enggan duduk padahal ibunya berdiri. Mengetahui hal tersebut sang ibu lantas memanjangkan shalatnya, agar makin besar pahala yang di dapatkan anaknya. (Diambil dari Birrul walidain, karya Ibnu Jauzi)

Haiwah binti Syuraih adalah seorang ulama besar, suatu hari ketika beliau sedang mengajar, ibunya memanggil. “Hai Haiwah, berdirilah! Berilah makan ayam-ayam dengan gandum.” Mendengar panggilan ibunya beliau lantas berdiri dan meninggalkan pengajiannya. (Diambil dari al-Birr wasilah, karya Ibnu Jauzi)

Kahmas bin al-Hasan at-Tamimi melihat seekor kalajengking berada dalam rumahnya, beliau lantas ingin membunuh atau menangkapnya. Ternyata beliau kalah cepat, kala jengking tersebut sudah masuk ke dalam liangnya. Beliau lantas memasukkan tangannya ke dalam liang untuk menangkap kala jengking tersebut. Beliaupun disengat oleh kala jengking. Melihat tindakan seperti itu ada orang yang berkomentar, “apa yang kau maksudkan dengan tindakan seperti itu.”

Beliau mengatakan, “aku khawatir kalau kala jengking tersebut keluar dari liangnya lalu menyengat ibuku.” (Diambil dari kitab Nuhzatul Fudhala’)

Muhammad bin Sirin mengatakan, di masa pemerintahan Ustman bin Affan, harga sebuah pohon kurma mencapai seribu dirham. Meskipun demikian, Usamah bin Zaid membeli sebatang pohon kurma lalu memotong dan mengambil umbuknya. (bahagian batang kurma yang berwarna putih yang berada di jantung pohon kurma). umbuk tersebut lantas beliau berikan kepada ibunya. 

Melihat tindakan Usamah bin Zaid, banyak orang berkata kepadanya, “mengapa engkau berbuat demikian, padahal engkau mengetahui bahwa harga satu pohon kurma itu seribu dirham.” 

Beliau menjawab, “kerana ibuku meminta umbuk pohon kurma, dan tidaklah ibuku meminta sesuatu kepadaku yang mampu aku berikan pasti aku berikan.” (Diambil dari Shifatush Shafwah)

Hafshah binti Sirin mengatakan, “ibu dari Muhammad bin Sirin sangat suka celupan warna untuk kain. Jika Muhammad bin Sirin memberikan kain untuk ibunya, maka beliau belikan kain yang paling halus. Jika hari raya tiba, Muhammad bin Sirin mencelupkan pewarna kain untuk ibunya. Aku tidak pernah melihat Muhamad bin Sirin bersuara keras di hadapan ibunya. Apabila beliau berkata-kata dengan ibunya, maka beliau seperti seorang yang berbisik-bisik. (Diambil dari Siyar A’lam an-Nubala’, karya adz-Dzahabi).

Ibnu Aun mengatakan, “suatu ketika ada seorang menemui Muhammad bin Sirin pada saat beliau sedang berada di dekat ibunya. Setelah keluar rumah beliau bertanya kepada para sahabat Muhammad bin Sirin, “ada apa dengan Muhammad, apakah dia mengadukan suatu hal? 

Para sahabat Muhammad bin Sirin mengatakan, “tidak. Akan tetapi memang demikianlah keadaannya jika berada di dekat ibunya.” (Diambil dari Siyar A’lamin Nubala’, karya adz-Dzahabi)

Humaid mengatakan, tatkala Ibu dari Iyas bin Muawiyah meninggal dunia, Iyas menangis, ada yang bertanya kepada beliau, “mengapa engkau menangis?” 

Beliau menjawab, “aku memiliki dua buah pintu yang terbuka untuk menuju surga dan sekarang salah satu pintu tersebut sudah tertutup.” (Dari kitab Bir wasilah, karya Ibnul Jauzi)

Kisah Uwais al-Qorni

Dari Asir bin Jabir beliau mengatakan, “jika para gabenor Yaman menemui khalifah Umar Ibnul Khatthab, maka khalifah selalu bertanya, “apakah di antara kalian ada yang bernama Uwais bin Amir”, sampai suatu hari beliau bertemu dengan Uwais, beliau bertanya, “engkau Uwais bin Amir?”, 

“Betul,” jawabnya. 

Khalifah Umar bertanya, “engkau dahulu tinggal di Murrad kemudian tinggal di daerah Qorn?”

“Betul,” sahutnya. 

Beliau bertanya, “dulu engkau pernah terkena penyakit belang lalu sembuh akan tetapi masih ada belang di tubuhmu sebesar wang dirham?”

“Betul.” 

Beliau bertanya, “engkau memiliki seorang ibu.” Khalifah Umar mengatakan, “aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Uwais bin Amir akan datang bersama rombongan orang dari Yaman dahulu tinggal di Murrad kemudian tinggal di daerah Qorn. Dahulu dia pernah terkena penyakit belang, lalu sembuh, akan tetapi masih ada belang di tubuhnya sebesar wang dirham. Dia memiliki seorang ibu, dan dia sangat berbakti kepada ibunya. Seandainya dia berdoa kepada Allah, pasti Allah akan mengabulkan doanya. Jika engkau dapat meminta kepadanya agar memohonkan ampun untukmu kepada Allah maka usahakanlah.”

Maka mohonkanlah ampun kepada Allah untukku, Uwais al-Qarni lantas berdoa memohonkan ampun untuk Umar Ibnul Khaththab. 

Setelah itu Umar bertanya kepadanya, “engkau hendak pergi ke mana? 

“Kuffah,” jawabnya. 

Beliau bertanya lagi, “mahukah ku tuliskan surat untukmu kepada gabenor Kuffah agar melayanimu? 

Uwais al-Qorni mengatakan, “berada di tengah-tengah ramai orang sehingga tidak dikenal itu lebih aku sukai.” (HR. Muslim)

Semoga kisah-kisah di atas dapat memberi pengajaran kepada kita semua. Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa, berbaktilah kepada mereka sebaik mungkin.

Sumber : www.muslim.or.id

Thursday, 17 November 2011

Dimatikan Allah Selama 100 Tahun


Pada suatu hari ketika ‘Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.


Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.


Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan.

Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.


“Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?,” begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur.


Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.


Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala- galanya sudah berubah, manakala ‘Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.


Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan rohnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair hidup kembali seperti dahulu. ‘Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau tidur?”


Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari.”


Lalu malaikat pun berkata kepadanya, “Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk.”


Berkata malaikat lagi, “Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu.”


Setelah ‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”


Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya.”


Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu.


Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh.


Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, “Inikah rumah tuan ‘Uzair?”


“Ya,” jawab perempuan itu.


Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi ‘Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja,” kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.


Sayalah ‘Uzair,” jawab ‘Uzair dengan pantas.


“Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali.”


Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, “‘Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat,” sambungnya lagi

“Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini ‘Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan.”


Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba- tiba mata orang tua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda.


Setelah merenung wajah ‘Uzair dia pun berkata, “Benar, tuanlah ‘Uzair. Saya masih ingat.”


Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.


Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran ‘Uzair.

Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, “Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia ‘Uzair.”


Tanda itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata,


Maka mereka berkata kepada ‘Uzair, “Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali ‘Uzair saja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul.


‘Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah ‘Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil pun percaya bahawa dialah ‘Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan.


Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan ‘Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada ‘Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.


Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Quran, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.


Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.