Followers

Nuffnang

Showing posts with label Kisah Nabi Allah. Show all posts
Showing posts with label Kisah Nabi Allah. Show all posts

Sunday, 26 May 2013

Kisah Nabi Ibrahim Dan Hajar


Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi sebuah kisah benar dari sejarah Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar. Sebelum ini ingin saya tekankan satu disiplin yang penting, iaitu sebelum kita membaca atau mendengar apa-apa kisah para Nabi dan Rasul Allah, hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Ini kerana para Nabi dan Rasul adalah kekasih Allah, manusia pilihan-Nya dan utusan-Nya bagi menyebarkan agama tauhid kepada umat Islam. Maka tidak selayaknya kisah-kisah yang tidak diketahui asal-usulnya atau darjat kesahihannya disandarkan kepada para Nabi dan Rasul Allah.

 
Justeru kisah berikut saya nukil dari kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 3113/3364. Ayuh kita menghayatinya:
Wanita pertama yang menggunakan ikat pinggang adalah ibu Ismail (Hajar). Beliau menggunakannya bagi menghilangkan jejaknya daripada Sarah (madunya, yakni isteri pertama Nabi Ibrahim). Nabi Ibrahim membawanya bersama anaknya Ismail yang saat itu masih menyusu badan, sehinggalah Ibrahim menempatkan keduanya dekat Baitullah (Kaabah), pada sebuah gubuk di atas Zam Zam di hujung masjid. 
Pada waktu itu di Mekah tidak ada seorang pun yang tinggal di sana dan tidak ada air. Nabi Ibrahim menempatkan keduanya di sana dan meninggalkan sebuah karung berisi kurma dan kantung berisi air. Kemudian Nabi Ibrahim pergi untuk meninggalkan keduanya. Maka ibu Ismail (Hajar) mengikutinya seraya bertanya: “Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana sementara kamu meninggalkan kami di lembah ini yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apa?” Ibu Ismail mengulang-ulang pertanyaannya, tetapi Nabi Ibrahim tidak menoleh kepadanya. Akhirnya ibu Ismail bertanya: “Apakah Allah yang memerintahkan kamu perkara ini?” Ibrahim menjawab: “Ya”. Ibu Ismail berkata: “Jika begitu Allah tidak akan mengabaikan kami.”
Kemudian ibu Ismail kembali dan Nabi Ibrahim melanjutkan perjalanannya sehingga sampai pada sebuah bukit dan orang-orang tidak melihatnya lagi. Nabi Ibrahim menghadap ke arah Kaabah lalu berdoa untuk mereka dengan beberapa kalimat doa sambil mengangkat kedua belah tangannya:
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Wahai Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. [Ibrahim 14:37]
Hadis ini diteruskan dengan ibu Ismail, yakni Hajar yang berulang alik di antara bukit Safa dan Marwah bagi mencari air. Ini beliau lakukan selepas kantung air yang disediakan oleh Nabi Ibrahim telah kering sementara bayinya, Ismail menangis dahaga dan kelaparan.
Akhirnya malaikat Jibrail datang di Zam Zam, mengorek sedikit dengan tumit atau sayapnya sehingga akhirnya terpancarlah air. Ibu Ismail menakung air tersebut sehingga menjadilah sebuah kolam atau telaga, yang kini dikenali sebagai telaga Zam Zam. Ibu Ismail minum dan kembali dapat menyusui anaknya Ismail. Sejurus selepas itu orang-orang dari daerah lain mula bertumpu ke lembah tersebut.
Demikianlah sebahagian daripada sebuah hadis yang panjang berkenaan Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar. Ia disampaikan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah dikhabarkan oleh Allah melalui wahyu dan diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas. Mari kita meneliti beberapa mutiara yang dapat sama-sama kita ambil iktibar.

Pertama: Kecemburuan Isteri Adalah Lumrah
Kisah di atas dimulakan dengan tindakan Hajar yang menutupi jejaknya agar tidak diketahui oleh Sarah. Nabi Ibrahim memiliki dua orang isteri, yakni Sarah dan Hajar. Baik monogami atau poligami, kecemburuan adalah perasaan lumrah seorang isteri dan suami hendaklah membantu isteri mengawalnya. Kecemburuan tidak boleh disifarkan dan tidak boleh dibiarkan menguasai diri. Apa yang boleh dan patut dilakukan ialah mengurusinya agar sentiasa pada tahap kesederhanaan.
Dalam kes poligami misalnya, suami menempatkan isteri-isteri di lokasi atau rumah yang berbeza agar mereka tidak diganggu dengan perasaan cemburu. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana hadis di atas. Akan tetapi meninggalkan Hajar dan Ismail di Mekah yang kosong saat itu merupakan perancangan Allah bagi memulakan sebuah komuniti di sana yang akan berkembang sehinggalah ke hari ini. Ia khusus bagi Nabi Ibrahim, Hajar dan Ismail. Para suami masa kini janganlah pula meninggalkan ahli keluarga masing-masing di padang pasir, lautan atau hutan belantara.
Merujuk kepada kecemburuan di antara Sarah dan Hajar, terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tindakan zalim di antara mereka berdua. Namun riwayat-riwayat tersebut adalah tidak sahih dan tidak boleh disandarkan ke atas dua orang wanita solehah yang menjadi pendamping seorang Rasul Allah.

Kedua: Keyakinan Kepada Allah
Perhatikan perkataan Hajar selepas ditinggalkan suaminya (Nabi Ibrahim) di lembah yang tidak dihuni manusia mahu pun apa-apa yang lain: “Jika begitu Allah tidak akan mengabaikan kami.” Kata-kata ini membuktikan keimanan yang tinggi kepada Allah serta mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya al-Razzaq (pemberi rezeki) dan al-Hafiz (pemelihara). Berdasarkan keimanan dan keyakinan inilah, Allah akhirnya mengurniakan air Zam Zam kepada Hajar dan anaknya Ismail.
Berdasarkan kisah ini hendaklah para isteri sedar bahawa sumber ketenangan, pemeliharaan dan rezeki yang sebenar ialah Allah Subhanahu waTa'ala. Suami hanyalah perantara, namun jika suami tidak ada janganlah berputus asa atau merungut. Ini kerana Allah tetap ada.

Ketiga: Doa Suami Kepada Keluarganya.
Nabi Ibrahim sedih meninggalkan ahli keluarganya, kerana itulah beliau tidak menoleh apabila ditanya berulang-kali oleh Hajar. Namun oleh kerana perintah Allah, beliau terpaksa juga meninggalkan mereka. Beliau menyiapkan untuk ahli keluarganya bekalan kurma, air dan doa. Bekalan terahir inilah yang paling penting.
Merujuk kepada suasana masa kini, suami-suami mungkin ada yang terpaksa meninggalkan ahli keluarga mereka untuk tempoh yang lama seperti bekerja di kapal laut, pelantar minyak atau melanjutkan pelajaran. Oleh itu disamping meninggalkan bekalan nafkah yang mencukupi, para suami janganlah lupa mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk ahli keluarga yang dicintai. 



Tuesday, 29 January 2013

Balasan Allah Ke Atas Kaum Nabi Luth



Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya yang paling aku takuti terjadi pada umatku adalah melakukan perbuatan seperti kaum Nabi Luth. Hadis Riwayat Ahmad.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu. Si gadis yang sedari tadi begitu leka menceduk air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.

Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa. Pasti anak muda itu menjadi mangsa untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Pada mereka, wanita tidak ada daya tarikan langsung. Lelaki hanya untuk lelaki, manakala wanita untuk wanita.
“Apa yang harus aku jawab kepada mereka,” bisik si gadis itu sendiri. Dia menjadi begitu serba salah.
“Apakah kedatangan kami ini menganggu saudari?” tanya pemuda itu kembali. 
“Oh tidak. Tapi, bolehkah tuan-tuan tunggu di sini sebentar. Biar saya maklumkan dahulu kepada bapa saya,” balas si gadis terputus-putus. Dia mencapai bekas air yang hampir penuh dan pulang dengan tergesa-gesa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Baginda amat mengerti apakah akibatnya seandai kedatangan para tetamunya itu diketahui oleh kaumnya. Namun tabiatnya yang suka menerima tetamu, tetap kuat mendesak meskipun risiko yang terpaksa diterimanya sangat tinggi. Hari sudah menjelang malam, baginda sendiri pergi menjemput para tetamunya itu.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar. Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya.
Sebaik sahaja mendengar berita yang menarik dan sangat ditunggu-tunggu itu, bergegas dan berpusu-pusulah mereka ke rumah Nabi Luth.
“Wahai Luth! Bukakan pintu ini dan serahkan anak-anak muda itu kepada kami. Kami sangat memerlukan mereka. Buka pintu ini cepat!” Salah seorang daripada mereka terjerit-jerit sambil menendang daun pintu rumah Nabi Luth.
“Wahai Luth! Engkau larang kami dari mendekati anak muda, sebaliknya engkau sendiri menyimpan tiga orang pemuda,” jerit satu suara yang lain.
“Ya Allah, selamatkanlah kami,” doa Nabi Luth sambil memandang ke arah para tetamunya.
“Wahai kaumku! Aku ada anak gadis. Aku bersedia mengahwinkan kamu dengan mereka sekiranya kamu mahu. Tinggalkanlah perlakuan buruk kamu selama ini. Dan janganlah kamu ganggu para tetamu kami ini.”

Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.
“Ah! Usah hendak bersyarah di sini. Kami ke mari bukan untuk mendengar leteranmu. Kami ke sini untuk bersuka ria.” Suara-suara mereka kian tegas dan semakin tidak terkawal.
“Hai Luth! Engkau sememangnya tahu kami tidak perlu kepada wanita. Tapi kami yakin engkau tahu apa yang kami perlukan sekarang.”
“Baik engkau serahkan mereka kepada kami segera. Kalau tidak kami akan pecah-pecahkan pintu ini.”
Nabi Luth tahu kemungkaran apa yang akan terjadi sekiranya tetamunya jatuh ke tangan mereka yang telah tenggelam dalam perlakuan yang melampaui batas itu. Baginda juga sedar, kalau dipertahankan sekalipun, mereka pasti cuba untuk menceroboh masuk. Kini, apa yang mampu dilakukan oleh Nabi Luth hanyalah berdoa kepada Allah S.W.T. Hanya kepada Allah sahajalah tumpuan terakhir, tempat baginda berserah diri dan bergantung harap.
Namun baginda dapati suatu keanehan, tiada terbayang walau sedikit pun tanda-tanda kebimbangan pada wajah para pemuda itu. Mereka kelihatan begitu tenang dan bersahaja.
“Wahai Luth! Usah khuatir dengan ugutan mereka,” kata salah seorang daripada pemuda itu. Nabi Luth seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh salah seorang tetamunya. Baginda memandang tepat ke arah pemuda yang bersuara itu. Bunyi ketukan pada pintu bertambah kuat dan keras.
“Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu. Kami jamin mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Bawalah keluarga dan pengikutmu keluar dari sini di akhir malam ini kecuali isterimu kerana dia termasuk golongan yang derhaka.”
Kini, barulah Nabi Luth sedar bahawa pembalasan dari Allah ke atas sikap keterlaluan kaumnya telah hampir tiba. Tepat ketika seperti yang ditentukan oleh Allah, penglihatan kaum yang derhaka itu ditarik, dan serta-merta segalanya makin kelam, hitam. Setiap mata telah menjadi buta. Akibatnya, keadaan menjadi hingar-bingar dan bercelaru. Masing-masing jadi buntu dan hilang haluan, lantas bertembung antara satu sama lain.
Menjelang Subuh, tatkala Nabi Luth, beberapa keluarga dan pengikutnya sudah berada agak jauh dari sempadan kota Sadum, maka turunlah azab Allah S.W.T. Allah memerintahkan malaikat memotong kedua-dua belah sempadan bumi warga Sadum itu dengan kedua-dua sayapnya. Kemudian bumi itu dijulang tinggi ke langit dan diterbalikkan bahagian yang atas ke bawah, yang bawah ke atas, lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi. Hancur berkecailah kota Sadum dan turut terkuburlah sama para pengamal homoseks di perut buminya.
Kemudian kawasan itu dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. Dan di dataran itu jugalah akhirnya terbentuknya sebuah lautan. Lautan yang digelar sebagai `Laut Mati`. Ia adalah lambang kebesaran kerajaan Tuhan, juga sebagai tanda keadilan-Nya di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan syariat-Nya.

Sumber: http://kisahteladan.info


Saturday, 1 December 2012

Ibrah Kisah Musa Dan Khidir: Belajar Bahasa Dan Berbahasa


Kredit foto: www.overarts.com
“Izinkan aku untuk mengikutimu,” kata Musa.
Baginda bertemu dengan Khidir selepas menempuh perjalanan yang panjang bersama Yusha’ bin Nun.
‘Alayhim al-solaat wa al-salaam.
“Agar dengannya engkau mengajar aku apa yang telah diajar kepadamu daripada perkara-perkara berupa petunjuk (rushd),” Musa menjelaskan tujuan beliau mahu mengikut Khidir.
Kisah ini tersebut di dalam Surah al-Kahf ayat ke-66:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

 Nabi Musa berkata kepadanya (Khidir): Bolehkah aku mengikutmu, agar dengannya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” [Al-Kahf 18:66]
Di dalam ayat ini terkandung elemen penting membabitkan teras pengurusan ilmu dan intelektual. Ia membicarakan soal adab. Bukan sekadar meminta izin, tetapi mengungkapkannya dengan lafaz yang unik, yakni pada adab Musa meletakkan dirinya sebagai orang yang berhajat, tanpa menyusah dan membebankan Khidir.
“Benarkan sahaja aku mengikutimu, tanpa perlu engkau melakukan apa-apa untukku. Hanya dengan kebenaran itu sudah memadai, proses belajar itu akan berlaku, aku akan belajar daripadamu, apa yang aku hajatkan,” mesej yang terkandung di dalam ungkapan Musa itu.
Musa tidak mahu dirinya menjadi beban kepada Khidir.
Khidir tidak perlu memperuntukkan masa tambahan.
Tidak perlu memikirkan kebajikan Musa.
Hanya sebuah kebenaran untuk mengikut, selebihnya Musa sendiri yang uruskan.
MENGUNDURKAN DIRI
Sikap yang sama ditunjukkan, tatkala Musa tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya, buat kali kedua, selepas masing-masing sudah bersetuju dengan syarat bersama, bahawa apa sahaja yang berlaku, jangan bertanya, sehinggalah Khidir sendiri yang menerangkannya kepada Musa (Q18:70).
Kali pertama, ketika perahu yang ditumpang dirosakkan oleh Khidir, Musa tertanya.
Kali kedua, tatkala seorang budak lelaki dibunuh oleh Khidir, Musa bertanya lagi.
Pertanyaan spontan kerana Musa adalah seorang Rasul.
Utusan Allah yang sifatnya tidak akan mendiamkan diri terhadap kemungkaran. Terlupa kepada satu syarat pengecualian antara seorang Nabi dengan seorang Nabi yang lain.
Dan selepas dua kali melanggar perjanjian, Musa menampilkan satu lagi pendekatan yang konsisten, seperti yang terungkap di dalam firman Allah:

قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا

Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku” [Al-Kahf 18:76]
Musa sendiri yang berkata kepada Khidir.
Jika sekali lagi beliau melanggar perjanjian, Khidir tidak perlu menyusahkan dirinya untuk terus diganggu oleh ‘pelajar bermasalah’ bernama Musa.
Musa sendiri yang akan mengundurkan diri.
PROAKTIF
Sikap yang ditunjukkan oleh Musa terhadap Khidir amat penting untuk direnungkan dengan penuh tadabbur oleh kita semua. Ia sebahagian daripada akhlaq yang mendatangkan rahmat Allah beriringan dengan ilmu.
Ilmu bersama rahmat, menjadi aset.
Ilmu tanpa rahmat, segalanya liabiliti.
Musa tidak mahu hajatnya untuk belajar dengan Khidir sebagai beban ke atas Khidir. Musa hanya mahu peluang belajar, sesuatu yang Allah tegaskan bahawa ia hanya boleh Musa pelajari daripada Khidir. Ia bukan soal ilmu di dalam al-Kitab yang Allah bekalkan di dalam Taurat buat Musa. Ia adalah ilmu tentang cara memandang masalah. Melihat taqdir Allah yang lebih luas daripada tadbir manusia yang terhad.
Bukan sekadar untuk berilmu, yakni ALIM.
Malah berhikmah dan bijaksana, yakni HAKIM.
Semasa mahu belajar, Musa uruskan sendiri keperluan dirinya, tanpa membebankan gurunya Khidir. Semasa melanggar terma dan syarat yang disepakati bersama, Musa juga memberikan komitmen untuk mengundurkan dari tanpa perlu Khidir memecat atau memberhentikannya.
Sikap proaktif Musa itu amat besar impaknya kepada psikologi manusia.
Dan bekalannya hanya pada memilih perkataan yang betul.
Perkataan yang menyampaikan mesej serupa, tetapi mencetuskan kesan psikologi yang amat berbeza.
APLIKASI DUNIA BELAJAR MENGAJAR
“Saya ingin menjemput ustaz ke syarikat kami dan tarikh cadangan adalah pada 27hb. Inilah satu-satunya tarikh yang kami ada dan syarikat kami amat memerlukan kehadiran ustaz untuk menyelesaikan masalah politik dalaman yang meruncing. Saya sudah telefon ustaz banyak kali tetapi tidak dapat bercakap sendiri dengan ustaz berkenaan hal ini,” borang di CONTACT ME menghantar utusan.
Itu sering berlaku.
Pernah juga senario ini berlaku:
“Saya mohon maaf tidak dapat hadir ke kuliah Maghrib malam ini. Ibu mertua saya baru sahaja meninggal dunia pagi ini,” seorang ustaz memberitahu AJK sebuah surau.
“Oh begitu. Minta tolong ustaz carikan pengganti, ya,” katanya.
Ustaz itu tergamam.
Apabila manusia berinteraksi dengan manusia, sama ada dalam urusan ‘duniawi’ mahu pun ukhrawi, hakikatnya ia adalah komunikasi. Interaksi bukan hanya berlegar pada logik dan rasionalnya sebuah komunikasi, dan dalam kes ini sebuah jemputan ceramah, malah ia juga membabitkan soal emosi. Psikologi.
Organisasi di pejabat atau di surau berkemungkinan boleh lebih berhasil mendapatkan penceramah dengan pendekatan Musa.
Pendekatan orang berhajat.
Enggan menjadikan hajatnya sebagai beban ke atas pihak yang dihajat.
Apatah lagi ‘mengugutnya’ dengan ‘tanggungjawab tuan sebagai orang berilmu untuk mengajar kami yang mahu belajar’.
Secara proaktif, kita berusaha memudahkan proses menjemput. Andai tidak berhasil untuk tarikh kali ini kerana kekangan, hubungan baik dan kuasa perkataan positif, menjadikan penceramah yang dijemput mungkin menunggu-nunggu untuk peluang yang seterusnya.
Kuasa perkataan.
APLIKASI RUMAHTANGGA
kredit foto: afifahjustsmile.wordpress.com
Andaikan begini.
Seorang suami yang bekerja di pelantar minyak baru berumahtangga. Beliau khuatir isterinya tertekan dengan rutin kerja beliau yang sekali ke pelantar, mereka mungkin terpaksa berpisah berminggu-minggu, malah berbulan.
Kata suami, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Abang harap Yang bersabar dengan keadaan ini.”
Ayat yang logik, jelas dan sampai maksudnya.
Bagaimana jika suami mengubah sedikit struktur ayat?
Bandingkan dengan ayat kedua, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Benda ini susah, tetapi Insya Allah kita atasinya bersama, ya.”
Ayat kedua ini sama logik, sama jelas dan sama sampai maksudnya.
Namun apakah impak ayat kedua dan pertama ke atas psikologi isteri yang mendengar?
Ayat pertama, belum pun suami ke pelantar, isteri sudah pun mula tertekan. Sudah stress. Ayat suami itu logik, tetapi kesan psikologinya, suami meletakkan tanggungjawab bersabar itu ke atas isteri. Si isterilah yang bertanggjawab untuk bersabar.
Manakala ayat kedua adalah berbeza. Biar pun situasinya sama, suami meletakkan bahawa cabaran itu akan mereka atasi bersama. Kata-kata BERSAMA itu mencabut BEBAN dan menggantikannya dengan HARAPAN dan menghasilkan KEMUDAHAN.
Demikianlah kuasa ayat.
Kuasa memilih perkataan.
Kisah Musa dan Khidir itu, di samping 1001 hikmah dan ibrah yang kita boleh pelajari, harus juga diraikan, bahawa ia mengajar kepada kita kuasa perkataan dan ayat.
Kuasa Kalimah Toyyibah!
Perkataan yang baik.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

لا عدوى ولا طِيرةَ ، ويعجبني الفألُ . قالوا : وما الفألُ ؟ قال : كلمةٌ طيبةٌ

“Tiada kesialan jangkitan atau bala pada burung yang berbunyi. Tetapi yang mengagumkan aku adalah al-Fa’l (sempena yang baik). Sahabat bertanya apakah al-Fa’l itu? Baginda menjawab: Perkataan yang baik-baik” [hadith riwayat al-Bukhari no. 5776]
Perkataan yang baik itu ada kesannya.
Ayuh kita perbaiki pemilihan perkataan dan belajar bahasa.
Bukan sekadar belajar bahasa, tetapi belajar BERBAHASA.
HASRIZAL
43000 BSP

Thursday, 6 September 2012

Kisah Pemuda Beribu-Bapakan Babi


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T. Setiap kali baginda hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah.  

Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.    

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”   

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.    


Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, baginda berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.   

“Apa hal ini?” kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.  

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.   

Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.    

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara! Apa agama kamu?”   

“Aku beragama Tauhid,” jawab pemuda itu iaitu agama Islam.   

“Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu,” kata Nabi Musa.    

“Wahai tuan hamba,” kata pemuda itu, “sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku,” sambungnya.    

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi,” tambah pemuda itu lagi.     

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S, “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami.”     

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud: “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga.”    

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. 

Sunday, 10 June 2012

Kisah-Kisah Menarik Nabi Sulaiman




5 Febuari 2012, malam ini adalah malam terakhir saya dan rombongan al-Aqsa bagi kali ini.

Dengan suasana malam dalam kesejukan 7 darjah celcius, saya dan ahli jemaah berjalan menujuk ke al-Aqsa. Azan Maghrib mula berkumandang di Kota Jerusalem, sayu rasa hati untuk meninggalkan kota penuh barakah ini esok.
Imam malam ini ialah Syeikh Abu Yusuf Sunainah. Imam pertama dan beliau sahaja yang mempunyai kunci makam nabi Sulaiaman di al-Aqsa ini.
Menurut Syeikh Abu Sunainah katanya, menurut ulama’ Jerusalem, ditembok timur al-Aqsa inilah terletaknya makam Nabi Sulaiman. Ia juga tempat singgahsana Nabi Sulaiman seperti yang tersebut di dalam al-Quran Surah as-Saad ayat 34:-
Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dan Kami letakkan di atas singgahsananya satu tubuh, kemudian ia bertaubat
Menurut tafsir Jalalain, satu ketika Nabi Sulaiman hendak ke bilik air, ditinggalkan cincinnya kepada Isterinya, kemudian datang Jin bernama Sahra’ menyerupai Nabi Sulaiman mengambil cincin itu dan mengaku dia adalah Nabi Sulaiman.
Menurut Tafsri at-Tabari, kekuasaan Nabi Sulaiman yang diberikan Allah terletak di cincinnya maka ketika cincinnya hilang maka huru haralah kerajaannya.
Selama 40 hari, kerajaan Nabi Sulaiman hilang punca kerana jin ini telah menyamar sebagai Nabi Sulaiman.
Di dalam tafsir Jalalain pula mengatakan bahawa, di antara sebab Nabi Sulaiman itu diuji dengan demikian kerana dia mengahwini seorang perempuan dan dalam keadaan dia tidak tahu, perempuan ini menyebah berhala di dalam istananya. Sebagai kaffarahnya, Allah cabut kekuasaaan Nabi Sulaiman selama 40 hari.
Iktibar yang boleh kita ambil, bagi para suami, hendaklah mengambil tahu mengenai apa yang isteri buat kerana segala apa yang isteri buat, terletak di atas bahu suami akibatnya.
Jika kita sengaja membiarkan isteri membuat salah, maka sebagai suami akan jatuh kepada dayus dan dayus tidak akan masuk ke dalam syurga menurut hadis.
Disinggahsana ini jugalah dimakamkan Nabi Sulaiman ketika wafatnya. Di dalam singgahsana ini terdapat satu makam yang sangat panjang.
Di sebelah makam ini pula terdapat sebuah penjara lama di zaman Nabi Sulaiman, ia bukan untuk manusia, tetapi ia adalah untuk para Jin yang ingkar dan dan membuat kesalahan jenayah di zaman Nabi Sulaiman.
“ustaz, agak-agak ada lagi tak jin kat sini? tanya seorang ahli jemaah yang saya bawa.
Satu soalan yang saya tidak tahu untuk menjawabnya dan pada ketika ini, jawapan paling senang
“Wallauhualam Bissawab..”
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Yasmina Dahab
Isnin Rabu 20 Rabiul Awal 1433/13 Febuari 2012 jam 10.00 pagi

Sumber: http://www.ustazamin.com/