Followers

Nuffnang

Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Wednesday, 26 June 2013

Kasih Atau Sisih Sayang


Beberapa hari yang lalu saya berpeluang untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman menziarahi pesakit-pesakit di rumah mereka untuk membuat pemeriksaan perubatan ringkas. Banyak pengalaman berharga yang dikutip dari pengalaman yang sebentar cuma. Program yang hanya walaupun sebentar ini banyak mendidik jiwa untuk menjadi manusia yang lebih baik.
Kasih Sayang
Kami mengunjungi seorang pesakit wanita yang telah mengalami kelumpuhan seluruh badannya terutama di bahagian kiri badan ekoran pembedahan membuang tumor di bahagian kanan otaknya semenjak 12 tahun yang lalu. Namun begitu beliau begitu bertuah mempunyai seorang suami mithali yang setia menjaganya.
Pak cik yang mengiringi kami pada hari itu menjelaskan kekaguman seluruh masyarakat kampung terhadap kesetiaan suaminya yang setia menemani di sisi menjaga si isteri dengan penuh sabar.  Boleh sahaja beliau yang masih muda dalam umur sekitar 40-an ketika itu untuk berkahwin semula, mungkin lebih bahagia kehidupannya bersama isteri yang baru, namun beliau tetap memilih untuk setia menemani isterinya.
Saya bertanyakan kepada suami tersebut adakah beliau memeriksa di bahagian belakang pesakit untuk memastikan tiada ‘pressure sore’ akibat dari berbaring terlalu lama. Lantas, pak cik yang menemani kami memintas menjawab, “Oh, jangan risau doktor, dia jaga isteri dia dengan amat baik.”
Suami tadi hanya tersenyum dan berkata, “Dah isteri saya, doktor.”

Memang pesakit tersebut dijaga dengan amat baik, kerana ketika menziarahinya tidak langsung terbau bauan yang tidak menyenangkan. Malah, keadaan pesakit kelihatan bersih dan rapi, tanda dia dijaga dengan sangat baik.
Saya juga sempat menjeling ke arah beberapa gambar pasangan tersebut yang berada diatas almari, gambar mesra mereka berdua ketika sebelum di timpa ujian yang berat dari Allah. Mungkin gambar itulah yang mereka tatap bersama mengimbas memori bahagia semalam sebagai bekal kekuatan menempuh hari esok.
Begitulah setianya si suami menjaga isteri yang telah lumpuh dengan penuh cinta dan kasih sayang. Kasih dan cinta yang moga-moga Allah memberikan keampunan dan menganugerahkan syurga buat kesabaran mereka.
Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi yang bermaksud:
Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.” (Riwayat Abu Daud)
Sisih Sayang
Namun lain pula ceritanya seorang mak cik yang mengidap barah payudara dan sedang menjalani kemoterapi sebagai rawatan susulan selepas pembedahan. Dia perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan sesi kemoterapi. Namun beliau runsing memikirkan bagaimana hendak ke sana kerana tiada pengangkutan. Saudara mara enggan menumpangkan dan memberi pinjam kereta mereka dan selalu memberikan pelbagai alasan seperti kereta rosak dan sebagainya.
Lebih menyedihkan, anaknya lelakinya sendiri menyisihkannya. Entah dari mana mitos dan fahaman salah yang menguasai fikiran mereka bahawa pesakit tersebut boleh menyebabkan jangkitan kepada orang sekelilingnya. Disebabkan itulah, anak lelakinya sendiri pun menyisihkannya. Berkali-kali beliau bertanya untuk mendapatkan kepastian adakah ia boleh menyebabkan jangkitan kepada orang lain, berkali-kali itulah juga yang saya tegaskan dan terangkan bahawa ia tidak akan berjangkit.
Mak cik itu juga menceritakan kisah dan pengalaman kawannya yang turut mengidap barah payudara bahawa suaminya sendiri enggan berkongsi tandas denganya. Bimbang dijangkiti. Maka dia membuat tabir baru di dalam rumah untuk mengasingkan tandas dan sebaginya bagi mengelakkan jangkitan kononnya.
Parah! Sungguh parah. Dari mana mereka mendapat pemahaman sebagitu yang menatijahkan anak menyisihkan ibu, suami menyisihkan isterinya. Sedangkan sepatutnya dalam situasi genting pesakit berusaha melawan penyakitnya. Dia memerlukan sokongan dan perhatian dari orang-orang yang di sayangi.
Kasih Yang Tersisih
Kasih sayang bukan suatu yang berkekalan. Ia sungguh mudah disisihkan walaupun ia ikatan darah sekalipun. Entah apa yang melandasi kasih sayang manusia ketika ini. Saat gembira semuanya sayang dan cinta, saat susah pudarlah cinta, punahlah sayang.
Sewaktu menuntut di Ireland dahulu kerap juga mendengar rungutan sahabat-sahabat doktor yang bekerja apabila tiba musim perayaan seperti Krismas. Anak-anak akan menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke hospital kononnya mereka tidak sihat walhal ibu bapa mereka baik-baik sahaja. Sedangkan yang sebenarnya mereka mahu merayakan dan menikmati musim cuti tanpa perlu menyusahkan diri melayan karenah ibu bapa yang sudah tua, yang sudah nyanyuk.
Kisah-kisah teladan ini adalah untuk mengingatkan diri kita apabila tiba saatnya kelak kita diuji Allah, kita mampu teguh dengan cinta dan kasih sayang.
Credit: Nur Islam



Saturday, 4 May 2013

Di Dalam Taman Syurga


Anda sudah sampai ke hospital untuk menziarahi rakan yang sudah beberapa hari berada di dalam wad. Anda dalam keadaan bersemangat untuk ziarah kerana orang yang menziarahi pesakit seolah-olah seperti orang yang menziarahi taman syurga. Persoalannya, apakah yang patut anda lakukan tika menziarahi orang sakit? Apakah yang patut dilakukan dan patut dielakkan agar anda benar-benar dapat memetik buah-buahan di taman syurga?
Pada ruangan ini saya akan berkongsi dengan para pembaca sekalian apa yang patut dilakukan ketika menziarahi orang sakit. Perkongsian ini adalah penting agar kita dapat menjadikan ziarah tersebut sesuatu yang benar-benar bermanfaat bagi pesakit dan diri kita sendiri.

 

Berkata-Kata Yang Baik
Ketika menziarahi orang sakit, sentiasalah berkata-kata sesuatu yang baik. Umm Salamah, isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan, bahawa Rasulullah bersabda: Apabila kalian menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara yang baik-baik kerana malaikat mengaminkan ucapan kalian.” [Shahih Muslim, no: 1527/919]
Antara perkara baik-baik yang dapat diucapkan kepada pesakit ialah memberi khabar gembira dan semangat baginya bahawa di sebalik setiap penyakit itu ada hikmahnya. Umm al-‘Alaa’ berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjengukku sementara aku sedang sakit. Baginda bersabda: “Bergembiralah wahai Umm al-‘Alaa’ kerana sesungguhnya (di sebalik) sakit seorang mukmin, Allah akan menghilangkan dosa-dosanya sebagaimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2688/3092]
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah bersabda: Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya.” [Shahih al-Bukhari, no: 5210/5641]
Selain itu penyakit ialah satu ujian atau bala daripada Allah Subhanahu waTa'ala. Ujian ini hanya Allah berikan kepada orang-orang atau kaum yang dikasihi-Nya. Maka bergembiralah, berbahagialah dan redhalah jika ditimpa dengan ujian sakit kerana ia tanda kasih sayang Allah. Rasulullah menerangkan hakikat ini:
Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2320/2396]

Kadar Sakit Selari Dengan Kadar Agama
Merujuk kepada penyakit sebagai ujian, jangan seseorang itu merasakan dirinya tidak mampu melalui ujian yang diberikan oleh Allah. Ini kerana Allah hanya akan memberi ujian yang selari dengan kadar agama seseorang, tidak lebih dari itu. Allah tidak akan menzalimi seseorang dengan ujian penyakit mahu pun apa-apa ujian lain yang tidak mampu dihadapinya. Hadis berikut menjadi rujukan:
Sa’ad bin Abi Waqash pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya. 
Seseorang itu diuji berdasarkan kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya pun berat. Sebaliknya jika agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian-ujian ini tidak akan berhenti menimpa seorang hamba sehingga dia berjalan di atas muka bumi dengan tidak mempunyai kesalahan (kerana dosa kesalahan telah dihapuskan oleh ujian-ujian tersebut).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2322/2398]

Menganjurkan Kesabaran
Penyakit sering kali datang dengan tiba-tiba dan ia bagaikan tamu yang tidak disukai, yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah. Pelbagai aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan dan pelbagai kerja yang sedang dibuat terpaksa ditangguhkan. Semua ini benar-benar menyebabkan kebanyakan orang – termasuk diri penulis – merungut apabila tiba-tiba diuji oleh Allah dengan sesuatu penyakit.
Di sinilah terletaknya kepentingan peranan ahli keluarga dan sahabat handai bagi menganjurkan kesabaran kepada orang yang baru ditimpa sesuatu penyakit. Ujian yang datang menimpa secara tiba-tiba sering kali menyebabkan kita lupa hikmah dan kebaikan di sebalik ujian tersebut. Kesabaran itu hendaklah dianjurkan, disampaikan dan dinasihatkan seawal mungkin kerana rungutan dan ketidak-sabaran seringkali timbul pada saat-saat awal sesuatu ujian. Oleh kerana itulah Rasulullah berpesan: Sesungguhnya kesabaran itu tidak lain ketika pukulan awal (saat ujian menimpa).” [Shahih al-Bukhari, no: 1219/1302]
Nasihat untuk bersabar kemungkinan besar tidak cukup sekadar berkata, “Bersabarlah!”. Ini kerana dalam suasana tiba-tiba ditimpa ujian sakit (atau apa-apa ujian lain), seseorang itu memerlukan kata-kata nasihat, motivasi dan semangat yang lebih tinggi. Cara yang terbaik ialah menyampaikan atau membacakan hadis-hadis yang telah dikemukakan di atas ini. Sampaikan ia secara penuh dan jelas, nescaya ia akan memberi kesan mendalam yang positif kepada orang yang baru ditimpa ujian. Selain itu hadis berikut adalah satu anjuran kesabaran yang amat baik daripada Rasulullah:
“Seorang mukmin amat menakjubkan. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka dan perkara seperti ini hanya terdapat pada diri seorang mukmin. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia mendapat sesuatu yang tidak disukainya dia bersabar dan itu baik baginya. [Shahih Muslim, no: 5318/2999]



Friday, 15 March 2013

Taman Syurga Di Mana Jua

 Menziarahi orang sakit, baik di rumahnya mahu pun di hospital, umpama menziarahi taman syurga. Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ketika itu dia seolah-olah berada di dalam taman syurga sehinggalah dia pulang. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka (ketika ziarah itu) dia senantiasa berada dalam sebuah taman syurga sehinggalah dia pulang.” [Shahih Muslim, no: 4657/2568]  

Orang sakit yang dimaksudkan dalam hadis di atas tidak terhad kepada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai sahaja. Akan tetapi ia luas merangkumi siapa saja yang sedang sakit, baik lelaki atau perempuan, baik muslim atau belum muslim. Oleh itu jika kita merenungi keluasan ini, akan di sedari bahawa taman syurga tersebut sebenarnya berada di mana jua. Ini kerana di mana jua kita berada, pasti akan ada orang sakit yang boleh kita ziarahi.    



Di sini timbul persoalan, bolehkah seorang perempuan menziarahi lelaki yang sakit atau bolehkan seorang lelaki menziarahi perempuan yang sakit? Juga, bolehkah seorang Muslim menziarahi Vashini yang beragama Hindu, Mei Ling yang beragama Buddha, Janet Choo yang beragama Kristian dan Emily yang tidak mempercayai kewujudan tuhan? Jawapannya, boleh. Ikutilah penjelasannya.  

Dibolehkan Ziarah Di Antara Berlainan Jantina  

Ketika Nabi datang ke Madinah, para sahabatnya merasa sakit, begitu juga dengan Abu Bakar, ‘Amr bin Fuhairah budak Abu Bakar dan Bilal. Lalu Aisyah minta izin kepada Nabi untuk ziarah mereka. Baginda mengizinkannya. [Musnad Ahmad, no: 23224/24360, sahih]   

Dalam sebuah riwayat lain, A’isyah menerangkan: Ketika Rasulullah sampai di Madinah, Abu Bakar dan Bilal menderita sakit. (A’isyah menlanjutkan) Lalu aku menziarahi mereka berdua, aku bertanya: “Wahai ayahku, bagaimana keadaanmu? Dan engkau Bilal, bagaimana keadaanmu?” [Shahih al-Bukhari, no: 5222/5654]  

Dalam dua hadis di atas, A’isyah seorang perempuan telah diizinkan oleh Rasulullah untuk menziarahi orang lelaki yang sakit, yang bukan mahramnya. Berdasarkan hadis ini, dapat disimpulkan sebuah hukum bahawa dibolehkan bagi perempuan menziarahi orang lelaki yang bukan mahramnya dan dibolehkan bagi lelaki menziarahi perempuan yang bukan mahramnya.  

Kebolehan ini dengan syarat lelaki atau perempuan yang sakit itu dalam keadaan menutup aurat. Syarat ini mesti diperhatikan kerana adakalanya pesakit tidak dalam keadaan menutup aurat kerana sedang menjalani rawatan atau tidak sedarkan diri.
  
Dibolehkan Ziarah Pesakit Berlainan Agama 

Kita sama-sama mengetahui sirah Rasulullah di mana apabila pak ciknya Abu Thalib yang menyembah berhala sedang sakit tenat, baginda menziarahinya dan berulangkali mengajaknya mengucapkan La ilaha illaLlah. Namun Abu Thalib meninggal dunia tanpa memeluk Islam. Dalam hadis sahih diterangkan: Rasulullah menziarahi Abu Thalib di saat dirinya tengah menghadapi sakaratul maut. Baginda mendapati Abu Jahal dan Abdullah Bin Abu Umaiyyah Bin al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah bersabda: “Pakcik! Ucaplah La ilaha illaLlah, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah.” [Shahih Muslim, no: 35/24] 

Selain itu dalam sebuah hadis lain, Anas Bin Malik menerangkan bahawa anak kepada seorang Yahudi sedang sakit, maka Nabi datang menziarahinya dan duduk di sebelah kepalanya. Baginda berkata kepadanya: “Masuklah Islam!” Maka anak tersebut melihat kepada ayahnya sementara ayahnya juga berada di sebelah kepalanya. Lalu ayahnya berkata: “Taatilah Abu Al Qasim (gelaran bagi Rasulullah).” Maka anak tersebut masuk Islam. Nabi lalu berdiri dan mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari neraka melalui aku.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2691/3095] 

Hadis kedua di atas memiliki beberapa petunjuk penting. Pertama, meski pun kaum Yahudi memusuhi Islam, Rasulullah tidak memulaukan mereka semua (boikot) dan tidak mendoakan kemusnahan kepada semua Yahudi. Baginda hanya memusuhi kaum Yahudi yang memusuhi Islam dan menjalinkan hubungan dengan kaum Yahudi yang tidak memusuhi Islam. Kedua, dibolehkan menziarahi pesakit yang belum Muslim, sebagaimana Rasulullah menziarahi anak kepada seorang Yahudi dalam hadis di atas. Ketiga, hendaklah memanfaatkan apa jua peluang untuk mendakwahkan Islam.  

Oleh itu berdasarkan hadis di atas, dibolehkan ziarah Vashini yang beragama Hindu, Mei Ling yang beragama Buddha, Janet Choo yang beragama Kristian dan Emily yang tidak mempercayai kewujudan tuhan ketika mereka sakit. Sebaik-baiknya waktu ziarah tersebut digunakan untuk menjemput mereka kepada Islam. Boleh menjemput secara terus sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dalam hadis di atas. 

Boleh juga menjemput secara tidak langsung, seperti mendoakan pesakit tersebut dengan ucapan: “Ya Allah! Engkaulah asy-Syafi (yang Maha Penyembuh), maka sembuhkanlah Vashina. Engkaulah al-Latif (yang maha Lemah Lembut), maka berlemah lembutlah kepada Vashini dan kurangilah kesakitan beliau. Engkaulah ar-Rahman (yang maha Pemberi Rahmat), maka rahmatilah ahli keluarganya dari kesedihan dan kebimbangan.” 

Berdoalah dengan kuat agar dapat di dengari oleh pesakit dan ahli keluarga yang ada bersamanya. Dengan doa seumpama itu, penziarah dapat memberikan pengenalan kepada pesakit dan ahli keluarga yang ada di sisinya berkenaan Allah dan Islam.

Sumber: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah


Saturday, 8 September 2012

Kebaikan Cuka


Bersabda Rasulullah S.A.W., “Sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal. Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)


APA ITU KHAL? KHAL adalah nama dalam bahasa Arab bermaksud suatu bahan daripada buah-buahan seperti tamar (kurma), epal, anggur, dan tin (fig) yang disimpan atau diperam dalam jangka masa tertentu, bertukar dari jus buah menjadi alkohol, seterusnya menjadi yis, bertukar menjadi asid asetat, dan akhirnya menjadi KHAL, dalam bahasa Inggeris dipanggil vinegar.
Kajian kepada kitab-kitab perubatan Islam juga ada menyatakan KHAL telah diamalkan sejak dari nabi-nabi dahulu sebelum Nabi Muhammad (S.A.W) lagi. Masyarakat Babylon (sekitar 500 BC) juga telah menukar wain kepada KHAL dengan menggunakan buah anggur, kurma dan tin (fig). Hippocrates juga telah mengggunakan KHAL sebagai antibiotik dan tonik. KHAL juga digunakan oleh pejuang-pejuang silam bagi meningkatkan kekuatan badan. Selain orang Arab, KHAL telah dipraktikkan semenjak berabad oleh kebanyakan penduduk Eropah, Jepun, Cina dan India.
Kepada yang sudah terkena penyakit, Rasulullah (S.A.W) pernah bersabda yang bermaksud:
“Setiap penyakit ada ubatnya.”
Tetapi Rasulullah (S.A.W) tidak menyatakan secara khusus penawar sesuatu penyakit, oleh yang demikian mari kita beramai-ramai mengamalkan pemakanan cara nabi Muhammad S.A.W dalam masa yang sama kita mengamalkan “MAKANAN KESIHATAN SUNNAH PARA NABI-NABI” sebagai suatu ibadah dalam penyembuhan dan meneruskan warisan ulama’ perubatan Islam. Perlu diingat KHAL diamalkan secara meluas sejak turun temurun oleh bangsa Arab. Mungkin sebab tu seekor kambing makan pun tak kena darah tinggi.
Khasiat Khal Menurut Perubatan Islam:-
Menerusi kitab Al-Qanun Fi Al-Tib (Ibnu Sina) & Al-Tib Al-Nabawi (Ibnu Qaiyyim), cuka :-
1. dapat mencegah berlakunya pembengkakan pada badan seperti bisul & kanser
2. membuang darah kotor & melancar aliran darah
3. mangatasi proses pencernaan makanan dalam perut
4. melancarkan pergerakan usus
5. merawat masalah kerongkong, kahak & batuk yang berpanjangan
6. memelihara kulit dari kesan kepanasan matahari
7. menurunkan tahap kolesterol
8. mengimbang tahap asid-alkali dalam badan & mengeluarkan lebihan garam
9. membakar kalori dengan cepat
10. membuang toksin
11. merawat masalah rahim, menguatkan gigi, deria mata & telinga
12. penyerapan kalsium lebih sempurna – menguatkan tulang
13. mengubati masalah gastrik akibat asid berlebihan dalam perut
14. merawat masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu)
15. mencegah berlakunya keracunan akibat penggunaan ubat-ubatan yang pelbagai
16. melancarkan pengeluaran susu ibu
17. melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid)
18. memperbaiki fungsi limpa
19. menghilang masalah dahaga & mengurangkan panas badan
Antara yang utama, cuka dapat membantu membuangkan kolesterol dan lemak di dalam badan terutamanya pada sistem usus di perut, lemak di saluran jantung, lemak di buah pinggang, membaiki fungsi buah pinggang, dan lemak berlebihan yang boleh membawa pelbagai penyakit dengan cara memulihkan sel-sel organ badan.
Kaedah Pemakanan
KHAL boleh diminum diminum dua kali sehari selepas makan pagi dan malam sebelum tidur. Sebelum diminum hendaklah terlebih dahulu dibaca Al-Fatihah (1x), selawat keatas Nabi (saw) (3x), mohon KHAL diberkati dan akhirnya mohon agar disembuhkan penyakit yang dialami. Jika masam boleh diminum dengan campuran madu.
KENAPA KHAL DARIPADA BUAH TAMAR (KURMA)? Khasiat kurma terlalu banyak untuk kesihatan badan. Di antara hadis Nabi S.AW ialah:
Terjemahannya: Terdapat di dalam hadis As-Shahih dari Nabi S.A.W, “Sesiapa yang makan tujuh buah tamar (kurma) di pagi hari (dan menurut satu lafaz: tamar dari Al-Aliyah) maka dia akan selamat dari bisa, racun dan sihir pada hari itu.” (Dikeluarkan oleh Imam Bukhari 10/203, dan oleh Imam Muslim)

Kebaikan buah tamar disebut sebagai makanan yang dapat mengubati masalah darah, masalah usus, masalah hati, hempedu, lemah jantung, menambahkan air mani, masalah kerongkong dan mulut, menambahkan nutrisi tubuh badan, mematikan kuman (bakteria), masalah migrain dan penawar racun dalam badan yang sangat baik.


Sumber: anjunginspirasi

Wednesday, 7 March 2012

Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri



BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.


Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
Gemar berjalan kaki
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.
Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah
di hati.
Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.
Oleh Ustaz Zawawi Yusoh