Followers

Nuffnang

Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Wednesday, 13 January 2016

Kenapa Nabi S.A.W Berniaga?



Sunnah? Nak kaya?

Nak tahu kenapa Islam menggalakkan umatnya berniaga?

Bukan sebab nak kaya. Tetapi sebab berniaga itu adalah suatu tarbiyyah. Tarbiyyah tentang kehidupan, kemudian mendekatkan diri menuju Tuhan.

Nabi S.A.W berniaga di usia yang muda. Di usia 20an. Dan nyata pada usia itu baginda masih belum dilantik menjadi Rasul. Jadi jelasnya kerja-kerja dakwah baginda tidak dibuat secara terang.

Orang yang berniaga ini tawakkal mereka sebenarnya lebih tinggi. Sebab mereka tidak tahu bila rezeki dalam bentuk wang akan dapat. Mereka hanya akan buat kerja dan terus usaha. Dan tawakkal mereka mutlak pada Allah taala sahaja.

Kemudian apa?

Kemudian dalam berniaga mereka akan berjumpa dan melihat pelbagai ragam manusia, mereka akan kenal ramai orang ternama dan biasa. Di sini dalam konteks dakwah, Nabi S.A.W akan belajar bagaimana untuk melihat ragam manusia dalam usaha dakwahnya sesudah dilantik menjadi rasul.

Kemudian lagi apa?

Ukhwah dan silaturrahim. Mereka akan kenal banyak orang baru dalam hidup mereka. Baik Islam mahupun bukan Islam. Dan ukhuwwah akan terjalin, atas asbab perniagaan. Sebab itu dalam berniaga perkara pokok yang perlu dijaga ialah good contact’, masyarakat cina sangat menjaga hubungan good contact mereka. Dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, ‘good contact’ digunakan dalam usaha dakwah baginda kelak. Mereka akan melihat keluhuran dan kejujuran baginda. Jika produk yang dibawa itu adalah dari buatan manusia pun sudah dijual dengan jujur, pastilah produk dari langit juga akan disampaikan secara jujur. Apa produk itu? Iman dan Islam.

Kemudian pula apa lagi?

Berniaga akan bawa diri kita merentas pelbagai medan seantero dunia. Dengan berniaga kita akan melihat kepelbagaian budaya, dan akan terhasil idea untuk menghasilkan produk yang terbaik. Contohnya goreng pisang cheese. Produk itu sudah lama wujud di Indonesia, kemudian dicipta dan dijual di Malaysia. Dan dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, baginda kerap berdagang ke sana ke mari, dan melihat kepelbagaian ragam manusia. Sewaktu muda, baginda menimba pengalaman bercampur pelbagai golongan manusia. Baginda tidak menilai manusia dari luaran. Sebab itulah dakwah baginda sampai ke setiap lapisan masyarakat. Tua dan muda, miskin dan kaya, hamba dan raja, lelaki dan wanita.

Perniagaan adalah satu tarbiyyah terbaik. Terbaik untuk mendidik jiwa anda dan belajar matlamat asal kehidupan. Perasaan tawakkal dan syukur paling banyak dalam jiwa orang yang berniaga.

Ramai antara kita membaca kisah sesudah Nabi S.A.W menjadi rasul iaitu diusia baginda 40 tahun. Namun ramai yang tidak tahu apa yang baginda buat sewaktu usia muda. 

Ketahuilah, baginda bukan duduk bersahaja. Baginda ditarbiyyah pelbagai cara. Salah satunya jalan perniagaan. Baginda bercampur dengan pelbagai jenis manusia untuk belajar mengenali umatnya. Baginda merantau untuk  mendekati kepelbagaian manusia. 

Oleh itu, sunnah dalam perniagaan bukanlah mesti kaya. Kerana sunnah dalam perniagaan adalah tarbiyyah diri untuk menjadi hamba. Itulah cara Tuhan mengajar manusia.

Tingkatkan dalam hati rasa syukur dan tawakkal.

Sekiranya berniaga untuk kaya, maka tak perlu berniaga. Kerana berniaga nak kaya itu adalah kesilapan pertama.

Tetapi sekiranya berniaga untuk mencari nafkah dan berbakti memberi manfaat pada umat manusia, itulah matlamat asal perniagaan dalam agama.

Lupakah kalian pada sabda baginda, bahawa sebaik-baik umat Nabi S.A.W adalah yang memberi manfaat pada mukmin yang lain?

Sebenarnya konsep berniaga adalah memberi manfaat. Dan bukan nak kaya.

Berapa usia kita?

Contohi Nabi S.A.W di usia kita.

Barulah ianya dipanggil mengikut sunnah.

Nak sayang Nabi S.A.W? Kena tiru Nabi S.A.W.

Sebab itu berniaga kena pegang 2 benda. Jangan malu dan jangan putus asa. Sebab dakwah juga tidak boleh malu dan putus asa. Barulah ia sunnah.

Aku juga pernah berputus asa berniaga. Tapi aku belajar rasa sakitnya jatuh, supaya kelak aku faham nikmatnya bangkit.

Sunnah itu bukan pada jubah, makanan atau pakaian.

Tetapi sunnah pada perlaksanaan.

Sholawatt.


Saturday, 4 July 2015

Islam Itu Matlamat Bukan Alat

Anakmiskin_zps5ba6997f
Telah beberapa kali saya tegaskan, Islam seharusnya jadi matlamat bukan alat. Namun ustaz muda itu masih menolak. Apa boleh buat. Saya hanya boleh memberi saranan dan pandangan. Soal mempengaruhi fikiran dan hatinya, itu adalah di luar kawalan saya. Perbincangan yang tadinya bermula dengan tenang, mula bertukar panas. Namun saya tekad meneruskan perbualan. Insya-Allah, bagaimana panas sekalipun saya berjanji pada diri tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar.
“Untuk maju, kaya dan berjaya kita mesti amalkan Islam,” kata ustaz muda itu lagi.
“Bagi saya, amalkan Islam kita akan maju,” ujar saya.
“Tidak ada bezanya antara kata-kata tuan dan saya,” tegasnya.
Saya diam. Namun dalam hati saya tetap menolak. Bagi saya ada bezanya antara Islam yang ‘diperalatkan’ dengan Islam yang menjadi matlamat. Saya masih ingat dalam sebuah kursus Rumah Tangga Bahagia yang pernah saya hadiri. Seorang peserta meminta penjelasan tentang perbezaan antara Islam yang menjadi alat dengan Islam yang menjadi matlamat dalam rumah tangga.
“Mari kita bina rumah tangga bahagia dengan mengamalkan Islam,” Begitulah yang selalu kita dengar dalam seminar atau kursus kekeluargaan bercorak Islam.
Pada saya, saranan itu sepatutnya diperbetulkan dengan berkata, “Mari kita jadikan rumah tangga sebagai wadah menegakkan Islam.”
Saya jelaskan pada peserta itu dengan berkata, “kita dahulukan hak Allah. Kita tegakkan hukum-hakam Allah dalam rumah tangga kita. Rumah tangga kita menjadi alat untuk menegakkan agama. Itu sewajarnya.
Hak Allah agar kalimah-Nya ditegakkan mesti didahulukan. Kebahagiaan kita jatuh nombor dua. Insya-Allah, jika kita menjaga hukum-hakam Allah, Allah akan menjaga kita dan akan mengurniakan kebahagiaan sebagai ganjaran.”
“Jadi salahlah kalau saya katakan, demi kebahagiaan keluarga kita perlu amalkan Islam?”
“Tidak salah. Cuma pada pandangan saya itu kurang tepat. Bagi saya apabila kita amalkan Islam, insya-Allah rumah tangga kita bahagia. Bukan sebaliknya.”
“Bukan sebaliknya? Apa maksud tuan?” tanya peserta itu lagi.
“Maksud saya, niat kita hendak amalkan Islam dalam rumah tangga itulah yang mesti didahulukan. Bukan niat untuk mendapat bahagia.”
“Maksudnya dahulukan hak Allah, bukan hak kita?” tanyanya lagi.
Alhamdulillah, dia sudah dapat apa yang saya maksudkan. Sambil mengangguk saya tersenyum.
Saya teringat sebuah hadis yang merupakan pesan Rasulullah kepada Abdullah bin Abbas: “Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (Riwayat al-Tirmizi)
Begitulah juga dalam seminar-seminar perniagaan atau usahawan Islam. Apabila berpeluang saya selalu mengingatkan, keuntungan dalam perniagaan jangan jadikan matlamat. Itu hanya alat.
Yang menjadi matlamat ialah menegakkan hukum dan syariat Allah dalam sistem perniagaan. Walaupun mungkin tidak mendapat keuntungan, tetapi usaha menegakkan hukum Allah itu sudah dianggap berjaya.
Letaknya kejayaan bukan pada keuntungan tetapi sejauh mana kita berjaya menegakkan hukum Allah dalam perniagaan dan kehidupan. Saya mengingatkan tentang solat Duha yang sering dijadikan kaedah untuk mendapat rezeki, sedangkan yang lebih tepat solat Duha ialah kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah; Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri sendiri dan orang lain bahawa ‘pemberi hadiah’ mesti lebih diutamakan daripada ‘hadiah-Nya’.
Begitu juga ketika berdepan dengan ‘pemain-pemain’ industri sistem kewangan Islam apabila saya mengendalikan program latihan bersama-sama mereka. Yakni mereka yang bertanggungjawab memasarkan produk-produk patuh syariat menerusi organisasi kewangan Islam seperti bank dan syarikat takaful. Sering saya berpesan agar jangan produk dan sistem sahaja yang patuh syariah tetapi manusia yang menjalankan sistem yang menyampaikan produk tidak syariah.
Memang benar kini produk-produk patuh syariat sama ada dalam industri makanan, penerbitan, media massa, kewangan, pakaian dan pelancongan telah menjana keuntungan yang tinggi. Produk sebegini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa. Justeru ramai yang berebut-rebut untuk menceburi bidang ini.
Soalnya, apakah niat sebenar kita apabila menceburi bidang-bidang tersebut? Apakah ikhlas untuk menegakkan Islam atau hanya semata-mata untuk mendapat keuntungan atas nama Islam? Bolehkah kita terus istiqamah dan komited sekiranya diuji dengan kegagalan atau kerugian? Jangan sampai apabila untung kita genggam, tetapi apabila rugi kita lepaskan. Sedangkan jika kita ikhlas kerana Allah, untung atau rugi, Islam tetap kita genggam.
Ya, kembali kepada ustaz muda di hadapan saya yang sangat berketerampilan ini. Dengan motosikal besar berkuasa tinggi dia nampak gah dan bergaya. Sejak tadi dia berhujah, untuk Islam dilihat hebat golongan agama terutama para ustaz mesti dilihat hebat. Hebat pada pakaian, kenderaan, rumah dan lain-lain. Itulah cara untuk menundukkan ego para penentang Islam, dakwanya.
“Apabila kita guna motosikal besar, barulah pemburu dunia akan buka mata. Wah, orang agama pun memiliki dunia, kata mereka. Jangan sampai dikatakan orang, kita mencemuh dunia kerana tidak memilikinya!” tekannya berkali-kali.
“Tetapi dunia di tangan pemburu dunia jauh lebih hebat. Jauh lebih bergaya dan hebat. Mereka bukan sahaja memiliki motosikal yang lebih besar, tetapi bot mewah, helikopter, jet peribadi bahkan vila yang berbilion-bilion harganya. Setakat yang ada pada kita, masih dipandang sebelah mata,” balas saya.
“Kita pun sedang berusaha ke arah itu.”
“Untuk jadi lebih kaya dan bergaya? Untuk apa?”
“Untuk dakwah. Untuk mempamerkan kekuatan dan keindahan Islam.”
“Di manakah letaknya keindahan Islam?” tanya saya semula.
Melihat dia diam saya menambah, “pada dunia yang dimiliki oleh orang agama? Tidak, pada saya indahnya Islam apabila orang agama memiliki akhlak yang baik?”
“Dunia untuk menarik hati orang dunia? Saya segera teringat firman Allah: “Dialah menyatukan antara hati mereka. Jika engkau menafkahkan segala yang ada di bumi, pasti engkau tidak dapat menyatukan hati mereka tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka.” (Al-Anfal 8: 63)
“Akhlak baik tetapi miskin dan melepek buat apa?” asaknya terus menerus.
“Subhanallah, bukan saya menyuruh kita jadi miskin. Kaya tidak salah. Tetapi kekayaan bukan faktor utama untuk menarik hati dalam berdakwah. Manusia tertarik pada akhlak orang agama, bukan dunia yang dimiliki oleh orang agama. Cuma untuk dihormati, orang agama jangan nampak merempat, ada sumber rezeki sendiri dan tidak menagih dunia daripada orang yang diseru.”
Jelas daripada mimik mukanya, ustaz muda itu masih tidak bersetuju. Dengan segala produk Islamik yang dikeluarkan dan dipasarkannya, dia berjaya bergelar usahawan yang berjaya.
“Imej Islam yang perlu kita bina mesti nampak kaya, kuat, bergaya dan mampu berkuasa.”
“Apakah itu cara Rasulullah berdakwah?” tanya saya.
“Apakah itu imej yang diperlihatkan oleh Rasulullah ketika mula berdakwah di kota Makkah. Imej kaya? Imej bergaya?”
“Kita perlu buka mata mereka terlebih dahulu dengan dunia sebelum buka hati mereka untuk iman. Buka mata mereka dengan imej bergaya kemudian barulah mereka datang dekat untuk dibuka hatinya menerima Islam,” hujahnya.
“Islam mula diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin pada peringkat awalnya kerana imej keadilan dan kasih sayangnya, bukan imej mewah dan kaya raya,” tekan saya sekali lagi.
“Mana ada lagi hamba dewasa ini. Sekarang kita perlu tarik golongan korporat dan kaya raya untuk mendekati Islam. Dengan kemasukan mereka ke dalam kumpulan pejuang Islam, kita akan dapat kekuatan.”
“Golongan hamba memanglah tidak ada lagi, tetapi orang fakir, miskin dan umumnya golongan marhaen masih ramai. Hidup mereka kian terhimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu kini. Harga barang keperluan semakin meningkat, kos pendidikan anak-anak kian melambung.”
“Itulah sebabnya. Apabila orang kaya sudah berjaya disedarkan, merekalah yang akan membantu golongan ini,” hujahnya lagi.
“Sampai bilakah kita harus menunggu sehingga kita berjaya menarik ramai orang kaya ke dalam kumpulan pejuang Islam untuk membantu orang miskin?”
“Mengapa awak kata begitu?”
“Ini mengambil masa. Kita perlu tunjuk kaya untuk menarik orang kaya, kemudian barulah orang kaya itu boleh membantu orang miskin.”
“Jadi bagaimana yang tidak memenatkan?”
“Wang yang kita usahakan untuk menunjukkan kita bergaya dan kaya itu terus kita gunakan untuk membantu si miskin.”
“Saya tidak setuju!” bantahnya terus terang.
“Sebab?”
“Ertinya saya perlu korbankan motosikal besar dan kereta mewah saya untuk membantu si miskin?”
“Tidak begitu. Motosikal dan kereta tidak salah. Tetapi sebagai pejuang, bersederhanalah. Tidak salah punya kereta dan motosikal tetapi tidak perlu terlalu mewah. Lebihan wang itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin atau untuk membina pusat pengajian dan projek ekonomi ummah. Tidak perlu lagi kumpulan kita atau murid-murid tahfiz mengutip derma, membuka tabung untuk memohon bantuan dan ihsan orang lain untuk membantu perjuangan kita.”
Ustaz muda itu masih mencemik.
Melihat mimik mukanya itu saya menambah lagi, “Ustaz, kalau kita sendiri payah untuk berkorban, apalagi orang lain. Jika benar Islam menjadi matlamat, buat dulu apa yang mampu kita buat, baru Allah membantu untuk membuat apa yang tidak mampu kita buat. Ramai lagi para gelandangan yang tidak punya makanan dan merempat di jalan-jalan.”
Dia masih mencemik.
“Tetapi kalau Islam hanya jadi alat, bermakna kita perlu kumpul kekayaan dahulu barulah membantu Islam. Dalam sejarah, Qarun pun asalnya berfikiran begitu.”
“Eh, saya bukan seperti itu! Motosikal besar saya ini bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk menunjukkan kehebatan Islam,” pintasnya.
“Baguslah jika begitu. Mudah-mudahan dengan motosikal besar itu ustaz boleh mendekati orang kaya yang punya hobi yang sama. Dengan itu ustaz boleh berdakwah kepada mereka,” kata saya.
Akhirnya saya mengalah. Saya cuma risau agama terfitnah oleh golongan agama. Yang menjadi sangat kaya dengan menjual produk-produk Islamik yang pelbagai jenama. Sudah ada kismis, air mineral, pakaian, makanan yang ‘dibacakan’ 30 juz al-Quran lalu dijual dengan harga yang tinggi.
Apa salahnya kita bantu produk-produk Islam, bukankah itu untuk menguatkan Islam? Itu dakwa mereka. Sedangkan jika diteliti,  itulah jalan yang melahirkan ‘kapitalis agama’ –  mereka yang mengeksploitasi Islam demi kepentingan diri. Islam terus menjadi alat bukan matlamat.  Hasilnya, orang kecewa dengan agama kerana ‘pengkhianatan’ orang agama!

Wednesday, 21 January 2015

Banjir Dosa Yang Melanda Jiwa




“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.  

“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.  

“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”  

“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”  

“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.  

Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.     

Sebab Allah Sayang  

“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.  

“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Beverly Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.  

Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.  

“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.”  

“Dari manakah awak tahu yang seseorang itu Allah benci atau Allah sayang? Bagi saya orang di bandar-bandar tersebut bukan orang kafir, mereka belum Islam. Allah tidak membenci orang bukan Islam.”  

“Apakah bezanya antara orang kafir dengan bukan Islam? Bagi saya sama sahaja. Yang beza, hanya kafir harbi dan kafir zimmi.”  

“Bagi saya memang berbeza. Orang kafir ialah orang yang menentang Islam setelah diseru kepadanya secara lisan dan perbuatan. Manakala orang bukan Islam ialah orang yang belum pun diseru kepada Islam. Saya rasa, mereka belum pun diseru kepada Islam, jadi bagaimana mereka boleh dituduh menentangnya? Label kafir hanya layak bagi yang menolak dan menentang setelah seruan dakwah dilakukan terhadap mereka.”  

“Sudahpun dibuat. Mereka memang penentang. Sekarang era ICT, tak akan mereka tak dapat maklumat dan ilmu tentang Islam? Tak sampai seru? Maaflah, tak logik.”  

Diam seketika. Mungkin sama-sama mencari ‘peluru’ untuk terus berhujah.  

Saya yang dari tadi menjadi pendengar sudah bertukar menjadi ‘pemikir’. Input-input yang diluahkan dalam perbualan dua orang lelaki itu membuat fikiran saya teruja dan emosi sedikit terusik.     

Angkara Tangan Manusia  

“Aku rasa bukan kerana dosa. Jika kerana dosa, mesti sejak dahulu lagi bencana sudah menimpa. Sejak dahulu lagi orang telah berdosa.”  

“Kau nak menolak sejarah azab yang menimpa kaum ‘Aad, Thamud, umat Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain kerana mereka derhaka? Kalau nak menafikan fakta dalam al-Quran dan hadis yang menegaskan umat yang berdosa akan diazab Allah? Hati-hati!” kata lelaki berkopiah putih lagi, kembali menghangatkan suasana.  

“Kau jangan emosional. Aku tidak menolak fakta-fakta itu. Tetapi aku rasa ada sebab lain yang menyebabkan bencana alam. Bukan soal dosa dengan Allah sahaja.”  

“Apa dia? Dosa dengan manusia?”  

“Aku rasa mungkin juga kerana pemugaran hutan yang tidak terancang, sistem saliran yang tidak efektif dan efisien, sikap membuang sampah merata-rata, serta sistem pembuangan sisa yang lintang pukang.”  

Kali ini lelaki kopiah putih pula terdiam. Melihat keadaan itu, lelaki yang bersongkok hitam tiba-tiba bersuara, “Eh, sejak tadi diam sahaja, bersuaralah sikit,” katanya sambil menepuk bahu yang sedang bersandar di tiang masjid.  

Saya terkejut. Tidak sangka ketika mereka berdua hebat berhujah masih sempat melihat saya di sebalik tiang.     

Apabila Hukum Allah Tidak Dipeduli  

“Bencana boleh menimpa apabila kita melanggar hukum Allah,” ujar saya sekadar meraikan. Sebenarnya saya masih berminat untuk mendengar dan menjadi ‘pemerhati’ berbanding turut serta dalam ‘forum’ pasca-Subuh itu.  

“Itu saya sudah tahu.”  

Hampir serentak mereka berdua bersuara.  

“Hukum syariatullah dan juga sunnatullah,” kata saya masih pendek.  

Mereka diam, memberi laluan untuk saya membuat penjelasan.  

“Halal, haram, sunat, makruh dan harus itu ialah hukum syariatullah. Jika dilanggar berdosa. Membuat apa yang diharamkan Allah atau meninggalkan apa yang diwajibkan-Nya ialah dosa. Misalnya tidak bersolat, mengamalkan riba, mendedahkan aurat, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.”  

“Itulah yang saya tegaskan sejak tadi. Bencana ini angkara dosa-dosa itulah,” kata lelaki berkopiah. Rasa puas terpancar di wajahnya.  

“Hukum sunnatullah pula bagaimana?” tanya lelaki bersongkok.  

“Hukum sunnatullah ialah hukum Allah dalam mengatur alam. Gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi. Tasik, sungai dan laut tempat tadahan dan saliran air yang disusun secara semula jadi. Begitu juga hutan dan pokok-pokok yang mencegah hakisan tanah sekali gus meneguhkan kedudukan pada lapisan luar bumi.”  

“Itu hukum Allah juga?”  

“Ya. Itu hukum Allah juga. Tidak boleh diabaikan dan dilawan, buruk padahnya. Apabila hutan dipugar sesuka hati, gunung ditarah sewenang-wenangnya, laut dan sungai dicemari, maka berlakulah banjir, kemarau, tanah runtuh dan sebagainya. Allah tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.”  

“Ini semua kerana jahil atau degil?” tanya lelaki bersongkok hitam.  

“Ada kalanya kerana jahil. Ilmu dan kepakaran tidak ada. Tidak ada kajian, perancangan dan pelaksanaan yang rapi dan teliti. Buat kerja ikut terlintas, tanpa home work dan persiapan terlebih dahulu,” jelas saya.  

“Tetapi yang banyaknya kerana degil,” kata lelaki berkopiah putih tiba-tiba.  

“Ya. Ada juga kerana degil. Bukan kerana tidak tahu, bukan kerana tidak ada kepakaran, tetapi kerana tidak ada kejujuran. Tahu, tetapi kerana tidak mampu melawan kerakusan hawa nafsu. Tahu, tindakannya akan mencemar dan merosakkan alam, tetapi dek kerana keuntungan tindakan itu diteruskan juga. Semua kerana wang.”  

“Itu bukan satu dosa?” celah lelaki bersongkok.     

Padah Ingkar Amanah  

“Ya, itu satu dosa. Tamak, rakus dan menyusahkan orang lain, hakikatnya satu dosa. Dosa melanggar sunnatullah ada kalanya terkait dengan dosa melanggar syariatullah. Menebang hutan, mencemarkan sungai, membuang sampah merata-rata bukan hanya dosa kepada alam tetapi dosa kepada Allah dan sesama manusia.”  

“Saya kurang pasti bagaimana?”  

“Bumi, yang merupakan amanah Allah dirosakkan. Bumi tempat manusia lain berteduh dicemari. Semua ini dilakukan kerana kepentingan diri. Maka, sudah tentu ini merupakan satu dosa,” jawab saya agak panjang. Kali ini saya benar-benar teruja untuk masuk campur.  

“Ingat tu, kita khalifah. Perlu urus tadbir dunia ini dengan bijak,” sampuk lelaki yang bersongkok.  

“Tidak cukup dengan bijak sahaja, mesti amanah,” ujar saya perlahan.  

“Dengar tu, bijak sahaja tidak cukup. Mesti amanah,” kata lelaki yang berkopiah.  

“Amanah sahaja tanpa bijak pun tidak cukup,” balas lelaki bersongkok.  

Saya tersenyum. Lucu pula melihatnya. Masing-masing sudah faham, tetapi belum mencapai tahap kesefahaman.  

“Hukum syariatullah perlu dipatuhi untuk menjadi hamba Allah yang baik. Hukum sunnatullah juga perlu dipatuhi untuk menjadi khalifah yang mampu memberi kebaikan. Kalau kedua-dua hukum ini dilanggar, bencana akan menimpa,” jelas saya cuba merumuskan.  

“Tetapi saya lihat ada juga orang yang telah mentaati kedua-dua hukum itu masih dilanda bencana alam. Bagaimana pula?”     

Ujian Kesabaran dan Ketaatan  

“Itu cara Allah memberi pahala sabar dan meninggikan darjat mereka yang taat,” ujar saya.  

Dalam diam, saya akur betapa ada hamba Allah yang soleh yang turut diuji oleh bencana alam. Mereka juga dilanda kesusahan dan kesempitan. Tetapi insya-Allah, orang yang taat akan sentiasa mendapat kebaikan walaupun dalam kesusahan. Manakala orang yang bermaksiat, akan sentiasa mendapat keburukan walaupun dalam kesenangan.  

“Musibah sama, tetapi natijah berbeza. Orang derhaka yang terus derhaka, akan mendapat dosa berganda. Orang yang taat bertambah taat akan mendapat pahala berganda. Manakala orang yang berdosa tetapi kembali bertaubat akan dihapuskan dosa-dosanya. Walau apa keadaan sekalipun, apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita,” jelas saya lagi.  

“Bagaimana pula orang yang bermaksiat tetapi terus selamat? Mereka yang leka berjudi, berpelesiran dengan wanita dan arak tetapi tidak pula dilanda musibah?”  

“Percayalah, orang yang melakukan dosa tidak akan tenang, sama ada ketika dilanda bencana alam atau pun ketika tidak dilanda bencana alam. Bencana yang melanda jiwa akibat dosa sesungguhnya lebih besar berbahaya berbanding bencana yang melanda alam. Mereka tidak akan menikmati kesenangan tanpa ketenangan. Dunia luarnya nampak aman, tetapi dunia dalamannya terus resah dan bergolak,” ujar saya.  

Lelaki yang berkopiah dan bersongkok itu sama-sama mengangguk.  

Dalam hati terus berdoa, mudah-mudahan bencana alam ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah lama gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam di dalam hati akan mampu diapungkan kembali oleh apa juga tragedi yang melanda umat ini, kini dan selamanya. Insya-Allah.  

Matahari terbit jua akhirnya. Ahli jemaah yang sejak tadi beriktikaf di dalam masjid, terus membaca al-Quran, berzikir dan ada pula yang bangun ke belakang untuk memperbaharui wuduk. Mudah-mudahan dengan mendekatkan diri kepada Pencipta, kita jadi semakin matang dan bijak menguruskan perbezaan sesama manusia.

Saturday, 13 September 2014

Petua Ayah




Ini cerita benar. Ini cerita petua seorang ayah untuk kebaikan anaknya. Kisah ini sangat dekat dengan diriku. Begini kisahnya:    

Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak.

“Ada duit? Minta ayah sedikit.”

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur, isteri dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulillah mereka ‘sporting’ dan tidak banyak meragam.

“Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi memang tak ada duit,” bisik saya kepada emak.    

Emak seperti biasa, berwajah selamba. Sukar di tebak reaksinya.

“Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.

“5 ringgit?”

Emak mengangguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang  RM5. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa lagi yang memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ‘untung’ 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.    

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Bila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi wang ‘permintaan’ ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan ‘peruntukan’ khas untuk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ‘ekonomi’ saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap permintaannya dan tetap senyum bila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ‘ketajaman’ rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).    

Begitu pun, setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setia memasukkan duit yang melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ‘tidak ada’, tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.     

Namun, secara bertahap-tahap, buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.  

“Nanti, besarlah kereta kamu ni,” ujar ayah senyum.  

Apa pun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang. Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.     

“Eh, tak payahlah ayah.” 

Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.  

“Kenapa, dah kaya?” usik ayah. 

Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ‘dikebas’ oleh saya. Dan dalam hati, saya mula merasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkannya ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.     

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta. Di samping penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh kerana bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana ‘kekurangan’ atau ‘kelebihan’ kami. Tetapi dia memberi kerana Allah. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!     

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kita kongsi bersama:     

“Kini aku benar-benar faham bahawa ibu-ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka bukan ‘liabiliti’ tetapi sebenar mereka adalah aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.” 

“Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. Keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa.”     

Baiklah, anda pembaca bagaimana? Inilah cerita benar yang jarang didengar. Inilah rahsia ‘perniagaan’ yang jarang diperkatakan oleh para korporat. Juga tidak ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih mempunyai ibu bapa? Memberilah kepada mereka. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sumber: Pahrol Mohamad Juoi




Tuesday, 11 March 2014

Ibu-Ibu Dalam Hidup Kita



Apabila aku diminta oleh anakku untuk bercerita tentang ibuku, aku tidak jemu-jemu mengulangi kisah ini. Kisah aku dengan tiga ibu. Pertama, ibuku sendiri. Kedua, ibu kepada anakku dan ketiga anak perempuanku sebagai ibu. Mereka akan mendengar, akur dan diam. Terkesima. Aku berdoa, semoga cerita itu menginsafkan mereka tentang jasa manusia yang bernama ibu.

Waktu berlalu, aku kembali diminta bercerita tentang kisah itu. Berulang kali. Lalu kuringankan tangan, ku pertajamkan emosi, lalu ku tulis cerita itu: Kisah aku dengan tiga ibu. Aku mulakan dengan kesah pertama.

Aku mengayuh basikal itu laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Apabila bertemu misi sahaja terus serahkan kad merah itu. Katakan emak sudah sakit kuat,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak ‘sakit perut’ untuk bersalin.

Ayah ku yang bekerja sebagai seorang buruh telah keluar bekerja sejak awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanya ku naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus, lemah dan pucat. Aku jadi bimbang.

Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Kedua pak cik jiran sebelah menyebelah juga telah keluar bekerja. Klinik kesihatan yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seolah hampir. Aku mengayuh basikal begitu laju dan cepat. Letih tidak terasa walaupun keringat membasahi muka.

“Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut. Misi itu, seorang perempuan Cina berusia lewat 40’an agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit ‘problem’. Saya tak boleh.”

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 40 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Sedangkan pada ketika itu aku hanyalah seorang budak kampung yang naif. Mana hendak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah kereta wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

Tidak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, “ emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk patuh. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira, dapat adik baru!

Itulah kisah pertama. Betapa gementarnya seorang anak lelaki ketika ‘menguruskan’ ibunya yang hendak bersalin. Jika dahulu semuanya kulalui dengan sukar dan gementar tetapi kini ketika kurenung wajah emak dan adik yang lahir itu, aku rasa puas. Syukur, Ya! Allah kerana aku dapat berkongsi sukar seorang ibu ketika melahirkan.

Mari kita berkongsi kisah kedua. Kisah aku dengan isteri,  ibu kepada anakku. Begini kisahnya.

Saat itu, isteri ku berada di dalam bilik kecil di rumah mertua ku. Dia sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah, “Allah, Allah, Allah.”

Tiba-tiba Mak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian semakin kerap. Apabila ‘air ketuban’ telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak cik, isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60’an. Tetapi dia sahaja harapan orang kawasan itu untuk membidani wanita yang bersalin.

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hatiku, seorang suami muda yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6). Ya bulan itu, bulan Syawal 28 tahun yang lalu.

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan.”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak ‘dibidankan’ oleh bidan atau doktor wanita. Dia tidak mahu berbidankan doktor lelaki. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang ada begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang, aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih siswa yang menuntut di sebuah IPTA. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah, keadaan sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam rawatan dan perbidanan di hospital kerjaan pun sudah semakin Islamik, apalagi pusat rawatan Islam.

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu ‘berkeras’ untuk terus mengikut kerana hendak menjaga ‘suasana’ bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung, zikir dan rintihan, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan,” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa sunatnya dengan begitu tenang sekali.

Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil ‘perjuangannya’ sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan. Aku begitu gembira mendapat anak sulung!

Sesungguhnya, pengalaman itu mengajar aku bahawa sebesar mana pun pengorbanan suami, tidaklah sebesar dan setinggi pengorbanan isteri. Suami hanya berdoa dan berusaha ‘di tepi’ gelanggang, tetapi isterilah yang bertarung nyawa di dalam gelanggang. Ya, aku relakan duhai anak, sekiranya ketaatan dan kebaikan mu tiga kali kepada ibumu berbanding aku. Dia layak untuk dimuliakan kerana dengan izin Allah, dialah yang melahirkan!

Kini, tiba masanya untuk aku ceritakan kisah terakhir. Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan ‘mengeluarkan’ segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu ‘ijazah’ yang melayakkan seorang ibu mendapat kebaikan  tiga kali ganda berbanding ayah.

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu, tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian, rasa ‘raja’ (harap) yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, bolak-baliknya hati, selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik. Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat aku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi. Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan ‘surau’ kecil itu.

Di situ seolah-olah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Allah. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepadaMu, ya Allah.

Ya, Allah pengharapan ku padaMu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepadaMu. Namun mampukah aku berpaling dariMu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunanMu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepadaMu Tuhan.

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung dhuha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

Demikian ku kisahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu dan seterusnya.

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakan ibu, kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan yang hina jika melupakan jasa ibu!

Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

<---How are you showing your support? #PrayForMH370

Have you seen the Note 3 in pink? So tempting! #mynote3--->

<--[SPECIAL] Crazy deals on LINE Shopping!



Tuesday, 21 January 2014

Paksakan Cintanya


“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan,” ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.

Saya renung matanya. Ada sayu di situ.

“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.

“Tetapi sedih sekali ustaz, isteri saya meninggal dunia.”

“Innalillah wa in na ilaihi rajiun,” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.

“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”

“Tabahlah.”

Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.

Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang lelaki tua datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.

“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami. Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.

“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”

Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya. Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang  dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.

“Baru dua bulan ustaz.”

Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga,  tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri  dan teman-teman,  “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari.”


“Kadangkala dalam hati terdetik juga, kenapa Tuhan memanggilnya pergi terlalu cepat. Kami sangat perlukannya,” katanya perlahan.

“Allah sesungguhnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya, ramai orang menyebut ungkapan ini, tetapi saudara yang paling bertuah. Allah sedang mendidik saudara tetang kasihNya.”

“Itu saya percaya ustaz. Namun, apa kaitan itu dengan musibah yang menimpa diri saya ini ustaz?”

“Saudara. Ilmu kita yang terbatas tidak dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat dan sekarang, tetapi Allah melihat yang jauh dan akan datang. Musibah hari ini boleh jadi keberuntungan pada masa akan datang.”

“Arwah isteri saudara beruntung sebenarnya,” tambah saya lagi hampir berbisik.

“Mengapa ustaz?”

“Dia meninggalkan dunia dalam keadaan saudara mencintai dan meredainya. Tidak ramai isteri yang berjaya meraih keredaan suami ketika meninggal dunia. Sedangkan, keredaan suami itu sangat penting untuk isteri meraih keredaan Allah.”

“Ya. Ya. Dia isteri yang solehah. InsyaAllah.”

“Amin.”

“Tetapi apa hal kami ini ustaz?”

“Allah sedang mendidik saudara menjadi ayah yang tabah. Musibah ini hakikatnya satu ‘mehnah’.”

“Apa maksud ‘mehnah’ itu ustaz?”

“Mehnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada seseorang dengan tujuan untuk mendidiknya. Allah mendidik  manusia   melalui ‘subjek’ yang bernama kematian, kesakitan, kegagalan dan kehilangan.”

“Sedih dan sakit ustaz.”

“Terimalah saudara, yang pedih itu ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini, kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan. Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kehilangan ini telah berlaku. Ujian ini maktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”

“Apa kebaikan kehilangan ibu buat anak yang sedang menyusu ini ustaz?”

“Saya yakin pertanyaan ini bukan kerana mempertikaikan tetapi benar-benar inginkan penjelasan.”

“Maha suci Allah. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Tetapi insan kerdil seperti saya ini manalah dapat melihat sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.”

“Kita semua insan kerdil di sisi Tuhan. Dari segi adab seorang hamba, kita wajib yakin bahawa di sebalik pemergian isteri, yakni ibu kepada anak-anak saudara ini pasti ada kebaikannya. Tetapi sebagai seorang manusia juga, kita tidak dapat menahan diri daripada bertanya kenapa?”

“Sesetengah takdir memang tidak akan kita ketahui apa maksud baiknya. Itulah iman. Perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah. Mana mungkin seorang hamba tahu semua maksud takdir Ilahi? Yakini sahaja pasti ada kebaikan.”

“Jadi peranan akal di mana ustaz?”

“Akal kita mesti terus berfikir. Jangan dimatikan. Tetapi berfikirlah ke arah kemungkinan-kemungkinan kebaikan di sebalik takdir.”

“Contohnya?”

“Contohnya, Allah mematikan ibu bagi anak-anak saudara untuk membentuk mereka menjadi pemimpin besar di kemudian hari nanti. Lihat para Rasul, nabi, ulama, dan pemimpin dunia, ramai yang berasal daripada anak yatim.”

“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan anak-anak saudara daripada menjadi anak yang derhaka. Lihat betapa ramai ibu yang telah tua renta, telah disia-siakan dan diherdik oleh anak-anaknya sendiri. Mujur, anak saudara telah terlepas daripada dosa derhaka kepada ibu,” tambah saya.

Dia mengangguk-anggukkan kepala seketika seraya saya berkata, “akal kita berfikir ke arah mencari kebaikan di sebalik ujian ini. Jangan berfikir sebaliknya. Berfikirlah untuk menjustifikasikan kebaikan takdir Allah, bukan keburukannya. Itulah tanda kita bersangka baik kepada Allah.”

“Oh! begitu. Fikiran kita mesti dikawal dan terarah, bukan disekat, apalagi dimatikan.”

“Bersangka baiklah kepada Allah dengan mencari  kebaikan di sebalik setiap takdirNya. Insya-Allah kita akan mendapat  kebaikan,” pesan saya sekalipun jauh di sudut hati menyedari saya sendiri juga masih terkial-kial dalam menerima takdir Ilahi.

“Saya sunyi ustaz. Kadangkala patah semangat untuk bangun kembali. Banyak cita-cita dan impian yang pernah kami kongsi bersama tidak kesampaian.”

“Usah begitu saudara. Sunyi itu apabila hati kita lupa mengingati Allah. Hati yang mengingati Allah tidak akan kesunyian. Cari dan binalah hati itu. Pada solat, pada Al Quran, pada selawat, pada masjid ini ada penawar kesunyian itu. Saudara tidak tersisih, bahkan terpilih untuk mencari dan menemui cinta Allah.”

Dia tunduk. Tergenang air matanya. Saya memegang belakang kepalanya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Begitulah jika bahasa kata gagal untuk mencapai maksud, bahasa rasa cuba disampaikan melalui belaian.

“Ada masanya saya menangis ustaz. Berdosakah kesedihan ini?”

“Tidak. Malah itu fitrah.”

“Namun ada yang lebih penting daripada itu.”

“Apa yang lebih penting daripada itu?”

“Peringatan Allah kepada saudara, saya dan semua manusia. Firman Allah, “Katakanlah, Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (At Taubah,24).”

“Nampaknya saya belum tega, tetapi melalui tragedi ini seolah-olah Allah paksa saya ustaz, paksa saya mencintai-Nya lebih daripada yang lain.”

“Syukurlah dengan paksaan ini. Jika tidak dipaksa  mungkin kita alpa. Allah lebih sayang akan hamba-Nya lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Ibu yang baik akan memaksa anaknya yang sakit memakan ubat yang pahit. Begitulah kita yang sakit, sepi dan sayu ini umpama ubat yang Allah paksakan kita untuk menelannya demi menyembuhkan penyakit cinta selain-Nya yang  bersarang di hati kita,” pujuk saya.

“Masih ingat impian yang pernah dibina dengan Allahyarham isteri?” tanya saya sambil memegang bahunya.

Dia mengangguk-angguk. Air matanya tergenang. Sungguh, saya terus mencari kata-kata sedangkan mata sendiri sudah berkaca dengan air mata.

“Jika dia masih hidup tentu dia ingin impiannya tercapai. Ingin melihat kedua anak ini membesar sebagai anak yang soleh. Mari kita penuhi hajatnya. Mari kita penuhi impiannya. Jika benar kita sayangi dia yang telah pergi, mari kita penuhi cita-citanya pada kedua anak yang ditinggalkannya ini. Kita mesti bangun daripada kesedihan ini. Jika tidak, impian itu akan berkecai. Buktikan cinta saudara dengan melaksanakan amanah ini. Dan semua amanah ini tidak akan dapat ditunaikan sekiranya saudara terus bersedih,” ujar saya akhirnya.

Bapa muda itu merenung saya. Anaknya sudah tertidur di pangkuannya. Bapa lelaki muda itu masih mendukung anak kecilnya, turut tekun mendengar. Saya yang duduk bertemu lutut dengannya sejak tadi teringat semula kisah-kisah yang pernah saya dengar sepanjang kehidupan ini. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada suami yang kematian isteri.  Begitulah ajaibnya Allah ‘memanggil’ sesetengah manusia kepada cintaNya, melalui kehilangan!


Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi