Followers

Nuffnang

Showing posts with label Sirah Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Sirah Rasulullah. Show all posts

Wednesday, 13 January 2016

Kenapa Nabi S.A.W Berniaga?



Sunnah? Nak kaya?

Nak tahu kenapa Islam menggalakkan umatnya berniaga?

Bukan sebab nak kaya. Tetapi sebab berniaga itu adalah suatu tarbiyyah. Tarbiyyah tentang kehidupan, kemudian mendekatkan diri menuju Tuhan.

Nabi S.A.W berniaga di usia yang muda. Di usia 20an. Dan nyata pada usia itu baginda masih belum dilantik menjadi Rasul. Jadi jelasnya kerja-kerja dakwah baginda tidak dibuat secara terang.

Orang yang berniaga ini tawakkal mereka sebenarnya lebih tinggi. Sebab mereka tidak tahu bila rezeki dalam bentuk wang akan dapat. Mereka hanya akan buat kerja dan terus usaha. Dan tawakkal mereka mutlak pada Allah taala sahaja.

Kemudian apa?

Kemudian dalam berniaga mereka akan berjumpa dan melihat pelbagai ragam manusia, mereka akan kenal ramai orang ternama dan biasa. Di sini dalam konteks dakwah, Nabi S.A.W akan belajar bagaimana untuk melihat ragam manusia dalam usaha dakwahnya sesudah dilantik menjadi rasul.

Kemudian lagi apa?

Ukhwah dan silaturrahim. Mereka akan kenal banyak orang baru dalam hidup mereka. Baik Islam mahupun bukan Islam. Dan ukhuwwah akan terjalin, atas asbab perniagaan. Sebab itu dalam berniaga perkara pokok yang perlu dijaga ialah good contact’, masyarakat cina sangat menjaga hubungan good contact mereka. Dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, ‘good contact’ digunakan dalam usaha dakwah baginda kelak. Mereka akan melihat keluhuran dan kejujuran baginda. Jika produk yang dibawa itu adalah dari buatan manusia pun sudah dijual dengan jujur, pastilah produk dari langit juga akan disampaikan secara jujur. Apa produk itu? Iman dan Islam.

Kemudian pula apa lagi?

Berniaga akan bawa diri kita merentas pelbagai medan seantero dunia. Dengan berniaga kita akan melihat kepelbagaian budaya, dan akan terhasil idea untuk menghasilkan produk yang terbaik. Contohnya goreng pisang cheese. Produk itu sudah lama wujud di Indonesia, kemudian dicipta dan dijual di Malaysia. Dan dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, baginda kerap berdagang ke sana ke mari, dan melihat kepelbagaian ragam manusia. Sewaktu muda, baginda menimba pengalaman bercampur pelbagai golongan manusia. Baginda tidak menilai manusia dari luaran. Sebab itulah dakwah baginda sampai ke setiap lapisan masyarakat. Tua dan muda, miskin dan kaya, hamba dan raja, lelaki dan wanita.

Perniagaan adalah satu tarbiyyah terbaik. Terbaik untuk mendidik jiwa anda dan belajar matlamat asal kehidupan. Perasaan tawakkal dan syukur paling banyak dalam jiwa orang yang berniaga.

Ramai antara kita membaca kisah sesudah Nabi S.A.W menjadi rasul iaitu diusia baginda 40 tahun. Namun ramai yang tidak tahu apa yang baginda buat sewaktu usia muda. 

Ketahuilah, baginda bukan duduk bersahaja. Baginda ditarbiyyah pelbagai cara. Salah satunya jalan perniagaan. Baginda bercampur dengan pelbagai jenis manusia untuk belajar mengenali umatnya. Baginda merantau untuk  mendekati kepelbagaian manusia. 

Oleh itu, sunnah dalam perniagaan bukanlah mesti kaya. Kerana sunnah dalam perniagaan adalah tarbiyyah diri untuk menjadi hamba. Itulah cara Tuhan mengajar manusia.

Tingkatkan dalam hati rasa syukur dan tawakkal.

Sekiranya berniaga untuk kaya, maka tak perlu berniaga. Kerana berniaga nak kaya itu adalah kesilapan pertama.

Tetapi sekiranya berniaga untuk mencari nafkah dan berbakti memberi manfaat pada umat manusia, itulah matlamat asal perniagaan dalam agama.

Lupakah kalian pada sabda baginda, bahawa sebaik-baik umat Nabi S.A.W adalah yang memberi manfaat pada mukmin yang lain?

Sebenarnya konsep berniaga adalah memberi manfaat. Dan bukan nak kaya.

Berapa usia kita?

Contohi Nabi S.A.W di usia kita.

Barulah ianya dipanggil mengikut sunnah.

Nak sayang Nabi S.A.W? Kena tiru Nabi S.A.W.

Sebab itu berniaga kena pegang 2 benda. Jangan malu dan jangan putus asa. Sebab dakwah juga tidak boleh malu dan putus asa. Barulah ia sunnah.

Aku juga pernah berputus asa berniaga. Tapi aku belajar rasa sakitnya jatuh, supaya kelak aku faham nikmatnya bangkit.

Sunnah itu bukan pada jubah, makanan atau pakaian.

Tetapi sunnah pada perlaksanaan.

Sholawatt.


Friday, 17 August 2012

Rasulullah S.A.W. Dengan Pengemis Yahudi Yang Buta


Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya.”

Setiap pagi Rasulullah S.A.W mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah S.A.W menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah S.A.W melakukannya hingga menjelang baginda wafat. Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi yang buta itu.


Suatu hari Abu Bakar R.A berkunjung ke rumah anaknya Aisyah R.A. Beliau bertanya kepada anaknya, “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?” 

Aisyah R.A menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja.” 

“Apakah itu?” tanya Abu Bakar R.A. 

“Setiap pagi Rasulullah S.A.W selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana,” kata Aisyah R.A.


Keesokan harinya Abu Bakar R.A pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar R.A mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. 


Ketika Abu Bakar R.A mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “Siapakah kamu?” 

Abu Bakar R.A menjawab, “Aku orang yang biasa.” 

“Bukan. Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab si pengemis buta itu. 

“Apabila dia (Rasulullah S.A.W) datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri,” pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar R.A tidak dapat menahan air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah S.A.W.” 

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar R.A, dia pun menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia.” 

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar R.A.

Monday, 6 August 2012

Kehidupan Zuhud Nabi Muhammad S.A.W



Suatu ketika Rasulullah S.A.W bersumpah akan berpisah dengan isteri-isterinya selama satu bulan, sebagai peringatan bagi mereka kerana kurang biasa mengikuti kehidupan baginda yang zuhud. Selama sebulan baginda tinggal seorang diri dalam sebuah kamar sederhana yang letaknya agak tinggi.

Terdengar khabar di kalangan para sahabat bahwa Nabi SAW telah menceraikan semua isterinya.

Ketika Umar Bin Al-Khattab mendengar khabar ini, segera dia berlari ke masjid.
Setiba di sana, dia melihat para sahabat sedang duduk termenung, mereka bersedih dan menangis. Juga kaum wanita, mereka menangis di rumah-rumah mereka.

Kemudian Umar pergi menemui puterinya, Hafshah, yang telah dinikahi oleh Rasulullah S.A.W. Umar juga mendapati Hafshah sedang menangis di kamarnya. Dia kemudian bertanya kepada Hafshah, “Mengapa engkau menangis? Bukankah selama ini aku telah melarangmu agar tidak melakukan sesuatu yang dapat menyinggung perasaan Rasulullah S.A.W?”


Hafshah tak menjawab apa-apa, dia terus menangis.

Umar lalu kembali ke masjid, terlihat olehnya beberapa orang sahabat sedang menangis di mimbar. Kemudian dia duduk bersama para sahabat, lalu berjalan ke arah kamar Nabi Muhammad S.A.W, yang terletak di tingkat atas masjid. 
Umar mendapati Rabah, sahabat yang selalu mengikuti Rasulullah, dan dia meminta kepada Rabah agar memohon izin kepada Rasulullah untuk menemuinya.

Rabah menghadap Nabi S.A.W, kemudian kembali dan memberitahukan bahawa dia telah menyampaikan permohonan izin Umar, namun Nabi S.A.W hanya diam.


Permintaan untuk menjumpai Nabi S.A.W diulang beberapa kali, hingga ketiga kalinya barulah Nabi Muhammad S.A.W mengizinkan Umar untuk naik menghadapnya.

Ketika masuk, Umar melihat Nabi S.A.W tengah berbaring di atas sehelai tikar yang diperbuat dari pelepah daun kurma, sehingga pada badan Nabi S.A.W yang putih bersih itu terlihat jelas bekas-bekas guratan daun kurma. Di tempat kepala baginda ada sebuah bantal yang diperbuat dari kulit binatang yang dipenuhi daun dan kulit pohon kurma.

Selepas mengucapkan salam kepada baginda, Umar kemudian bertanya, “Apakah Tuan telah menceraikan isteri-isteri Tuan, ya Rasulullah?”


Nabi S.A.W menjawab, “Tidak.”

Umar sedikit lega, lalu dia mengatakan, “Ya Rasulullah, kita adalah kaum Quraisy yang selamanya telah menguasai wanita-wanita kita. Tetapi setelah kita hijrah ke Madinah, keadaannya sungguh berbeza dengan orang-orang Ansar. Mereka telah dikuasai wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita terpengaruh dengan kebiasaan kaum Anshar.”

Nabi S.A.W tersenyum mendengar perkataan Umar.

Umar pun menangis.

Umar lalu memperhatikan keadaan kamar Nabi S.A.W. Terlihat tiga lembar kulit binatang yang telah disamak dan sedikit gandum di sudut kamar itu, selain itu tidak terdapat apa-apa pun. Umar menangis tersengguk-sengguk melihat keadaan Nabi yang seperti itu.

Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bertanya kepada Umar, “Mengapa engkau menangis, wahai Umar?”


“Bagaimana saya tidak menangis, ya Rasulullah. Saya sedih melihat bekas tanda tikar di badan Tuan yang mulia dan saya prihatin melihat keadaan kamar ini. Semoga Allah S.W.T mengkurniakan kepada tuan bekal yang lebih banyak.

Orang-orang Parsi dan Rom yang tidak beragama dan tidak menyembah Allah, tetapi raja mereka hidup mewah. Mereka hidup dikelilingi taman yang di tengahnya mengalir sungai, sedangkan engkau adalah rasul Allah, tetapi engkau hidup dalam keadaan sangat miskin,” kata Umar Bin Al-Khattab.

Mendengar jawapan Umar, Rasulullah SAW bangun dan berkata, “Wahai Umar, sepertinya engkau masih ragu mengenai hal ini. Dengarlah, kenikmatan di alam akhirat tentu akan lebih baik daripada kesenangan hidup dan kemewahan di dunia ini. Jika orang-orang kafir itu dapat hidup mewah di dunia ini, kita pun akan memperoleh segala kenikmatan tersebut di akhirat nanti. Di sana kita akan mendapatkan segala-galanya.”

Kata-kata Nabi, “Jika orang-orang kafir itu dapat hidup mewah di dunia ini, kita pun akan memperoleh segala kenikmatan tersebut di akhirat nanti” tentu tidak dimaksudkan untuk mengatakan bahawa keadaan di akhirat, dalam hal ini di syurga, sama dengan “kenikmatan tersebut”. Kerana, dalam sebuah hadis dikatakan, kenikmatan di syurga itu sungguh luar biasa, belum pernah kita lihat dan kita dengar sebelumnya, bahkan kita bayangkan saja belum.

Mendengar sabda Nabi, Umar merasa menyesal. Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, mohonlah kepada Allah S.W.T untuk saya. Saya telah bersalah dalam hal ini.”

Rasulullah S.A.W membesarkan hati sahabatnya itu. Umar pun merasa lega.

Kehidupan baginda yang zuhud itu pun menjadi salah satu keutamaan baginda yang sebelumnya sering disalahertikan oleh para isterinya. Dan setelah kejadian itu, Rasulullah menasihati para isterinya akan kepastian janji-janji Allah S.W.T di yaumul akhir. Para isteri itu pun akhrinya menyesali perilaku mereka dan memperbaharui kesetiaan mereka kepada Rasulullah S.A.W bahawa, apa pun yang terjadi, mereka semua memilih mengikut Rasulullah S.A.W, termasuk untuk hidup zuhud.


Sumber: http://www.madinatulilmi.com/

Thursday, 14 June 2012

Isra’ Mikraj, Baitul Maqdis dan Perjuangan Islam




Tahun Kesedihan



Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai tahun kesedihan ekoran kewafatan bapa saudara Nabi S.A.W iaitu Abu Talib dan juga kewafataan isteri baginda S.A.W yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta pertolongan kepada Nabi S.A.W dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan Islam.
Tidak hanya dengan kesedihan kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda S.A.W, sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda S.A.W pergi ke Thaif untuk menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari markaz baru di luar Mekah. Namun kedatangan baginda S.A.W ke Thaif disambut dengan batu yang dilontarkan oleh penduduk Thaif.
Ekoran cabaran yang begitu hebat diterima, satu demi satu cabaran yang menimpa baginda S.A.W ditambah lagi dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalana pulang dari Thaif, Nabi S.A.W mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang begitu pilu :
“Ya Allah kepada-Mu jua aku mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan (tempat pergantungan) bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa hendak Engkau serahkan akan diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam denganku atau adakah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak menegurku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”
Justeru, tahun berlakunya peristiwa Isra’ Mikrak bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan bapa saudara dan isteri baginda S.A.W, bahkan ditambah lagi dengan keperitan dalam perjuangan iaitu penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi S.A.W, dengan cara menyakiti Nabi S.A.W.
Peristiwa Isra’ Dan Mikraj
Isra’ Mikraj merupakan mukjizat agung yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi S.A.W. Peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam sahaja dan ditemani oleh Jibrail AS. Allah SWT menjalankan Nabi S.A.W dari tempat tidur baginda S.A.W iaitu di Mekah sehingga ke Baitul Maqdis dengan menaiki buraq, kemudian bertemu dengan para nabi yang terdahulu dan baginda mengimami solat secara berjemaah. Selepas itu Nabi S.A.W diangkat ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT.
Peristiwa ini berlaku dalam keadaan sedar dan Nabi S.A.W dibawa jalan sehingga naik ke Sidratul Muntaha dalam keadaan berjasad dan roh, bukan hanya roh sahaja. Ini merupakan pendapat majoriti ulama berkenaan mukjizat mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.[1]
Peristiwa ini disebutkan di dalam Al-Quran pada 2 tempat iaitu :
1- Dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
2- Dalam Surah An-Najm pada ayat ke-18, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (kebesaran dan keagungan) Tuhannya.”
Tanda-tanda yang besar di sini ialah ketika peristiwa Isra’ Mikraj. Nabi S.A.W telah diperlihatkan mengenai keadaan ahli-ahli syurga dan neraka. Dan Nabi S.A.W telah bertemu dengan Allah SWT.
Antara seksaan yang perlihatkan kepada baginda S.A.W yang menimpa ke atas ahli-ahli neraka ialah :
1- Balasan mengumpat. Nabi S.A.W melihat mereka yang melakukan dosa mengumpat di dalam neraka memakan bangkai-bangkai.[2]
2- Balasan memakan harta anak yatim secara zalim dan batil. Mereka dikenakan seksaan dengan memakan bara-bara api sehinggalah terkeluar semula bara api tersebut dari dubur mereka, dan mereka akan mengulanginya semula, sehinggalah tamat tempoh seksaan mereka atas dosa memakan harta anak yatim secara zalim.[3]
3- Dosa orang yang memakan riba’. Perut mereka dipenuhi dengan ular-ular yang hidup yang keluar masuk dari perut mereka.[4]
Dan juga dosa-dosa lain seperti zina, orang yang tidak mahu menunaikan zakat, orang yang melakukan fitnah dan tidak melaksanakan amanah dengan baik. Selain itu Nabi S.A.W juga diperlihatkan dengan ganjaran bagi mereka yang berjihad di jalan Allah iaitu baginda S.A.W melihat sekumpulan manusia yang menanam tanaman kemudian menuai dan mendapatkan hasil pada kemudian hari. Jibrail berkata :
“Mereka itulah orang yang berjihad di jalan Allah, digandakan bagi mereka pahala sebanyak 700 kali ganda.”[5]

Baitul Maqdis Diberkati
Keterikan Isra’ Mikraj dengan Baitul Maqdis menunjukkan bahawa petanda bagi kepentingan Baitul Maqdis ke atas umat Islam. Bahkan dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama Allah SWT menyebut bahawa Baitul Maqdis merupakan tempat yang diberkati oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
Bahkan Baitul Maqdis menjadi tempat perhimpunan bagi para nabi di malam hari dan menyaksikan bahawa pengiktirafan ke atas Nabi S.A.W sebagai penghulu segala nabi dengan menjadi imam solat bagi para nabi. Justeru, ia memang tempat yang diberkati dengan mukjizat Isra’ Mikraj apabila tempat perhentian Nabi S.A.W sebelum dinaikkan ke langit dan juga tempat perhimpunan para nabi sejak terdahulu.
Justeru, situasi pada hari ini juga menunjukkan bahawa betapa penting dan bernilainya Baitul Maqdis dan Saidina Umar di zaman pemerintahannya menjadi orang yang pertama membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan Rom. Kemudian apabila Baitul Maqdis dijajah kembali oleh pihak Salib, maka Panglima Solahuddin Al-Ayubi menjadi orang yang kedua yang membebaskan Baitul Maqdis. Dan konflik pada hari ini dan tekanan yang diterima oleh rakyat Palestin yang ditindas, siapakah yang akan menjadi panglima dalam membebaskannya untuk kali yang ke-3? Maka inilah antara keberkatan yang diberikan oleh Allah iaitu dengan sentiasa mengalirnya darah syuhada di Palestin dalam jihad membebaskan Baitul Maqdis dari tangan penjajah. Benar sabda Nabi S.AW. yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[6]
Di dalam satu riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[7]
Nilai Baitul Maqdis Terhadap Umat Islam
Dr Yusuf Al-Qardhawi menyenaraikan 5 nilai Baitul Maqdis terhadap umat Islam, iaitu :
1- Kiblat yang pertama sebelum ditukarkan kepada Kaabah menjadi kiblat bagi umat Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-150.
2- Tempat berlaku peristiwa Isra’ Mikraj, serta dinyatakan bahawa Allah memberkati Baitul Maqdis dan di sekelilingnya, berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ pada ayat pertama.
3- Antara 3 masjid yang mempunyai kelebihan yang besar. Nabi SAW menyebutkan di dalam hadis yang bermaksud :
“Janganlah kamu selalu pergi melancong melainkan pada 3 tempat untuk kamu ziarah iaitu Masjidil Haram, Masjid Al-Aqsa dan masjidku ini (Masjid An-Nabawi)”[8]
4- Tanah bagi para nabi. Kisah para Nabi yang pergi ke Palestin (Baitul Maqdis di dalam Palestin), seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan pengikutnya apabila diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya, dan Nabi Sulaiman. Kesemua kisah yang dipaparkan dalam Al-Quran menyebut mengenai tanah yang diberkati yang merujuk kepada Palestin. Rujuk Surah Al-Anbiya’ pada ayat ke-71dan 81, Surah Al-A’raf pada ayat ke-137 dan Surah Saba’ pada ayat ke-18.
5- Tanah jihad. Hal ini berdasarkan kepada Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[9]
Di dalam satu riawayat yang lain : “Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis”[10]

Perjuangan Ke Baitul Maqdis Masih Belum Berakhir
Hari ini umat Islam masih lagi menanti panglima sebagaimana Umar Al-Khattab dan Solahuddin Al-Ayubi yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari jajahan musuh. Selepas mereka, siapakan yang akan muncul bagi membebaskannya buat kali ke-3? Perjuangan masih berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana janji Nabi S.A.W dalam hadis baginda S.A.W.
Justeru dalam memperingati Isra’ Mikraj ini, kita dapat simpulkan beberapa perkara yang boleh diambil agar kita meneruskan perjuangan Islam terutama terhadap kewajipan membebaskan Baitul Maqdis ialah :
1- Mehnah dan tribulasi dalam perjuangan Islam merupakan asam garam dalam dunia perjuangan. Nabi S.A.W juga diuji bahkan lebih berat daripada kita. Maka tidak perlu bersedih dengan mehnah dan tribulasi, apa yang pasti kita merupakan makhluk yang mulia di sisi Allah sekira kita beriman walau dicerca dan dicaci. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran : 139 yang bermaksud :
“Jangan kamu berasa hina dan sedih, kamu lebih tinggi (mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.”
2- Perjuangan memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak menjanjikan kemewahan dan mempunyai tempoh yang diketahui. Halangan dan tentangan manusia terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian, kerana mereka masih belum mengetahui. Namun perjuangan tidak boleh dihentikan. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah pada ayat ke-42 :
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, akan tetapi ia tempoh yang berpanjangan dan pasti menerima kesusahan.”
3- Allah SWT tempat pergantungan kita dalam perjuangan. Doa merupaksan senjata umat Islam. Nabi S.A.W berdoa dengan sayu ketika pulang dari Thaif. Inilah perbezaan perjuangan Islam dengan perjuangan taghut. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-104 :
“Sekiranya kamu merasa sakit sesungguhnya pihak musuh juga merasai kesakitan sebagaimana kamu merasai sakit, dan kamu mengharapkan Allah sedangkan mereka tidak mengharapkan.”
4- Kita merupakan rantai dalam perjuangan yang membawa perjuangan Islam yang diwarisi daripada pejuang-pejuang terdahulu. Pejuang dahulu juga telah merasai keperitan dan telah berkorban demi perjuangan yang suci ini. Begitulah apabila Nabi SAW dalam tahun kesedihan maka Allah mempertemukan baginda S.A.W dengan para nabi yang lain agar baginda SAW tidak merasai keperitan baginda S.A.W bukan hanya baginda SAW yang merasai namun ia juga dirasai oleh para nabi yang terdahulu dalam menegakkan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab pada ayat ke-23:
“Di antara orang yang beriman tersebut ada orang yang telah menepati apa yang mereka telah janjikan kepada Allah, maka di antara ada yang telah gugur. Dan di antara mereka ada yang masih menanti (syahid) dan mereka tidak mengubah (janji-Nya untuk berjuang di jalan Allah).”
6- Perjuangan tidak pernah berhenti dan tamat. Pergolakan yang berlaku di dunia yang menyaksikan umat Islam ditindas merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bahawa perjuangan Islam tidak pernah berhenti. Islam terus diperjuangkan sehinggalah manusia kembali kepada Allah iaitu sehingga hari kiamat. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :
“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan kebenaran, mereka tidak akan mampu disekat atau dihalang oleh orang yang membenci mereka dan kelompok tadi akan terus berjuang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya.”[11]
Wallahu a’lam…
Disediakan oleh :
‘Izzati Farhana bt Mahadzir
Penasihat HEWI PMRAM 2012
Rujukan :
1- As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2- Fiqh As-Sirah, oleh Dr Muhamad Said Ramadhan Buthi, cetakan Dar As-Salam
3- Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
[1] Imam Nawawi dalam syarahnya ke atas Sahih Muslim, m/s 390 dan Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari
[2] Al-Fath Ar-Rabbani m/s 255
[3] Fathul Bari jilid 8 m/s 200
[4] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 4 m/s 274
[5] As-Sirah An-Nabawiyah, oleh Dr Ali As-Solabi, m/s 278
[6] Bukhari dan Muslim
[7] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[8] Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah dan Abi Sa’id AL-Khudri
[9] Bukhari dan Muslim
[10] Riwayat Abdullah bin Ahmad di dalam Musnad Ahmad
[11] Bukhari dan Muslim

Sunday, 27 May 2012

Koleksi Doa Di Murahkan Rezeki Di Kala Kesempitan



“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan.” – (Surah Hud:6)
Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam R.A, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy’ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.
Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.
Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.
Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu.
Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)
Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

Sumber: http://www.iluvislam.com/

Wednesday, 7 March 2012

Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri



BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.


Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
Gemar berjalan kaki
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.
Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah
di hati.
Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.
Oleh Ustaz Zawawi Yusoh