~moga dikurniakan cahaya meski fitnah melanda~
UmarMita Of LangitIlahi
Usia manusia semakin lama semakin tua. Begitu juga dunia. Kerana setiap yang hidup itu ada matinya. Setiap permulaan ada penghujungnya. Sebelum mencapai kepada pengakhiran kebiasannya terpampar pada manusia tanda-tandanya. Dunia yang kita berpijak di atasnya ini tidak terkecuali. Semakin hampir kepada penghujung usianya (dunia) terdapat tanda-tanda yang boleh kita renung semula. Apakah ia?
Hadis Fitan
Abu Hurairah merekodkan daripada Nabi sallahu alaihi wasalam(s.a.w):
Masa terasa pendek, amal soleh berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah (maksiat) berleluasa, dan banyaknya kekecohan. Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah kekecohan tersebut? Nabi s.a.w menjawab: “Pembunuhan-pembunuhan”.
(HR Bukhari dalam Kitab Fitan dalam bab ‘Zuhur Al-Fitan’ dan HR Muslim dalam Kitab Al-‘Ilm)
Penerangan Hadis
1. Masa terasa pendek
Dalam menerangkan tentang frasa ini terdapat beberapa pendapat ulama’:
Imam Al-Khatabi: Ia adalah kelazatan dalam kehidupan yang membawa maksud berlaku ketikamana manusia keluar daripada rahim ibunya dan dipertanggungjawabkan kepadanya amanah di muka bumi. Dengan itu, manusia itu berlaku adil dan dia merasa keseronokan dalam kehidupan, tetapi masanya singkat. Hingga sekarang, kebanyakan manusia merasa pendek pada saat manis dalam kehidupan walaupun sebenarnya ia panjang, sebaliknya merasa panjang waktu-waktu yang dibenci meski ia pendek.
Al-Hafizh Ibn Hajar mengambil kata-kata Al-Karmani dalam memberi komen terhadap pandangan Imam Al-Khatabi, bahawa ianya kurang tepat dek kerana ia tidak bersesuaian dengan tersebar luasnya fitnah-fitnah yang lain yang telah disebutkan dalam hadis yang sama selepas itu. Namun, pendapat beliau (al-Khatabi) bersesuaian dengan zaman beliau yang masih terjaga dari pelbagai sudut dalam hal kebaikan.
Justeru, beliau (Ibn Hajar) mengambil pendapat Imam Nawawi yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan masa terasa pendek itu adalah dekatnya manusia kepada hari kiamat. Selain itu, ia juga boleh menggambarkan bahawa masa yang manusia punya, tidak membawa keberkatan dalam kehidupan.
Jika kita renung semula kehidupan kita sehari-hari, masa yang berlalu terlalu pantas. Kita seakan-akan tidak mampu untuk menjangkau sesuatu amalan kebaikan melebihi rutin harian. Bekerja atau belajar. Tiada tambahan ibadah melainkan yang diwajibkan Allah. Hal ini, terjadi kerana kita gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Banyak perkara sia-sia yang bermain dalam minda dek kerana kita selalu ingin berasa selesa. Kita janggal untuk meninggalkan kebiasaan hidup kerna kita tahu mencari kebenaran itu perlu pengorbanan.
Oleh yang demikian, keselesaan itu sebenarnya membunuh kehidupan. Umat yang terdahulu berjaya bukan kerana mereka sekadar hidup bersama nabi s.a.w bahkan berjuang menitis air mata dan darah dalam perjuangan mengangkat panji islam. Mungkin kita tidak sehebat mereka. Tidak pula perlu mengangkat senjata. Namun, dalam bidang yang kita ceburi pastikan ada manfaat untuk agama Ilahi.
2. Berkurangnya Amal
Berkurang amal di sini membawa dua maksud sama ada amal manusia di dunia atau amal kebaikan manusia di akhirat kelak disebabkan kurangnya manusia keberkatan masa seperti yang disebutkan di atas, maka manusia itu kurang mampu untuk beramal soleh natijah dari masa yang seakan-akan terhad.
Dari pandangan lain, berkurangnya amal boleh juga digambarkan kerana mungkin manusia itu beramal soleh namun terdapat kecacatan padanya dek kerana salah laku niat atau cara disamping berlaku banyak pengkianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sama ada pemimpin merobek khazanah rakyat, yang berkuasa berterusan menindas yang kurang upaya, ahli ilmu tiada amanah dalam menyampaikan dan sebagainya.
Terdapat juga dalam riwayat yang lain direkodkan bahawa berkurangnya ilmu ganti kepada berkurangnya amal. Boleh jadi makna berkurangnya ilmu adalah kita mudah lupa akan apa yang kita pelajari. Hal ini seringkali terjadi. Mungkin kerana kekurangan kesungguhan kita dalam mendalami sesuatu ilmu dan juga berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang memberikan kesan terhadap budaya dan cara fikir manusia.
Selain itu, berkurangnya ilmu juga boleh berlaku dengan cara Allah mencabut nyawa ahlinya (ulama’) dan tidak ada pengganti yang secocok sepertinya. Dalam hadis yang lain nabi sallahu alaihi wasalam menyebutkan dari Abdullah ibn ‘Amr ibn ‘As:
“Sesungguh Allah tidak mencabut ilmu itu dengan mengambilnya daripada dada-dada manusia, tetapi dengan mematikan ulama’-ulama’. Maka tinggallah dunia ini mengambil orang-orang yang jahil sebagai ketua atau tempat rujukan mereka. Bila ditanyakan kepada mereka maka mereka akan menjawab dan memberi saranan tetapi dalam keadaan yang tiada ilmu tentangnya, maka terhumban manusia dalam kesesatan yang berpanjangan.”(HR Bukhari)
Perkara ini benar-benar berlaku kini. Kita lihat umat era ini tidak kurangnya dari sudut sumber ilmu. Bahkan apa yang tercatat-catat dalam lembaran buku-buku muktabar tidak bisa dinafikan kesahihannya dan tidak punya saringan. Namun, realiti yang berlaku sesetengah umat ini khususnya dalam bidang agama dan amnya kepada semua mungkin semakin bijak dalam pengetahuan masing-masing, malangnya ilmu itu digunakan bukan pada tempatnya. Maka terjadilah banyak perbalahan yang tidak berkesudahan dalam perkara-perkara cabang yang sebenarnya telah lama diperbincangkan.
Berkaitan dengan ulama’-ulama’ yang telah dipanggil semula mengadap-Nya juga menjadi buah telinga kita pada hari ini. Semakin ramai pula dalam kalangan mereka dijemput menghadap Allah. Baru-baru ini, Al-Fadhil Syeikh Dr Saeed Ramadhan Al-Bouti (moga Allah merahmatinya), telah pergi meninggalkan dunia. Namun, bukan di sini untuk membincangkan ijtihad beliau atau bagaimana sebenarnya kematian beliau. Suatu perkara yang tidak dinafikan adalah ramai ilmuan meneguk ilmu daripada beliau sama ada secara langsung atau berdasarkan tulisan beliau. Adapun apa yang cuba saya utarakan adalah kematian para ahli ilmu dewasa ini semakin bertambah kian hari. Natijahnya, manusia diambang dalam kesesatan.
3. Kebakhilan Bermaharajalela
Intisari daripada frasa ini adalah manusia zaman ini bersikap tamak bahkan lebih buruk lokek (kedekut) pula untuk berkongsi kepada manusia yang lain. Pelbagai sudut yang boleh dimaksudkan kebakhilan yang melanda umat ini:
i- Orang yang berilmu kedekut dengan ilmunya maka dia meninggalkan untuk mengajarkan manusia dan mengeluarkan fatwa yang membantu manusia.
* Perkara ini ternyata berlaku. Dari sudut lain, boleh juga kita tengok bahawa ramai orang mengajar sesuatu ilmu tetapi bukan memberi manfaat kepada manusia bahkan menambahkan lagi kecelaruan dek kerana ilmu yang tulen tidak lagi disebarkan dengan adil
ii- Orang yang mempunyai kelebihan dalam apa jua bidang meninggalkan untuk mengembangkan kelebihan kepada orang yang lain kerana bimbang disaingi.
iii- Orang yang kaya bakhil dengan hartanya hingga orang-orang miskin terbinasa.
* Dalam sistem kapitalis yang ada sekarang ini, perkara ini menjadi barah berlarutan. Si kaya bertambah kaya. Yang miskin kekal miskin. Dari satu sudut mungkin terzahir orang yang kaya atau pimpinan ini memberi bantuan kepada goloangan miskin yang memerlukan. Hakikatnya mereka merompak kekayaan yang ada dan menindas golongan marhaen.
4. Fitnah (maksiat) berleluasa.
Melihat pada era globalisasi kini, kita lihat maksiat begitu mudah menjalar masuk dalam jiwa manusia. Jika bukan manusia itu yang mencari asbab-asbab yang nyata kepada maksiat, namun kejahatan itu juga bisa turut menusuk melalui niat baik kita. Sebagai contoh dalam pada penggunaan facebook atau twitter atau selainnya, kadang-kadang kita tidak terlepas daripada terpandang iklan-iklan yang termampar yang mana sudah tentu banyak keburukan dari sudut etika.
Belum lagi bicara tentang gadjet yang serba canggih yang mana hari ini menjadi suatu perkara yang asing jika anak muda tidak membawanya. Penggunaan gadjet-gadjet tersebut juga tidak terlepas daripada dosa-dosa kering. Bagaimana pula dengan perlakuan serta hubungan muda-mudi kita sekarang?
Maksiat dan dosa itu dipandang enteng, dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Hatta orang lain yang terdiri dari ibupa kadang-kadang dan juga masyarakat yang lain tidak bisa menegur perlakuan buruk yang dilakukan. Justeru, atas sebab-sebab ini kita melihat fitnah maksiat itu semakin berleluasa dan menjadi barah yang semakin parah.
Bukan niat saya menghalang untuk menggunakan segala bentuk kemudahan yang ada. Adapun jika ianya diguna ke arah kebaikan maka ia lebih membawa manusia itu dekat dengan tuhan. Bukan juga untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi berbalik kepada menyalahkan diri sendiri yang tidak berusaha untuk mengubah masyarakat kepada lebih baik. Jika tiada kemampuan maka berusahalah menjadi masyarakat yang baik sudah memadai.
5. Banyaknya kekecohan
Berdasarkan riwayat dalam hadis yang disebutkan di atas kekecohan yang banyak berlaku adalah pembunuhan. Tidak dinafikan lagi, akhir zaman ini banyak berlaku pembunuhan akibat daripada peperangan sesama manusia kerana tamakkan harta, kuasa atau bertitik tolak atas kebencian terhadap sesuatu agama. Melihat contoh yang berlegar disekeliling kita seperti yang berlaku di Syria, Palestin dan lain-lain negara.
Dalam riwayat yang lain disebutkan maksud kekecohan itu belaku disebabkan ‘pembunuhan’ dengan lisan. Tidak perlu terbang jauh untuk mengukir contoh. Dalam negara kita sendiri banyak perpecahan dan kekecohan atas sikap tidak amanah ahli ilmu dalam pelbagai bidang dalam pada menyampaikan ilmu lebih lagi dalam melaksanakannya dalam urusan berkaitan dengan manusia yang lain pula.
Kesimpulan
Sudah tentu fitnah-fitnah yang berlaku atau menjadi tanda-tanda kecil bahawa kiamat itu sudah hampir dengan kita. Adapun, apa yang disebutkan dalam hadis ini merupakan ‘ibu’ kepada fitnah-fitnah yang lainnya. Bukan ketakutan yang cuba saya gambarkan dalam artikel saya ini. Tetapi hanya mahu meninggalkan persoalan apa usaha yang kita cuba lakukan untuk membaiki diri sendiri dan masyarakat kita hari ini daripada terselamat daripada fitnah-fitnah ini?
Ayuh muhasabahlah semula wahai manusia!
No comments:
Post a Comment