Pada peluang ini saya ingin berkongsi sebuah hadis qudsi bersama para pembaca sekalian. Hadis ini agak panjang, dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 6021/6502 dan merupakan salah sebuah hadis yang dipilih oleh al-Imam al-Nawawi dalam Matn al-Arbain, hadis yang ke-38. Dalam hadis ini Rasulullah bersabda, bahawa Allah berfirman:
Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya. Dan tidaklah hamba-Ku berterusan bertaqarrub kepada-Ku melalui amalan-amalan nawafil sehinggalah aku mencintainya.
Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dia jadikan untuk berjalan. Jika dia meminta daripada-Ku nescaya Aku berikan dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungkan.
Dan tidaklah Aku prihatin terhadap sesuatu yang Aku sendiri adalah pembuatnya, melainkan keprihatinan-Ku terhadap jiwa seorang mukmin yang membenci kematian sementara Aku juga membenci berbuat buruk terhadapnya.
Kepentingan Ibadah Fardhu
Hadis ini memiliki banyak mutiara di dalamnya, namun fokus saya tertuju kepada sebuah rangkap sahaja, iaitu firman Allah: Dan tiadalah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya.
Saya tertarik dengan rangkap ini kerana kerap kali apabila seseorang itu ingin bertaqarrub kepada Allah – yakni mendekatkan diri kepada Allah – dia menumpukan usahanya kepada memperbanyakkan amalan-amalan sunat.
Lebih menyedihkan, dalam rangka bertaqarrub ini seseorang itu membuat-buat amalan bid’ah yang dianggapnya baik. Bahkan amalan bid’ah tersebut saban hari semakin banyak dan semakin canggih, sehingga apa yang sebenarnya diajar oleh Allah dan Rasul-Nya tenggelam entah ke mana. Semua bid’ah ini dicipta dan diamalkan dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah, padahal bertaqarrub yang terbaik lagi yang paling dicintai oleh Allah hanyalah ibadah-ibadah fardhu.
Ibadah-ibadah fardhu seperti solat lima kali sehari, puasa pada bulan Ramadhan, zakat tahunan dan haji pertama bagi yang mampu, inilah sebenarnya ibadah yang paling dicintai Allah, yang paling dapat mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah.
Saya yakin ibadah-ibadah fardhu ini sudah menjadi kelaziman para pembaca budiman sekalian. Namun oleh kerana kelaziman inilah, mungkin ada di antara kita yang terlepas pandang akan kepentingan dan keutamaannya. Mungkin ada di antara kita yang melaksanakannya sebagai satu kewajipan semata-mata, tanpa menyedari ia adalah amalan yang paling dicintai Allah, yang dapat menghampirkan diri kita kepada-Nya.
Menyempurnakan Ibadah Fardhu
Berdasarkan kesedaran bahawa ibadah fardhu adalah cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka marilah kita semua menyemak semula ibadah-ibadah fardhu yang lazim dilaksanakan. Ayuh kita menyempurnakannya, mengemaskannya dan menyempurnakannya.
Marilah kita mengulang kaji ibadah solat kita, jangan sekadar berpuas hati dengan apa yang dipelajari pada zaman sekolah dahulu. Marilah kita menyemak semula ibadah puasa kita dalam bulan Ramadhan, janganlah sekadar mengikuti apa yang menjadi kebiasaan masyarakat.
Marilah kita mengulang kaji dan menyemak bukan berdasarkan apa yang ustaz kata dan ustazah cerita, tetapi berdasarkan apa yang Allah firmankan dan apa yang Rasulullah ajar serta tunjukkan. Marilah kita bertaqarrub kepada Allah dengan sesuatu yang sebenarnya sudah kita lakukan, namun kini dipertingkatkan dengan ilmu, dalil, hujah dan keyakinan.
No comments:
Post a Comment