Followers
Nuffnang
Friday, 8 March 2013
Mintalah Fatwa Dari Hatimu
Nabi Tahu Soalannya
“Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah Bin Ma’bad R.huma datang berjumpa Nabi S.A.W. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah S.A.W meneka, “Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar.”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas Bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.
Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa
Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa. Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran, “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema, “Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita. Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan.
Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah
Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.
Jika Ragu, Tinggalkanlah
Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.
Imam an-Nawawi memberikan contoh kes. Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A. Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dan tahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.
Isyarat Hati
Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1) Tanda dalam - hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2) Tanda luar - tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal. Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.
Jom sihatkan hati. Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.
(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)
Sumber: Fatimah Syarha Mohd Noordin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment