Followers

Nuffnang

Thursday, 17 January 2013

Kisah Abu Hurairah


Dari Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.
Dari Abu Hurairah R.A, Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.”

Abu Hurairah sahabat Rasulullah S.A.W ini ialah seorang perawi hadis yang terkenal. Dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Namanya sebelum Islam Abd Syams sedangkan nama Islamnya adalah Abdur Rahman. Berasal daripada qabilah ad-Dusi di Yaman.
Gelaran Abu Hurairah R.A adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah R.A bertemu Rasullullah S.A.W dia ditanyai apa yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing yang ada dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah R.A oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah R.A.
Abu Hurairah R.A memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah S.A.W berangkat menuju ke Khaibar. Ketika itu ibunya masih belum menerima Islam malah menghina Nabi. Abu Hurairah R.A lalu bertemu Rasulullah S.A.W dan meminta baginda berdoa agar ibunya masuk Islam. Kemudian Abu Hurairah R.A menemui ibunya kembali, mengajaknya masuk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadat.
Apabila pulang dari Perang Khaibar, Rasulullah S.A.W memperluaskan Masjid Nabawi ke arah barat dengan menambah ruang sebanyak tiga tiang lagi. Abu Hurairah R.A turut terlibat dalam pengubahsuaian ini. Ketika dilihatnya Rasulullah S.A.W turut mengangkat batu, dia meminta agar beliau menyerahkan batu itu kepadanya. Rasulullah S.A.W menolak seraya bersabda, “Tiada kehidupan sebenarnya, melainkan kehidupan akhirat.”
Abu Hurairah R.A pernah tersilap menimbang makanan yang lazat sehinggakan dia dikenakan hukuman dipukul oleh Rasulullah S.A.W. Bagaimanapun Abu Hurairah R.A gembira, “Kerana Nabi menjanjikan akan memberi syafaat kepada orang yang pernah merasa disakitinya secara sengaja atau tidak,” katanya.
Begitu cintanya kepada Rasulullah S.A.W sehingga siapa pun yang dicintai, dia ikut mencintainya. Misalnya, dia suka mencium Hasan dan Husain, kerana melihat Rasulullah S.A.W mencium kedua cucunya itu. Ini baru dinamakan cinta. Hari ini jika kita meniru apa yang pemimpin lakukan orang kata taasub. Lihatlah taasubnya sahabat dengan Rasulullah S.A.W.
Abu Hurairah R.A berpindah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana dia bekerja menjadi buruh kasar bagi siapa yang memerlukannya. Sering kali dia mengikatkan batu ke perutnya, kerana menahan lapar yang amat sangat. Malah diceritakan bahawa dia pernah berbaring berhampiran mimbar masjid sehinggakan orang menyangka dia kurang waras. Apabila Rasullullah S.A.W mendengarkan perkara tersebut, baginda menemui Abu Hurairah R.A yang menjelaskan bahawa dia berbuat sedemikian kerana lapar, lalu Rasullullah S.A.W pun segera memberinya makanan.
Abu Hurairah R.A adalah sahabat yang sangat dekat dengan Nabi S.A.W. Ia dikenal sebagai salah seorang ahli shuffah, iaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di masjid Nabi. Beliau begitu rapat dengan Nabi S.A.W sehingga baginda selalu menyuruh Abu Hurairah R.A untuk mengumpulkan ahli shuffah, jika ada makanan yang hendak dibagikan.
Pernah pula pada suatu masa, dia duduk di pinggir jalan tempat orang biasanya berlalu lalang sambil mengikatkan batu ke perutnya. Dilihatnya Abu Bakar R.A melintas. Lalu dia minta dibacakan satu ayat Al-Quran. “Aku bertanya begitu supaya dia mengajakku ikut, memberiku pekerjaan,” tutur Abu Hurairah R.A. Tapi Abu Bakar R.A cuma membacakan ayat, lantas berlalu.
Dilihatnya Umar ibn Khattab R.A, “Tolong ajari aku ayat Al-Quran,” kata Abu Hurairah R.A. Ternyata dia kecewa sekali lagi kerana Umar R.A melakukan hal yang sama.
Tak lama kemudian Rasullullah S.A.W pula yang berlalu. Nabi tersenyum. “Beliau tahu apa isi hati saya. Beliau boleh membaca raut muka saya dengan tepat,” tutur Abu Hurairah R.A.
“Ya, Aba Hurairah!” panggil Nabi.
“Labbaik, ya Rasulullah!”
“Ikutlah aku!”
Beliau mengajak Abu Hurairah R.A ke rumahnya. Di dalam rumah didapati semangkuk susu. “Dari mana datangnya susu ini?” tanya Rasulullah S.A.W. Beliau diberitahu bahawa seseorang telah memberikan susu itu.
“Ya, Aba Hurairah!”
“Labbaik, Ya Rasulullah!”
“Tolong panggilkan ahli shuffah,” kata Rasullullah S.A.W. Susu tadi lalu dibagikan kepada ahli shuffah, termasuk Abu Hurairah R.A. Itulah mukjizat Nabi S.A.W, susu semangkuk cukup mengenyangkan bilangan yang ramai. Sejak itulah, Abu Hurairah R.A berkhidmat dengan Rasullullah S.A.W, bergabung dengan ahli shuffah di masjid.
Maka jika ada pengikut-pengikut ulama pewaris Nabi yang sanggup berkhidmat dengan mursyidnya, lantaran melihat kebesaran karamah Tuhan yang ada pada mursyidnya, tidak sepatutnya sikap itu dimusuhi. Inilah sikap-sikap yang diwarisi dari para sahabat Rasulullah S.A.W. Pernah Abuya berkata: Ikhwan itu ialah orang yang kekal dalam jemaah hingga ke hujung. Mereka samada berketurunan Nabi Muhammad yang mulia ataupun dari keturunan sahabat-sahabat baginda S.A.W.
Walaupun Abu Hurairah R.A merupakan seorang yang papa pada mulanya, dia telah dipinang oleh salah seorang majikannya yang kaya raya untuk puterinya, Bisrah Binti Gazwan. Rahmat Islamlah yang membuatkan Abu Hurairah R.A dipandang mulia bukan kerana harta dunia kerana kealiman dan kesalihannya.
Sejak berkahwin, Abu Hurairah R.A membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hafazan hadis. Dia dan keluarganya tetap hidup sederhana walaupun setelah menjadi orang berada. Abu Hurairah R.A suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan memberi sedekah rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.
Rasulullah S.A.W pernah mengutuskan Abu Hurairah R.A berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami R.A. Dia juga pernah diutus bersama Quddamah R.A untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.
Abu Hurairah R.A berjaya meriwayatkan banyak hadis disebabkan beliau sentiasa berdamping dengan Rasulullah selama 3 tahun, selepas memeluk Islam. Ini sebagaimana yang di riwayatkan olehnya: “Sesungguhnya saudara kami daripada golongan Muhajirin sibuk dengan urusan mereka di pasar dan orang-orang Ansar pula sibuk bekerja di ladang mereka sementara aku seorang yang miskin sentiasa bersama Rasulullah S.A.W. ‘Ala Mil’i Batni. Aku hadir di majlis yang mereka tidak hadir dan aku hafaz pada masa mereka lupa.” (Al-Bukhari)
Pada mulanya Abu Hurairah R.A mempunyai ingatan yang lemah lalu beliau mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah lalu mendoakan agar Abu Hurairah R.A diberkati dengan daya ingatan yang kuat lalu semenjak hari itu Abu Hurairah dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat yang membolehkan beliau meriwayatkan jumlah hadis terbanyak di kalangan para sahabat.
Dikatakan pada satu ketika Abu Hurairah R.A telah diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang hasil zakat. Pada suatu malam Abu Hurairah R.A telah ternampak seseorang mengendap-gendap hendak mencuri, lalu ditangkapnya. Orang itu pun hendak dibawanya berjumpa Rasulullah S.A.W tetapi pencuri itu merayu minta dikasihani seraya menyatakan bahawa dia mencuri untuk menyarai keluarganya yang kelaparan.
Abu Hurairah R.A merasa kasihan lalu melepaskan pencuri itu dengan amaran agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.
Keesokkan harinya perkara tersebut dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W tersenyum lalu bersabda bahawa pencuri itu pasti akan kembali.
Ternyata keesokkan malamnya pencuri itu datang lagi. Sekali lagi Abu Hurairah R.A menangkap pencuri itu lalu hendak dibawanya berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. Sekali lagi, pencuri itu merayu sehinggakan Abu Hurairah R.A merasa kasihan lalu melepaskannya sekali lagi. Keesokkan harinya, dia melaporkan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W yang mengulangi sabdanya bahawa pencuri itu pasti akan kembali.
Apabila pencuri itu ditangkap sekali lagi Abu Hurairah R.A mengancam akan membawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. Pencuri itu merayu meminta dibebaskan sekali lagi lagi. Apabila Abu Hurairah R.A enggan melepaskannya, pencuri itu menyatakan dia akan mengajar sesuatu yang baik sekiranya ia di bebaskan. Pencuri itu menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu membaca ayat Kursi sebelum tidur syaitan tidak akan menggangguinya.
Abu Hurairah R.A merasa tersentuh mendengarkan ajaran pencuri itu lalu melepaskannya pergi. Keesokkan harinya dia melaporkan peristiwa tersebut kepada Rasulullah S.A.W yang bersabda, pencuri yang ditemuinya itu adalah pembohong besar, tetapi apa yang diajarkan kepada Abu Hurairah R.A itu adalah perkara yang benar. Sebenarnya pencuri itu adalah syaitan yang dilaknat.
Saiyidina Umar R.A pernah melantik Abu Hurairah R.A menjadi gabenor Bahrain ketika beliau menjadi Amirul Mukminin. Tapi pada 23 Hijrah, Umar R.A memecatnya kerana Abu Hurairah R.A dituduh menyimpan wang yang banyak sehingga 10,000 dinar. Ketika pembicaraan, Abu Hurairah R.A berjaya membuktikan bahawa harta itu diperolehinya dari berternak kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar R.A menerima penjelasan itu dan memaafkannya. Lalu dia diminta menerima jabatan gabenor kembali, tapi Abu Hurairah R.A menolak. Dia memilih untuk tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya.
Apabila kediaman Amirul Mukminin Usman ibn Affan R.A dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenali sebagai al-fitnatul kubra (fitnah/bencana besar), Abu Hurairah R.A bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar tampil mengawal rumah tersebut. Meski dalam keadaan siap untuk bertempur, Khalifah Usman ibn Affan R.A melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak.
Pada masa Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib K.W, Abu Hurairah R.A menolak tawaran menjadi gabenor Madinah. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawiyah ibn Abi Sufyan, dia bersikap berkecuali dan menghindari fitnah. Setelah Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah R.A dilantik menjadi gabenor Madinah setelah diusul oleh Marwan ibn Hakam.
Ramai yang berpendapat bahawa Abu Hurairah RA meninggal dunia di Madinah Munawwarah pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Pun begitu maqamnya berada di Palestin, Mesir dan Syria. Abu Hurairah R.A meninggalkan sebanyak 5,374 hadis.
Hadis Abu Hurairah R.A yang disepakati Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis, dan oleh Muslim sendiri 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya. Antara menantunya adalah Said bin Al-Musayyab.

Sumber: http://kisahteladan.info


No comments:

Post a Comment