Followers

Nuffnang

Tuesday, 22 January 2013

Ayuh, Teruskan Langkahmu!


~ Picture by Umar Mita of LangitIlahi

Baru-baru ini, saya terbaca satu analogi menarik yang ditulis oleh Dr Ali Jamal di dalam tweetnya. Katanya, “Kamu tahu kenapa cermin depan kereta itu besar berbanding cermin sisi kereta yang kamu gunakan untuk tengok kereta dari arah belakang itu?”
Jawabnya, “Itu maknanya lebih utama untuk kita sentiasa memerhatikan masa depan kita berbanding masa lalu kita. Hidup kamu mesti digerakkan terus ke hadapan !”
Ya, hidup ini mesti sentiasa bergerak ke hadapan.
Fokus kita pada masa hadapan. Yang sedang berada di depan mata kita. Sekali-sekala kita pandang ke belakang, bukanlah untuk kita berhenti, tetapi sekadar sebagai satu muhasabah buat diri kita agar kita tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan lepas.

Masa Yang Lepas Telah Berlalu Pergi
Sebaik atau seburuk apapun kita pada masa yang lepas, ia telah tetap berlalu pergi dan tidak dapat dipanggil pulang lagi.
Imam Al-Ghazali bila ditanya – ‘Apakah benda yang paling jauh dari kita?’, beliau menjawab,‘Masa lepas.’
Kenapa masa lepas? Kenapa tidak bulan ke, tidak matahari ke? Ataupun kenapa tidak bintang dan bintang-bintang yang ada di angkasa?
Bulan, matahari dan sebagainya yang berada di angkasa itu masih mampu dicapai walaupun agak susah. Tetapi masa lepas, walaupun masa lepas itu adalah semalam, ia tetap dan memang tidak dapat dicapai lagi.
Apa yang telah kita lakukan pada masa lepas, maka itulah sejarah yang telah kita coretkan dalam kehidupan kita. Tidak mungkin kita meminta untuk dikembalikan semula ke masa lepas untuk memperbaiki segala kesilapan atau kekurangan kita di masa silam.
Tidak ada ‘time machine’ atau apa-apa jua alat seperti yang ditayangkan di dalam filem untuk kita kembali ke masa silam atau pergi ke masa hadapan. Kalau alat seperti itu benar-benar wujud, maka untunglah manusia. Yang derhaka dan pernah ingkar kepada Allah akan kembali semula ke zaman silamnya untuk memperbetulkan segala silapnya di masa itu.
Bahkan, sekiranya wujudnya alat seperti itu, mungkin pula manusia akan mempergunakannya untuk membuat kemaksiatan sepuas-puasnya, kemudian pergi semula ke masa silamnya dan membetulkannya semula.
Lihatlah apa yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah As-Sajdah, ketikamana orang-orang yang di dunia dahulu begitu ingkar dan derhaka kepada Allah, bila berdepan dengan Allah s.w.t. di akhirat, diperlihatkan syurga dan neraka kepada mereka, maka mereka mula meminta agar dikembalikan semula ke dunia.
“Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia) nescaya kami akan mengerjakan amal soleh. Sungguh kami adalah orang-orang yang yakin.” [As-Sajdah : 12]
Kenapa mereka meminta dikembalikan semula ke dunia?
Kerana mereka telah benar-benar melihat apa yang mereka dustakan suatu ketika dulu. Mereka melihat seksa Allah yang begitu dahsyat di dalam neraka. Mereka melihat nikmat syurga yang sangat menggiurkan. Tetapi sayangnya, masa mereka di dunia ini telahpun berlalu.
Apakah mungkin mereka dikembalikan ke dunia?
Tidak. Sudah tentulah tidak. Sangat jauhlah masa lepas itu dari diri mereka.

Muhasabah Yang Lepas Untuk Lebih Maju Ke Hadapan
Adakala kita rasa masa lepas kita begitu buruk sekali sejarahnya. Kita mungkin pernah terjerumus dalam dosa atau pernah terlibat dalam apa-apa musibah sehingga membuatkan kita kadangkala sering terfikirkan apa yang kita pernah alami itu. Rasa malu pun ada bila terfikirkan orang tahu apa yang kita telah lalui itu.
Tetapi, teruskanlah sahaja perjalanan di depan.
Apa yang telah kita lalui itu, telah pun lepas meninggalkan kita. Janganlah kita menangisi dan menyesali kesilapan-kesilapan kita di masa lepas itu sehingga membuatkan kita terhenti daripada meneruskan perjalanan hidup kita di dalam kebaikan.
Jangan. Sekali-kali jangan.
Sekurang-kurangnya Allah telah memberi kesedaran pada diri kita sekarang. Maka, dengan kesedaran yang Allah telah berikan itu, bergerak dan bangunlah dari kesilapan-kesilapan yang lepas. Janganlah kita menangisi masa lepas sehingga kita diam tidak berbuat apa-apa untuk perubahan diri kita.
Maka, memanglah kita tidak akan pernah keluar daripada ‘zaman gelap’ kita kalau begitu.
Memang, terjerumus dalam dosa itu bukanlah suatu yang baik. Tetapi, sekurang-kurangnya sejarah kita itulah yang telah meletakkan kita di tempat yang lebih baik hari ini di depan Allah.
Justeru, dengan apa yang ada di tangan kita sekarang ini, bergerak dan melangkahlah terus ke hadapan.

Penutup : Mereka Tidak Berhenti, Sedangkan Masa Lepas Mereka Lebih Buruk Dari Kita
Para sahabat itu bermula jauh lebih teruk dari kita. Ada sebahagiannya yang begitu gelap masa-masa hidupnya yang lepas. Tetapi setelah datang Rasul s.a.w. membawa petunjuk, langsung mereka meninggalkan ‘zaman gelap’ mereka itu dan bergerak terus ke hadapan.
Mereka menangisi juga kesilapan-kesilapan mereka di masa lepas, tetapi itu tidak menghentikan mereka untuk merancang dan menggerakkan kehidupan yang lebih baik di sisi Allah s.w.t.
Mereka adalah serpihan-serpihan masyarakat jahiliah, tetapi selepas datang Rasul s.a.w. mendidik mereka dengan kefahaman dan kesedaran yang benar, mereka bukan lagi serpihan masyarakat jahiliah yang dulu, tetapi mereka adalah sebuah binaan yang baru dan jauh lebih kukuh.
Lantas kita, apakah yang membuatkan langkahan kita terhenti di perjalanan menuju Allah ini?
Tidak ada sepatutnya.
Teruskan langkahan. Pandang ke belakang hanya sebagai muhasabah agar kita tidak mengulangi lagi segala kesalahan dan kesilapan yang lepas.
Kredit: 

2 comments: