Followers

Nuffnang

Friday, 19 April 2013

Yang Diberi, Itulah Yang Dimiliki




يسألونك ماذا ينفقون قل ما أنفقتم من خير فللوالدين والأقربين واليتامى والمساكين وابن السبيل وما تفعلوا من خير فإن الله به عليم
Ayat ke-215 surah Al-Baqarah baru saja aku baca sekejap tadi. Seusai kami berlima menghabiskan giliran memperdengar tilawah kepada murabbiah, kami diajar untuk mentadabbur dan menghayati tafsiran ayat-ayat Allah S.W.T. Setiap orang berkongsi khulasah (kesimpulan) masing-masing, dan yang paling ku ingat adalah khulasah murabbiah aku. Berikut adalah sedikit catatanku berkenaan khulasah beliau:
Mari kita baca makna ayat 215 ini.
‘Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang harus mereka infakkan. Katakanlah, ‘harta apa saja yang kamu infakkan, hendaknya diperuntukkan bagi kedua orang tua, kaum kerabat, anak  yatim, orang miskin, dan orang yang dalam perjalanan.’ Dan kebaikan apa saja yang kamu kerjakan, maka sesungguhnya Allah taala Maha Mengetahui.’
Al-Baqarah: ayat 265 pula memberi misalan;
Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.
Akhawati (dan para pembaca sekalian) fillah,
Tidaklah ayat Allah S.W.T itu diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dalam keadaan sia-sia; dibiarkan tidak diamalkan, disorokkan tidak disampaikan. Bahkan, dengan batang tubuh Baginda S.A.W – kita dapat mendengar kisah contoh-contoh praktikal bagi setiap suruhan Allah S.W.T ataupun laranganNya. Para sahabat Rasul S.A.W (semoga Allah meredhai mereka) juga menuruti jejak langkah Nabi S.A.W, lalu menjadi al-Quran yang bergerak, ‘hidup’, serta diamalkan.
Sedekah adalah Pemisah Mukmin & Munafiq
 Sifat gemar bersedekah adalah sebuah manifestasi iman yang benar. Salah satu bukti orang tersebut di gelar mukmin, dapat kita lihat pada jiwanya yang bebas dari ikatan harta. Harta dunia hanya di tangan, dan tidak memasuki hatinya. Dia tidak lokek untuk memberi, suka membahagiakan orang dengan hartanya, dan memberikan harapan baru kepada orang yang kesempitan hidup kerana kewangan.
Sudah Allah S.W.T ingatkan kita di dalam ayatNya; surah at Taubah ayat 54, berkenaan sifat orang munafiq:
“Dan orang yang menghalang-halangi infaq mereka untuk diterima adalah kerana mereka ingkar kafir kepada Allah S.W.T dan Rasul Nya, dan mereka tidak melaksanakan solat melainkan dengan malas, dan tidak pula menginfakkan harta mereka melainkan dengan rasa enggan terpaksa.”
Ayat ini jelas menerangkan bahawa wujud perbezaan sifat orang munafiq dengan orang mukmin. Simptom yang dapat di kenal pasti – menginfakkan harta dalam rasa terpaksa.
Boleh saja kita bicarakan di sini mengenai kelebihan orang yang bersedekah ke atas orang yang kedekut (tidak langsung bersedekah), tapi topik kelebihan orang bersedekah secara rela ke atas orang yang bersedekah secara terpaksa – adalah topik yang tidak kurang penting untuk dibincangkan. Orang munafiq yang dikisahkan Allah dalam surah At Taubah ini, bukan orang yang tidak mengeluarkan hartanya untuk sedekah. Mereka bersedekah, tapi mereka berbeza pada aspek dalaman; iaitu apa yang berada dalam hati mereka. Gemar bersedekah bukan  sifat mereka, tapi bila sekali mereka bersedekah, sedekah itu adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan mahu di pandang tinggi oleh manusia (kita berlindung dengan Allah S.W.T dari sifat yang buruk ini).
Bila jiwa sudah di didik untuk berinfaq (bersedekah), mudah-mudahan tiada lagi sifat nifaq (kemunafikan)!
Sedekah Apakah Yang Paling Afdhal?
Tersebut sebuah hadith dari Abu Hurairah R.A katanya: Seorang lelaki menghadap Rasulullah S.A.W lalu bertanya: “Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar?” Nabi S.A.W menjawab: “Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata: ‘Aku mahu bersedekah untuk si fulan, sekian untuk si fulan dan sekian lagi untuk si fulan’.” - (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Itu merupakan nilai sedekah yang sebenar, semakin dirasakan berat untuk menginfakkan harta, maka semakin afdhal untuk kita mengeluarkan harta tersebut dari poket saku kita.
Sedekah tidak terhad kepada harta sahaja, kerana Rasullullah S.A.W bersabda yang maksudnya:
“Pada tiap-tiap pagi lazimkan atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” - (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Juga terdapat sebuah hadith lain dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
“Setiap anggota tubuh manusia wajib bersedekah, setiap hari di mana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaannya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain daripada harta dan amal soleh, ada perkara lain yang sesiapa saja boleh sedekahkan; iaitu kefahaman agama. Sedekah jenis ini tidak memerlukan seseorang itu menjadi kaya pada material, cukup jika dia adalah orang yang kaya dengan ilmu.
Sedekah kefahaman adalah sedekah yang menguntungkan. Bayangkan jika hanya dengan kalam nasihat daripada lidah kita, seseorang itu mampu memperbaik amal hariannya, atau dia juga turut menyampaikan ilmu yang diperolehnya daripada kita. Sabda baginda S.A.W maksudnya;
“Barang siapa memulakan sunnah kebaikan dalam Islam maka ia akan mendapat pahala amal itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun. Dan barang siapa memulakan sunnah kejahatan dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun.” - (Hadith Sahih – Riwayat Muslim)
Sebagaimana yang telah diterangkan awal tadi, dengan qudwah Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam menginfakkan kefahaman mereka, Islam tersebar sehingga ke hari ini. Maka, jika visi kita adalah untuk mencontohi semua sunnah baginda S.A.W dan sahabat-sahabat, amalan ‘sedekah kefahaman Islam’ menjadi tuntutan ke atas bahu setiap yang mengucap dua kalimah syahadah.
***
Fikiranku dipenuhi dengan peringatan-peringatan mutiara ini. Balik dari halaqah, terisi dan termotivasi. Semoga dimudahkan langkah, tangan dan lidahku untuk sentiasa memberi.
Oleh :
Nabilah Mohd Yaakob 
Tahun 3 Pergigian Jordan University of Science and Technology

1 comment: