Followers

Nuffnang

Sunday, 3 February 2013

Sempena Tahun Baru


Sempena tahun baru 2013 Masihi dan 1434 Hijriyah, saya ingin berkongsi sebuah hadis bersama para pembaca sekalian. ‘Abdullah ibn ‘Umar melaporkan bahawa seorang lelaki Anshar pernah bertanya kepada Rasulullah, “Siapakah manusia yang paling bijak lagi paling mulia wahai Rasulullah?” 
Seandainya kita mendapat soalan seperti ini, nescaya kita akan menjawab: “Pelajar yang mendapat jumlah A terbanyak dalam peperiksaan”, “Orang yang berkelulusan PhD”, “Seorang professor” atau “Seorang genius”. Namun apakah jawapan Rasulullah? Baginda menjawab: 
Orang yang paling banyak mengingati mati dan bersungguh-sungguh mempersiapkan diri untuknya. Mereka itulah orang yang paling bijak, mereka memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di Akhirat. [Hadis dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dan sanadnya dinilai baik (jayyid) al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadits al-Ihya’, no: 4320]

 

Ya, demikianlah jawapan Rasulullah yang berbeza dengan jawapan kebanyakan kita. Namun persoalannya, apakah kaitan mengingati mati dan kemasukan tahun baru?

Setiap Kali Masa Berlalu
Sebagai orang yang beriman, kita beriman kepada Qadar dan Qadha’. Termasuk dalam keimanan kita ini ialah Allah telah pun mentaqdirkan ajal kita sejak awal, 50,000 tahun sebelum Allah mencipta langit dan bumi. Rasulullah menerangkan: Allah telah menulis segala taqdir makhluk-makhluk-Nya lima puluh ribu tahun sebelum Allah mencipta langit dan bumi. [Shahih Muslim, no: 4797/2653]
Apabila masa berlalu, hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita sebenarnya semakin menghampiri ajal yang telah Allah taqdirkan bagi kita. Katakanlah, jika seseorang itu Allah mentaqdirkan ajalnya pada tahun 2017, maka dengan masuknya tahun baru 2013, dia semakin hampir kepada ajalnya. Apabila masuk tahun 2014, dia semakin hampir lagi kepada ajalnya. Demikianlah seterusnya.
Di antara kita, tiada siapa yang mengetahui bilakah ajalnya. Namun apa yang pasti, dengan berlalunya masa, kita semakin hampir kepada ajal masing-masing.

Setiap Kali Tahun Baru
Menjadi kegemaran manusia, setiap kali memasuki tahun baru mereka membuat azam yang baru, perancangan yang baru, cita-cita yang baru. Namun di antara azam, perancangan dan cita-cita ini, berapa ramai di antara kita yang memasukkan ‘persiapan menghadapi mati’ di dalamnya?
Maaf kata, kerap kali azam, perancangan dan cita-cita ini adalah lebih kepada satu angan-angan. Apabila angan-angan ini dikaitkan dengan kematian, maka terdapat sebuah hadis yang suka saya kongsikan. 
Rasulullah pernah melukis (di atas pasir) sebuah kotak empat segi, lalu melukis lagi satu garis kecil di tengah kotak. Baginda menerangkan bahawa garis di tengah kotak adalah manusia sementara garis kotak segi empat adalah ajal yang mengelilingi manusia. Seterusnya baginda melukis sebuah lagi garis kecil di luar kotak dan beberapa garis lain di antaranya. Baginda menerangkan bahawa garis di luar kotak itu adalah angan-angan manusia sementara garis-garis di antaranya adalah rintangan-rintangan yang dihadapi oleh manusia. Apa yang baginda cuba gambarkan adalah, manusia sering kali cuba mengejar angan-angan yang masih jauh dan sanggup menghadapi pelbagai rintangannya padahal apa yang sebenarnya dekat lagi nyata ialah ajalnya. [Pengajaran hadis daripada Shahih al-Bukhari, no: 5938 & 5939/6417 & 6418]

Persediaan Menghadapi Mati
Apabila dikatakan persediaan menghadapi mati, ramai yang akan terfikir untuk memperbanyakkan amal shalih. Bagi saya, persediaan yang lebih patut difikirkan ialah memperbetulkan amal shalih dan bukannya memperbanyakkannya. Ini kerana kualiti adalah lebih utama daripada kuantiti. Memperbetulkan amal shalih bererti menyemaknya dengan sunnah Nabi, adakah ia bertepatan dengan sunnah atau adakah ia bertepatan dengan kesukaan diri sendiri? Ini kerana betapa banyak sekali pun amal shalih yang kita lakukan, jika ia tidak bertepatan dengan sunnah maka ia ditolak sehingga tidak membuahkan apa-apa hasil mahu pun ganjaran di hari Akhirat kelak.
Rasulullah mengingatkan: Sesiapa yang mencipta dalam urusan kami ini apa yang tidak berasal daripadanya maka ia tertolak.” Dalam riwayat yang lain, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berada atas urusan kami maka ia tertolak.” [Shahih Muslim, no: 3242 & 3243/1718]
Memperbetulkan amal shalih bererti mengalih rujukan daripada ustaz-ustaz kepada hadis-hadis Rasulullah, beralih dari riwayat-riwayat masyhur kepada hadis-hadis yang diketahui takhrijnya dan beralih dari sunnah masyarakat kepada sunnah Rasulullah.
Seandainya hendak diperbanyakkan amal shalih, maka satu yang perlu diperbanyakkan ialah bersedekah. Janganlah kita menangguh-nangguhkannya kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba sehingga kita tidak sempat lagi untuk bersedekah. Ambillah iktibar daripada firman Allah berikut: 
Dan belanjakanlah (infaqkanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, sehingga dia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang shalih.” [al-Munafiqun 63:10]


No comments:

Post a Comment