Saya yakin semua pembaca kenal dan hafal firman Allah berikut ini: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Firman ini yang merupakan sebahagian dari ayat ke-11 surah Al-Ra'd menjadi motivasi bagi kita semua untuk berusaha bagi mencapai sesuatu yang kita ingini. Kita tidak berpeluk tubuh dan menyerahkannya kepada Allah, sebaliknya berusaha sebaik mungkin lalu mengharapkan hasilnya daripada Allah.
Menyentuh berkenaan usaha, usaha bagaimanakah yang Allah maksudkan dalam firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Izinkan saya beri beberapa contoh dan para pembaca fikirkan jawapannya:
- Ahmad yang berada di negara beriklim sejuk (winter) meminum brandy dan whiskey sebagai satu bentuk usaha bagi memanaskan badannya.
- Kamal yang sedang menghadapi masalah kewangan berjudi di sebuah casino sebagai satu bentuk usaha memperbaiki keadaan ekonomi dirinya.
- Fatimah berjumpa dengan seorang tukang tenung nasib bagi mengetahui apakah lelaki pilihannya sesuai untuk dijadikan suami.
Dalam tiga contoh di atas, Ahmad, Kamal dan Fatimah melakukan satu usaha, namun sama-sama kita ketahui bahawa usaha yang mereka lalukan itu adalah salah. Ini kerana meminum arak, berjudi dan meramal nasib adalah tiga perkara yang diharamkan dalam Islam berdasarkan firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (lagi keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [al-Maidah 5:90]
Dalam tiga contoh di atas, Allah lazimnya tidak akan mengubah nasib orang yang berusaha, kerana bentuk atau cara usaha yang mereka lakukan sejak awal telah dilarang oleh Allah.
Bukan Semua Kejayaan Adalah Kebenaran.
Dalam perenggan di atas, saya menyebut “Allah lazimnya…” kerana adakalanya, Allah menguji orang yang membuat kesalahan dengan kejayaan, sehingga pada orang itu dia seolah-olah sedang membuat sesuatu yang betul lagi benar. Firman Allah: Katakanlah: Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. [al-Kahf 18:103-104]
Orang-orang yang sengaja mengabaikan tunjuk ajar al-Qur’an misalnya, Allah berfirman: Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah. [al-Zukhruf 43:36-37]
Oleh itu bagi sebahagian orang yang berusaha dengan cara atau bentuk yang salah, Allah tetap memberikan kejayaan pada usahanya. Kejayaan tersebut tidak mencerminkan kebenaran usahanya, namun sebagai ujian ke atasnya, atau sebagai balasan ke atas dirinya yang sengaja mengabaikan tunjuk ajar al-Qur’an.
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, saya yakin kita semua setuju bahawa dalam rangka menginginkan sesuatu, hendaklah kita berusaha. Usaha itu pula hendaklah kita semak dua kali (double check) bahawa ia selari dengan syari’at Islam, agar kejayaan yang diperoleh benar-benar merupakan anugerah Allah kepada kita dan bukan merupakan ujian-Nya atau tipu-daya syaitan.
Berusaha Mendapatkan Pemerintah Terbaik.
Salah satu usaha yang tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia ialah mendapat pemerintah yang terbaik, yang memerintah berdasarkan ciri-ciri Islam dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan syari’at Islam.
Usaha ini telah dilakukan sejak pra-merdeka bermotivasikan firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Namun kenapakah sehingga kini, usaha tersebut tidak membuahkan kejayaan? Memang, kita ditanya tentang apa yang diusahakan dan tidak ditanya tentang hasilnya. Namun selepas lebih 50 tahun, kita mesti bertanya tentang hasilnya. Di manakah kesalahan kita dalam berusaha sehingga kejayaan masih terasa jauh? Apakah kerana dalam berusaha ini, kita saling menjatuhkan sesama umat Islam, tuduh menuduh, aib-mengaib dan berpecah-belah kerana kepartian? Apakah kerana dalam berusaha ini, kita menjadikan kaum bukan Islam sebagai wali dan auliya? Kenapakah dalam berusaha, kita mengabaikan firman Allah berikut ini?
Sesungguhnya Penolong (Wali) kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong (Auliya’) dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. [al-Maidah 5:55-57]
Karya Asal: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
ayah selalu pesan. Duit haram tu... tak bawa berkat. Tapi bawa masalah. Myb duit tu senang dapat.. tapi akan timpakan bermacam-macam aral hingga hidup jadi penuh masalah.. Jadi jgn makan duit harap.. rasuah.. judi.. dan lain-lain. Kata ayah..
ReplyDeleteterima kasih diatas perkongsian dan peringatan.
ReplyDeletepkongsian yg bagus..
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteDi mana boleh saya bertanya jika saya ada kemusykilan? Terima kasih..