Followers

Nuffnang

Saturday, 1 September 2012

Waktu – Mengapa Begitu Cepat Engkau Berlalu?



Waktu meluncur pantas. Berlalu laju tanpa aras. Detik-detik yang beransur pergi terus beredar meskipun manusia alpa atau sedar. Hidup atau mati. Ia masih bergerak tanpa henti. Tidak pula menghiraukan rutin harian manusia atau terikat dengan persetujuannya untuk ia terus berputar. Sesuai dengan kalimah Al-Asr di dalam Al-Quran yang membawa maksud bukan sekadar masa tetapi ia bergerak meninggalkan kita.
Telah banyak perumpaan kepada waktu. Ibarat kehidupan, pedang, emas dan sebagainya. Waktu adalah makhluk Allah paling ajaib. Oleh kerana itu, Allah itu tidak terikat dengan waktu tertentu dan hidup kekal selama-lamanya. Namun bagi manusia, mereka ibarat terkurung di dalam penjara masa yang berjalan mengikut kehendak-Nya. Justeru waktu itu adalah kehidupan.
Jika diibaratkan sebagi pedang, maka waktu itu berlalu laju. Oleh itu, hunuskan pedang dan cantas waktu-waktu sia-sia kita dengan perkara-perkara yang memberi faedah. Emas kurang tepat jika diganding dengan waktu kerana ia boleh dibeli. Dari sudut nilai harga maka waktu lebih utama. Hinggakan dalam Al-Quran telah banyak Allah bersumpah dengan waktu seperti Dhuha, Fajar, Malam dan lain-lain untuk menggambarkan kepentingannya.
Saya menulis artikel ini pada saat umur saya sudah menjangkau 20 tahun. Saya tergerak untuk berkongsi sesuatu buat tatapan pembaca kerana ada daripada anda yang mendoakan kesejateraan saya. Terima kasih. Moga Allah balas juga dengan kebaikan.
Kejadian Manusia
Tingkatan penciptaan manusia bermula daripada setitis air mani membentuk segumpal darah hinggalah akhir sekali membentuk tulang belulang yang telah dibaluti sebagaimana yang disebutkan dalam surah Al-Mu’minun:14 dan juga di dalam hadis yang ke 4 daripada hadis 40 Nawawi. Kemudian manusia itu dituliskan takdirnya terlebih dahulu dari aspek rezekinya (harta, jodoh, dsb), umurnya (hidup dan ajal), amalannya serta keburukan atau kebaikan yang bakal ditempuhinya. Setelah itu Allah memerintahkan para malaikat untuk meniupkan ruh pada jasad manusia.
Melihat asal-usul kelahiran kita, kita adalah sama dengan semua manusia. Oleh yang demikian, amatlah tidak patut bagi seseorang itu mendabik dada meninggikan diri di hadapan orang lain kerana sifat itu adalah tercela.
Paksaan atau Pilihan?
Melihat kepada masud hadis ini (HR Bukhari Muslim), segala urusan kehidupan manusia telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Cuma mungkin manusia keliru, jika keburukan yang menimpa seseorang atau dia melakukan maksiat adakah itu juga ditetapkan Allah atas dasar paksaan?
Sebenarnya ia adalah pilihan manusia. Namun perkara itu telah Allah tetapkan kerana sifat Ilmu Allah maha luas. Oleh itu, berhati-hati dalam ucapan kita, kerana jika kita menggambarkan kekurangan sifat Allah boleh membawa kekufuran. Saya memberi suatu analogi bagi perkara ini:
*cuba gambarkan seorang ibu yang melarang anak kecilnya bermain di tepi tangga. Dia melarang kerana dia mengetahui bahawa disitu terdapatnya bahaya. Namun jika anak kecil itu memilih untuk masih berdegil maka dia yang akan menerima sakitnya*
Begitu jugalah dengan manusia bahkan lebih lagilah Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Dia menyediakan segalanya atas pilihan kita dengan mengutuskan nabi dan diwarisi oleh para ulama’ untuk membimbing manusia menuju jalan redha-Nya. Justeru, Allah itu tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba-Nya namun manusia itu sendiri menzalimi diri.
Rahsia tarikh lahir
Dewasa kini, isu ini acapkali diketengahkan kerana terdapat sekelompok manusia yang sering menggunakannya untuk kepentingan tertentu. Perlu dijelaskan semula bahawa penilikan tentang rahsia tarikh lahir yang disepadankan dengan sifat manusia adalah dilarang juga boleh membawa syirik.
Jika ada kajian yang menepati sifat kelompok yang lahir pada tarikh yang sama mempunyai sikap begitu dan begini itu adalah suatu perkara normal kerana berapa generasi sudah berlalu. Bilangan manusia sahaja tidak terkira. Tambahan pula pada setiap saat pula ada saja kelahiran atau kematian. Oleh itu, sebenarnya manusia itu hidup atas apa yang mereka pilih dan usaha. Allah berfirman:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar- Ra’d:11)
Jadi, penggunaan tarikh tertentu untuk menentukan sifat manusia perlu dihindarkan. Mungkin juga ia boleh berlaku kurang adil bagi mereka yang sama tarikh namun berbeda sifatnya. Bahkan penentuaan ini biasanya tercetus hasil tilikan yang tidak mempunyai asas. Jauhilah penilik-penilik ini seperti sabda nabi s.a.w:
Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik, lalu dia bertanya sesuatu kepadanya dan mempercayainya, maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari. (HR Muslim)
Begitu keras larangan nabi untuk mendekati golongan ini dan berat pula pembalasannya. Adapaun tilikan atau lebih baik sangkaan yang mempunyai sandaran asas dan penyebab adalah dibenarkan tetapi bukan atas dasar perjudian. Contoh menyokong kelab tertentu dalam permainan bola sepak dan akhirnya kelab itu berjaya. Ia merupakan tilikan berasas iaitu dari segi kehebatan pemainnya juga kemantapan strategi yang diguna.
Stress
Perihal perkara yang ghaib ini hanya Allah yang mengetahui. Adapun disampaikan oleh para nabi juga datang dan atas keizinan dari-Nya. Justeru, perlu behati-hati jika ada manusia yang mendakwa dia mengetahui alam ghaib.
Permasalahan sifat ingin tahu apa yang akan terjadi pada diri sendiri untuk masa yang akan datang oleh manusia adalah berpunca daripada tekanan hidup manusia. Pelbagai masalah yang timbul yang membebankan kita. Oleh itu, saya mengajak diri saya dan para pembaca untuk sama-sama berusaha kembali mendekati diri dan hanya bergantung harap pada-Nya kerana tidaklah manusia itu menjadi kuat jika tidah memohon petunjuk-Nya.
Menerima dan Memberi
Perkongsian ini mungkin sekadar buah fikiran saya. Lazimnya bila tiba hari kelahiran seseorang, akan ada orang yang memberi hadiah bagi ‘birthday boy’ atau ‘birthday girl’. Paling kurangpun ucapan sejahtera ke atas mereka. Alhamdulillah saya juga mendapat perkara yang sama.
Seperti yang saya sebutkan di atas saya bukan baru tetapi sudah (peringatan) menjangkau umur 20 tahun. Hipotesisnya, semakin bertambah umur makin dekat pula dengan kematian. Justeru, dalam pada asyik menerima sesuatu, lebih baik juga kita berusaha memberi sesuatu yang boleh membawa manfaat di hari kematian kelak. Nabi s.a. bersabda:
“Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya”.(HR Muslim)
Hadis ini menerangkan kepada kita amalan-amalan yang mana jika kita lakukan akan berterusan pahala walaupun saat kita sudah kembali kepada-Nya. Segala amalan ini datang dari usaha kita sendiri atau terdapat peranan kita di dalamnya. Tetapi yang tetap menjadi aset kita kelak adalah sedekah jariah (yang belanjutan) dan juga ilmu kita yang bemanfaat disampaikan kepada orang lain. Adapun anak yang soleh merupakan aset yang termahal namun ia perlu pengorbanan yang banyak untuk mencapainya dan belum tentu berterusan. Justeru rebutlah peluang untuk memberi sedekah dan berkongsi ilmu di samping berusaha menjadi diri yang baik agar terbentuk daripada benih kita anak yang soleh yang mampu berdoa untuk kita.
Ucapan + Sambutan
Realiti dunia alam maya kini, terutama di facebook, twitter dan lain-lain,menjadi kebiasaan friendseseorang itu akan mencoret ucapan selamat di wall mereka yang lahir pada tarikh tersebut. Cuma ada beberapa perkara yang saya rasa jika diubah suai nampak lebih baik iaitu mengenai teks ringkas ucapan. Jika selalunya kita sebutkan hb, happy birthday dan sebagainya apa salah jika kita selitkan juga doa seperti ‘moga Allah rahmati, may Allah bless u’ kepada mereka yang diraikan. Bukan sahaja mendapat kebaikan mendoakan rakan kita tetapi mudah-mudahan kebaikan yang sama juga kita peroleh. Jangan pula kita ‘bakhil’ untuk mendoakan sahabat kita walau bukan terang-terang padanya. Mudahkan hendak membuat kebaikan?
Selain hadiah dan ucapan, menjadi tradisi sebahagian manusia untuk meraikannya. Perkara ini tidaklah salah di sisi agama kecuali jika terdapat pembaziran dan juga perkara-perkara yang jelas pengharamannya seperti arak, pergaulan bebas dan sebagainya. Bahkah ia amat digalakkan jika dapat mewujudkan suasana yang gembira dan ikatan ukhuwah terbina.
Lebih baik juga sambutan ini bukan sekadar mengadakan majlis menjamu selera tetapi ada bentuk peringatan bagi orang yang diraikan untuk dia lebih berfikir bahawa kematian semakin hampir, namun apakah bekalan dan sumbangannya terhadap agama yang diakui cintanya?
Konklusinya
Suka saya untuk menyambungkan maksud hadis yang sama yang menjelaskan kepada kita bahawa pengakhiran manusia itu ditentukan oleh-Nya. Namun yang lebih menarik disebutkan walaupun seseorang itu membuat perkara yang baik sepanjang hayatnya jika tertulis dia ahli neraka maka ke nerakalah dia begitu juga sebaliknya. Adakah Allah zalim? Justeru apa faedah kita beramal?
“adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa, Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, Serta ia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.” (Al-Lail: 5-10)
Tidak. Saya juga telah menghuraikan pada perenggan diatas. Ayat ini menerangkan kepada kita faedah kita berterusan beramal. Namun dalam amalan, keikhlasan dan kesepurnaan amalan itu perlu dititiberatkan agar dikira amal yang baik. Adapun manusia itu masuk ke syurga bukanlah dengan amalnya tetapi rahmat dari-Nya. Justeru, mohonlah pada-Nya moga-moga kita dikurniakan syurga.
*hadiah istimewa sekadar kemampuan buat para pembaca budiman yang tidak jemu-jemu memberi sokongon* 

1 comment:

  1. nanti petang jim datang balik sambung baca...nak gi kerja dah

    ReplyDelete