Followers

Nuffnang

Thursday, 13 September 2012

Janji

Asnani tertunggu-tunggu kepulangan Ikhwan. Lazimnya perjalanan balik dari pejabat ke rumah ialah 45 minit. Jika kesesakan lalu lintas agak buruk, ia mengambil masa sejam. Akan tetapi kini sudah sejam lebih, masih tiada bayang Ikhwan. 
“Kereta rosak ke? Kesesakan lalu lintas yang amat teruk ke? Kemalangan ke? Jumpa perempuan
pinokio_janji.jpeg
 lain ke?” pelbagai andaian buruk mula bermain-main di fikiran Asnani.
“A’uzubillahi minash syaithan nirajim,” Asnani menyebut beberapa kali bagi menghalau bisikan-bisikan jahat syaitan ke dalam dirinya. Seterusnya Asnani mencapai telefon: “Assalamu’alaikum abang, perjalanan abang balik ke rumah OK ke?”
Wa’alaikumussalam. Err…OK, OK. Sebenarnya abang baru hendak masuk ke dalam kereta. Tadi ketika dalam lif ada kawan sepejabat nak bincang sesuatu. Maka sebab itulah abang lewat,” jelas Ikhwan.
“Alaa…abang dah janji nak balik rumah awal untuk kita makan malam bersama. Hmm, Nani dah siap hidang semuanya.”
“Ya, ya, abang minta maaf. Memang salah abang. Abang balik sekarang juga.”
“Janji ya! Janji betul betul ya! Tak mahu janji kosong,” pesan Asnani.

Waspada Terhadap Bisikan Syaitan

Di atas adalah sebuah lagi coretan dari kehidupan suami isteri yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian. Seperti tulisan-tulisan sebelum ini, marilah kita mengkaji beberapa pengajaran penting dari kisah ringkas di atas.
Pertama sekali, perhatikan sikap Asnani yang segera menepis bisikan-bisikan buruk dalam dirinya berkenaan suaminya. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan suami isteri ialah kehadiran syaitan untuk merosakkan hubungan harmonis di antara kedua-duanya. Syaitan akan membisikkan keraguan, sikap khianat dan pelbagai lagi yang secara perlahan-lahan dan bertahap-tahap, akan merenggangkan hubungan suami isteri. Syaitan tidak akan berhenti, tidak akan berputus asa sehinggalah pasangan suami isteri itu bercerai. 
Marilah kita mengambil iktibar dari hadis Rasulullah berikut ini: Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah. 
Salah seorang dari tentera itu datang dan berkata: “Saya telah melakukan sekian-sekian!” Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan apa-apa.” Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata: “Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.” Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!” [Shahih Muslim, no: 2813-2]
Oleh itu apabila mendapat bisikan atau lintasan yang berbentuk buruk sangka terhadap pasangan masing-masing, segeralah menepisnya dengan membaca, “A’uzubillahi minash syaithan nirajim”. Bacalah dengan penuh keyakinan dan keazaman. Bacalah berulangkali sehingga hilang bisikan buruk tersebut.

Segera Membuat Pengesahan, Tetapi Secara Hikmah.
Perhatikan juga langkah Asnani yang seterusnya, iaitu beliau terus menelefon suaminya dan bertanya apa situasi beliau yang sebenar. Asnani tidak terus marah-marah umpama, “Bang! Mana tak balik-balik lagi ni?”. Sebaliknya Asani bertanya secara hikmah, “Assalamu’alaikum abang, perjalanan abang balik ke rumah OK ke?”
Jika pengesahan ditangguh-tangguhkan, kita sebenarnya memberi ruang untuk syaitan terus mengganggu. Pada zaman komunikasi serba canggih sekarang ini, sepatutnya tidak wujud alasan mengapa pengesahan perlu ditangguhkan. Ada pun alasan bateri habis atau kredit habis, itu hanya untuk budak-budak sekolah. Tidak untuk orang dewasa yang sudah bergelar suami dan isteri.

Jangan Mungkir Janji
Dalam kisah di atas, dapat kita lihat bahawa punca masalah ialah sikap Ikhwan yang memungkiri janjinya. Ikhwan pada asalnya telah berjanji untuk segera pulang untuk makan malam bersama Asnani (lihat Pengantin edisi April 2012). Namun Ikhwan kemudiannya telah melayan permintaan seorang sahabat sepejabat.
Di sini apa yang patut Ikhwan lakukan ialah bertanya kepada sahabat itu, “Adakah ia urgent, sebab saya ada temujanji yang lain.” Jika tidak urgent, maka boleh dibincang pada keesokan hari. Jika memang urgent, maka hendaklah Ikhwan mengkhabarkan kepada Asnani berkenaan hal tersebut.
Sebenarnya, agak ramai pasangan suami isteri yang memandang ringan janji mereka kepada satu sama lain. Jika ada perjanjian bersama pihak atasan pejabat atau pelanggan, janji tersebut diberi perhatian sepenuhnya. Namun jika ada perjanjian di antara suami isteri, ia diberi perhatian terbawah sekali. 
Saya bagi satu contoh. Jika pasangan menelefon anda di pejabat sementara anda saat itu sedang sibuk, anda menjawab panggilan itu secara ringkas, “I'am busy now, will call you back later.” Jawapan ringkas tersebut sebenarnya adalah satu janji, namun berapa ramai di antara kita yang benar-benar akan menelefon semula selepas kesibukan berakhir? Bandingkan pula jika orang atasan pejabat atau pelanggan yang menelefon. Pasti kita akan membalas panggilan selepas kesibukan berakhir.
Sebenarnya semua janji, sama ada besar atau kecil, akan dipertanggungjawabkan ke atas kita pada Hari Akhirat kelak. Meskipun janji kecil seperti, “Will call you back later” atau apa-apa lain yang seumpama. Allah telah mengingatkan kita: Dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. [al-Isra’ 17:34]
Mujurlah Ikhwan segera minta maaf dan mengaku atas kesalahannya. 

SUMBER: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

2 comments:

  1. :) entri yg berilmiah.. memberi kesedaran kepada semua..

    ReplyDelete
  2. jika kita di telfon dan sibuk, kita bilang Insya Allah nanti aku telfon balik :)

    Insya Allah - Jika Allah menghendaki..
    jadi dia gak sakit hati, karena kita udah bersikap care padanya

    # menurutku gitu sih

    ReplyDelete