Syaitan merupakan musuh manusia yang paling utama. Syaitan telah berjanji kepada Allah SWT untuk menyesatkan seluruh umat manusia. Jadi, jomlah kita ajak seluruh ahli keluarga kita agar terus membenci syaitan dan jangan sesekali termakan hasutannya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa : 117-120 bermaksud, “Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku).” Dan Demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.”

Ketahuilah bahawa syaitan telah berikrar untuk menggoda manusia pada enam tahap. Tahap tertinggi godaannya bertujuan untuk menjadikan manusia kufur, syirik dan memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya. Diikuti pula dengan tahap kedua tertinggi iaitu menjadikan manusia gemar melaksanakan bidaah yang sesat, ketiga, menggalakkan manusia supaya melakukan dosa besar, keempat, menggalakkan manusia berterusan melakukan dosa kecil dan keempat tertinggi ialah menggalakkan manusia supaya melakukan kerja yang tidak mendatangkan apa jua pahala. Tahap paling rendah godaan syaitan ialah tingkah laku syaitan yang kita ikut. Yang paling utama ialah sikap membazir.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra’ : 27) Ketika mandi terutamanya ketika memberus gigi, kita biarkan sahaja air paip terbuka tanpa digunakan kerana kita sedang asyik memberus gigi. Alangkah baiknya jika kita gunakan gayung atau cawan untuk menadah air tersebut bagi mengelakkan pembaziran.

Begitu juga dengan lampu-lampu yang terpasang di rumah. Memang jadi kebiasaan, hampir semua lampu di rumah akan dipasang pada waktu malam. Tidakkah ini membazir namanya? Didiklah seluruh ahli keluarga agar membuka lampu yang diperlukan sahaja. Jika berada di ruang tamu, tutup lampu di bilik lain. Samalah juga halnya dengan peralatan elektrik yang lain. Jika sudah memasang kipas, tutup penyaman udara. Jika mendengar radio, tutup televisyen. Semasa membeli belah pula, beli hanya barangan yang perlu. Kalau ke pasar, beli sekadar untuk kegunaan seisi keluarga bukan beberapa keluarga. Jadi, tunggu apa lagi, jom tinggalkan sifat syaitan.

Ibnu al-Qayum al-Jauziah mengatakan terdapat sambilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia.

1. Pembaziran ilmu pengetahuan
Ilmu yang tidak diamalkan pada jalan kebaikan.

2. Pembaziran amalan
Amalan yang tidak dilakukan dengan ikhlas.

3. Pembaziran kekayaan
Harta yang dibelanjakan kepada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah SWT.

4. Pembaziran hati
Hati tidak kasihkan Allah SWT.

5. Pembaziran tubuh badan
Tubuh yang tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.

6. Pembaziran cinta
Cinta yang dicurahkan kepada selain Allah SWT atau melebihi cinta kepada-Nya.

7. Pembaziran masa
Masa yang tidak diurus dengan sebaiknya.

8. Pembaziran akal
Akal yang tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

9. Pembaziran zikir
Zikir yang tidak memberi kesan kepada hati.

Sumber