Followers

Nuffnang

Wednesday 26 June 2013

Kasih Atau Sisih Sayang


Beberapa hari yang lalu saya berpeluang untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman menziarahi pesakit-pesakit di rumah mereka untuk membuat pemeriksaan perubatan ringkas. Banyak pengalaman berharga yang dikutip dari pengalaman yang sebentar cuma. Program yang hanya walaupun sebentar ini banyak mendidik jiwa untuk menjadi manusia yang lebih baik.
Kasih Sayang
Kami mengunjungi seorang pesakit wanita yang telah mengalami kelumpuhan seluruh badannya terutama di bahagian kiri badan ekoran pembedahan membuang tumor di bahagian kanan otaknya semenjak 12 tahun yang lalu. Namun begitu beliau begitu bertuah mempunyai seorang suami mithali yang setia menjaganya.
Pak cik yang mengiringi kami pada hari itu menjelaskan kekaguman seluruh masyarakat kampung terhadap kesetiaan suaminya yang setia menemani di sisi menjaga si isteri dengan penuh sabar.  Boleh sahaja beliau yang masih muda dalam umur sekitar 40-an ketika itu untuk berkahwin semula, mungkin lebih bahagia kehidupannya bersama isteri yang baru, namun beliau tetap memilih untuk setia menemani isterinya.
Saya bertanyakan kepada suami tersebut adakah beliau memeriksa di bahagian belakang pesakit untuk memastikan tiada ‘pressure sore’ akibat dari berbaring terlalu lama. Lantas, pak cik yang menemani kami memintas menjawab, “Oh, jangan risau doktor, dia jaga isteri dia dengan amat baik.”
Suami tadi hanya tersenyum dan berkata, “Dah isteri saya, doktor.”

Memang pesakit tersebut dijaga dengan amat baik, kerana ketika menziarahinya tidak langsung terbau bauan yang tidak menyenangkan. Malah, keadaan pesakit kelihatan bersih dan rapi, tanda dia dijaga dengan sangat baik.
Saya juga sempat menjeling ke arah beberapa gambar pasangan tersebut yang berada diatas almari, gambar mesra mereka berdua ketika sebelum di timpa ujian yang berat dari Allah. Mungkin gambar itulah yang mereka tatap bersama mengimbas memori bahagia semalam sebagai bekal kekuatan menempuh hari esok.
Begitulah setianya si suami menjaga isteri yang telah lumpuh dengan penuh cinta dan kasih sayang. Kasih dan cinta yang moga-moga Allah memberikan keampunan dan menganugerahkan syurga buat kesabaran mereka.
Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi yang bermaksud:
Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.” (Riwayat Abu Daud)
Sisih Sayang
Namun lain pula ceritanya seorang mak cik yang mengidap barah payudara dan sedang menjalani kemoterapi sebagai rawatan susulan selepas pembedahan. Dia perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan sesi kemoterapi. Namun beliau runsing memikirkan bagaimana hendak ke sana kerana tiada pengangkutan. Saudara mara enggan menumpangkan dan memberi pinjam kereta mereka dan selalu memberikan pelbagai alasan seperti kereta rosak dan sebagainya.
Lebih menyedihkan, anaknya lelakinya sendiri menyisihkannya. Entah dari mana mitos dan fahaman salah yang menguasai fikiran mereka bahawa pesakit tersebut boleh menyebabkan jangkitan kepada orang sekelilingnya. Disebabkan itulah, anak lelakinya sendiri pun menyisihkannya. Berkali-kali beliau bertanya untuk mendapatkan kepastian adakah ia boleh menyebabkan jangkitan kepada orang lain, berkali-kali itulah juga yang saya tegaskan dan terangkan bahawa ia tidak akan berjangkit.
Mak cik itu juga menceritakan kisah dan pengalaman kawannya yang turut mengidap barah payudara bahawa suaminya sendiri enggan berkongsi tandas denganya. Bimbang dijangkiti. Maka dia membuat tabir baru di dalam rumah untuk mengasingkan tandas dan sebaginya bagi mengelakkan jangkitan kononnya.
Parah! Sungguh parah. Dari mana mereka mendapat pemahaman sebagitu yang menatijahkan anak menyisihkan ibu, suami menyisihkan isterinya. Sedangkan sepatutnya dalam situasi genting pesakit berusaha melawan penyakitnya. Dia memerlukan sokongan dan perhatian dari orang-orang yang di sayangi.
Kasih Yang Tersisih
Kasih sayang bukan suatu yang berkekalan. Ia sungguh mudah disisihkan walaupun ia ikatan darah sekalipun. Entah apa yang melandasi kasih sayang manusia ketika ini. Saat gembira semuanya sayang dan cinta, saat susah pudarlah cinta, punahlah sayang.
Sewaktu menuntut di Ireland dahulu kerap juga mendengar rungutan sahabat-sahabat doktor yang bekerja apabila tiba musim perayaan seperti Krismas. Anak-anak akan menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke hospital kononnya mereka tidak sihat walhal ibu bapa mereka baik-baik sahaja. Sedangkan yang sebenarnya mereka mahu merayakan dan menikmati musim cuti tanpa perlu menyusahkan diri melayan karenah ibu bapa yang sudah tua, yang sudah nyanyuk.
Kisah-kisah teladan ini adalah untuk mengingatkan diri kita apabila tiba saatnya kelak kita diuji Allah, kita mampu teguh dengan cinta dan kasih sayang.
Credit: Nur Islam



1 comment:

  1. salam tiba2 teringat kisah abil dan arwah isterinya.andai ditimpa ujian seperti di atas,saya berharap agar pasangan kita semua ikhlas dan setia menenami hingga hujung nyawa :)

    ReplyDelete