Followers

Nuffnang

Friday 22 March 2013

Al-Mu’awwizatayn


AKU BERLINDUNG DENGANMU YA ALLAH
Sabda Rasulullah S.A.W;
“Bacalah ‘Qul huwwallahu ahad’ dan al-Mu’awwizatayn pada waktu petang dan pada waktu pagi sebanyak tiga kali. Akan cukup bagi kamu pemeliharaan dari setiap sesuatu.” (Tirmizi, Kitab al-Da’awat, no. 3529)
Al-Mu’awwizatayn yang dimaksudkan oleh hadis di atas ialah dua surah yang menggunakan perkataan ‘Qul a u’zu’ bermaksud aku memohon perlindungan. Maka al-Mu’awwizatayn ialah dua surah pelindung dan surah yang dimaksudkan ialah surah al-Falaq dan surah al-Nas. Dalam beberapa hadis, Nabi S.A.W menyebut al-Mu’awwizat. Ketika itu ia bermaksud surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas.
Ketiga-tiga surah di atas bermula dengan perkataan ‘Qul’ yang bermaksud katakanlah. Ia menerangkan bahawa Allah mengajarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W supaya memohon perlindungan hanya dari Allah, dari sebarang bahaya yang datang dari makhlukNya. Maka hadis di atas mengajarkan kepada kita bahawa cara untuk mendapat perlindungan adalah dengan mengamalkan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tiga kali setiap pagi dan petang.
Hakikatnya, kandungan ketiga-tiga surah tersebut iaitu surah al-Fatihah dan al-Mu’awwizatayn adalah merupakan sebuah doa yang diajarkan Allah. Allah mengajarkan sebuah doa yang amat diperlukan oleh hamba-hambaNya dan menyatakan hanya Dialah yang mampu memberi pertolongan.
Surah al-Ikhlas
Surah ini membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah S.W.T. Surah ini menyucikan Allah dari sebarang kekurangan dan membebaskan dari sebarang penyekutuan. Ia juga membicarakan tentang perkara-perkara asas dan prinsip agama.
Maka, apabila surah ini dibacakan, ia seolah-olah sebuah ikrar dari seorang hamba akan keesaan Tuhannya. Ia adalah sebuah pengakuan bahawa tiada kekuatan dan kekuasaan selain dari Tuhannya. Hanya Allah tempat memohon pertolongan dan tempat pergantungan. Segala ciptaan dan makhlukNya adalah lemah dan tidak ada kuasa dan Allah mampu mengalahkan segala kekuatan yang wujud.
Surah al-Falaq
Kandungan surah al-Falaq jelas menunjukkan kepada kita supaya memohon perlindungan dari Allah. Pertamanya dari sebarang bahaya yang datang dari makhluk-makhlukNya sama ada dari manusia, binatang, yang nampak dan yang tidak nampak. Seterusnya ayat itu mengajar kita supaya memohon perlindungan dari bahaya yang biasanya berlaku pada waktu malam. Pada kebiasaanya, kejahatan lebih mudah dan banyak timbul tatkala malam menyelubungi bumi. Surah ini juga mengajar kita supaya memohon perlindungan dari bahaya bomoh-bomoh dan sihir-sihir buatan mereka dan juga dari hasad para pendengki.
Maka Allah ajarkan supaya meminta dariNya yang bersifat al-Rabb iaitu Yang Memelihara, Menjaga dan Melindung. Dengan sifatNya ini, Dia akan menjaga dan memelihara hambaNya yang memohon kepadaNya.
Surah al-Nas
Surah al-Nas adalah surah untuk memohon perlindungan dari Allah dari manusia, jin dan syaitan. Surah ini adalah surah memohon perlindungan dari Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang agung iaitu yang Memelihara dan Menguasai manusia serta Tuhan yang disembah. Sifat yang dimaksudkan ialah al-Rabb (Yang Memelihara, Membimbing, Mengarah, Menjaga dan Melindung), al-Malik (Yang Memiliki, Memerintah dan Mentadbir) dan al-Ilah (Yang Mengusai segala-galanya). Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan dari kejahatan-kejahatan yang meresap ke dalam hati manusia di mana manusia tidak mengetahui bagaimanakah caranya hendak menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu.
Perlindungan Hanya Dari Allah
Hakikatnya, semua perkara di atas adalah perkara yang sering menghantui, menakutkan dan membimbangkan kita sama ada ia sulit ataupun terang, yang diketahui atau yang tidak diketahui. Allah tahu apa yang kita perlukan. Kerana itulah Allah turunkan surah-surah ini. Allah katakan bahawa yang mampu dan yang boleh memberikan perlindungan dari perkara-perkara tersebut hanyalah Allah. Kerana itulah Dia mengajarkan supaya memohon perlindungan dariNya. Permohonan adalah bermula dengan puji-pujian terhadap keesaan, kebesaran dan keagungan Allah serta pengakuan bahawa tempat memohon perlindungan hanyalah Allah. Ia dizahirkan di dalam surah al-Ikhlas. Ia kemudiannya diteruskan dengan memohon pertolongan Allah yang bersifat sebagai al-Rabb, al-Malik dan al-Ilah iaitu pada surah al-Falaq dan al-Nas.
Seolah-olahnya Allah berkata dengan penuh kasih sayang; “Marilah kepadaKu wahai hamba-hambaKu. Marilah masuk ke dalam perlindunganKu dan naunganKu. Aku tahu kamu lemah dan mempunyai banyak musuh dan di sekeliling kamu ada berbagai-bagai kejadian yang menakutkan. Hanya di sini saja kedamaian, ketenteraman untuk kamu.”
Dibaca Dalam Pelbagai Keadaan
Disebabkan kelebihannya yang terlalu besar, maka baginda S.A.W telah mengamalkan tiga surah ini dalam banyak keadaan. Antaranya;
1) Ketika hendak tidur dan bangun dari tidur.
Dari Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W apabila baginda hendak tidur pada setiap malam, baginda merapatkan kedua tapak tangannya kemudian menghembuskannya dan membacakan padanya ‘Qul huwwallahu ahad’ dan ‘Qul a ‘uzubirabbil falaq’ dan ‘Qul a ‘uzubirabbinnas‘ kemudian baginda menyapu kedua tangannya itu pada tempat yang boleh dicapai pada tubuhnya bermula dengan kepala, wajah dan tubuhnya. Baginda melakukan demikian sebanyak tiga kali. (Bukhari, Kitab Fadail al-Quran, Bab Fadail al-Muawwizat, no. 4657)
2) Ketika sakit
Dari ‘Aisyah R.A bahawa Rasululllah S.A.W telah membacakan ke atas dirinya al-mu’awwizat dan menghembuskannya. Aisyah berkata lagi; tatkala baginda S.A.W jatuh sakit, aku telah membacakan ke atasnya dan menyapu tubuh badan baginda s.a.w dengan telapak tangan baginda sendiri kerana mengharapkan keberkatan tangannya. (Bukhari, Kitab Fadail al-Quran, baba Fadail al-Muawwizat, no. 4656)
3) Selepas solat
Dari ‘Uqbah Bin ‘Amir telah berkata; “Rasulullah S.A.W telah menyuruh aku supaya membaca al-Mu’awwizat selepas setiap solat.” (Abu Daud, Kitab al-Witr, Bab fi al-Istighfar, no. 1306)
Sangat mudah bukan. Tiga surah yang pendek tetapi mempunyai fadilat yang sangat besar. Maka apakah kita masih mengharapkan dan bergantung pada yang lain selain Allah?
Pintalah kepada Allah. Mohonlah kepadaNya. Selain Allah tidak berupaya memberikan pertolongan yang di harapkan oleh manusia. Selain Allah semuanya lemah baik dari kalangan jin mahupun manusia. Kita juga tidak perlu kepada tangkal dan azimat bahkan ia boleh membawa kepada rosaknya akidah. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Pemberi perlindungan.
Kerana itulah Rasulullah S.A.W ada mengingatkan:
“Kiranya kamu mahu meminta pertolongan mintalah pertolongan dengan Allah.”
(Tirmizi, Kitab sifat al-Qiyamah wa al-Wara’, no. 2454)
Oleh,
Ustazah Suriani binti Sudi
Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman Bil No.8

2 comments: