Followers

Nuffnang

Wednesday 13 January 2016

Kenapa Nabi S.A.W Berniaga?



Sunnah? Nak kaya?

Nak tahu kenapa Islam menggalakkan umatnya berniaga?

Bukan sebab nak kaya. Tetapi sebab berniaga itu adalah suatu tarbiyyah. Tarbiyyah tentang kehidupan, kemudian mendekatkan diri menuju Tuhan.

Nabi S.A.W berniaga di usia yang muda. Di usia 20an. Dan nyata pada usia itu baginda masih belum dilantik menjadi Rasul. Jadi jelasnya kerja-kerja dakwah baginda tidak dibuat secara terang.

Orang yang berniaga ini tawakkal mereka sebenarnya lebih tinggi. Sebab mereka tidak tahu bila rezeki dalam bentuk wang akan dapat. Mereka hanya akan buat kerja dan terus usaha. Dan tawakkal mereka mutlak pada Allah taala sahaja.

Kemudian apa?

Kemudian dalam berniaga mereka akan berjumpa dan melihat pelbagai ragam manusia, mereka akan kenal ramai orang ternama dan biasa. Di sini dalam konteks dakwah, Nabi S.A.W akan belajar bagaimana untuk melihat ragam manusia dalam usaha dakwahnya sesudah dilantik menjadi rasul.

Kemudian lagi apa?

Ukhwah dan silaturrahim. Mereka akan kenal banyak orang baru dalam hidup mereka. Baik Islam mahupun bukan Islam. Dan ukhuwwah akan terjalin, atas asbab perniagaan. Sebab itu dalam berniaga perkara pokok yang perlu dijaga ialah good contact’, masyarakat cina sangat menjaga hubungan good contact mereka. Dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, ‘good contact’ digunakan dalam usaha dakwah baginda kelak. Mereka akan melihat keluhuran dan kejujuran baginda. Jika produk yang dibawa itu adalah dari buatan manusia pun sudah dijual dengan jujur, pastilah produk dari langit juga akan disampaikan secara jujur. Apa produk itu? Iman dan Islam.

Kemudian pula apa lagi?

Berniaga akan bawa diri kita merentas pelbagai medan seantero dunia. Dengan berniaga kita akan melihat kepelbagaian budaya, dan akan terhasil idea untuk menghasilkan produk yang terbaik. Contohnya goreng pisang cheese. Produk itu sudah lama wujud di Indonesia, kemudian dicipta dan dijual di Malaysia. Dan dalam konteks dakwah Nabi S.A.W, baginda kerap berdagang ke sana ke mari, dan melihat kepelbagaian ragam manusia. Sewaktu muda, baginda menimba pengalaman bercampur pelbagai golongan manusia. Baginda tidak menilai manusia dari luaran. Sebab itulah dakwah baginda sampai ke setiap lapisan masyarakat. Tua dan muda, miskin dan kaya, hamba dan raja, lelaki dan wanita.

Perniagaan adalah satu tarbiyyah terbaik. Terbaik untuk mendidik jiwa anda dan belajar matlamat asal kehidupan. Perasaan tawakkal dan syukur paling banyak dalam jiwa orang yang berniaga.

Ramai antara kita membaca kisah sesudah Nabi S.A.W menjadi rasul iaitu diusia baginda 40 tahun. Namun ramai yang tidak tahu apa yang baginda buat sewaktu usia muda. 

Ketahuilah, baginda bukan duduk bersahaja. Baginda ditarbiyyah pelbagai cara. Salah satunya jalan perniagaan. Baginda bercampur dengan pelbagai jenis manusia untuk belajar mengenali umatnya. Baginda merantau untuk  mendekati kepelbagaian manusia. 

Oleh itu, sunnah dalam perniagaan bukanlah mesti kaya. Kerana sunnah dalam perniagaan adalah tarbiyyah diri untuk menjadi hamba. Itulah cara Tuhan mengajar manusia.

Tingkatkan dalam hati rasa syukur dan tawakkal.

Sekiranya berniaga untuk kaya, maka tak perlu berniaga. Kerana berniaga nak kaya itu adalah kesilapan pertama.

Tetapi sekiranya berniaga untuk mencari nafkah dan berbakti memberi manfaat pada umat manusia, itulah matlamat asal perniagaan dalam agama.

Lupakah kalian pada sabda baginda, bahawa sebaik-baik umat Nabi S.A.W adalah yang memberi manfaat pada mukmin yang lain?

Sebenarnya konsep berniaga adalah memberi manfaat. Dan bukan nak kaya.

Berapa usia kita?

Contohi Nabi S.A.W di usia kita.

Barulah ianya dipanggil mengikut sunnah.

Nak sayang Nabi S.A.W? Kena tiru Nabi S.A.W.

Sebab itu berniaga kena pegang 2 benda. Jangan malu dan jangan putus asa. Sebab dakwah juga tidak boleh malu dan putus asa. Barulah ia sunnah.

Aku juga pernah berputus asa berniaga. Tapi aku belajar rasa sakitnya jatuh, supaya kelak aku faham nikmatnya bangkit.

Sunnah itu bukan pada jubah, makanan atau pakaian.

Tetapi sunnah pada perlaksanaan.

Sholawatt.


Saturday 4 July 2015

Islam Itu Matlamat Bukan Alat

Anakmiskin_zps5ba6997f
Telah beberapa kali saya tegaskan, Islam seharusnya jadi matlamat bukan alat. Namun ustaz muda itu masih menolak. Apa boleh buat. Saya hanya boleh memberi saranan dan pandangan. Soal mempengaruhi fikiran dan hatinya, itu adalah di luar kawalan saya. Perbincangan yang tadinya bermula dengan tenang, mula bertukar panas. Namun saya tekad meneruskan perbualan. Insya-Allah, bagaimana panas sekalipun saya berjanji pada diri tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar.
“Untuk maju, kaya dan berjaya kita mesti amalkan Islam,” kata ustaz muda itu lagi.
“Bagi saya, amalkan Islam kita akan maju,” ujar saya.
“Tidak ada bezanya antara kata-kata tuan dan saya,” tegasnya.
Saya diam. Namun dalam hati saya tetap menolak. Bagi saya ada bezanya antara Islam yang ‘diperalatkan’ dengan Islam yang menjadi matlamat. Saya masih ingat dalam sebuah kursus Rumah Tangga Bahagia yang pernah saya hadiri. Seorang peserta meminta penjelasan tentang perbezaan antara Islam yang menjadi alat dengan Islam yang menjadi matlamat dalam rumah tangga.
“Mari kita bina rumah tangga bahagia dengan mengamalkan Islam,” Begitulah yang selalu kita dengar dalam seminar atau kursus kekeluargaan bercorak Islam.
Pada saya, saranan itu sepatutnya diperbetulkan dengan berkata, “Mari kita jadikan rumah tangga sebagai wadah menegakkan Islam.”
Saya jelaskan pada peserta itu dengan berkata, “kita dahulukan hak Allah. Kita tegakkan hukum-hakam Allah dalam rumah tangga kita. Rumah tangga kita menjadi alat untuk menegakkan agama. Itu sewajarnya.
Hak Allah agar kalimah-Nya ditegakkan mesti didahulukan. Kebahagiaan kita jatuh nombor dua. Insya-Allah, jika kita menjaga hukum-hakam Allah, Allah akan menjaga kita dan akan mengurniakan kebahagiaan sebagai ganjaran.”
“Jadi salahlah kalau saya katakan, demi kebahagiaan keluarga kita perlu amalkan Islam?”
“Tidak salah. Cuma pada pandangan saya itu kurang tepat. Bagi saya apabila kita amalkan Islam, insya-Allah rumah tangga kita bahagia. Bukan sebaliknya.”
“Bukan sebaliknya? Apa maksud tuan?” tanya peserta itu lagi.
“Maksud saya, niat kita hendak amalkan Islam dalam rumah tangga itulah yang mesti didahulukan. Bukan niat untuk mendapat bahagia.”
“Maksudnya dahulukan hak Allah, bukan hak kita?” tanyanya lagi.
Alhamdulillah, dia sudah dapat apa yang saya maksudkan. Sambil mengangguk saya tersenyum.
Saya teringat sebuah hadis yang merupakan pesan Rasulullah kepada Abdullah bin Abbas: “Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (Riwayat al-Tirmizi)
Begitulah juga dalam seminar-seminar perniagaan atau usahawan Islam. Apabila berpeluang saya selalu mengingatkan, keuntungan dalam perniagaan jangan jadikan matlamat. Itu hanya alat.
Yang menjadi matlamat ialah menegakkan hukum dan syariat Allah dalam sistem perniagaan. Walaupun mungkin tidak mendapat keuntungan, tetapi usaha menegakkan hukum Allah itu sudah dianggap berjaya.
Letaknya kejayaan bukan pada keuntungan tetapi sejauh mana kita berjaya menegakkan hukum Allah dalam perniagaan dan kehidupan. Saya mengingatkan tentang solat Duha yang sering dijadikan kaedah untuk mendapat rezeki, sedangkan yang lebih tepat solat Duha ialah kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah; Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri sendiri dan orang lain bahawa ‘pemberi hadiah’ mesti lebih diutamakan daripada ‘hadiah-Nya’.
Begitu juga ketika berdepan dengan ‘pemain-pemain’ industri sistem kewangan Islam apabila saya mengendalikan program latihan bersama-sama mereka. Yakni mereka yang bertanggungjawab memasarkan produk-produk patuh syariat menerusi organisasi kewangan Islam seperti bank dan syarikat takaful. Sering saya berpesan agar jangan produk dan sistem sahaja yang patuh syariah tetapi manusia yang menjalankan sistem yang menyampaikan produk tidak syariah.
Memang benar kini produk-produk patuh syariat sama ada dalam industri makanan, penerbitan, media massa, kewangan, pakaian dan pelancongan telah menjana keuntungan yang tinggi. Produk sebegini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa. Justeru ramai yang berebut-rebut untuk menceburi bidang ini.
Soalnya, apakah niat sebenar kita apabila menceburi bidang-bidang tersebut? Apakah ikhlas untuk menegakkan Islam atau hanya semata-mata untuk mendapat keuntungan atas nama Islam? Bolehkah kita terus istiqamah dan komited sekiranya diuji dengan kegagalan atau kerugian? Jangan sampai apabila untung kita genggam, tetapi apabila rugi kita lepaskan. Sedangkan jika kita ikhlas kerana Allah, untung atau rugi, Islam tetap kita genggam.
Ya, kembali kepada ustaz muda di hadapan saya yang sangat berketerampilan ini. Dengan motosikal besar berkuasa tinggi dia nampak gah dan bergaya. Sejak tadi dia berhujah, untuk Islam dilihat hebat golongan agama terutama para ustaz mesti dilihat hebat. Hebat pada pakaian, kenderaan, rumah dan lain-lain. Itulah cara untuk menundukkan ego para penentang Islam, dakwanya.
“Apabila kita guna motosikal besar, barulah pemburu dunia akan buka mata. Wah, orang agama pun memiliki dunia, kata mereka. Jangan sampai dikatakan orang, kita mencemuh dunia kerana tidak memilikinya!” tekannya berkali-kali.
“Tetapi dunia di tangan pemburu dunia jauh lebih hebat. Jauh lebih bergaya dan hebat. Mereka bukan sahaja memiliki motosikal yang lebih besar, tetapi bot mewah, helikopter, jet peribadi bahkan vila yang berbilion-bilion harganya. Setakat yang ada pada kita, masih dipandang sebelah mata,” balas saya.
“Kita pun sedang berusaha ke arah itu.”
“Untuk jadi lebih kaya dan bergaya? Untuk apa?”
“Untuk dakwah. Untuk mempamerkan kekuatan dan keindahan Islam.”
“Di manakah letaknya keindahan Islam?” tanya saya semula.
Melihat dia diam saya menambah, “pada dunia yang dimiliki oleh orang agama? Tidak, pada saya indahnya Islam apabila orang agama memiliki akhlak yang baik?”
“Dunia untuk menarik hati orang dunia? Saya segera teringat firman Allah: “Dialah menyatukan antara hati mereka. Jika engkau menafkahkan segala yang ada di bumi, pasti engkau tidak dapat menyatukan hati mereka tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka.” (Al-Anfal 8: 63)
“Akhlak baik tetapi miskin dan melepek buat apa?” asaknya terus menerus.
“Subhanallah, bukan saya menyuruh kita jadi miskin. Kaya tidak salah. Tetapi kekayaan bukan faktor utama untuk menarik hati dalam berdakwah. Manusia tertarik pada akhlak orang agama, bukan dunia yang dimiliki oleh orang agama. Cuma untuk dihormati, orang agama jangan nampak merempat, ada sumber rezeki sendiri dan tidak menagih dunia daripada orang yang diseru.”
Jelas daripada mimik mukanya, ustaz muda itu masih tidak bersetuju. Dengan segala produk Islamik yang dikeluarkan dan dipasarkannya, dia berjaya bergelar usahawan yang berjaya.
“Imej Islam yang perlu kita bina mesti nampak kaya, kuat, bergaya dan mampu berkuasa.”
“Apakah itu cara Rasulullah berdakwah?” tanya saya.
“Apakah itu imej yang diperlihatkan oleh Rasulullah ketika mula berdakwah di kota Makkah. Imej kaya? Imej bergaya?”
“Kita perlu buka mata mereka terlebih dahulu dengan dunia sebelum buka hati mereka untuk iman. Buka mata mereka dengan imej bergaya kemudian barulah mereka datang dekat untuk dibuka hatinya menerima Islam,” hujahnya.
“Islam mula diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin pada peringkat awalnya kerana imej keadilan dan kasih sayangnya, bukan imej mewah dan kaya raya,” tekan saya sekali lagi.
“Mana ada lagi hamba dewasa ini. Sekarang kita perlu tarik golongan korporat dan kaya raya untuk mendekati Islam. Dengan kemasukan mereka ke dalam kumpulan pejuang Islam, kita akan dapat kekuatan.”
“Golongan hamba memanglah tidak ada lagi, tetapi orang fakir, miskin dan umumnya golongan marhaen masih ramai. Hidup mereka kian terhimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu kini. Harga barang keperluan semakin meningkat, kos pendidikan anak-anak kian melambung.”
“Itulah sebabnya. Apabila orang kaya sudah berjaya disedarkan, merekalah yang akan membantu golongan ini,” hujahnya lagi.
“Sampai bilakah kita harus menunggu sehingga kita berjaya menarik ramai orang kaya ke dalam kumpulan pejuang Islam untuk membantu orang miskin?”
“Mengapa awak kata begitu?”
“Ini mengambil masa. Kita perlu tunjuk kaya untuk menarik orang kaya, kemudian barulah orang kaya itu boleh membantu orang miskin.”
“Jadi bagaimana yang tidak memenatkan?”
“Wang yang kita usahakan untuk menunjukkan kita bergaya dan kaya itu terus kita gunakan untuk membantu si miskin.”
“Saya tidak setuju!” bantahnya terus terang.
“Sebab?”
“Ertinya saya perlu korbankan motosikal besar dan kereta mewah saya untuk membantu si miskin?”
“Tidak begitu. Motosikal dan kereta tidak salah. Tetapi sebagai pejuang, bersederhanalah. Tidak salah punya kereta dan motosikal tetapi tidak perlu terlalu mewah. Lebihan wang itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin atau untuk membina pusat pengajian dan projek ekonomi ummah. Tidak perlu lagi kumpulan kita atau murid-murid tahfiz mengutip derma, membuka tabung untuk memohon bantuan dan ihsan orang lain untuk membantu perjuangan kita.”
Ustaz muda itu masih mencemik.
Melihat mimik mukanya itu saya menambah lagi, “Ustaz, kalau kita sendiri payah untuk berkorban, apalagi orang lain. Jika benar Islam menjadi matlamat, buat dulu apa yang mampu kita buat, baru Allah membantu untuk membuat apa yang tidak mampu kita buat. Ramai lagi para gelandangan yang tidak punya makanan dan merempat di jalan-jalan.”
Dia masih mencemik.
“Tetapi kalau Islam hanya jadi alat, bermakna kita perlu kumpul kekayaan dahulu barulah membantu Islam. Dalam sejarah, Qarun pun asalnya berfikiran begitu.”
“Eh, saya bukan seperti itu! Motosikal besar saya ini bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk menunjukkan kehebatan Islam,” pintasnya.
“Baguslah jika begitu. Mudah-mudahan dengan motosikal besar itu ustaz boleh mendekati orang kaya yang punya hobi yang sama. Dengan itu ustaz boleh berdakwah kepada mereka,” kata saya.
Akhirnya saya mengalah. Saya cuma risau agama terfitnah oleh golongan agama. Yang menjadi sangat kaya dengan menjual produk-produk Islamik yang pelbagai jenama. Sudah ada kismis, air mineral, pakaian, makanan yang ‘dibacakan’ 30 juz al-Quran lalu dijual dengan harga yang tinggi.
Apa salahnya kita bantu produk-produk Islam, bukankah itu untuk menguatkan Islam? Itu dakwa mereka. Sedangkan jika diteliti,  itulah jalan yang melahirkan ‘kapitalis agama’ –  mereka yang mengeksploitasi Islam demi kepentingan diri. Islam terus menjadi alat bukan matlamat.  Hasilnya, orang kecewa dengan agama kerana ‘pengkhianatan’ orang agama!

Wednesday 21 January 2015

Banjir Dosa Yang Melanda Jiwa




“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.  

“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.  

“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”  

“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”  

“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.  

Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.     

Sebab Allah Sayang  

“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.  

“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Beverly Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.  

Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.  

“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.”  

“Dari manakah awak tahu yang seseorang itu Allah benci atau Allah sayang? Bagi saya orang di bandar-bandar tersebut bukan orang kafir, mereka belum Islam. Allah tidak membenci orang bukan Islam.”  

“Apakah bezanya antara orang kafir dengan bukan Islam? Bagi saya sama sahaja. Yang beza, hanya kafir harbi dan kafir zimmi.”  

“Bagi saya memang berbeza. Orang kafir ialah orang yang menentang Islam setelah diseru kepadanya secara lisan dan perbuatan. Manakala orang bukan Islam ialah orang yang belum pun diseru kepada Islam. Saya rasa, mereka belum pun diseru kepada Islam, jadi bagaimana mereka boleh dituduh menentangnya? Label kafir hanya layak bagi yang menolak dan menentang setelah seruan dakwah dilakukan terhadap mereka.”  

“Sudahpun dibuat. Mereka memang penentang. Sekarang era ICT, tak akan mereka tak dapat maklumat dan ilmu tentang Islam? Tak sampai seru? Maaflah, tak logik.”  

Diam seketika. Mungkin sama-sama mencari ‘peluru’ untuk terus berhujah.  

Saya yang dari tadi menjadi pendengar sudah bertukar menjadi ‘pemikir’. Input-input yang diluahkan dalam perbualan dua orang lelaki itu membuat fikiran saya teruja dan emosi sedikit terusik.     

Angkara Tangan Manusia  

“Aku rasa bukan kerana dosa. Jika kerana dosa, mesti sejak dahulu lagi bencana sudah menimpa. Sejak dahulu lagi orang telah berdosa.”  

“Kau nak menolak sejarah azab yang menimpa kaum ‘Aad, Thamud, umat Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain kerana mereka derhaka? Kalau nak menafikan fakta dalam al-Quran dan hadis yang menegaskan umat yang berdosa akan diazab Allah? Hati-hati!” kata lelaki berkopiah putih lagi, kembali menghangatkan suasana.  

“Kau jangan emosional. Aku tidak menolak fakta-fakta itu. Tetapi aku rasa ada sebab lain yang menyebabkan bencana alam. Bukan soal dosa dengan Allah sahaja.”  

“Apa dia? Dosa dengan manusia?”  

“Aku rasa mungkin juga kerana pemugaran hutan yang tidak terancang, sistem saliran yang tidak efektif dan efisien, sikap membuang sampah merata-rata, serta sistem pembuangan sisa yang lintang pukang.”  

Kali ini lelaki kopiah putih pula terdiam. Melihat keadaan itu, lelaki yang bersongkok hitam tiba-tiba bersuara, “Eh, sejak tadi diam sahaja, bersuaralah sikit,” katanya sambil menepuk bahu yang sedang bersandar di tiang masjid.  

Saya terkejut. Tidak sangka ketika mereka berdua hebat berhujah masih sempat melihat saya di sebalik tiang.     

Apabila Hukum Allah Tidak Dipeduli  

“Bencana boleh menimpa apabila kita melanggar hukum Allah,” ujar saya sekadar meraikan. Sebenarnya saya masih berminat untuk mendengar dan menjadi ‘pemerhati’ berbanding turut serta dalam ‘forum’ pasca-Subuh itu.  

“Itu saya sudah tahu.”  

Hampir serentak mereka berdua bersuara.  

“Hukum syariatullah dan juga sunnatullah,” kata saya masih pendek.  

Mereka diam, memberi laluan untuk saya membuat penjelasan.  

“Halal, haram, sunat, makruh dan harus itu ialah hukum syariatullah. Jika dilanggar berdosa. Membuat apa yang diharamkan Allah atau meninggalkan apa yang diwajibkan-Nya ialah dosa. Misalnya tidak bersolat, mengamalkan riba, mendedahkan aurat, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.”  

“Itulah yang saya tegaskan sejak tadi. Bencana ini angkara dosa-dosa itulah,” kata lelaki berkopiah. Rasa puas terpancar di wajahnya.  

“Hukum sunnatullah pula bagaimana?” tanya lelaki bersongkok.  

“Hukum sunnatullah ialah hukum Allah dalam mengatur alam. Gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi. Tasik, sungai dan laut tempat tadahan dan saliran air yang disusun secara semula jadi. Begitu juga hutan dan pokok-pokok yang mencegah hakisan tanah sekali gus meneguhkan kedudukan pada lapisan luar bumi.”  

“Itu hukum Allah juga?”  

“Ya. Itu hukum Allah juga. Tidak boleh diabaikan dan dilawan, buruk padahnya. Apabila hutan dipugar sesuka hati, gunung ditarah sewenang-wenangnya, laut dan sungai dicemari, maka berlakulah banjir, kemarau, tanah runtuh dan sebagainya. Allah tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.”  

“Ini semua kerana jahil atau degil?” tanya lelaki bersongkok hitam.  

“Ada kalanya kerana jahil. Ilmu dan kepakaran tidak ada. Tidak ada kajian, perancangan dan pelaksanaan yang rapi dan teliti. Buat kerja ikut terlintas, tanpa home work dan persiapan terlebih dahulu,” jelas saya.  

“Tetapi yang banyaknya kerana degil,” kata lelaki berkopiah putih tiba-tiba.  

“Ya. Ada juga kerana degil. Bukan kerana tidak tahu, bukan kerana tidak ada kepakaran, tetapi kerana tidak ada kejujuran. Tahu, tetapi kerana tidak mampu melawan kerakusan hawa nafsu. Tahu, tindakannya akan mencemar dan merosakkan alam, tetapi dek kerana keuntungan tindakan itu diteruskan juga. Semua kerana wang.”  

“Itu bukan satu dosa?” celah lelaki bersongkok.     

Padah Ingkar Amanah  

“Ya, itu satu dosa. Tamak, rakus dan menyusahkan orang lain, hakikatnya satu dosa. Dosa melanggar sunnatullah ada kalanya terkait dengan dosa melanggar syariatullah. Menebang hutan, mencemarkan sungai, membuang sampah merata-rata bukan hanya dosa kepada alam tetapi dosa kepada Allah dan sesama manusia.”  

“Saya kurang pasti bagaimana?”  

“Bumi, yang merupakan amanah Allah dirosakkan. Bumi tempat manusia lain berteduh dicemari. Semua ini dilakukan kerana kepentingan diri. Maka, sudah tentu ini merupakan satu dosa,” jawab saya agak panjang. Kali ini saya benar-benar teruja untuk masuk campur.  

“Ingat tu, kita khalifah. Perlu urus tadbir dunia ini dengan bijak,” sampuk lelaki yang bersongkok.  

“Tidak cukup dengan bijak sahaja, mesti amanah,” ujar saya perlahan.  

“Dengar tu, bijak sahaja tidak cukup. Mesti amanah,” kata lelaki yang berkopiah.  

“Amanah sahaja tanpa bijak pun tidak cukup,” balas lelaki bersongkok.  

Saya tersenyum. Lucu pula melihatnya. Masing-masing sudah faham, tetapi belum mencapai tahap kesefahaman.  

“Hukum syariatullah perlu dipatuhi untuk menjadi hamba Allah yang baik. Hukum sunnatullah juga perlu dipatuhi untuk menjadi khalifah yang mampu memberi kebaikan. Kalau kedua-dua hukum ini dilanggar, bencana akan menimpa,” jelas saya cuba merumuskan.  

“Tetapi saya lihat ada juga orang yang telah mentaati kedua-dua hukum itu masih dilanda bencana alam. Bagaimana pula?”     

Ujian Kesabaran dan Ketaatan  

“Itu cara Allah memberi pahala sabar dan meninggikan darjat mereka yang taat,” ujar saya.  

Dalam diam, saya akur betapa ada hamba Allah yang soleh yang turut diuji oleh bencana alam. Mereka juga dilanda kesusahan dan kesempitan. Tetapi insya-Allah, orang yang taat akan sentiasa mendapat kebaikan walaupun dalam kesusahan. Manakala orang yang bermaksiat, akan sentiasa mendapat keburukan walaupun dalam kesenangan.  

“Musibah sama, tetapi natijah berbeza. Orang derhaka yang terus derhaka, akan mendapat dosa berganda. Orang yang taat bertambah taat akan mendapat pahala berganda. Manakala orang yang berdosa tetapi kembali bertaubat akan dihapuskan dosa-dosanya. Walau apa keadaan sekalipun, apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita,” jelas saya lagi.  

“Bagaimana pula orang yang bermaksiat tetapi terus selamat? Mereka yang leka berjudi, berpelesiran dengan wanita dan arak tetapi tidak pula dilanda musibah?”  

“Percayalah, orang yang melakukan dosa tidak akan tenang, sama ada ketika dilanda bencana alam atau pun ketika tidak dilanda bencana alam. Bencana yang melanda jiwa akibat dosa sesungguhnya lebih besar berbahaya berbanding bencana yang melanda alam. Mereka tidak akan menikmati kesenangan tanpa ketenangan. Dunia luarnya nampak aman, tetapi dunia dalamannya terus resah dan bergolak,” ujar saya.  

Lelaki yang berkopiah dan bersongkok itu sama-sama mengangguk.  

Dalam hati terus berdoa, mudah-mudahan bencana alam ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah lama gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam di dalam hati akan mampu diapungkan kembali oleh apa juga tragedi yang melanda umat ini, kini dan selamanya. Insya-Allah.  

Matahari terbit jua akhirnya. Ahli jemaah yang sejak tadi beriktikaf di dalam masjid, terus membaca al-Quran, berzikir dan ada pula yang bangun ke belakang untuk memperbaharui wuduk. Mudah-mudahan dengan mendekatkan diri kepada Pencipta, kita jadi semakin matang dan bijak menguruskan perbezaan sesama manusia.

Friday 31 October 2014

Kenapa Mas Kahwin Tak Cukup-cukup?


Pasuku Bocor

            “Adoi! Kuisi air ke dalam pasu ni sejak pagi ke petang, tapi tak penuh-penuh airnya,” rungut seorang lelaki.

            “Cuba lihat di bawahnya,” tegur ibunya.

            “Ya Allah, pasu ni berlubang-lubang di bawah rupanya,” baru lelaki ini tersedar puncanya. 

            Kerana kebocoran itu, simpanan airnya di dalam pasu selalu kering.      
   
            Ini satu analogi.

            Ramai lelaki sedang cuba mengumpul duit untuk belanja hari pernikahannya tapi duit itu dirasakan tidak cukup-cukup. Dia berusaha mencari kerja-kerja sampingan tapi duit tetap ‘kering’ setiap bulan. Dia mungkin terlupa soal punca ‘kekeringan’nya itu.

Situasi Rahim

            Situasinya begini. Rahim bekerja sebagai seorang guru dengan gaji RM2500 sebulan. Dia bekerja sampingan sebagai seorang penjual burger dengan pendapatan RM500 sebulan. 

Gajinya sebulan berjumlah RM3000. Tapi belanja bulanannya adalah RM4000. Setiap hujung bulan, duitnya akan kehabisan. Dia terpaksa meminjam dan berhutang.

Bagaimana pengurusan kewangannya?
1.      Mendapat gaji.
2.  Menggunakan duit untuk ‘keperluan’ hidup. (Makan, minum, bil air, telefon, kenderaan).
3.      Menggunakan duit untuk ‘keinginan’ hidup. (Solek kereta, belanja kawan-kawan, beli rokok, melancong, tukar telefon jenama mahal, tengok wayang).
4.      Bayar hutang.
5.      Simpan jika ada lebih.

Situasi Mansur

            Mansur bekerja sebagai seorang penoreh getah. Gajinya RM1000 sebulan. Belanja bulanannya ialah RM900 sebulan.

Dia mengumpul RM100 setiap bulan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.  Akhirnya Mansur berjaya mengumpul mas kahwin.

Bagaimana pengurusan kewangannya?
1.      Mendapat gaji.
2.      Mengasingkan RM100 untuk disimpan.
3.      Menggunakan duit yang berbaki untuk ‘keperluan’ hidup.
4.      Meminimumkan penggunaan duit untuk ‘keinginan’ hidup.
5.      Bayar hutang.

Beza Sikap Rahim dan Mansur?

            Mansur meletakkan ‘simpanan’ di nombor dua. Dijadikan prioriti. Oleh sebab itulah Mansur mempunyai simpanan.  

Manakala Rahim meletakkannya di nombor paling akhir. Biasanya tiada apa yang dapat disimpan.

Mansur juga tidak memperuntukkan terlalu banyak wang untuk ‘keinginan’ hidup maka dia dapat berjimat. Dia juga berkeinginan memiliki I-pad tapi disematkan dalam dada, “Saya belum mampu.” Dia bersabar dahulu dengan telefon buruknya.

Manakala Rahim ibarat menuang air ke dalam pasu yang bocor. Sebanyak mana pun air yang dituangnya, air itu tetap kering. Sebesar mana pun gajinya, duit tidak akan dapat disimpan jika banyak duitnya habis pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. ‘Keinginan’ yang tidak dikawal itu ibaratnya ‘kebocoran’ dalam pengurusan kewangannya.

Sediakan Mas Kahwin ‘Mudah’ bukannya ‘Murah’

Dalam isu ‘mas kahwin’, sering kali terdengar keluarga wanita disalahkan kerana meletakkan nilai semasa. Isu ini sepatutnya dikupas dengan lebih ‘adil’ dan holistik.

Sebelum pergi jauh, apakah itu mas kahwin? Mas kahwin atau mahar ialah hadiah wajib daripada pengantin lelaki sebagai menunaikan hak pengantin wanita. Allah SWT mengarahkan, “Berikanlah mahar kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.” (Surah an-Nisa’, ayat 4.)

Rasulullah SAW berpesan, “Sesungguhnya wanita yang terbaik ialah yang paling mudah maharnya[i].”

Apabila kita mengkaji sirah lebih mendalam, kita akan melihat kepelbagaian mahar para sahabiah. (Rujuk Majalah Anis isu lepas). Ada yang sangat tinggi dan ada yang sangat rendah. Ada sahabiah yang mendapat mahar sebuah kebun. Ada pula yang mendapat mahar hafazan al-Quran.

Maka, para ulama muktabar membuat kesimpulan, tidak kiralah mahar itu berupa sebentuk cincin besi atau sekereta emas, kedua-duanya adalah mahar yang baik, selagi ‘mudah’ bagi suami untuk memperolehinya. Iyadh berkata, “Seluruh ulama membenarkan mahar dengan apa sahaja asalkan kedua-dua suami isteri itu rela.”

Kesimpulan

Oleh sebab itu, bukan wanita sahaja patut dipersalahkan agar merendahkan mahar sebaliknya lelaki juga perlu berperanan agar bijak mengurus kewangan. Barulah mampu menyediakan mahar.
                                                                                                                                                                                                                                                  



[i] Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya.


Sumber: Fatimah Syarha




Saturday 13 September 2014

Petua Ayah




Ini cerita benar. Ini cerita petua seorang ayah untuk kebaikan anaknya. Kisah ini sangat dekat dengan diriku. Begini kisahnya:    

Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak.

“Ada duit? Minta ayah sedikit.”

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur, isteri dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulillah mereka ‘sporting’ dan tidak banyak meragam.

“Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi memang tak ada duit,” bisik saya kepada emak.    

Emak seperti biasa, berwajah selamba. Sukar di tebak reaksinya.

“Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.

“5 ringgit?”

Emak mengangguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang  RM5. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa lagi yang memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ‘untung’ 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.    

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Bila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi wang ‘permintaan’ ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan ‘peruntukan’ khas untuk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ‘ekonomi’ saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap permintaannya dan tetap senyum bila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ‘ketajaman’ rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).    

Begitu pun, setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setia memasukkan duit yang melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ‘tidak ada’, tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.     

Namun, secara bertahap-tahap, buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.  

“Nanti, besarlah kereta kamu ni,” ujar ayah senyum.  

Apa pun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang. Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.     

“Eh, tak payahlah ayah.” 

Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.  

“Kenapa, dah kaya?” usik ayah. 

Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ‘dikebas’ oleh saya. Dan dalam hati, saya mula merasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkannya ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.     

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta. Di samping penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh kerana bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana ‘kekurangan’ atau ‘kelebihan’ kami. Tetapi dia memberi kerana Allah. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!     

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kita kongsi bersama:     

“Kini aku benar-benar faham bahawa ibu-ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka bukan ‘liabiliti’ tetapi sebenar mereka adalah aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.” 

“Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. Keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa.”     

Baiklah, anda pembaca bagaimana? Inilah cerita benar yang jarang didengar. Inilah rahsia ‘perniagaan’ yang jarang diperkatakan oleh para korporat. Juga tidak ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih mempunyai ibu bapa? Memberilah kepada mereka. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sumber: Pahrol Mohamad Juoi