Followers

Nuffnang

Wednesday, 19 June 2013

Berbuat Baik, Tetapi Tidak Baik



Alhamdulillah, kesedaran umat Islam untuk berpesan-pesan kepada kebenaran semakin meningkat. Akan tetapi dalam berpesan kepada kebenaran, ada yang tersalah sehingga melakukan perkara yang tidak benar.  
Satu contoh yang lazim ialah dalam bab solat fardhu lima kali sehari. Di sebahagian surau dan masjid, ditampal poster yang mengancam orang yang meninggalkan solat fardhu. Kononnya jika ditinggalkan solat Subuh, Allah akan mencampakkannya dalam neraka selama 60 tahun. Jika ditinggalkan solat Zohor, dosanya sama seperti merobohkan Kaabah. Jika ditinggalkan solat Asar, Allah akan mengazabnya di dalam kubur selama 100 tahun. Jika ditinggalkan solat Maghrib, dosanya seperti berzina dengan ibubapa sendiri. Jika ditinggalkan solat Isyak, Allah mengharamkan syurga selama 100 tahun.
Banyak lagi ancaman bagi orang yang meninggalkan solat. Poster yang berbeza akan memaparkan ancaman yang berbeza. Sayang sekali, tidak ada satu pun ancaman ini yang bersumber daripada Allah dan Rasul-Nya, daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Di sinilah terletak kesalahan yang amat besar, bahkan mungkin saja lebih besar berbanding kesalahan yang tidak solat.
Orang yang tidak solat, dia beriman bahawa Allah telah mewajibkan solat, hanya malas atau terikut-ikut nafsu sehingga tidak menunaikannya. Justeru dia berdosa besar kerana malas solat. Namun apabila seseorang itu mengatakan Allah akan menjatuhkan sekian-sekian hukuman neraka atau memberikan sekian-sekian dosa, dia sebenarnya melakukan satu kesalahan yang lebih parah. Ini kerana dia berkata-kata tentang Allah apa yang Allah tidak pernah nyatakan. 
Ia seumpama orang yang berkata-kata bagi pihak raja (atau sultan) padahal raja tersebut tidak pernah bertitah sedemikian. Orang sebegini pasti saja akan dihukum kerana berdusta di atas nama raja. Bandingkan pula jika ada yang yang berkata-kata bagi pihak Raja pada hari Akhirat, yakni Allah Subhanahu waTa'ala? Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al-Fatihah yang kita selalu baca: Maliki yaumid Din yang bermaksud Raja pada hari pembalasan? Oleh itu sudah tentu kesalahan mendakwa sekian-sekian hukuman dan azab atas nama Raja pada hari Akhirat adalah jauh lebih besar. 

Kesalahan Yang Paling Besar
Apabila ditanya apakah kesalahan yang paling besar di sisi Allah? Pasti kita akan jawab kesalahan itu ialah syirik kepada-Nya atau menyekutukan-Nya. Ini betul tetapi kurang tepat. Perhatikan tertib kesalahan yang Allah susun dalam firman-Nya berikut ini:
Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, menyekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan berkata-kata ke atas Allah apa yang tidak kamu ketahui.” [al-A’raaf 7:33]
Jika diperhatikan senarai kesalahan yang Allah haramkan, syirik atau menyekutukan Allah berada di tertib terkemudian. Ini menunjukkan bahawa dalam senarai di atas, kesalahan yang lebih berat di akhirkan. Ia bererti kesalahan yang paling besar ialah yang paling akhir dalam senarai tersebut, iaitu “…berkata-kata ke atas Allah apa yang tidak kamu ketahui.”
Sebenarnya berkata-kata ke atas Allah apa yang tidak kamu ketahui adalah satu bentuk syirik, di mana orang yang melakukan tindakan itu meletakkan dirinya sejajar dengan Allah sehingga dia bercakap tentang Allah dan bagi pihak Allah, padahal Allah tidak pernah mengangkatnya pada kedudukan sedemikian. Bahkan seorang Rasul juga tidak akan berani bercakap tentang Allah atau bagi pihak Allah melainkan setelah diwahyukan oleh Allah.
Pun begitu orang yang berkata-kata ke atas Allah, dia seolah-olah berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada Allah. Dia menetapkan sekian-sekian hukuman, azab dan dosa dengan sendirinya tanpa memerhatikan atau mempedulikan apa yang ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itulah dalam tertib ayat di atas, berkata-kata ke atas Allah apa yang tidak kamu ketahui adalah kesalahan yang lebih berat berbanding menyekutukan Allah.

Berpesan-pesan Kepada Kebenaran
Oleh itu dalam rangka kita berpesan-pesan kepada kebenaran, hendaklah kita terlebih dahulu memastikan apa yang hendak dipesankan itu benar-benar merupakan kebenaran. Meskipun niat kita adalah baik, janganlah kita melakukan kesalahan dalam rangka ingin membetulkan kesalahan orang lain. Ini kerana mungkin saja kesalahan kita adalah lebih besar berbanding kesalahan orang yang ingin kita perbetulkan.

Sumber: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah





2 comments:

  1. berpesan-pesan kepada kebenaran..lbh kurang,macam jgn duk men tuduh2 kalaw bnda tu blh pasti kbnrnyanya..tkut jth jadi fitnah plak..kn?:)

    ReplyDelete