Followers

Nuffnang

Tuesday 4 June 2013

Indahnya Menahan Marah




Sunnatullah bagi seorang manusia untuk diuji ketika menjalani kehidupannya. Kadangkala kita diuji dengan kesenangan dan kadangkala pula diuji dengan kesulitan serta kesempitan hidup sebagai pembuktian ‘ubudiyah (kehambaan) kepada Allah ketika menaiki tingkat demi tingkat keimanan dalam diri.
Kadar seseorang manusia menghadapi kesulitan hidup adalah berbeza bergantung kepada kemampuan dan kekuatan diri. Yang dimaksudkan di sini bukanlah kekuatan tubuh badan tetapi kekuatan jiwa yang dipandu oleh akal yang sejahtera berlandaskan tingkatan iman dan aqidah dalam diri.
Justeru, reaksi apabila berhadapan dengan kesulitan dalam hidup bakal mencerminkan kekuatan yang berada dalam diri. Adakah kita mampu bersabar dan bertahan dalam menempuh ujian tersebut atau sebaliknya pula bilamana kita akan bertindak di luar batasan normal akal dan fikiran?
Bagi seorang daie (pendakwah) yang mengajak manusia kepada Allah, sudah menjadi suatu ketetapan Allah bahawa dia akan menghadapi penolakan, tentangan, cacian, makian dan berbagai-bagai lagi ujian yang merintangi jalan dakwah ini. Dan meyakini bahawa hakikat jalan dakwah ini adalah jalan yang sukar dan panjang, jalan yang ditaburi dengan duri-duri yang tajam, dan bukanlah jalan yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang mekar di sepanjangnya. Lalu, bagaimanakah reaksi daie tersebut apabila berdepan dengan sebarang bentuk ujian itu?
Saat dia ditinggalkan oleh orang yang diserunya sama ada kepada kebaikan atau dalam menjauhi keburukan.
Saat dia dipulaukan oleh rakan-rakannya.
Saat dia dihina dengan kata-kata yang keji oleh manusia sekelilingnya.
Saat dia berselisih pendapat dengan barisan sahabat seperjuangannya.
Saat dia menghadapi masalah dengan keluarganya.
Saat dia menghadapi kesempitan dalam kewangan, pelajaran dan lain-lain masalah yang besar dalam hidupnya.
Sehinggakan setiap saat dia merasa diuji dalam hidupnya.
Bagaimana dia berdepan dengan ujian tersebut? Adakah dia sabar atau marah? Adakah dia tenang atau gelisah? Betapa hikmah dari sebuah ujian itu adalah untuk menyingkap kekuatan ma’nawiyah dan keimanan seorang daie.
Menahan Diri Dari Marah
Mereka yang ditimpa ujian akan menyaksikan respon yang pelbagai. Antara yang jelas disaksikan adalah sabar, tenang, tersenyum, menggelabah dan tidak kurang juga yang menzahirkan perasaan marah dan tidak berpuas hati. Bukankah agak biasa dilihat pemandangan mereka yang marah dan merungut-rungut ketika terhimpit dalam kesesakan lalu lintas? Atau ketika menunggu giliran mendapatkan perkhidmatan di pejabat awam? Atau ketika berhadapan dengan kesilapan kecil yang tidak disengajakan?
Sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut tentang sifat menahan amarah:
“Sesiapa yang menahan marah, padahal dia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk dan disuruhnya memilih bidadari yang dia ingini.” (HR. Abu Dawud – At-Tirmidzi)
Yang dimaksudkan dengan menahan marah di sini adalah seseorang itu cuba menelan marahnya, menahannya daripada terzahir serta bersabar dengannya semata-mata kerana takutkan Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya.
Bukanlah dia menahan kemarahan itu kerana mencari redha manusia atau kerana dia tidak mampu melaksanakannya (lemah kerana takutkan kuasa makhluk di sekelilingnya), tetapi dia meletakkan redha Allah dihadapannya, membatasi setiap tindakan dalam berinteraksi dengan manusia dan ujian kehidupannya.
Lantas, kelak Allah memanggilnya pada Hari Kiamat bersaksikan seluruh makhluk, dan dia berhak untuk memilih mana-mana bidadari syurga yang dia inginkan untuk dikahwininya serta menjadi isterinya di dalam syurga Allah yang kekal abadi. Subhanallah! Betapa besar ganjaran yang telah Allah sediakan buat orang yang menahan marahnya hanya kerana-Nya.
Inilah penolak buat seorang daie untuk memelihara marahnya, kerana dia tahu betapa besar ganjaran usahanya itu kelak berbanding usaha dirinya untuk menahan marah yang berbaki setelah dia langsai melepaskan amarahnya terlebih dahulu. Lalu, dia berusaha menahan dirinya, membatasi akal fikirannya dengan kekuatan iman, bertindak dengan rasional saat dia diuji dan akhirnya mengharapkan sesuatu yang pasti dalam berhadapan dengan ujian kehidupannya.
Allah menggariskan sifat menahan marah ini sebagai sifat dan ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 133-134:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
Juga firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Furqan ayat 63 tentang ciri-ciri ‘ibadurrahman:
Dan hamba-hamba al-Rahman (Yang Maha Mengasihani) itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil menegur mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata ‘salam’.”
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis:
“Kekuatan itu bukanlah ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar ialah apabila dapat menahan diri dari kemarahan.”
Hakikat Kekuatan
Insan wajar dikatakan kuat apabila dirinya berjaya menahan diri dari kemarahan. Justeru, secara amalinya bagaimanakah untuk seorang daie itu merealisasikan hakikat ini dalam dirinya?
Formula yang disediakan ialah dengan memikirkan ganjaran dan pahala yang Allah sediakan buat dirinya di akhirat kelak hasil daripada menahan marahnya.
Memikirkan bagaimana dia akan berdiri di hadapan Allah kelak dengan digelar seorang yang pemarah.
Sebesar mana kemarahnnya kepada makhluk Allah di dunia ini, adakah akan menghasilkan keredhaan Allah buatnya? Atau mampukah dia membandingkan kemarahan-Nya Yang Maha Berkehendak namun Dia juga Yang Maha Pemaaf buat hamba-Nya? Sedangkan kita, seolah pandai mengatur rencana sendiri untuk marah atau terasa ‘murka’ dengan kelibat kesalahan yang tercalit walaupun sedikit sahaja ke atas dirinya. Dan sesungguhnya di sisi Allah ada azab yang sangat pedih.
Bersegeralah untuk memberi kemaafan dalam mengharapkan kelembutan dan perlindungan Allah ke atas dirinya.
Juga memikirkan betapa sifat amarah inilah yang menjadi permulaan kepada permusuhan dan terputusnya silaturrahim dengan manusia lain di dunia ini. Masalah yang semakin disemarakkan hanya dengan marah.
Dan banyak lagi akibat-akibat buruk untuk difikirkan dan disenaraikan yang sewajarnya mampu membawa seorang daie itu menjauhi sifat marah ini dengan menggunakan senjata yang ampuh iaitu beristi’azah (memohon perlindungan) dari Allah pada setiap saat. Tatkala sifat marah mula menguasai dirinya, dia cuba untuk menukarnya dengan bertenang dan berfikir dengan rasional. Dan seterusnya, dia memenangkan iman ke atas dirinya.
Contoh Dari Baginda
Semoga kita dapat mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam memaafkan manusia. Ketika peristiwa di Taif, Rasulullah S.A.W telah dibaling dengan batu sehingga baginda mendapat luka dan cedera serta dimaki dengan kata-kata yang kesat. Impak dari baginda adalah dengan sabar bagi setiap ujian tersebut malah mendoakan buat kaum Taif dengan doa :
“Ya Allah! Beri olehmu petunjuk pada kaumku ini kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Inilah sebaik-baik akhlak yang ditunjukkan oleh sebaik-baik qudwah. Maka, tidak rugi bagi kita untuk menerap acuan yang sama dalam berakhlak dengan akhlak baginda. Anugerah Allah yang mengurniakan sebaik-baik Nabi buat sebaik-baik umat.
‘Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang dapat menahan kemarahan kami, dan jadikanlah kami dari kalangan orang yang suka memberi kemaafan dan perdamaian. Golongkanlah kami dengan orang-orang yang beramal dan mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah, mengikuti penghulu segala nabi-nabi dan rasul-rasul iaitu penghulu kami Muhammad S.A.W. Ya Allah! terimakanlah doa kami.’

Oleh: Sakinah bt Yaakob,
Tahun 6, Kuliah Perubatan,
Universiti Kaherah


4 comments:

  1. haii.. salam kenal..

    follower no. 192

    done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

    klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. IM antara orang yang lamat marah tapi bila marah lambat pula nak redakan kemarahan.

    Tapi kalau pun marah, IM selalunya tak tunjuk sebaliknya peram dalam dada atau luahkan dengan bercakap sorang-sorang dalam kereta..he..he..

    ReplyDelete
  3. :) sbb itu sabar itu indah n manis ^^ ...

    ReplyDelete
  4. hu2.. teman jea kalau marah dh pk apa.. pastu baru istighfar baru cool.. baran jugak teman ni.. hee

    ReplyDelete