Followers

Nuffnang

Sunday, 26 May 2013

Kisah Nabi Ibrahim Dan Hajar


Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi sebuah kisah benar dari sejarah Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar. Sebelum ini ingin saya tekankan satu disiplin yang penting, iaitu sebelum kita membaca atau mendengar apa-apa kisah para Nabi dan Rasul Allah, hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Ini kerana para Nabi dan Rasul adalah kekasih Allah, manusia pilihan-Nya dan utusan-Nya bagi menyebarkan agama tauhid kepada umat Islam. Maka tidak selayaknya kisah-kisah yang tidak diketahui asal-usulnya atau darjat kesahihannya disandarkan kepada para Nabi dan Rasul Allah.

 
Justeru kisah berikut saya nukil dari kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 3113/3364. Ayuh kita menghayatinya:
Wanita pertama yang menggunakan ikat pinggang adalah ibu Ismail (Hajar). Beliau menggunakannya bagi menghilangkan jejaknya daripada Sarah (madunya, yakni isteri pertama Nabi Ibrahim). Nabi Ibrahim membawanya bersama anaknya Ismail yang saat itu masih menyusu badan, sehinggalah Ibrahim menempatkan keduanya dekat Baitullah (Kaabah), pada sebuah gubuk di atas Zam Zam di hujung masjid. 
Pada waktu itu di Mekah tidak ada seorang pun yang tinggal di sana dan tidak ada air. Nabi Ibrahim menempatkan keduanya di sana dan meninggalkan sebuah karung berisi kurma dan kantung berisi air. Kemudian Nabi Ibrahim pergi untuk meninggalkan keduanya. Maka ibu Ismail (Hajar) mengikutinya seraya bertanya: “Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana sementara kamu meninggalkan kami di lembah ini yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apa?” Ibu Ismail mengulang-ulang pertanyaannya, tetapi Nabi Ibrahim tidak menoleh kepadanya. Akhirnya ibu Ismail bertanya: “Apakah Allah yang memerintahkan kamu perkara ini?” Ibrahim menjawab: “Ya”. Ibu Ismail berkata: “Jika begitu Allah tidak akan mengabaikan kami.”
Kemudian ibu Ismail kembali dan Nabi Ibrahim melanjutkan perjalanannya sehingga sampai pada sebuah bukit dan orang-orang tidak melihatnya lagi. Nabi Ibrahim menghadap ke arah Kaabah lalu berdoa untuk mereka dengan beberapa kalimat doa sambil mengangkat kedua belah tangannya:
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Wahai Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. [Ibrahim 14:37]
Hadis ini diteruskan dengan ibu Ismail, yakni Hajar yang berulang alik di antara bukit Safa dan Marwah bagi mencari air. Ini beliau lakukan selepas kantung air yang disediakan oleh Nabi Ibrahim telah kering sementara bayinya, Ismail menangis dahaga dan kelaparan.
Akhirnya malaikat Jibrail datang di Zam Zam, mengorek sedikit dengan tumit atau sayapnya sehingga akhirnya terpancarlah air. Ibu Ismail menakung air tersebut sehingga menjadilah sebuah kolam atau telaga, yang kini dikenali sebagai telaga Zam Zam. Ibu Ismail minum dan kembali dapat menyusui anaknya Ismail. Sejurus selepas itu orang-orang dari daerah lain mula bertumpu ke lembah tersebut.
Demikianlah sebahagian daripada sebuah hadis yang panjang berkenaan Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar. Ia disampaikan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah dikhabarkan oleh Allah melalui wahyu dan diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas. Mari kita meneliti beberapa mutiara yang dapat sama-sama kita ambil iktibar.

Pertama: Kecemburuan Isteri Adalah Lumrah
Kisah di atas dimulakan dengan tindakan Hajar yang menutupi jejaknya agar tidak diketahui oleh Sarah. Nabi Ibrahim memiliki dua orang isteri, yakni Sarah dan Hajar. Baik monogami atau poligami, kecemburuan adalah perasaan lumrah seorang isteri dan suami hendaklah membantu isteri mengawalnya. Kecemburuan tidak boleh disifarkan dan tidak boleh dibiarkan menguasai diri. Apa yang boleh dan patut dilakukan ialah mengurusinya agar sentiasa pada tahap kesederhanaan.
Dalam kes poligami misalnya, suami menempatkan isteri-isteri di lokasi atau rumah yang berbeza agar mereka tidak diganggu dengan perasaan cemburu. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana hadis di atas. Akan tetapi meninggalkan Hajar dan Ismail di Mekah yang kosong saat itu merupakan perancangan Allah bagi memulakan sebuah komuniti di sana yang akan berkembang sehinggalah ke hari ini. Ia khusus bagi Nabi Ibrahim, Hajar dan Ismail. Para suami masa kini janganlah pula meninggalkan ahli keluarga masing-masing di padang pasir, lautan atau hutan belantara.
Merujuk kepada kecemburuan di antara Sarah dan Hajar, terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tindakan zalim di antara mereka berdua. Namun riwayat-riwayat tersebut adalah tidak sahih dan tidak boleh disandarkan ke atas dua orang wanita solehah yang menjadi pendamping seorang Rasul Allah.

Kedua: Keyakinan Kepada Allah
Perhatikan perkataan Hajar selepas ditinggalkan suaminya (Nabi Ibrahim) di lembah yang tidak dihuni manusia mahu pun apa-apa yang lain: “Jika begitu Allah tidak akan mengabaikan kami.” Kata-kata ini membuktikan keimanan yang tinggi kepada Allah serta mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya al-Razzaq (pemberi rezeki) dan al-Hafiz (pemelihara). Berdasarkan keimanan dan keyakinan inilah, Allah akhirnya mengurniakan air Zam Zam kepada Hajar dan anaknya Ismail.
Berdasarkan kisah ini hendaklah para isteri sedar bahawa sumber ketenangan, pemeliharaan dan rezeki yang sebenar ialah Allah Subhanahu waTa'ala. Suami hanyalah perantara, namun jika suami tidak ada janganlah berputus asa atau merungut. Ini kerana Allah tetap ada.

Ketiga: Doa Suami Kepada Keluarganya.
Nabi Ibrahim sedih meninggalkan ahli keluarganya, kerana itulah beliau tidak menoleh apabila ditanya berulang-kali oleh Hajar. Namun oleh kerana perintah Allah, beliau terpaksa juga meninggalkan mereka. Beliau menyiapkan untuk ahli keluarganya bekalan kurma, air dan doa. Bekalan terahir inilah yang paling penting.
Merujuk kepada suasana masa kini, suami-suami mungkin ada yang terpaksa meninggalkan ahli keluarga mereka untuk tempoh yang lama seperti bekerja di kapal laut, pelantar minyak atau melanjutkan pelajaran. Oleh itu disamping meninggalkan bekalan nafkah yang mencukupi, para suami janganlah lupa mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk ahli keluarga yang dicintai. 



3 comments:

  1. MasyaAllah...thank 4 sharing :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih di atas perkongsian.. :D

    ReplyDelete
  3. Ilmu yg bermanfaat. Inshaaa Allah :)

    ReplyDelete