Followers

Nuffnang

Wednesday, 18 January 2012

Syaitan : Kenali Musuh Utama Anda


Syaitan merupakan makhluk Allah yang diciptakan dari api. Syaitan adalah musuh utama bagi orang mukmin sebagaimana kerap kali diulang-ulang oleh Allah  SWT dalam al-Quran. 

Antaranya dalam surah Fatir;6 :
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

 Kita sedaya upaya hendaklah berusaha menjauhi amalan-amalan yang diwarisi daripada syaitan atau perbuatan yang boleh menyebabkan kita menjadi pengikutnya.

Walaupun kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat, hadis-hadis Rasulullah saw banyak mendedahkan hakikat sebenar syaitan dan cara-cara untuk menghindari tipu muslihatnya. Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama :


1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri

Sabda Rasulullah saw : Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.
( Imam Muslim)

Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun anda seorang kidal. Sekiranya anda makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.

2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri

Rasulullah saw melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu.” Orang itu bertanya: “Mengapa?” Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?”

Orang itu menjawab: “Tidak.” Rasulullah saw meneruskan:

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.( Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)

Oleh itu elakkan minum sambil berdiri kecuali keadaan tidak mengizinkan seperti sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.

3. Syaitan ketawa bila menguap sehingga mengeluarkan bunyi

Sekiranya anda menguap, ingatlah itu adalah dari syaitan. Sabda Nabi saw :

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa”, maka ketawalah syaitan.( Imam al-Bukhari)

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan apa-apa bunyi. Ini berdasarkan hadis :

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).( Imam Muslim)

4. Syaitan kencing di telinga

Apabila seseorang  itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua telinganya sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari yang bermaksud :

Itu adalah orang yang syaitan telah kencing dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya.

Rasulullah saw berkata demikian bila diceritakan tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam

Imam Muslim merwayatkan hadis yang bermaksud :

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya):
“Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam.” Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan, berkatalah (syaitan kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.”

Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika  menutup pintu dan tingkap agar terselamat dari syaitan.

6. Syaitan memakan sisa-sisa makanan

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.
Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang
melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.” Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”( Imam Muslim)

Tidak usahlah anda menjadi seorang yang pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Entah berapa ramai yang tamak ketika makan sehingga menyebabkan makanan berlebihan dibiarkan untuk santapan musuhnya sendiri.

7. Orang yang membazir saudara syaitan

Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. Allah sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’:27 yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang  yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.

8. Syaitan mengganggu ibadat

sahabat bernama ‘Utsman bin Abi al-‘Ash  mengadu kepada Rasulullah saw “Wahai Rasulullah. Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan al-Qur’anku, dan ia selalu
mengelirukan aku.”

Maka Rasulullah menjawab:

Itulah syaitan yang disebut sebagai “Khanzab”, maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali.‘Utsman bin al-‘Ash kemudian berkata: “Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku.”( Imam Muslim)

9. Sikap terburu-buru dari  syaitan

Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan. Sabda nabi saw yang bermaksud :

Ketenangan adalah dari Allah manakala tergesa-gesa adalah dari syaitan.( Imam al-Baihaqiy)

10. Sikap cemburu  dari syaitan

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Sebagaimana hadis Aishah r.a. yang bermaksud :

“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?” “Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda?” Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melanjutkan: “Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”

“Wahai Rasulullah. Apakah bersama aku ada syaitan?” “Ya.” “Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?” “Ya.” (Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?” “Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya. (Imam Muslim)


11. Perasaan marah dari syaitan

Bila seseorang itu dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Untuk mengatasi perasaan marah ini kita diajar membaca isti’azah.  Sulaiman bin Surd berkata :

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi saw, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar.

Maka Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.( Imam al-Bukhari)

12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja

Kita sering dilarang oleh ibubapa kita masih berada di luar rumah pada waktu senja. Pesanan ini berasal dari Rasulullah saw yang bermaksud :

Apabila malam menjelang tiba maka tahanlah anak-anak kalian (dari keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya’, maka lepaskanlah mereka.( Imam al-Bukhari)


13. Pasar  tempat kegemaran syaitan

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat melepak syaitan. Rasulullah saw bersabda:

Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar adalah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacak. ( Imam Muslim)

Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk dalam hadis di atas.


14. Syaitan boleh membesar  seperti rumah

Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seorang yang dibonceng oleh Nabi S.A.W, ia berkata , "Tunggangan Nabi saw tergelincir, maka aku katakan: 'Celaka syaitan.'Nabi saw bersabda :

Janganlah kalian menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku” Sebaliknya sebutlah “Bismillah” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.

Demikian sebahagian himpunan hadis-hadis yang mendedahkan tipu daya musuh nombor satu orang mukmin sebagai persiapan untuk kita menghadapinya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat pemeliharaan Allah SWT daripada muslihat, godaan dan tipu daya  syaitan laknatullah alaih.


No comments:

Post a Comment