Followers

Nuffnang

Saturday 28 September 2013

Soal Jawab – Bertahanlah di Mihrab Taubat


Soalan: Saya pernah buat dosa satu masa dulu, masa tu mungkin kita tahu itu dosa tetapi tidak ada kekuatan untuk tinggalkannya. Dan bila saya mula belajar di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), hati saya mula sedar itu adalah dosa, dan saya mohon ampun kepada Allah S.W.T. Taubat bersungguh-sungguh. Bagaimana nak rasa Allah ampunkan dosa kita?

Alhamdulillah, kepada yang bertanya, semoga Allah SWT memberkahi kehidupanmu dengan kemuliaan dan kebaikan. Amat sukar untuk saya menjawab persoalan ini kerana diri saya sendiri sering terpalit dengan kesalahan dan dosa. Sudah tentu diri saya sendiri yang amat perlu kepada keampunan dari Allah S.W.T.

Segera Ingat Kepada Azab Allah S.W.T

Pertamanya, seseorang yang telah diberikan iman di dalam hatinya tidak akan membiarkan dirinya terperuk terus menerus dalam gaung dosa. Jika hawa nafsunya bergolak dan api syahwatnya menyala-nyala, dia akan bersegera kembali kepada Rabbnya. Imannya berfungsi menjadi perisai untuk menahan dirinya agar tidak terjerumus kembali setelah ia pernah jatuh ke dalam dosa itu. Dirinya akan sentiasa menjadikan istigfar dan taubat sebagai lembah oasis yang diperlukannya dan mengharap Allah S.W.T mengampuni dosanya.

Firman Allah SWT:
“Bila mereka (orang-orang yang bertakwa) digoda oleh syaitan, mereka ingat akan Allah dan ketika itu mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (al-A’raf:201)

Alhamdulillah, tatkala kita kembali sedar akan kesalahan-kesalahannya kepada Allah S.W.T ia segera bertaubat dan menyesali perbuatannya itu. Penyesalannya yang bersungguh akan menghapuskan kotoran-kotoran pada hatinya dengan izin Allah S.W.T. Dalam masa yang sama dia merasa gentar dan takut kerana pada setiap dosanya akan mendapat akibat dan balasan dari Allah S.W.T samada cepat atau lambat.

Peringatan Allah SWT yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melakukan keburukan pasti ia akan diganjar.” (an-Nisa’: 123)

Sentiasalah berhati-hati walaupun kita sudah belajar bertaubat kerana pusaran arus besar dosa dari celahan maksiat akan terus menghujam menenggelamkan manusia dan janganlah kita tertipu dengan berhentinya arus petaka itu. Berusahalah mempersenjatakan diri kita dengan takwa, kerana siksaan Allah S.W.T sangat pahit dan getir. Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT dia akan benar-benar dapat merasakan bahawa tiada dosa yang berbuah kebaikan, maka akan timbullah rasa kejelekan dan jijik pada perbuatan maksiat dan dosa. Janganlah kita mencampuradukkan amal dengan keburukan kerana kematian datang secara tiba-tiba. Ingatlah pesanan Imam al-Jauzy, sebuah siksaan mungkin saja ditunda kemudian datang dengan tiba-tiba, atau mungkin saja siksaan itu akan didatangkan dengan segera. Bersegeralah memadamkan hal-hal yang membakar api dosa dan tidak tidak ada yang dapat memadamkan api dosa itu kecuali air mata penyesalan yang tulus. Semoga dengan demikian, kita beroleh ampunan sebelum kita dihakimi oleh Yang Maha Agong.

Hati Yang Cerdas, Merataplah di Hadapan Pintu Taubat

Alhamdulillah, jadilah hamba Allah yang cerdas spiritual hatinya. Orang yang cerdas adalah mereka yang tahu akibat-akibat dari apa yang ia lakukan. Bersabarlah menjalani ujian Allah S.W.T. Pemilik jiwa yang cerdas akan sentiasa berdiri di muka pintu Tuhannya dan terus mengharapkan curahan kasih sayang Allah S.W.T. Sampai bila?

Jiwa yang cergas tidak memerlukan jawapan itu kerana dia tahu bahawa Allah S.W.T adalah pemilik jiwanya dan Allah memang berhak membiarkan kita terus meratap di hadapan pintu-Nya agar kita tidak pernah leka dan lupa mengharap pada-Nya, samada ketika ia dalam keadaan kebaikan apatah lagi dalam keadaan berbuat dosa.

Jiwa yang cergas tatkala ia melihat dirinya condong kepada taklukan dunia yang melalaikan, dia segera menarik dirinya mencintai akhirat dan dia memohon taufik dan keampunan dari Tuhannya serta memenuhi agenda kehidupannya dengan amal-amal yang membawanya dekat kepada Rabb nya. Jika dia takut terperangkap dalam jerat kemaksiatan, maka dia segera meminta dan berdoa kepada Tuhannya agar hatinya diperbaiki dan penyakit hatinya disembuhkan.

Bertahanlah di Mihrab Taubat

Begitulah pesanan Imam al-Jauzy. Jika kita sudah mula bertaubat, maka istiqamahlah dalam suasana dan amal kebaikan. Janganlah dirisaukan dengan bisikan-bisikan apakah Allah sudah mengampunkan dosaku kerana ia mungkin akan menyebabkan kemurnian taubat kita tidak sempurna. Sebaliknya, bersabarlah wahai orang-orang yang pernah berdosa sehingga air mata penyesalan anda telah mengalir deras di atas baju hati. Jiwa kita telah kita kotori, maka kata Imam al-Jauzy, tatkala kita merasakan air mata telah menghasilkan penyesalan, barulah hati anda dianggap telah disucikan.

Ketahuilah, Nabi Adam A.S terperangkap dalam kesalahannya selama tiga ratus tahun. Namun Nabi Adam A.S tidak pernah lelah memohon keampunan. Rasulullah S.A.W yang kita kasihi adalah penutup para Nabi dan Rasul dan terpelihara dari dosa, namun Baginda S.A.W tidak pernah lekang istigfar dan bangun malam meminta keampunan dari Allah S.W.T. Baginda S.A.W masih beristighfar kepada Allah, setiap harinya tujuh puluh kali, riwayat lainnya seratus kali. Ketika isteri Baginda, Aisyah R.A pernah ‘mempertanyakan’ gencarnya ibadah dan istighfar Baginda itu, Nabi S.A.W bersabda, “Apakah tidak selayaknya aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”

Wahai hati yang pernah berdosa, wajib bagi kita untuk sentiasa dalam posisi menyembah-Nya. Sentiasalah berada dalam mihrab taubat. Duduklah termenung dalam posisi menyembah-Nya. Paksalah hati kita untuk merasa takut dan gelisah dengan dosa-dosa. Jadikanlah rasa risau sebagai makanan dan tangisan keinsafan sebagai minuman. Nabi pernah bersabda bahawa ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, dan salah satu dari golongan tersebut adalah
“… seorang yang mengingat Allah di kala sendirian sehingga kedua matanya mengalirkan air mata (menangis).” (HR Bukhari dan Muslim)

Mungkin dengan usaha kerdil kita begini akan membawa berita akan dikabulkan Allah SWT pemintaan keampunan kita, laksana sembuhnya mata Nabi Yaakub dari kebutaan.

Penutup

Akhir kalam, berdoalah kepada Allah tanpa henti, sebagaimana firman Allah S.W.T;
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bresamanya, sedang cahaya mereka memancar di depan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan ‘Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu’”. ( At-Tahrim: 66)

Semoga Allah memberikan kita taufik dan sesungguhnya tidak ada kekuatan dan keupayaan kecuali dengan rahmat-Nya. Wallahu’alam.

Sumber: aburidhwan

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum....

    Alhamdulillah sharing yang cantik....terimakasih ya.. ^^

    ReplyDelete