Followers

Nuffnang

Friday 22 February 2013

Berdakwah Melalui Penulisan



Antara karya-karya yang telah saya hasilkan semenjak 2009-2012

Jika passion anda adalah menulis, maka pada saya salah satu cabang yang patut diceburi adalah melalui penulisan. Semenjak saya berumur 18  tahun, saya telah giat menulis. Awal-awalnya hanya kerana seronok mereka cerita dan dibaca oleh teman-teman, tetapi bertukar serius apabila melihat kesan yang boleh dibawa oleh penulisan ini kepada masyarakat.
Penulisan sememangnya mendapat tempat yang besar di dalam masyarakat dunia amnya. Kebanyakan ilmu kini diabadikan dalam bentuk teks, dan kebanyakan perkara seperti filem, drama, kartun, lagu, semua pada hakikatnya berevolusi daripada penulisan. Hatta kita lihat, laman sosial paling popular dunia – FACEBOOK – menggunakan penulisan sebagai medium utama penyampaian. Bukan suara, bukan video dan lain-lain.
Maka hakikatnya adalah amat penting bagi kita meneliti keperluan dakwah melalui penulisan ini.

Penulisan Membina Minda dan Jiwa Masyarakat.
Sedar atau tidak, antara faktor utama yang membina minda dan jiwa masyarakat adalah penulisan. Kita lihat di sekeliling kita, akhbar, majalah, buku-buku yang menjadi jamahan minda masyarakat saban hari. Semua itu membina pandangan dan pegangan masyarakat. Jika dididik kepada masyarakat melalui penulisan pelbagai jenis ini bahawa 2+2 = 5, maka masyarakat akan percaya bahawa 2+2=5.
Begitulah kita lihat bagaimana dunia menjadikan perkara yang haram sebagai biasa. Mereka mempersembahkannya dalam pelbagai bentuk. Akhbar, majalah, buku-buku, dan sebagainya. Hinggalah kita merasakan – tidak menutup aurat itu biasa, bercumbu-cumbu lelaki dan perempuan bukan mahram itu namanya ‘ringan-ringan’.
Minda dan jiwa yang kosong akan meminta untuk di isi. Begitu juga dengan minda dan jiwa yang ingin diperkasakan. Secara tidak langsung, bagi mengisi kekosongan itu dan mendapatkan keteguhan itu, ramai orang akan membaca. Mencari makna, mencari fakta, mencari ilmu, untuk menenangkan keserabutan jiwa dan akal mereka.
Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki berbangsa cina, berdiri lama di hadapan rak buku yang penuh dengan karya-karya Islamik, mungkin hendak memilih buku mana yang sesuai untuk menerangkan kepadanya akan Islam.
Ya. Biasanya manusia akan mencari buku, apabila dirasakan sudah tiada yang lain yang mampu hendak membimbingnya.

Dunia Penulisan Yang Semakin Meluas.
Dunia penulisan berkembang. Jika dahulu kita hanya boleh mendapatkan penulisan dalam bentuk ‘yang boleh dipegang tangan’ semata-mata, kini penulisan boleh didapati di dalam komputer kita, internet dan sebagainya.
Kewujudan eBook, blog, website, dan laman-laman sosial seperti Facebook telah mengubah skala capaian sebuah penulisan. Kini penulisan menjadi lebih meluas. Seorang penulis tidak lagi semata-mata menulis buku. Seorang penulis juga boleh diterjemahkan sebagai penulis blog, penulis di website, dan juga penulis tegar di laman sosial (rajin update).
Ini semua memberikan kesan sebenarnya. Bukan sedikit masyarakat yang mencari kebenaran di laman sosial. Mencari-cari figure yang mampu memberikan penjelasan kepadanya, yang mampu memberikan makanan rohani melalui update-update yang bermakna kepadanya.
Ya. Penulisan, masih membina dan mengisi jiwa serta minda masyarakat kita.
Penulisan ada kesannya.

Dakwah Melalui Penulisan.
Maka kita perlu melihat peri pentingnya kita yang mempunyai passion dalam penulisan ini, baik dalam penghasilan buku, penulisan berita di akhbar, penulisan di blog dan website, hinggalah ke penulisan di laman sosial, untuk menceburkan diri di dalam dakwah melalui penulisan ini.
Dakwah itu pelbagai wasilahnya. Bukannya terperangkap di dalam pertemuan berdepan-depan semata-mata, walaupun hingga kini kita akui, jalan dakwah terbaik adalah dengan berdepan-depan. Namun itu tidak menafikan manfaat wasilah dakwah yang lain. Hingga perang juga merupakan dakwah, pada satu tahap. Justeru penulisan juga adalah salah satu dari wasilah dakwah yang ada.
Dakwah yang berasal dari perkataan arab da’a yang membawa maksud ‘seru’, maka dakwah bermaksud seruan. Sama ada kita membawa dakwah jahiliyyah (dakwah yang tambah menyesatkan orang) atau kita membawa dakwah Islamiyyah (seruan kepada Islam).
Dakwah adalah wajib hakikatnya buat seluruh ummat Islam, secara langsung atau tidak langsung. Bagi mereka yang tidak mempunyai talent dalam bercakap dan menulis atau apa-apa kebolehan yang lain, mereka tetap wajib melaksanakan dakwah melalui akhlak yang baik.
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan  kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Surah An-Nahl ayat 125.
Maka yang mempunyai passion di dalam penulisan, apatah lagi.
Seluruh sektor penulisan seperti buku, majalah, akhbar, blog, dan laman sosial Facebook adalah antara ruang yang perlu diceburi. Memperbanyakaan karya-karya Islam, yang menerangkan betapa cantiknya kehidupan Islam, yang menghidangkan bukti-bukti kukuh akan kebenaran Islam, hakikatnya adalah perlu dan wajib.
Pahala dan ganjaran yang Allah SWT sediakan juga adalah besar buat mereka yang menceburkan diri dalam medan dakwah ini.
“Demi Allah, sesungguhnya satu orang diberikan petunjuk Allah melalui perantaraan (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah.” Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i.
“Barang siapa yang menunjukkan/mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya (mengikutinya).” Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad.
Justeru mengapa kita tidak teruja untuk melaksanakan perkara ini?
Mengapa kita lebih teruja update di Facebook kita perkara yang sia-sia, mengapa kita teruja menghasilkan buku-buku dan novel-novel yang kosong, bahkan melanggar pula batasan syara’ semata-mata kerana wang, mengapa kita teruja menulis sesuatu perkara di akhbar dengan timbangan yang tidak adil serta sebelah pihak sahaja semata-mata, mengapa?
Sesungguhnya tiada yang lebih bermakna, melainkan redha Allah SWT. Justeru, mengapa kita hendak buat perkara yang tidak memberikan kita redhaNya? Bahkan memberikan kita pula murkaNya?

Tetapi Awas, Jangan Berbohong!
Tetapi di dalam penulisan, jangan sesekali kita berbohong. Fakta mestilah benar. Rekaan cerita jika mahu dibuat juga, adalah mesti pada jalan ceritanya, bukan pada faktanya. Kita tidak boleh menukar perkara yang fakta seperti Sirah Nabi. Kita reka-reka sirah Nabi begini dan begitu, sedangkan ianya tiada dalam rekod. Kita menipu dan menyebarkan hadith palsu. Ini semua adalah berdosa.
Sejarah, hadith, ayat Al-Quran, kata-kata ulama’, dan sebagainya yang bersangkut paut dengan apa yang dikatakan sebagai ‘fakta’, jangan sesekali ditukar atau direka-reka. Itu nyata akan memberikan implikasi yang buruk. Walaupun dengan niat yang baik.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaknya ia mengambil (bersiap) tempatnya di neraka.” Hadith Riwayat Bukhari, bertaraf mutawatir.

Penutup: Bukan Hendak Menyatakan Kita Lebih Baik.
Bukan. Kita tidak lebih baik dari orang lain yang membaca penulisan kita, yang follow blog kita, yang beli buku kita, yang share atau like update kita. Bukan. Bukan populariti, bukan wang, bukan pujian yang kita cari apabila menceburkan diri dalam dakwah melalui penulisan ini.
Niat dan matlamat kena jelas.
Niat adalah kerana Allah, dan matlamatnya adalah untuk mengajak seberapa ramai manusia yang boleh untuk bersama-sama kita kembali kepada Allah SWT, kembali kepada kebenaran.
Kita sekadar menghayati pesanan almarhum Sheikh Mustapha Masyur – Perbaikilah diri kamu, sambil ajak orang lain.
Kita sedang dalam proses memperbaiki diri kita. Sambil kita baiki diri, sambil itu kita ajak orang lain. Begitulah hakikatnya.
Daripada kita buat perkara sia-sia, menulis benda sia-sia, maka mengapa kita tidak sumbangkan sesuatu yang berharga buat Islam, melalui wasilah yang kita ada passion di atasnya?
Mari.
Sumber: 

1 comment:

  1. Sebagai umat Islam laksanakanlah perintah Allah dan tinggalkan larangan-Nya....buatlah perkara yang baik-baik...

    http://www.noormalashahar.blogspot.com

    http://www.noormalashahar.com

    ReplyDelete