Followers

Nuffnang

Sunday 9 December 2012

Awas, Jangan Dekat



Berlian dan bekas kaca

Abi singgah di Tadika Islam sebelum pulang ke rumah. Mengambil anak abi yang pertama. Fatimah Az-Zahra namanya, berusia lima tahun. Kelas pada hari ini sudah tamat.

“Hari ini Fatimah sayang belajar apa?” tanya abi sejurus selepas beliau memberikan salam dan masuk ke dalam kereta.

Fatimah membuka zip beg sekolah Hello Kitty. Mengeluarkan buku latihannya. “Ustazah minta semua murid mewarnakan gambar berlian ni, abi. Ada dua berlian A tertutup dengan bekas kaca, berlian B terdedah dan tiada bekas kaca.”

“Oh! menarik juga. Apa yang ustazah ceritakan lagi?” soal abi, sungguhpun abi sudah dapat mengagak analogi yang akan digunakan ustazah tersebut.

“Di sebuah kedai berlian di pasaraya, berlian B mendapat tumpuan pelanggan. Ramai yang dapat memegang dan menikmati kecantikannya. Berkilau. Sedangkan berlian A hanya berada di dalam bekas kaca. Pelanggan hanya dapat melihat dari jauh, tidak dapat memegangnya,” cerita Fatimah bersemangat.

“Berlian B: Kasihan awak, berlian A. Tak ramai yang melihat awak. Lihatlah saya. Ramai yang memuji kecantikan saya dan gembira memegang saya.”

“Berlian A: Saya masih berada di dalam bekas kaca ini. Tak mengapa jika tiada yang memegang saya. Saya hanya menunggu orang yang benar-benar layak untuk memegang saya.”

Fatimah melakonkan kedua-dua watak, berlian A dan berlian B. Comel.

“Pada suatu hari, ada seorang saudagar yang kaya raya datang ke kedai berlian tersebut. Saudagar berhajat membeli berlian untuk isterinya yang tersayang. Saudagar melihat berlian A dan berlian B.”

“Saudagar: Hmm, sudah ramai pelanggan yang memegang dan menikmati kecantikan berlian B. Sedangkan berlian A tiada yang memegang, melainkan pemiliknya. Jadi lebih baik aku beli berlian A.”

“Akhirnya berlian A dibeli oleh saudagar tersebut. Berlian B masih tiada yang membeli sehingga sekarang. Tamat.”

Abi ketawa kecil. Tertarik dengan telatahnya. Begitu menjiwai watak dan cerita yang telah disampaikan oleh ustazah.
  
Bagaimana Islam menghargaimu

Ramai yang mengetahui analogi berlian tersebut. Kadangkala berlian tersebut ditukar kepada jam, makanan dan pelbagai lagi. Namun pengajarannya tetap sama. Tujuannya tetap sama.

Apa pengajarannya?

Bayangkan analogi berlian tersebut seperti seorang wanita. Berlian A tertutup dengan bekas kaca melambangkan seorang wanita yang memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Berlian B terdedah dan tiada bekas kaca melambangkan seorang wanita yang tidak memakai tudung dan tidak menutup aurat dengan sempurna.

Tak dinafikan. Wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan berpakaian seksi akan mudah menjadi tumpuan mata-mata liar si lelaki. Sungguh, lelaki bernafsu melihat wanita sedemikian. Lebih malang lagi apabila perempuan tersebut bangga mempamerkan kecantikannya. Maka jangan disalahkan lelaki jika ada yang mengganggu anda kerana anda sendiri yang membuka ruang untuk diganggu.

Berbeza pula dengan wanita yang menutup aurat dengan sempurna. Sopan santun. Lelaki akan lebih menghormati anda. Anda telah menutup ruang daripada diganggu kebanyakan lelaki.

Lihatlah bagaimana Allah menghargaimu wahai wanita. Ada hikmah mengapa Allah menetapkan anda supaya menutup aurat dengan sempurna. Bukan untuk menyusahkan anda. Tetapi kerana Allah sangat menyayangi anda. Melindungi maruah anda.

Jadilah seperti sekuntum mawar berduri. Duri melindungi mawar daripada dihinggapi serangga dengan sewenang-wenangnya. Awas, jangan dekat.

Allah swt berfirman:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nuur 24:31)

Jangan memperlihatkan perhiasan tubuh anda kepada lelaki bukan mahram. Lindungi diri daripada lelaki asing. Tutuplah aurat dengan sempurna.

Hargailah dirimu, wahai insan yang bergelar wanita. Allah sangat menyayangimu.

Pilih yang mana satu

“Hmm, kalau Fatimah diberi pilihan, anak abi nak pilih yang mana? Berlian A atau berlian B?” tanya abi. Memberi pilihan kepada beliau dalam membuat keputusan.

“Fatimah nak pilih berlian A. Yeay!” jawab Fatimah. Riang.

“Alhamdulillah.” Abi membetulkan tudung Fatimah. Putih warnanya. Kami sudah tiba di rumah. Bidadari abi sedang menunggu di daun pintu, sambil memberikan senyuman.

Semoga Fatimah menjadi seorang muslimah yang berjaya bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. InsyaAllah.


1 comment: