Followers

Nuffnang

Thursday 29 November 2012

Berkatalah Yang Luar Biasa, Ibarat Pokok Menjulang Ke Langit


Pemuda satria ummah! Saya mulakan penulisan saya pada kali ini dengan sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik atau diam sahaja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Luarbiasa! Hadith ini menguji iman kita. Ternyata percakapan dan diam kita seharian ada hubung kaitnya dengan keyakinan kita kepada Allah dan Hari Akhirat. Kalau kita faham dengan jelas tips yang diberikan Rasulullah SAW pada kita ini, nescaya kita akan melihat majoriti umat akan mengungkapkan kata-kata yang mengharmonikan kehidupan. Tiada fitnah, umpatan, kata macian, kata kesat, sindiran, pembohongan dan seangkatan dengannya. Kalau lisan yang keluar dari mulut kita sedemikian, aqidah kita masih lemah dan tidak berenergi iman. Masalahnya sekarang, kita banyak bercakap. Suka bercakap. Dan sudah selautan kata kita lepaskan ke bumi dan kepada manusia. Apa yang kita cakapkan? Banyak mana lisan kita itu menunjukan kita ini hamba Allah, bukan manusia yang egois kerana bijak bercakap dan suka bercakap? Ikut sedap mulut orang kata.
Sampaikan Kebenaran
Hampir 7000 orang telah membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru  pada 28 September 2012. Kenapa, ada konsert hebat ke? Tidak. Tetapi mereka berhimpun mahu mendengar kata-kata hebat dari orang yang hebat yang menjadi ikon kepada umat sedunia. Yang telah mengislamkan ramai golongan non muslim, seorang pendakwah dan penceramah yang pakar di dalam perbandingan agama. Ya, mereka hadir untuk ke ceramah Dr. Zakir Naik. Beliau yang merupakan seorang doktor perubatan dari Mumbai, India. Ceramah beliau bertajuk ‘Prophet Muhammad SAW in World’s Religious Scriptures’, Dr Zakir Naik, 47, telah menghuraikan tentang kewujudan kisah Nabi Muhammad SAW di dalam kitab Hindu, kitab Buddha serta Bible.
Luarbiasa wahai pemudaku, Dr. Zakir Naik mengajar kita erti hadith Nabi SAW yang telah kita tadaburi sebentar tadi. Bercakaplah perkara yang baik. Kata-kata yang dapat mengajak dan menyeru manusia kepada kebaikan yang luas disediakan oleh Allah SWT. Bertuturlah dengan perkataan yang dapat memenuhi pemikiran dan jiwa dengan kebesaran Allah, kemuliaan Rasulullah SAW dan kebenaran agama ini.
Mesej saya pada tulisan kali ini adalah untuk memperbetulkan paradigm pertuturan, percakapan, perbualan, chatting dan lisan kita yang akan membawa kemuliaan kepada kita di sisi Allah SWT. “Stop” yang selain dari itu atau sebaiknya diam sahaja kerana Allah.  Maka berusahalah agar cakap dan lisan kita adalah seruan dakwah. . Menyeru manusia kepada Allah  adalah satu kemuliaan yang besar. Firman Allah yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)
Seru dengan perkataan yang baik, mengajak kepada Allah dan amalkan juga. Inilah percakapan yang hidup. Cakap serupa bikin. Bukan merapu. Atau kosong dari nilai iman. Cakap kosong memang banyak kita ini, maka kosong jugalah amalannya. Maka goyahlah masa depannya di akhirat nanti. Huhu..:-)
Teori Asas Komunikasi Rabbani
Ayat Allah SWT dalam surah Fushilat: ayat 33 memang luarbiasa, ianya adalah teori asas komunikasi yang hidup yang didatangkan terus dari Allah SWT. Seni komunikasi rabbani. Inilah komunikasi yang paling produktif dan dikehendaki oleh bumi ini. Komunikasi dakwah. Komunikasi yang membawa mesej rabbani/ketuhanan hanya sanya kepada Allah. Semua kita suka berbicara dan telah banyak berkata-kata. Teliti sebentar kalam ucapan kita. Selaraskan dengan tuntutan komunikasi orang-orang yang menyerah diri kepada Allah SWT. Walaupun sekadar berkata tidak, jangan, ya, tidak tahu, entah, ok dan sebagainya.
Persoalan saya, apakah hari ini kita kurang berkomunikasi rabbani seperti mana tuntutan dalam ayat di atas? Perhatikan umat kita. Tak perlu jauh, lihat sahaja di bumi tercinta kita. Masyarakat kita kelihatan celaru kefahaman Islam dan gaya kehidupannya. Sehinggakan perkara asas seperti solat, puasa dan menutup aurat masih ramai yang mengabaikan.
Para pemuda sekalian, perhatikan informasi ini, dan mula berfikir. Satu kajian telah dilakukan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia dikalangan remaja Islam Malaysia. Penyelidikan ini diketuai oleh Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin. Dalam kajian itu ada 3 dapatan yang merunsingkan kita iaitu:
Menunaikan solat 5 waktu penuh sehari semalam – hanya 28.7%
Puasa penuh bulan Ramadhan – 64.2%
Wajib menutup kepala untuk wanita – 69.3%
Kajian dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2011 di sekolah di Kuala Lumpur membabitkan lima kelas mendapati hanya pelajar di tiga kelas yang mempunyai pengetahuan agama. Dua kelas lagi tidak mempunyai pengetahuan agama, termasuk tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. Bagaimana mereka solat ya?
Soalan saya kepada anda semua lagi, apakah yang mereka dengar dan apakah yang mereka cakap dalam kehidupan seharian? Buat ibu bapa, apa yang kita katakan pada anak-anak kita? Kepada para guru, apa yang kita ungkapkan pada anak didik kita? Buat anak muda, apa yang kita celotehkan sesama kawan kita? Buat para mahasiswa, apa yang kita banyak bicarakan, masa depan umat atau cit cat kosong. Apa yang diseru dalam Himpunan Sejuta Belia Negara? Ada yang banyak berbicara, dalam FB, sms, warung, cafe, padang futsal, skype dan macam-macam lagi. Namun sampaikah mesej kalimah yang baik yang mengangkat kembali maruah umat? Generasi muda kelihatan semakin jauh keimanan mereka kepada Allah. Kata-kata apa yang dilepaskan oleh umat ke bumi sehingga mengaburkan pandangan hati kepada Allah?
Kata Luarbiasa Ibarat Pokok Menjulang Ke Langit
Ya! Kita harus kembali perbetulkan komunikasi kita. Ini tugas kita semua. Mulai saat ini, perhatikan setiap kata kita. Ajar lidah kita berbicara dengan kalimah yang mulia, kalimah yang baik dan kalimah yang berpahala. Firman Allah SWT:
“Perumpamaan Allah kepada kalimah yang baik ialah seperti pokok yang baik dan asalnya (akarnya) teguh dan cabangnya menjulang ke langit , menghasilkan buah dengan izin tuhan-Nya dan demikianlah perumpamaan Allah kepada manusia semoga mereka beroleh peringatan” (Ibrahim : 25).
Perumpamaan yang indah. Kalimah yang baik disebutkan oleh Ibn Katsir RA melalui riwayat yang dibawa oleh Ali ibn Abi Thalhah bahawa ianya ditafsirkan oleh Ibn Abbas RA sebagai “ Kalimah Syahadah” iaitu kalimah tauhid. Kalimah yang membawa kita semakin dekat kepada Allah. Himpunlah jutaan anak muda, dah serulah mereka kepada Allah, bukan kepada kecelaruan identiti dan halatuju.
Berkata yang baik akan menjadikan kita orang yang bermanfaat. Ianya adalah kombinasi hati kita dengan Allah SWT. HDA, hubungan dengan Allah. Barulah kita akan menyaksikan bumi kita dipenuhi dengan pokok-pokok (para penyeru kebenaran) yang cabangnya menjulang ke langit, memayungi manusia.
Berkatalah yang Allah suka. Apatah lagi kata itu membangkitkan selera keimanan kita kepada Allah, walaupun kata itu diungkapkan di padang Futsal, di tepi pantai, di bilik asrama, di dalam pejabat, di cafe kantin, di wall FB, di Tweet dan sebagainya.
Kekosongan Jawatan Penyeru Kebenaran
Anak muda, kita kekurangan penyeru kebenaran. Kita mahu seramai mungkin yang berbicara dengan hikmah dan menjelaskan kebaikan agama ini kepada umat dan dunia. Kita perlu ramaikan Jaafar Bin Abi Talib, salah seorang model dari komunikator terbaik dari universiti Rasulullah SAW. Pemuda yang petah berkata, berani mengungkap kemuliaan dan keindahan Islam. Mari kita belajar komunikasi rabbani dari beliau.
Jaafar Abi bin Ali Talib menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.
Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.
Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.
Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.
Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: “Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali.”
Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: “Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?”
Jaafar pun bangkit berdiri. Dilepaskannya pandangan ramah penuh kecintaan kepada baginda Raja yang telah berbuat baik menerima mereka dan menjawab dengan sopan serta penuh keyakinan sekali.
Katanya: “Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala , memakan bangkai, melakukan pekerjaan keji, memutuskan tali silaturahim, menyakiti tetangga dan orang yang berhampiran. Waktu itu yang kuat memakan yang lemah, hingga datanglah masanya Allah mengirim Rasul-Nya kepada kami dari kalangan kami. Kami kenal asal-usul, kejujuran, ketulusan, dan kemuliaan jiwanya. Ia mengajak kami untuk mengesakan Allah dan mengabdikan diri pada-Nya, dan agar membuang jauh-jauh apa yang pernah kami sembah bersama bapak-bapak kami dulu, berupa batu-batu dan berhala. Beliau menyuruh kami bicara benar, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, berbuat baik kepada tetangga dan menahan diri dari menumpahkan darah serta semua yang dilarang Allah. Dilarangnya kami berbuat keji dan zina, mengeluarkan ucapan bohong, memakan harta anak yatim, dan menuduh berbuat jahat terhadap wanita-wanita yang baik-baik. Lalu kami benarkan dia dan kami beribadah kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak kami persekutukan sedikit pun juga, dan kami haramkan apa yang diharamkan-Nya kepada kami; dan kami halalkan apa yang dihalalkan-Nya untuk kami.
Dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami., kerananya kaum kami sama memusuhi kami, dan menghalang kami dari agama kami agar kami kembali menyembah berhala lagi, dan kepada perbuatan-perbuatan jahat yang pernah kami lakukan dulu. Maka sewaktu mereka memaksa dan menganiaya kami, kami keluar hijrah ke negeri paduka, dengan harapan agar mendapatkan perlindungan paduka dan terhindar dari perbuatan-perbautan aniaya mereka….”
Ja’far bin Abi Thalib mengucapkan kata-kata mempesona ini laksana cahaya fajar. Kata-kata itu membangkitkan perasaan dan keharuan pada jiwa Najashi, lalu baginda bertanya, “Apakah anda ada membawa sesuatu (wahyu) yang diturunkan atas Rasulmu itu?” Jawab Ja’far bin Abi Thalib, “Ada” Tegas Negus lagi, “Cubalah bacakan padaku.”
Ja’far membaca surat Maryam 1-4, yang ertinya:
“Kaaf Haa Yaa’ ‘Ain Shaad. Mengingat rahmat Rabmu kepada hamba-Nya Zakaria. Ketika ia berseru kepada Rabbnya dengan suara perlahan-lahan. Dia berdo’a, “Wahai Rabbku, sesungguhnya tulangku sudah lemah, dan kepalaku sudah beruban, dan aku belum pernah beruntung (bila) memohon kepada Engkau, wahai Rabbku.”
Mendengar itu, Negus lalu menangis dan para pendeta serta pembesar-pembesar agama lainnya pun tidak tertahan untuk menitiskan air matanya. Sewaktu air mata lebat dari baginda sudah terhenti, ia pun berpaling kepada kedua utusan Quraisy itu seraya berkata, “Sesungguhnya apa yang dibaca tadi dan yang dibawa oleh Isa AS sama memancar dari satu pelita. Kamu keduanya dipersilakan pergi! Demi Allah, kami tak akan menyerahkan mereka kepada kamu!”
Indah..memang indah pemuda ini mencontohkan kepada kita. Inilah yang kita kekurangan saat ini, menyebab bumi kekeringan cahaya. Pemuda yang tiap katanya adalah sebaik-baik perkataan. Para pemuda dan pemudi yang benar dalam percakapannya, dengan izin Allah akan membuka pintu hati manusia. Perkataan yang dihamburkannya memenangkan Islam di muka bumi. Tiap perkataan yang keluar adalah cerminan hati yang beriman dengan penuh keyakinan dan tekad kepada Allah. Sembang santai yang menggugah jiwa.
Penutup
Semoga kita memuhasabah kembali apa yang kita cakapkan selama ini. Egois kita untuk merasa bangga dengan “style” dan gaya cakap kita yang jauh dari petunjuk Allah dan Rasul-Nya, kita leraikan sahaja. Belajarlah berkata yang Allah redha. Bukankah kita mahu mencari redha Allah? Buat para pemuda pemudi yang bersemangat dalam dakwah, terus sampaikan kebenaran walaupun satu ayat. Pelihara niat, luruskan matlamat, perbaiki komunikasi kita, dan lontarkan kata-kata kebenaran dengan hikmah demi meraih redha Allah dan demi memenangkan Islam. Wallahualam.
Oleh: 

No comments:

Post a Comment