Followers

Nuffnang

Wednesday 11 July 2012

Menanti Ramadhan




Ramadhan yang dinanti-nanti dan dirindui!


“Membilang hari, terasa ingin benar mengecapi suasananya,”
Itulah perasaan kita semua saat ini.
Baru-baru ini, saya berkesempatan mengadakan suatu sesi mindsetting dan penetapan azam untuk Ramadhan tahun ini.
“ Baiklah, malam ini simple sahaja aktiviti pertemuan kita,” Ujar saya.
“ Ana hajat antum semua senaraikan 5 perkara yang menjadi fokus dan azam antum untuk Ramadhan tahun kali ini,” Jelas saya sambil memandang wajah-wajah adik-adik dan sahabat-sahabat saya.
Masing-masing mengganguk kepala.
Lima perkara yang akan menjadi inspirasi dan target untuk dikecapi di dalam Bulan Ramadhan kali ini kerana Allah SWT.
“Temanya, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terbaik dalam sejarah kehidupan kita!,” Sambung saya lagi.
Kelihatan semua memahami dan tekun menulis apa yang telah ditetapkan. Saya sendiri melaksanakan penetapan keazaman ini. Nampak biasa-biasa sahaja. Tetapi, apabila dikongsikan sesama kami saya tersentuh.
Baik, kita sama-sama berkongsi azam kita. Jangan malu-malu atau segan. Perkara yang baik, insyaAllah akan memberikan dorongan buat kita semua,” Kata saya.
“Tahun ini, ana hendak pastikan di Bulan Ramadhan dapat baca Al-Quran tiap-tiap hari selepas Solat Fardu!,” Kata seorang adik.
“Ramadhan tahun ini, ana ingin berazam melakukan solat terawih secara konsisten setiap malam. Tiada yang miss seperti tahun lepas,” Kata seorang yang lain.
“Tahun ini, akan tingkatkan amalan sunnat. Apa sahaja. InsyaAllah,” Tambah seorang sahabat yang lain.
Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.
Kami gembira dan seronok berkongsi keazaman dan tekad masing-masing. Selepas ini sama-sama kita semak agar ia dapat diamalkan dan digerakan sepanjang Ramadhan.
“Ramadhan, agenda sehariannya harus dijadualkan,” Pesan seorang Murabbi.
Itulah yang saya pelajari sejak dahulu. Ramadhan bukan untuk dilalui detik-detik keberadaannya begitu sahaja. Tanpa apa-apa planning yang rapi dan terancang. Ia harus diprogramkan dan dijadualkan. Kerana apa?
Kita tidak mahu tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. Rugi seperti manusia-manusia yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud :
“ Rugilah seseorang yang memasuki bulan Ramadhan, namun bulan ini berlalu sementara (dosa-dosanya) masih belum diampuni.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Jangan jadi manusia-manusia yang rugi.
Dosanya tidak terhapus setelah melalui Ramadhan. Terminal atau stesen pembersihan hati tidak difungsikan sepenuhnya buat dirinya.
“Rugi”
“Rugi”
“Rugi”
Jangan kita jadi manusia yang rugi! Marilah kita target dengan jiwa yang besar.
“Zero Dosa seusai Ramadhan tahun ini.”
Dan, hasilnya adalah ganjaran taqwa buat kita semua. InsyaAllah.
Bukan semudah itu untuk meraih ganjaran Taqwa yang ditawarkan oleh Allah SWT di sepanjang Ramadhan.
Marilah, kita menanam keazaman untuk melakukan sesuatu
yang luar biasa pada Ramadhan kali ini.
Menetapkan keazaman.
Memfokuskan haluan kita
Merencanakan agenda harian di Bulan Ramadhan.
Dan, melaksanakan ia dengan keikhlasan dan kesungguhan.
Anggaplah inilah Ramadhan yang terakhir buat kita!
Andai ini Ramadhan yang terakhir, marilah kita sama-sama melaksanakan ibadah di Bulan Ramadhan ini dengan keikhlasan dan kesungguhan yang tiada tara.
Ramadhan menjadi medan setiap muslim terus-menerus mempertingkatkan diri untuk mencapai darjat taqwa. Malah, harus disedari kedatangan Ramadhan merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dan agenda yang terpenting di dalam agenda kehidupan seorang mukmin yang soleh. Salaful Soleh terdahulu mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi.
Persiapan. Ia sangat-sangat penting untuk dipedulikan.
Bagaimana persiapan dan persediaan para pembaca?
Bagi, para salaful soleh yang silam mereka sentiasa getting ready for Ramadhan.
Bagi mereka, Ramadhan adalah bulan kecintaan, bulan menambah kerinduan, bulan menadah hujan kerahmatan dan bulan menyuburkan rasa kehambaan kepada Allah SWT.

Ramadhan ia sangat istimewa
Bagi Ramadhan juga digambarkan sebagai bulan peperiksaan. Bulah menghadapi ujian-ujian yang pelbagai bagi mendapat keputusan yang cemerlang. Jika lulus dengan cemerlang maka mereka akan dianugerahi dengan ijazah takwa. Maka, bulan Rejab dan Syaaban yang lalu menjadi medan persiapan dan persediaan bagi mempersiapkan diri. Persiapan ini perlu agar, Ramadhan dihadapi dengan penuh kesediaan, dan dilalui dengan keyakinan.
Para sahabat dan salaful soleh juga mengganggap bulan Ramadhan sebagai musim tengkujuh. Bulan Ramadhan – bagi mereka- sarat dengan keberkatan dan kebaikan yang melimpah ruah bagaikan hujan lebat turun dari langit. Iaitu hujan hidayah, hujan keampunan, hujan rahmat, dan belas kasihan Allah SWT.
Bayangkan, dengan penuh nyaman hembusan rahmat Ramadhan melimpahi kehidupan para pencinta kebenaran dan kebaikan. Ia adalah satu anugerah yang sangat berharga dan mampu memberi kekuatan rohaniyah kepada jiwa-jiwa mukmin yang mencintai dan menyayangi Allah SWT.
Justeru, masih belum terlambat untuk kita melakukan persiapan dan persediaan diri. Ramadhan membuka peluang dan kesempatan yang luas untuk kita merasai kemanisan beribadah di dalamnya dengan tenang dan damai.
Marilah kita mengisi Bulan Ramadhan dengan menghitung kelalaian diri, menyuluh kesihatan rohani serta memperbanyakan amalan kesolehan yang akan menjernihkan hati. Allah SWT sentiasa membuka pintu langit keampunan untuk mendengar rintihan dan pengaduan hamba-hambaNya yang banyak dosa dan noda.
Inilah peluang pengampunan buat diri pendosa yang sangat mengharapkan keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.
Insafilah peringatan dari Nabi Muhammad SAW tentang mereka yang keluar dari Ramadhan tetapi tidak mendapat manfaat serta gagal meraih keampunan daripada Allah SWT. Kata Nabi, celakalah orang itu.
Harapan buat kita semua
Pagi tadi sempat saya titipan mesej nasihat awal pagi buat sahabat-sahabat saya :
“Islam tidak akan diperjuangkan oleh mukmin yang bangun dari tidur selepas azan Subuh. Pesan para ulamak, mukmin itu dikira lalai apabila ia bangun setelah azan Subuh dikumandangkan. Marilah kita berazam dengan penuh tekad dan kesungguhan untuk bangun awal pagi sebelum azan Subuh dan mempertingkatkan amalan soleh.”
Tambah saya lagi sebagai ingatan buat diri :
“Jadikan Ramadhan mendatang sebagai turning point perubahan kerana Allah SWT”
Mudahan Ramadhan kali ini akan membuka lembaran baru dan memberi sinaran kejayaan dan kemenangan yang hakiki kepada mereka-mereka yang ikhlas dalam beramal sepanjang Ramadhan di pagi Syawal yang mulia.
Semoga Ramadhan yang dicintai dan dirindui ini memberikan ruh yang baru dan hidup untuk terus kita menjadi hamba Allah SWT yang taat, soleh dan bertaqwa di bulan-bulan seterusnya!

Sumber: http://www.langitilahi.com/

No comments:

Post a Comment