Followers

Nuffnang

Wednesday 21 January 2015

Banjir Dosa Yang Melanda Jiwa




“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.  

“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.  

“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”  

“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”  

“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.  

Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.     

Sebab Allah Sayang  

“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.  

“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Beverly Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.  

Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.  

“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.”  

“Dari manakah awak tahu yang seseorang itu Allah benci atau Allah sayang? Bagi saya orang di bandar-bandar tersebut bukan orang kafir, mereka belum Islam. Allah tidak membenci orang bukan Islam.”  

“Apakah bezanya antara orang kafir dengan bukan Islam? Bagi saya sama sahaja. Yang beza, hanya kafir harbi dan kafir zimmi.”  

“Bagi saya memang berbeza. Orang kafir ialah orang yang menentang Islam setelah diseru kepadanya secara lisan dan perbuatan. Manakala orang bukan Islam ialah orang yang belum pun diseru kepada Islam. Saya rasa, mereka belum pun diseru kepada Islam, jadi bagaimana mereka boleh dituduh menentangnya? Label kafir hanya layak bagi yang menolak dan menentang setelah seruan dakwah dilakukan terhadap mereka.”  

“Sudahpun dibuat. Mereka memang penentang. Sekarang era ICT, tak akan mereka tak dapat maklumat dan ilmu tentang Islam? Tak sampai seru? Maaflah, tak logik.”  

Diam seketika. Mungkin sama-sama mencari ‘peluru’ untuk terus berhujah.  

Saya yang dari tadi menjadi pendengar sudah bertukar menjadi ‘pemikir’. Input-input yang diluahkan dalam perbualan dua orang lelaki itu membuat fikiran saya teruja dan emosi sedikit terusik.     

Angkara Tangan Manusia  

“Aku rasa bukan kerana dosa. Jika kerana dosa, mesti sejak dahulu lagi bencana sudah menimpa. Sejak dahulu lagi orang telah berdosa.”  

“Kau nak menolak sejarah azab yang menimpa kaum ‘Aad, Thamud, umat Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain kerana mereka derhaka? Kalau nak menafikan fakta dalam al-Quran dan hadis yang menegaskan umat yang berdosa akan diazab Allah? Hati-hati!” kata lelaki berkopiah putih lagi, kembali menghangatkan suasana.  

“Kau jangan emosional. Aku tidak menolak fakta-fakta itu. Tetapi aku rasa ada sebab lain yang menyebabkan bencana alam. Bukan soal dosa dengan Allah sahaja.”  

“Apa dia? Dosa dengan manusia?”  

“Aku rasa mungkin juga kerana pemugaran hutan yang tidak terancang, sistem saliran yang tidak efektif dan efisien, sikap membuang sampah merata-rata, serta sistem pembuangan sisa yang lintang pukang.”  

Kali ini lelaki kopiah putih pula terdiam. Melihat keadaan itu, lelaki yang bersongkok hitam tiba-tiba bersuara, “Eh, sejak tadi diam sahaja, bersuaralah sikit,” katanya sambil menepuk bahu yang sedang bersandar di tiang masjid.  

Saya terkejut. Tidak sangka ketika mereka berdua hebat berhujah masih sempat melihat saya di sebalik tiang.     

Apabila Hukum Allah Tidak Dipeduli  

“Bencana boleh menimpa apabila kita melanggar hukum Allah,” ujar saya sekadar meraikan. Sebenarnya saya masih berminat untuk mendengar dan menjadi ‘pemerhati’ berbanding turut serta dalam ‘forum’ pasca-Subuh itu.  

“Itu saya sudah tahu.”  

Hampir serentak mereka berdua bersuara.  

“Hukum syariatullah dan juga sunnatullah,” kata saya masih pendek.  

Mereka diam, memberi laluan untuk saya membuat penjelasan.  

“Halal, haram, sunat, makruh dan harus itu ialah hukum syariatullah. Jika dilanggar berdosa. Membuat apa yang diharamkan Allah atau meninggalkan apa yang diwajibkan-Nya ialah dosa. Misalnya tidak bersolat, mengamalkan riba, mendedahkan aurat, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.”  

“Itulah yang saya tegaskan sejak tadi. Bencana ini angkara dosa-dosa itulah,” kata lelaki berkopiah. Rasa puas terpancar di wajahnya.  

“Hukum sunnatullah pula bagaimana?” tanya lelaki bersongkok.  

“Hukum sunnatullah ialah hukum Allah dalam mengatur alam. Gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi. Tasik, sungai dan laut tempat tadahan dan saliran air yang disusun secara semula jadi. Begitu juga hutan dan pokok-pokok yang mencegah hakisan tanah sekali gus meneguhkan kedudukan pada lapisan luar bumi.”  

“Itu hukum Allah juga?”  

“Ya. Itu hukum Allah juga. Tidak boleh diabaikan dan dilawan, buruk padahnya. Apabila hutan dipugar sesuka hati, gunung ditarah sewenang-wenangnya, laut dan sungai dicemari, maka berlakulah banjir, kemarau, tanah runtuh dan sebagainya. Allah tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.”  

“Ini semua kerana jahil atau degil?” tanya lelaki bersongkok hitam.  

“Ada kalanya kerana jahil. Ilmu dan kepakaran tidak ada. Tidak ada kajian, perancangan dan pelaksanaan yang rapi dan teliti. Buat kerja ikut terlintas, tanpa home work dan persiapan terlebih dahulu,” jelas saya.  

“Tetapi yang banyaknya kerana degil,” kata lelaki berkopiah putih tiba-tiba.  

“Ya. Ada juga kerana degil. Bukan kerana tidak tahu, bukan kerana tidak ada kepakaran, tetapi kerana tidak ada kejujuran. Tahu, tetapi kerana tidak mampu melawan kerakusan hawa nafsu. Tahu, tindakannya akan mencemar dan merosakkan alam, tetapi dek kerana keuntungan tindakan itu diteruskan juga. Semua kerana wang.”  

“Itu bukan satu dosa?” celah lelaki bersongkok.     

Padah Ingkar Amanah  

“Ya, itu satu dosa. Tamak, rakus dan menyusahkan orang lain, hakikatnya satu dosa. Dosa melanggar sunnatullah ada kalanya terkait dengan dosa melanggar syariatullah. Menebang hutan, mencemarkan sungai, membuang sampah merata-rata bukan hanya dosa kepada alam tetapi dosa kepada Allah dan sesama manusia.”  

“Saya kurang pasti bagaimana?”  

“Bumi, yang merupakan amanah Allah dirosakkan. Bumi tempat manusia lain berteduh dicemari. Semua ini dilakukan kerana kepentingan diri. Maka, sudah tentu ini merupakan satu dosa,” jawab saya agak panjang. Kali ini saya benar-benar teruja untuk masuk campur.  

“Ingat tu, kita khalifah. Perlu urus tadbir dunia ini dengan bijak,” sampuk lelaki yang bersongkok.  

“Tidak cukup dengan bijak sahaja, mesti amanah,” ujar saya perlahan.  

“Dengar tu, bijak sahaja tidak cukup. Mesti amanah,” kata lelaki yang berkopiah.  

“Amanah sahaja tanpa bijak pun tidak cukup,” balas lelaki bersongkok.  

Saya tersenyum. Lucu pula melihatnya. Masing-masing sudah faham, tetapi belum mencapai tahap kesefahaman.  

“Hukum syariatullah perlu dipatuhi untuk menjadi hamba Allah yang baik. Hukum sunnatullah juga perlu dipatuhi untuk menjadi khalifah yang mampu memberi kebaikan. Kalau kedua-dua hukum ini dilanggar, bencana akan menimpa,” jelas saya cuba merumuskan.  

“Tetapi saya lihat ada juga orang yang telah mentaati kedua-dua hukum itu masih dilanda bencana alam. Bagaimana pula?”     

Ujian Kesabaran dan Ketaatan  

“Itu cara Allah memberi pahala sabar dan meninggikan darjat mereka yang taat,” ujar saya.  

Dalam diam, saya akur betapa ada hamba Allah yang soleh yang turut diuji oleh bencana alam. Mereka juga dilanda kesusahan dan kesempitan. Tetapi insya-Allah, orang yang taat akan sentiasa mendapat kebaikan walaupun dalam kesusahan. Manakala orang yang bermaksiat, akan sentiasa mendapat keburukan walaupun dalam kesenangan.  

“Musibah sama, tetapi natijah berbeza. Orang derhaka yang terus derhaka, akan mendapat dosa berganda. Orang yang taat bertambah taat akan mendapat pahala berganda. Manakala orang yang berdosa tetapi kembali bertaubat akan dihapuskan dosa-dosanya. Walau apa keadaan sekalipun, apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita,” jelas saya lagi.  

“Bagaimana pula orang yang bermaksiat tetapi terus selamat? Mereka yang leka berjudi, berpelesiran dengan wanita dan arak tetapi tidak pula dilanda musibah?”  

“Percayalah, orang yang melakukan dosa tidak akan tenang, sama ada ketika dilanda bencana alam atau pun ketika tidak dilanda bencana alam. Bencana yang melanda jiwa akibat dosa sesungguhnya lebih besar berbahaya berbanding bencana yang melanda alam. Mereka tidak akan menikmati kesenangan tanpa ketenangan. Dunia luarnya nampak aman, tetapi dunia dalamannya terus resah dan bergolak,” ujar saya.  

Lelaki yang berkopiah dan bersongkok itu sama-sama mengangguk.  

Dalam hati terus berdoa, mudah-mudahan bencana alam ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah lama gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam di dalam hati akan mampu diapungkan kembali oleh apa juga tragedi yang melanda umat ini, kini dan selamanya. Insya-Allah.  

Matahari terbit jua akhirnya. Ahli jemaah yang sejak tadi beriktikaf di dalam masjid, terus membaca al-Quran, berzikir dan ada pula yang bangun ke belakang untuk memperbaharui wuduk. Mudah-mudahan dengan mendekatkan diri kepada Pencipta, kita jadi semakin matang dan bijak menguruskan perbezaan sesama manusia.

2 comments:

  1. terserah pada tahap ilmu dan diri masing2 untuk mnafsirkan sama ada satu balasan pd yg ingkar untuk kembali atau ujian pd yg patuh untuk menmbahkan lg ketakwaan kepada-Nya.,

    ReplyDelete
  2. maaf komentar diluar yaa saya suka sekali kursor yang bentuk masjidnyaaaa :D

    ReplyDelete