Followers

Nuffnang

Wednesday 13 February 2013

Kegembiraan Allah Pada Sebuah Kepulangan

Dengan dosa yang menggunung, kesilapan yang berulangkali, janji untuk berubah yang tidak ditepati, maka terlintas persoalan di benak seorang anak Adam yang dirinya bergelumang dengan dosa, ‘Adakah Allah akan mengampunkan diriku? Adakah taubatku layak diterima Allah?’

Sebelum terputusnya tali pengharapan di dalam jiwa, hadis nabi S.A.W datang sebagai jawapan pada persoalan tadi. Sebuah hadis membuka pintu-pintu harapan bagi yang berdosa dan mengeluarkan mereka dari rasa putus asa. 

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda S.A.W telah menggambarkan kegembiraan Allah terhadap mereka yang kembali ke pangkal jalan dengan sebuah gambaran kisah yang cukup menarik dan terkesan di hati. Baginda S.A.W telah membawakan sebuah kisah yang lebih kurang bermaksud begini:



Kisahnya ialah tentang seorang lelaki yang berada di sebuah padang pasir yang sunyi sepi dan sangat panas, yang tiada air dan tumbuh-tumbuhan di situ. Di bawah keterikan cahaya mentari, tiada yang menemaninya melainkan derap langkah unta tunganggannya yang turut membawa makanan dan minumannya. 

Di dalam kepenatan yang teramat dek perjalanan yang panjang, ia akhirnya bertemu bayangan pepohon untuk berteduh di bawahnya. Ia pun berehat di situ dan mendudukkan untanya lalu melelapkan matanya sebentar untuk mengumpul kekuatan dan mengembalikan kecergasan. Oleh kerana tali untanya tidak ditambat, unta tersebut telah meloloskan dirinya dan berjalan pergi. Apabila lelaki tersebut terjaga dari tidurnya, ia panik kerana mendapati untanya tiada. Tali untanya telah terlepas. Ia terus mencari dan mencari, menuruni lembah dan mendaki bukit tanpa berhenti namun tidak juga bertemu. 

Pabila ia merasakan bahawa pencariannya tak berjaya dan telah merasa putus asa, ia pun kembali ke tempat perteduhannya tadi dengan penuh kelaparan dan kehausan. Dalam keadaan yang terlalu letih dan jiwa yang hampa ia tertidur disitu, menanti saat kematian. Ia merasa sangat berputus asa kerana kenderaannya telah tiada malah telah pergi membawa bersama bekalan makanan dan minumannya. Di tengah-tengah padang pasir yang panas dan kering kontang itu, ia tidak tahu ke mana hendak dituju. Akan tetapi alangkah terkejutnya apabila ia tiba-tiba terdengar satu suara. Ya, untanya betul-betul berada di sampingnya. Maka bangkitlah ia dengan kegembiraan yang tidak terkata. Bagaikan mati hidup semula. Dek kerana terlalu gembira, ia telah tersilap menyebut, ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan aku tuhanmu.’ 



Kemudian baginda S.A.W memberitahu kepada para sahabat yang berada dikelilingnya, sesungguhnya kegembiraan Allah terhadap hambaNya yang bertaubat dan kembali kepadaNya adalah lebih besar dari kegembiraan yang dirasai oleh lelaki itu. Sabda baginda S.A.W, “Sesungguhnya, Allah lebih-lebih lagi kegembiraanNya terhadap hambaNya yang mukmin berbanding kegembiraan lelaki ini yang mendapat semula tunggangannya dan makanannya.” 

Pengajaran dari kisah: 
• Tujuan utama dari penceritaan yang dibawakan oleh baginda S.A.W ini ialah agar orang-orang mukmin sentiasa berlumba-lumba untuk bertaubat hingga diri mereka bersih dari maksiat dan dosa sepertimana yang telah Allah nyatakan.

Oleh: Ustazah Suriani Binti Sudi 
Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 

Sumber: Majalah Iman, Bil No.11


1 comment: