Followers

Nuffnang

Tuesday 1 January 2013

2013 : Seruan Memperbaharui Sikap


Terus berjalan, tapi dengan diri yang baru.
~ Picture by Umar Mita 

2012 berlabuh meninggalkan kita. Kini, 2013 menanti untuk didepani. Satu tahun, terasa begitu singkat.
Masa begitu pantas berlalu.
Bila kita berada di awal tahun, terasa begitu lambat masa berlalu. Tetapi bila kita sudah berada di hujung tahun, terasa masa ini begitu pendek sekali. Memanglah begitu realiti manusia. Bila berada di awal, terasa masih banyak masanya. Bila sudah berada di akhir, baru menyesal memikirkan telah banyak masa dibazirkan dulu.
Sehingga setelah setahun berlalu, seakan-akan masih banyak yang belum kita persiapkan untuk peningkatan diri kita. Masa semakin berlalu, tapi adakah diri kita bergerak menjadi lebih baik atau sebaliknya?
Maka, mari bersama kami melakukan muhasabah. Semoga kita menjejakkan kaki ke 2013 kali ini dengan lebih baik beserta dengan perancangan yang lebih kemas.

Apa Yang Telah Anda Lakukan Semalam?
Ketika kita melakukan penilaian terhadap apa yang telah kita lakukan semalam, bukan penilaian dari sudut keduniaan sahaja yang perlu kita lakukan.
Bahkan, sudut akhirat kitalah yang lebih utama untuk kita lakukan penilaian.
Ada orang menilai berapa banyak harta yang telah dicapainya dalam tahun 2012. Sudah mencapai target yang diinginkan atau belum?
Ada orang pula menilai dari segi kedudukannya dalam kerja-kerjanya. Sudah di tahap manakah kerja-kerjanya sekarang? Adakah kerja-kerjanya memenuhi keperluan semasa atau tidak?
Ada orang pula menilai dari segi bacaannya. Berapa banyak bukukah yang telah dikhatamkannya dalam setahun ini dan sejauh mana pula kefahamannya terhadap apa yang dibacanya itu?
Semua penilaian ini penting sebenarnya. Tetapi jangan terlupa sesuatu.
Penilaian kita untuk akhirat kita. Adakah semua yang kita lakukan itu, bekerja, mencari nafkah, membaca dan sebagainya itu mengundang redha Allah atau sebaliknya?
Dalam tahun 2012 yang telah berlalu ini, apakah dosa yang semakin bertambah ataupun pahala? Ataupun adakah kita hanya maintainkan graf jatuh naik iman yang sama sahaja kadarnya?
Tanyalah soalan ini pada diri kita.
2012 ini telah kita lalui dengan pelbagai cerita suka duka, pahit manis serta isu-isu masyarakat yang tidak pernah berhenti. Kadangkala, kita menemui isu-isu, masalah-masalah dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan hati, kadangkala kita dapati ada pertembungan-pertembungan yang menyakitkan antara NGO-NGO Islam, parti-parti politik sedia ada dan kumpulan-kumpulan lain dalam masyarakat. Maka, bagaimanakah respon kita ketika berdepan dengan semua isu dan masalah ini?
Ada orang kadangkala merespon dengan cara yang positif. Ada orang pula respon dengan cara yang tersangat negatif. Ada orang pula sederhana.
Sebab itulah kita sentiasa perlukan kepada satu asas yang kukuh iaitu asas keimanan kepada Allah.
Asas inilah yang akan menjaga nilai pada diri kita ketika kita tampil berbicara dalam soal politik, terlibat dalam aktiviti berkaitan dengan hubungan kemasyarakatan ataupun pembangunan individu. Asas inilah yang akan menjaga nilai-nilai pada diri kita ketika bergaul dan berinteraksi dengan manusia.
Sebagaimana pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik, maka begitu jugalah iman. Iman yang baik, tindakan dan perkataan yang terhasil dari tubuh juga pasti menjadi baik.
Asas ini bila berada kukuh di dalam jiwa kita, ia akan menjadikan kita manusia yang sentiasa berfikir tentang masa depannya.

Sebab Itu, Bila Kita Beriman, Kita Mesti Sentiasa Melihat Dan Berfikir Untuk Hari Esok
Allah berfirman dalam surah Al-Hasyr,  ayat 18 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok.”
Ayat ini sangat dekat dan signifikan dengan orang yang mengakui dirinya beriman kepada Allah s.w.t.
Lihatlah, Allah mengaitkan orang-orang yang beriman dalam ayat ini dengan keperluan untuk dia sentiasa melakukan penilaian terhadap apa yang telah dia persiapkan untuk hari esoknya.
Iman sepatutnya menjadikan kita manusia yang bervisi dan berpandangan jauh. Iman sepatutnya menjadikan kita insan yang berwawasan.
Itulah kesan iman yang sepatutnya. Maka, ketika kita mendepani pelbagai isu, masalah dan cerita pahit manis dalam 2012, adakah kita telah memikirkan kesan-kesannya pada tahun 2013 dan tahun-tahun yang seterusnya?
Betapa ruginya manusia yang terjatuh ke dalam masalah dan musibah besar, lalu ia kecewa dan tidak meneruskan kehidupannya dengan baik. Sedangkan musibah, masalah dan ujian itu hanyalah seketika di dunia ini sahaja. Bahkan, kehidupan di dunia ini tidaklah lama, tersangat singkat pula. Apakah kita rela dengan kekecewaan kita dalam kehidupan yang singkat ini akhirnya membawa kita kepada musibah lebih besar di akhirat nanti?
Ada manusia pula yang terbiasa berada di kedudukan dan pangkat yang tinggi baik dalam pejabat ketika kerja ataupun dalam pemerintahan sebuah negara. Kadangkala, sebahagian mereka ini tidaklah begitu peduli sangat pun dengan keadaan rakyat di bawahan. Rasuah, gelapkan wang dan pelbagai lagi sikap pecah amanah berlaku kerana sudah terbiasa lama memerintah.
Ada pula yang hanya sekadar jadi penyokong, pemerhati dan pengkritik dari tepi. Bila timbul isu, maka kritikan-kritikan serta komen mereka mula timbul. Ada yang kadangkala bersifat berat sebelah, ada pula yang memihak kepada pihak-pihak tertentu, ada pula yang bukan memberi kritikan tetapi melontarkan caci maki dan kejian atas nama kritikan untuk memuaskan hatinya.
Yang mendepani semua isu dan masalah ini dengan sikap dan akhlak yang baik, kita sangat hargai dan kagum dengan orang-orang begini. Tetapi, kita sangat terkilan dengan mereka yang berakhlak buruk, pecah amanah dan melampau-lampau dalam tindakannya ketika mendepani atau mereka sendiri terlibat dalam masalah itu.
Sebab itulah, untuk mengawal sikap melampau-lampau, akhlak buruk, pecah amanah dan sebagainya ini, imanlah asas yang kukuh untuk menjaganya.

Melengkapi Ciri Menjadi Hamba Yang Baik
Insan, bila hubungannya baik dengan Allah, dia merasakan kesan iman itu dalam kehidupannya, pastilah dia akan mengetahui bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan menilai segala tindakan dalam kehidupannya.
Maka, bila dia tahu Allah sentiasa melakukan penilaian ke atas dirinya, dia akan sentiasa berhati-hati bila bertindak. Dia akan teliti bila mengeluarkan kata-kata.  Kerana dia tahu setiap sudut hidupnya sama ada sedang menaikkan sahamnya di sisi Allah ataupun semakin membuatkan dia hilang kedudukan di sisi Allah.
Sebab itu, menuju tahun 2013 ini, mari kita perbaiki asas ini dalam diri kita agar kita melengkapi ciri untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik.
Hamba Allah yang baik bukan sahaja yang sentiasa berteleku di atas tikar sejadah, di masjid memikirkan solat dan zikirnya saja, tetapi hamba Allah yang baik itu adalah yang baik di dalam semua aspek kehidupannya.
Baik dalam interaksinya dengan manusia.
Baik dalam menguruskan kehidupannya sama ada kehidupan bujang atau kehidupan berkeluarga.
Baik dalam urusan politik, pemerintahan dan pentadbiran negara.
Baik dengan urusan kerja dan belajarnya.
Ada orang yang solat, tetapi berperangai buruk dalam interaksi dengan manusia.
Ada orang pula yang tahu baca Al-Quran, tetapi tidak amanah dalam cara berpolitik. Mengumpat orang sana sini, menimbulkan fitnah dan sebagainya.
Menuju 2013, semua ini sepatutnya perlu diperbaiki dan diperbaharui.

Penutup : Tahun Baru, Mari Tukar Yang Baru !
Menuju tahun baru, mari kita tukar dan perbaharui yang sudah lusuh, lama, rosak dan tidak elok.
Yang lusuh, rosak kalau masih digunakan lagi, ia akan menyebabkan kita jatuh terus ke dalam gaung kebinasaan.
Sikap yang buruk, mari kita perbaiki dan ubah.
Tahun baru bukan tahun untuk kita berseronok sebenarnya kerana bila bertambahnya tahun, kita bukannya semakin muda, bahkan semakin tua. Bukannya semakin jauh, bahkan semakin dekat dengan kematian.
Tidak tahulah saya kalau masih ada yang mahu menyambut kedatangan tahun baru 2013 ini dengan pesta, maksiat dan sebagainya yang bukan makin mengingatkan kita kepada hakikat kembali kita kepada Allah, tetapi semakin membuatkan kita alpa dan lalai pula.
Bertambah tahun, semakin dekat dengan mati, sepatutnya membuatkan kita semakin rasa keperluan untuk dekat dengan Allah, bukannya semakin seronok enjoy dan lupa masa depan di akhirat sana nanti.
Jelas perkara ini, pastilah kita akan menyediakan diri kita sebaiknya, melakukan semula muhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan pada masa lepas dan memperbaiki lagi perjalanan kita di masa depan.
Apa yang masih sempat diubah, ubahlah segera sebelum terlambat. Apa yang perlu ditukar dan diperbaiki, lakukanlah segera. Janganlah sampai kita terjatuh ke dalam lubang penyesalan yang menyebabkan tidak ada kesempatan lagi untuk kita berubah ketika itu.
2013, tahun yang baru, mari bina ‘kita’ yang baru !
Sumber: 

No comments:

Post a Comment